Kematian akibat kemalangan menurun dalam Ops Aidilfitri 2014.

MELAKA 6 Ogos – Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di negeri ini yang dicatatkan sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menurun sebanyak 40 peratus atau enam kematian berbanding tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Lim Ban Hong berkata, dari tempoh 21 Julai hingga 5 Ogos lalu sembilan kematian dicatatkan dalam lapan kemalangan maut berbanding 15 kematian dalam 11 kemalangan maut pada operasi sama tahun lalu.

Menurutnya, jumlah mangsa yang mengalami cedera parah juga menurun sebanyak 10 peratus dari 10 orang pada tahun lalu kepada sembilan orang tahun ini.

”Bagaimanapun, jumlah kemalangan yang dicatatkan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri tahun ini meningkat sebanyak 9.1 peratus kepada 789 kes berbanding 723 kes tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Operasi Penguatkuasaan Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2014 di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Semabok, di sini malam tadi.

Yang hadir sama Pengarah JPJ negeri, Azaharuldin Abdullah, Setiausaha Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Melaka, Ong Tai Chu dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, M. Shantini.

Jelas Ban Hong, sempena musim perayaan tahun ini juga, terdapat pertambahan sebanyak 8,189 buah kenderaan memasuki Melaka dari 25 hingga 29 Julai di mana ia dikenal pasti antara punca peningkatan jumlah kemalangan sepanjang tempoh operasi.

Justeru katanya, jawatankuasa pengangkutan negeri bersama jabatan-jabatan terlibat akan meneruskan strategi menjalankan penguatkuasaan lebih ketat selain memperhebatkan penguatkuasaan melalui program kesedaran dan pendidikan.

”Diharapkan kedua-dua cara ini dapat dijalankan serentak untuk meningkatkan kesedaran mementingkan keselamatan di jalan raya di kalangan pemandu dan pengguna lalu lintas,” tegasnya.

Sementara itu tambah beliau, sepanjang tempoh operasi berkenaan juga, sebanyak 5,242 buah kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa oleh JPJ di mana 377 saman dikeluarkan manakala 364 kenderaan diambil tindakan.

Kesalahan paling banyak dicatatkan ialah TIDAK mempunyai lesen memandu yang sah iaitu sebanyak 157 kes, tidak mempunyai cukai jalan (75 kes), nombor pendaftaran tidak mengikuti spesifikasi dibenarkan (33 kes) serta lain-lain kesalahan termasuk ubah suai kenderaan, cermin gelap, tiada insurans dan memandu bawah umur,” jelasnya.

Operasi yang dijalankan bermula pada pukul 9 malam itu melibatkan 198 anggota penguat kuasa termasuk dari JPJ, MKJR, JKJR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Sumber: Utusan Malaysia, 7 Ogos 2014.

Warga emas cuai memandu dipenjara 48 bulan, denda RM10,000.

KUALA LUMPUR 11 Julai – Seorang lelaki warga emas dihukum penjara 48 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang, dekat sini atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga mengorbankan sepasang suami isteri dan dua sepupu mereka dalam satu kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Bukit Antarabangsa tahun lalu.

Majistret Noor Farah Hazwani Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap Masrufi Sain, 67, yang be­kerja sebagai buruh binaan selepas mengubah pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan itu hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tiga tahun bermula hari ini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ketika memandu kereta Proton Satria secara cuai dan tanpa pertimbangan yang munasabah menyebabkan kemalangan yang mengakibatkan pemandu kereta Perodua Viva dan tiga penumpangnya terbunuh di MRR2, Bukit Antarabangsa di sini kira-kira pukul 5.40 petang, 19 Mei 2013.

Mereka yang terkorban dalam kejadian itu ialah pemandu kenderaan tersebut, Hasbullah Abdul Ghani, 26, isterinya, Nurul Intan Syahida Nordin, 22, sepupu Hasbullah, Tengku Ahmad Faiz Tengku Mohmad, 28, dan Asma Ismail, 23.

Pendakwaan terhadap Masrufi dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua tahun hingga 10 tahun atau denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000.

Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Masrufi memohon agar dia dikenakan hukuman yang ringan atas alasan faktor usia dan sering sakit.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, tertuduh yang memandu kereta Proton Satria dalam perjalanan dari Bukit Antarabangsa ke MRR2 dan menuruni bukit sebelum kereta tersebut merempuh pembahagi jalan ketika memasuki laluan bertentangan lalu melanggar kereta Perodua Viva yang dinaiki keempat-empat mangsa, kemudian kenderaan itu turut dilanggar kereta Suzuki Swift.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Purnima manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sementara itu, ibu kepada Nurul Intan Syahida, Wan Lili Marsila Wan Jaafar, 45, berkata, sehingga kini dia sukar untuk menerima kenyataan bahawa anak keduanya itu sudah tiada.

“Walaupun saya reda menerima ketentuan Tuhan, namun susah hendak saya gambarkan apabila kehilangan anak sekelip mata. Namun, kami sekeluarga tetap lega kerana semuanya berakhir dengan baik apabila tertuduh menerima hukuman sepatutnya hari ini,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Akhbar sebelum ini melaporkan keempat-empat mangsa itu terbunuh dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan, dipercayai berpunca daripada kegagalan brek kereta Proton Satria berfungsi dalam kejadian itu.

Pemandu dan tiga penumpang kereta Perodua Viva itu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala manakala sekurang-kurangnya tiga lagi penumpang kenderaan lain cedera.

