Wanita positif dadah ditahan memandu tanpa lesen.

MELAKA: Seorang ibu beranak dua ‘mati kutu’ apabila ditahan dan keretanya disita dalam satu sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) arah selatan, di sini, malam semalam.

Wanita berusia 32 tahun itu bukan saja tidak mempunyai lesen memandu, malah cukai jalan Proton Gen.2 dipandunya tamat tempoh sejak Disember lalu selain tidak mempunyai insurans.
Kesalahan itu mengakibatkan keretanya terus disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pemeriksaan lanjut.

Lebih mengejutkan, wanita yang difahamkan baru saja menghantar dua anaknya ke rumah pengasuh di Taman Merdeka, dekat sini, sebelum ke tempat kerja di Melaka Raya turut didapati positif dadah dipercayai syabu dalam ujian saringan pertama yang dijalankan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Wanita berkenaan adalah antara sembilan yang ditahan berusia antara 20-an hingga 30-an kerana didapati positif dadah dalam operasi bersepadu dijalankan JPJ, AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad).
Malah, difahamkan dua wanita berusia 20 dan 21 tahun yang turut ditahan kerana didapati positif dadah cuba meraih simpati anggota AADK dengan memberi alasan mereka mengambil pil diet dan bukannya dadah.

Sementara itu, Pengarah JPJ negeri, Mohd Fadhil Hassan berkata, sebanyak 117 saman dikeluarkan dalam operasi yang dijalankan selama empat jam bermula jam 8.30 malam hingga 12 tengah malam di tiga lokasi iaitu di Lebuh AMJ arah selatan, Lebuh AMJ arah utara dan persimpangan Batu Berendam.
“Dalam operasi malam ini, sebanyak 905 kenderaan termasuk motosikal dan lori diperiksa. Daripada jumlah itu 158 kenderaan diambil tindakan di mana 117 disaman dikeluarkan, manakala sebanyak 181 kesalahan dikesan.

“Malah, kita juga menahan sembilan individu termasuk tiga wanita yang didapati positif dadah. Manakala, sebuah kereta milik wanita berusia 32 disita bersama lapan motosikal atas pelbagai kesalahan,” katanya yang ditemui selepas tamat operasi itu.
Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan dilakukan pengguna jalan raya adalah:

  • tiada lesen memandu (73),
  •  cukai jalan tamat tempoh (23),
  • tidak pamer pelekat P/L (6),
  • cermin gelap/lampu HID (50),
  • nombor pendaftaran (4),
  • tiada perlindungan insurans (23), dan
  •  lain-lain kesalahan (2).

Katanya, dalam operasi yang dianggotai 141 anggota itu juga, PDRM mengeluarkan 17 saman atas pelbagai kesalahan, 37 pengguna jalan raya diperiksa air kencing dan sembilan ditahan, satu saman dikeluarkan SPAD kepada kereta sewa kerana gagal mengemukakan permit dan 11 topi keledar diedar JKJR.

Sumber: Harian Metro, 28 Oktober 2011.

Penduduk Melaka disaran manfaat program SKSJ

JASIN 23 Okt. – Penduduk negeri ini terutama mereka yang menghadapi kesukaran berurusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disaran memanfaatkan penganjuran program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ).

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ismail Ahmad berkata, antara keistimewaan program itu bagi membolehkan orang ramai mendapatkan lesen motosikal dengan cepat melalui ujian khas.

Menurutnya, kemudahan tersebut disediakan khusus untuk warga emas dan masyarakat Orang Asli yang berusia 21 tahun bagi mendapatkan lesen Kelas B2.

”Dalam program SKSJ ini juga, orang ramai boleh terus menyuarakan apa sahaja masalah mereka berkaitan urusan JPJ atau masalah komunikasi yang menyebabkan mereka gagal mendapatkan lesen disebabkan kekurangan pengetahuan mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup program SKSJ Dewan Undangan negeri (DUN) Serkam yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Ghazale Mohamad di sini hari ini.

Ujarnya, usaha itu sejajar dengan objektif pengenalan program SKSJ iaitu membolehkan JPJ berkhidmat terus kepada orang ramai terutama penduduk luar bandar.

Melalui program itu, katanya, pengunjung dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan seperti pemeriksaan motosikal, kaunter bayaran lesen memandu, semakan senarai hitam serta perkhidmatan insurans.

