Dari Akhbar: Pusat latihan pemandu komersial diperbanyak.

RAWANG: Kerajaan akan membina pusat latihan untuk melatih semula pemandu komersial, terutama kenderaan berat di seluruh negara secara berperingkat mulai tahun ini dalam usaha mengurangkan risiko serta menangani kemalangan maut.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy, berkata perkara itu adalah antara elemen yang terkandung dalam enam langkah yang dirangka kerajaan untuk dilaksanakan bagi menjamin keselamatan pengangkutan awam, terutama bas ekspres.

“Buat masa ini, hanya satu pusat latihan di Sepang mengendalikan kursus kecekapan tambahan untuk 40,000 pemandu komersial setahun dan ini tidak mencukupi untuk melatih semua pemandu komersial di seluruh negara.
“Kerajaan juga berpendapat tiba masanya semua pihak memandang serius mengenai kemalangan maut dan berusaha menanganinya supaya risiko kemalangan dapat diturunkan.

“Kita juga akan menyepadukan dan mempertingkatkan latihan untuk pemandu komersial untuk melahirkan pemandu yang berhemah dan berdisiplin,” katanya selepas melancarkan Pusat Pembelajaran Berinternet, di Wisma MCA, di sini, semalam.

Ogos lalu, kerajaan mengumumkan enam langkah segera untuk dilaksanakan serta-merta bagi menjamin keselamatan pengangkutan awam, terutama bas ekspres antaranya untuk melaksanakan kursus kecekapan tambahan untuk pemandu kenderaan komersial.

Dari Akhbar: Notis perbaharui lesen memandu melalui pos, SMS atau emel mulai bulan depan

KUALA LUMPUR: Pemilik lesen memandu akan menerima notis peringatan pembaharuan lesen melalui pos, SMS atau e-mel mulai 1 Februari depan jika mereka mengemaskini butiran diri, termasuk alamat rumah, nombor telefon bimbit dan alamat emel dengan segera.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Zakaria Bahari, berkata jika pemilik lesen gagal berbuat demikian, notis peringatan hanya dihantar melalui pos ke alamat terakhir pemegang lesen atau pemilik kenderaan berdasarkan maklumat di pangkalan data JPJ.

“Orang ramai yang mahu mendapatkan perkhidmatan notis peringatan itu mulai bulan depan perlu menghubungi pejabat JPJ berhampiran segera bagi memperbaharui rekod alamat terkini serta memberitahu alamat emel dan nombor telefon bimbit mereka .

“Jika tidak notis peringatan hanya dihantar melalui pos ke alamat terakhir mereka. Bagaimanapun, perkhidmatan notis melalui SMS dan e-mel akan dimulakan secara berperingkat disebabkan penambahan maklumat baru di pangkalan data sedia ada akan mengambil sedikit masa untuk diproses,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ahmad Mustapha Abdul Rashid, dalam satu kenyataan berkata notis makluman awal yang mula dihantar mulai Rabu lalu adalah sebahagian daripada usaha kementerian memantapkan sistem penyampaian.

“Projek perintis bagi operasi ini dilaksanakan 28 Februari tahun lalu tetapi hanya membabitkan pemegang lesen memandu kompeten (CDL) dan LKM Perdagangan sekitar Lembah Klang. Projek ini mendapat sambutan dan diperluaskan ke Perak, Johor serta Pulau Pinang,” katanya.

Sumber: Berita Harian, 19 Januari 2008.

Dari Akhbar: Polis tak boleh saman jika pemandu tunjuk Mykad sahaja.

KUALA LUMPUR: Polis tidak boleh menyaman pemandu kenderaan yang hanya mengemukakan MyKad dan bukan lesen memandu ketika diperiksa jika anggota berkenaan tidak mempunyai alat pembaca butiran kad berteknologi tinggi itu bagi mengelak salah faham.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Hamza Mat Taib, berkata beliau pernah beberapa kali menegur anggotanya yang menyaman pemandu tanpa menggunakan alat pembaca MyKad.

Bagaimanapun, katanya itu tidak bermakna anggotanya langsung tidak boleh menyaman pemandu jika mereka melakukan kesalahan lain kerana mereka masih boleh meneliti aspek lain termasuk cukai jalan dan menyaman kesalahan yang jelas seperti melanggar peraturan lampu isyarat, memotong garisan berkembar dan kesalahan meletak kenderaan.
“Alasannya cukup mudah, semua maklumat lanjut ada di dalam MyKad. Bagi saya, ia cukup senang, kalau tak ada alat pembaca kad, jangan saman… buat apa nak pertikaikan kerana semua sudah ada di dalam cip itu.

“Jika kita tidak mempunyai pembaca kad itu, buat apa nak bertekak dengan pengguna jalan raya sedangkan kita mempunyai pilihan lain. Itu boleh dikecualikan kerana kita mempunyai pilihan,” katanya kepada Berita Minggu.

Pada Jun 2007, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Najib Abd Aziz mengumumkan kira-kira 70 peratus daripada 90,000 anggota polis dilengkapi alat pembaca butiran MyKad dan sudah menerima 66,230 alat berkenaan.

Alat itu mampu meningkatkan keupayaan dan keberkesanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan MyKad palsu yang dimiliki rakyat asing dan pasukan itu merancang membekalkannya kepada 90 peratus anggota dan pegawai.

Mengenai penggunaan alat pembaca MyKad untuk anggota trafik, Hamza berkata, ketika ini 60 peratus daripada kira-kira 4,500 pegawai dan anggotanya sudah dilengkapi kemudahan itu.

“Kami jangka semua anggota akan menerima alat itu tahun ini dan ketika ini, semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sudah memilikinya. Jika menggunakan alat ini, tugasan lebih mudah, selaras penggunaan teknologi diperkenalkan kerajaan,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga sedang menguji pakai sejenis alat pembaca kad khas berteknologi tinggi dikenali sebagai ‘tricube’ yang membolehkan anggotanya terus menyemak data peribadi individu kerana ia dihubungkan terus dengan data sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Katanya, menerusi penggunaan alat canggih itu, semua data termasuk senarai saman, waran tangkap, individu dikehendaki polis boleh disemak serta merta di lokasi tempat operasi.

“Kita sudah uji dan menggunakannya untuk pasukan peronda di semua lebuh raya dan ia sangat berkesan. Cuma ada beberapa aspek yang perlu dibaiki misalnya untuk mengatasi masalah mendapatkan isyarat pemancar terdekat,” katanya.