Hasbullah dan isterinya, Nurul Intan Syahida yang duduk di bahagian penumpang depan putus kepala akibat terkena kabel penghadang jalan.

Sumber: Utusan Malaysia, 12 Julai 2014.

PPIM: Ujian memandu secara ICT wajar dilaksana.

KUALA LUMPUR 8 Julai – Pelbagai pihak mengalu-alukan langkah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan sistem ujian lesen memandu secara teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi mengurangkan kemungkinan penyelewengan dalam kalangan anggota agensi itu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya juga percaya langkah tersebut akan dapat memastikan hanya pemohon lesen yang benar-benar lulus ujian sahaja memandu di atas jalan.

“Walaupun sistem itu akan menyebabkan kesukaran kepada pemohon untuk lulus, kaedah tersebut dapat membendung kemalangan jalan raya.

Biar sedikit serta sukar mendapat lesen asalkan bernilai untuk keselamatan diri sendiri mahupun orang lain. Tambahan pula, semua pemohon perlu mengikuti kursus dan latihan memandu dalam tempoh yang panjang supaya lesen itu tidak diperoleh dengan mudah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad baru-baru ini, berhubung pengenalan sistem baharu untuk mendapatkan lesen memandu kenderaan yang akan dikawal selia secara ICT mulai tahun depan.

Menurut Ismail, sistem itu sedang dibangunkan, sekali gus akan menambah baik sistem pengujian sedia ada yang diperkenalkan di institut memandu iaitu pegawai JPJ hanya memainkan 40 peratus peranan bagi menentukan sama ada seseorang calon itu gagal atau lulus manakala 60 peratus lagi ditentukan menerusi sistem berkenaan.

Utusan Malaysia dalam laporan khas pada 13 Julai 2011, menyatakan satu kurikulum memandu baharu akan dilaksanakan JPJ bertujuan mengurangkan kadar kemalangan yang tinggi di dalam negara.

Bekas Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Solah Mat Hassan berkata, pelaksanaan itu yang tertangguh sebelum ini hanya menunggu masa untuk dilaksanakan bergantung pada persediaan pihak industri latihan terlibat.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna (PKP) Kuala Lumpur, Samsudin Mohamad Fauzi turut menyokong pelaksanaan sistem ujian baharu itu kerana dapat mengurangkan penyelewengan dalam kalangan pegawai JPJ.

“Sistem ini lebih baik tetapi pemantauan berterusan masih perlu dilakukan terhadap anggota dan pegawai JPJ,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia,9 Julai 2014.

Dari Akhbar: Mata Demerit serta merta mulai 2008

Berita Harian, 11 Disember 2007

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menguatkuasakan pindaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, untuk membolehkan pesalah trafik yang melakukan kesalahan mengikut 18 kategori dalam sistem Keselamatan Jalan Raya (Kejara) dikenakan mata demerit serta-merta, awal tahun depan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ahmad Mustapha Abdul Rashid, berkata pindaan akta yang bertujuan memantapkan penguatkuasaan itu kini pada peringkat akhir semakan oleh pejabat Peguam Negara.

Beliau berkata, keberkesanan sistem Kejara perlu dipertingkatkan untuk memastikan semua pemandu sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, sekali gus sebagai satu daripada usaha mengurangkan kemalangan maut.

“Kita sedang menunggu keputusan pejabat Peguam Negara yang kini sudah sampai ke peringkat terakhir. Kita harap boleh menguatkuasakan pindaan akta mengenai sistem Kejara berkenaan pada tahun depan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, pindaan akta berkaitan sistem Kejara dibuat untuk memastikan semua pesalah trafik yang melakukan kesalahan berat dikenakan tindakan tegas, termasuk tidak dibenarkan memperbaharui, digantung atau ditamatkan lesen memandu mereka.

Menerusi pindaan itu, beliau berkata, rekod mata Kejara akan dimasukkan ke dalam pangkalan maklumat JPJ sebaik saja saman dikeluarkan dan mereka akan berdepan masalah memperbaharui lesen jika melepasi had mata demerit yang ditetapkan.

“Kita sudah lama berbincang dengan Peguam Negara untuk meminda akta JPJ bagi memantapkan pelaksanaan sistem Kejara supaya pemandu kenderaan akan mempunyai kesedaran dan berhati-hati.

“Jumlah kenderaan semakin bertambah setiap tahun, tetapi kesedaran pemilik kenderaan terhadap keselamatan jalan raya masih rendah. Apabila denda dan penalti begini dikenakan mungkin tahap kesedaran mereka boleh berubah,” katanya.

Antara kesalahan yang dikenakan mata demerit ialah memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dikenakan (15 mata), memandu melulu atau membahayakan (15 mata), memandu tidak cermat dan tidak bertimbang rasa (15 mata) serta cuai mengawal kenderaan (lapan mata).

Sebelum ini, pelbagai pihak mempertikaikan keberkesanan sistem Kejara kerana kaedah sedia ada menetapkan mata demerit akan dimasukkan ke dalam pangkalan data JPJ hanya apabila pemandu disabitkan oleh mahkamah atau selepas membayar denda bagi kesalahan yang dilakukannya.

Akhbar ini turut melaporkan pemandu bas ekspres yang maut dalam nahas yang mengorbankan 22 nyawa di Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Bukit Gantang, Taiping, Perak pada 13 Ogos lalu, tidak mempunyai rekod mata demerit, walaupun dia memiliki 15 saman trafik dan dua waran tangkap.