Sementara itu Ismail berkata, kira-kira 1,539 daripada 3,394 kes kesalahan tidak memiliki lesen kenderaan direkodkan di negeri ini melibatkan penunggang motosikal dalam tempoh Januari hingga September lalu.

Setakat Ogos lalu, sebanyak 436 kes kemalangan motosikal dengan 102 kes membabitkan kemalangan maut, 81 cedera parah manakala 253 kes cedera ringan.

Kata Ismail, berbanding sepanjang tahun lalu, kemalangan motosikal ialah sebanyak 798 kes dengan 170 kes maut, 139 kes cedera parah dan 489 kes merupakan kemalangan ringan.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 24 Oktober 2011.

Setelah 33 tahun menunggang tanpa lesen, akhirnya pakcik miliki lesen B2

ASIN 23 Okt. – Sepanjang 33 tahun lalu, Hashim Bakar, 51, sering dilanda kebimbangan ditahan oleh pihak berkuasa setiap kali menunggang motosikal gara-gara tidak memiliki lesen memandu.

Bagi membuang perasaan bersalah itu, Hashim sudah beberapa kali menjalani ujian mendapatkan lesen, namun gagal sehingga mematahkan semangatnya meneruskan usaha tersebut.

Bagaimanapun, dia mencuba sekali lagi menerusi program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam di SK Serkam Darat di sini dan akhirnya hari ini, impian Hashim itu menjadi kenyataan.

Menurutnya, walaupun agak lewat mendapatkan lesen motosikal, dia tetap puas dan tidak perlu bimbang lagi dengan kehadiran pihak berkuasa setiap kali menunggang motosikal.

“Saya amat berterima kasih kepada JPJ kerana memberi peluang kepada orang awam seperti saya mendapatkan lesen walaupun sepanjang tempoh 33 tahun saya tidak pernah dikenakan saman atau kompaun kerana tidak memiliki lesen, namun ia amat penting demi keselamatan diri serta pembonceng,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Hashim antara 324 orang terdiri daripada pelbagai kaum di negeri ini termasuk Orang Asli berusia 21 tahun yang berjaya memperolehi lesen motosikal yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad.

Menurut salah seorang peserta Orang Asli, Emon Senkuang, 45, dari Perkampungan Orang Asli Bukit Raya di sini, dia bertekad mendapatkan lesen tersebut walaupun tidak kerap menunggang motosikal kerana tinggal dalam kawasan kampung.

Pada mulanya saya agak sukar dan tidak memahami peraturan memohon lesen motosikal, namun JPJ banyak membantu saya dan rakan-rakan dalam menyelesaikan masalah komunikasi,” katanya.

Sementara itu menurut K. Suntari, 51, dia amat menghargai keprihatinan JPJ menganjurkan program itu sekali gus membolehkan golongan sepertinya mendapatkan lesen motosikal dengan mudah dan cepat.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 24 Oktober 2011.

Polis keluar 68 saman dalam masa dua jam, remaja 13 tahun antara yang ditahan.

PONTIAN 17 Okt. – Bagi membendung jenayah jalanan khususnya yang melibatkan golongan remaja, polis trafik daerah ini mengadakan operasi membanteras pengguna kenderaan yang menyalahi peraturan lalu lintas di Pusat Perdagangan Pontian di sini semalam.

Hasilnya, dalam operasi selama 2 jam bermula pukul 5 petang yang disertai 14 anggota itu, sebanyak 68 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya telah dikeluarkan.

Pegawai Operasi Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, Inspektor Muhammad Hanif Abd. Rashid berkata, antara kesalahan yang dilakukan adalah memandu tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh, tiada mempunyai cukai jalan, mengubah suai kenderaan serta tidak memakai tali pinggang.

Beliau berkata, semasa operasi tersebut, pihaknya turut menahan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang menunggang motosikal tanpa lesen dan terpaksa memanggil bapanya.

Kami akan mengambil tindakan ke atas penjaga remaja ini kerana membiarkan anaknya yang di bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen,” katanya.

Muhammad Hanif memberitahu, walaupun pelbagai program kesedaran dijalankan, masih terdapat remaja yang ditahan dalam setiap operasi yang dijalankan tidak serik mengulangi kesalahan sama.

Beliau turut meminta ibu bapa mengawasi anak-anak mereka supaya tidak sewenang-wenangnya menunggang motosikal tanpa lesen dan cukai jalan tamat tempoh kerana tindakan seperti itu bukan sahaja membahayakan diri tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 18 Oktober 2011.

Ops JPJ+AADK= 20 motosikal disita, lebih 100 saman dikeluarkan.

JERANTUT 16 Okt. – Sebanyak 20 buah motosikal disita dalam operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Jerantut di Jalan Tahan, di sini kelmarin.

Operasi yang bermula pukul 3 petang itu diketuai Pegawai Penolong Penguat Kuasa JPJ Jerantut, Zunaidi Mohamed Kassim bersama 10 anggotanya manakala AADK pula disertai seramai 20 petugas.

Menurut Zunaidi, sebanyak 180 motosikal dan 120 kereta diperiksa dalam operasi yang dijalankan selama empat jam itu.

Katanya, sebanyak 87 saman dikeluarkan kepada pemandu kerana tidak mempunyai lesen memandu manakala 70 saman lagi dikenakan ke atas pemandu kerana cukai jalan tamat tempoh.

“Kita juga mengeluarkan 10 notis saman kepada pemandu yang mengubahsuai nombor plat pendaftaran kenderaan tanpa mematuhi ukuran ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas berakhir operasi di Jalan Tahan, di sini semalam.

Menurut beliau, operasi berkenaan juga mengenakan tindakan terhadap 15 kereta yang bercermin gelap dan 10 saman ke atas kenderaan diubahsuai tanpa kebenaran JPJ.

Jelasnya, semua saman berkenaan dikeluarkan di bawah peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam operasi berjadual kali ketiga di sini selepas pelaksanaan Ops Sikap pada musim perayaan lepas.

Katanya, pemilik motosikal yang disita akibat cukai jalan yang tamat tempoh melebihi setahun perlu datang ke pejabat cawangan JPJ di situ untuk memperoleh surat pengesahan sebelum memperbaharui cukai jalan motosikal masing-masing.

Katanya, seramai lapan pemandu dan penumpang didapati positif dadah dalam pemeriksaan air kencing yang dilakukan oleh petugas ADDK.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 17 Oktober 2011.

Luar Negara: Akibat melebihi had laju, lesen memandu digantung 6 bulan.

Warga S’pura dilarang memandu di Australia.

SEORANG warga Singapura telah dilarang memandu di jalan-jalan raya Australia selama enam bulan setelah dia ditangkap memandu melebihi had laju ditetapkan di selatan wilayah New South Wales.

Menurut polis, lelaki berusia 38 tahun itu didapati memandu selaju 174 kilometer sejam dalam zon 110 kilometer sejam di Lebuh Raya Hume, dekat Goulburn, tengah hari kelmarin.

Goulburn terletak di antara bandar Sydney dengan ibu kota Australia, Canberra.

Lelaki itu memiliki lesen memandu Singapura.

Beberapa laman berita Australia ditukil sebagai berkata bahawa lelaki berkenaan memberitahu polis Australia bahawa dia baharu lima hari berada di negara kanggaru itu dan tidak mempunyai pengalaman memandu di jalan-jalan raya di negara tersebut.

Australia mengamalkan cara memandu sebelah kanan, sama seperti di Singapura.

Ekoran kesalahan itu, lelaki tersebut diberikan notis saman kerana memandu melebihi 45 kilometer sejam dan hak memandu pelawatnya juga telah digantung selama enam bulan sehingga April depan.

 

Sumber: Cyberita, 17 Oktober 2011.

Pemandu tiada lesen memandu bawa pelajar ke Genting

GENTING HIGHLANDS 15 Okt. – Polis berjaya menghalang seorang lelaki daripada membahayakan nyawa sekumpulan pelajar kolej swasta dengan membawa mereka menaiki bas yang dipandu tanpa lesen dari pusat peranginan Genting Highlands apabila menahannya dalam sekatan jalan raya di sini hari ini.

Semasa ditahan, lelaki terbabit yang tidak memiliki lesen memandu dalam perjalanan mengambil kumpulan pelajar berkenaan dari pusat peranginan itu ke ibu negara.

Dia bagaimanapun tidak sempat mengambil pelajar terbabit malah saman apabila ditahan oleh polis trafik dan polis bantuan Genting Highlands yang menjalankan sekatan dalam Operasi Bersepadu itu.

Bas dipandu oleh lelaki terbabit adalah antara ratusan kenderaan yang diperiksa dalam operasi yang bertujuan mencegah kemalangan jalan raya tersebut.

Penguat Kuasa Operasi Trafik Bukit Aman, Deputi Supritendan Tan Hock Tho berkata, selain mencegah kemalangan, operasi itu juga bagi memastikan kenderaan komersial yang kebanyakannya membawa pelancong mematuhi undang-undang.

“Operasi di tiga lokasi menuju ke pusat peranginan itu menyasarkan pemeriksaan terhadap kenderaan komersial seperti bas persiaran, teksi dan van membawa pelancong. Selain itu, pemilik kenderaan persendirian turut diperiksa,” katanya kepada pemberita selepas selesai operasi tersebut.

Hock Tho berkata, sebanyak 68 saman pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk tiada cukai jalan dikeluarkan dalam operasi selama tiga jam bermula 10.45 pagi itu.

Tambahnya, operasi tersebut akan diteruskan sehingga esok bagi memastikan pemandu kenderaan mematuhi peraturan lalu lintas.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 16 Oktober 2011.

SKSJ di Melaka: 324 warga emas dapat lesen motosikal

MELAKA 12 Okt. – Seramai 324 warga emas dengan yang paling tua berusia 73 tahun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam di sini, bakal memperoleh lesen motosikal kelas B2.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Ghazale Mohamad berkata, turut menerima lesen motosikal melalui program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) ialah 14 masyarakat Orang Asli yang berumur 21 tahun ke atas.

Menurutnya, kesemua mereka tidak mempunyai lesen motosikal kelas B2 atas beberapa sebab tetapi melalui program SKSJ Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, ia memudahkan mereka untuk memiliki lesen yang sah.

“JPJ telah mengadakan latihan dan ujian ke atas masyarakat bukan sahaja dari DUN Serkam tetapi juga dari Merlimau, Jasin dan bandar raya ini bagi memudahkan mereka yang berusia 45 tahun ke atas memiliki lesen motosikal sah.

“Segalanya berjalan lancar dan mereka yang sebelum ini menunggang motosikal tanpa lesen kini sudah memiliki lesen yang sah atas bantuan JPJ,” katanya di Seri Negeri di sini, hari ini.

Ghazale yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri berkata, kesemua peserta terbabit telah melalui kelas pendidikan pemandu (KPP), ujian bertulis dan ujian memandu yang dikendalikan JPJ di Serkam sejak Ogos lalu.

Beliau menambah, usaha yang dijalankan oleh JPJ adalah sebahagian daripada aktiviti sempena Program SKSJ yang akan berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat, Jasin dekat sini dari 22 hingga 23 Oktober ini.

Program ini dianjurkan bertujuan mendekatkan lagi masyarakat di DUN Serkam dengan JPJ selain memberi kemudahan dalam sebarang urusan berkaitan dengan agensi itu,” katanya.

Jelasnya, orang ramai juga berpeluang membuat pembaharuan lesen memandu, cukai jalan kenderaan, mengganti lesen kenderaan motor dan membuat semakan senarai hitam JPJ serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, beberapa aktiviti akan diadakan sempena program tersebut iaitu senamrobik, sukan rakyat, pertandingan mewarna, forum perdana dan pameran yang membabitkan 26 agensi lain.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 13 Oktober 2011.

JPJ saman 20 pesalah lalu lintas, termasuk warga asing.

SEREMBAN 1 Okt. – Seramai 20 pesalah jalan raya di daerah ini disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi ‘Ops Khas’ di sekitar kawasan Kolej Antarabangsa INTI, Nilai dekat sini semalam.

Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah memberitahu, daripada jumlah itu, seramai empat pelajar asing warga Afrika turut dikenakan saman.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memiliki lesen memandu, tiada cukai jalan dan tiada pelindungan insurans.

“Dalam operasi itu, kami mengeluarkan sebanyak 41 saman ke atas pemandu yang melakukan kesalahan teknikal termasuk menggunakan cermin gelap.

“Pada masa yang sama, empat buah kereta dan lapan buah motosikal turut disita dalam operasi itu. Sebanyak 36 buah kenderaan pula diarah melakukan pemeriksaan di JPJ negeri,” katanya di sini semalam.

Saiful Azzri berkata, operasi itu melibatkan seramai 70 anggota JPJ negeri bermula kira-kira pukul 4 hingga 7 petang bertujuan memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang lalu lintas.

Katanya lagi, kesemua kesalahan itu disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 2 Oktober 2011.