Pindaan Akta Pengangkutan Jalan berkuatkuasa 1 Feb. 2011

CYBERJAYA 17 Jan. – Pindaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 akan dikuatkuasakan mulai 1 Februari ini sekali gus membolehkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan terhadap pesalah lalu lintas di semua jalan termasuk jalan kampung dan tempat meletak kenderaan bertingkat.

Di bawah pindaan yang sama, JPJ berkuasa menggantung lesen memandu secara dalam talian sekiranya seseorang pemandu mengumpul sistem mata Kesalahan Jalan Raya (Kejara) lebih daripada 15 mata.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, apabila dikuatkuasakan nanti, pertikaian mengenai kegagalan pemandu menerima saman juga dapat dielakkan kerana pemandu diwajibkan mengemas kini alamat mereka dengan JPJ dalam tempoh dua bulan selepas berpindah rumah.

”Pindaan ini akan membawa pelbagai faedah termasuk memberi kuasa penguatkuasaan kepada JPJ sekiranya berlaku kemalangan di kawasan off-road seperti di tempat meletak kenderaan bertingkat.

”Pindaan akta mengenai kereta elektrik bagaimanapun belum dapat dilaksanakan pada Februari ini kerana terdapat soal teknikal yang perlu diselesaikan, ini termasuk bagaimana menentukan kadar cukai jalannya” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Pusat Data JPJ di sini hari ini.

Pindaan APJ 1987 yang telah diluluskan oleh Dewan Negara pada 22 Disember lalu membolehkan JPJ menguat kuasa di semua jalan termasuk jalan di ladang, kebun, kampung serta kawasan perumahan.

Ia turut membolehkan pemilik kenderaan yang gagal memaklumkan pertukaran alamat kepada jabatan itu dalam tempoh dua bulan dikompaun RM300.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, pindaan akta tersebut selepas dilaksanakan akan memudahkan JPJ menggantung lesen memandu pesalah trafik.

”Sebelum dipinda, pemandu yang mengumpul mata Kejara perlu menyerahkan lesen memandu mereka secara fizikal.

Pindaan akta ini bagaimanapun membenarkan JPJ menggantung lesen memandu berkenaan secara dalam talian, surat makluman pula akan dihantar ke alamat pemandu.

Pegawai penguat kuasa akan dibekalkan dengan alat khas yang mampu mengesan sama ada lesen memandu yang dipegang itu masih sah atau telah digantung,” katanya.

Solah memberitahu, pindaan APG 1987 turut memberi kebaikan kepada pesalah trafik yang menjelaskan kompaun dalam tempoh dua bulan di mana mata Kejara mereka tidak akan ditolak.

Malah, jelasnya, pindaan APG 1987 turut membolehkan perkongsian data antara semua agensi penguat kuasa secara masa nyata (real time).

”Pada masa ini mungkin berlaku pertembungan data antara JPJ dengan polis di mana satu saman mungkin telah dilangsaikan dalam pangkalan polis tetapi ia masih ada di dalam pangkalan JPJ.

”Melalui perkongsian data secara masa nyata, masalah ini dapat dielakkan dan JPJ akan berkongsi data dengan semua agensi penguatkuasaan termasuk polis, Jabatan Alam Sekitar dan juga Imigresen,” katanya.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 18 Januari 2011.

Lagi 464 termasuk Orang Asli dapat lesen motosikal kelas B2 melalui SKSJ

ALOR GAJAH 10 Jan. – Seramai 464 orang termasuk Orang Asli sekitar Lendu di sini yang sebelum ini tidak mempunyai lesen motosikal gembira setelah memperolehnya daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Mereka memperoleh lesen itu selepas menduduki ujian lesen kelas B2 dalam program Satu Komuniti Satu JPJ Dewan Undangan Negeri Lendu 2010/2011 di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah di sini.

Program mendapatkan lesen bagi kelas motosikal tidak melebihi 250cc itu bagaimanapun hanya dihadkan kepada warganegara berumur 45 tahun ke atas saja.

Salah seorang peserta program tersebut, J. Lachmi, 59, berkata, dia tertarik menyertai program tersebut kerana ia memberi kelonggaran kepadanya untuk menduduki ujian undang-undang dan ujian memandu.

“Saya diberitahu, program sebegini memberi sedikit kelonggaran kepada peserta untuk lulus bagi mendapatkan lesen memandu sah daripada JPJ.

“Jadi saya merasakan peluang sebegini tidak harus dilepaskan kerana jika menduduki ujian seperti orang lain, belum pasti saya boleh lulus,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Majlis simbolik penyerahan lesen pada program itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna negeri, Datuk R. Perumal pada perasmian penutupan program itu, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad, Pengarah JPJ negeri, Mohd. Fadhil Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Idderis Kassim.

Bagi peserta Orang Asli, P. Rosni, 43, berkata, dia mula menunggang motosikal tanpa lesen sejak 2007 dan tidak mengambil lesen kerana tidak tahu membaca.

“Terus terang saya katakan, saya tidak tahu membaca jadi bagaimana saya hendak menduduki ujian bertulis lesen memandu.

“Sebab itu saya terus mendaftar sebaik sahaja mendapat tahu JPJ mengadakan kempen memudahkan warga emas memperoleh lesen. Kini, saya bebas bergerak ke mana saja tanpa rasa takut,” katanya.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 10  Januari 2011.

 

Nak tahu berapa ramai memandu tanpa lesen?

ALOR GAJAH 10 Jan. – Kerajaan negeri menyasarkan untuk mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya kepada dua kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar pada 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna negeri, Datuk R. Perumal berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri akan meningkatkan pelbagai kempen kesedaran bagi mencapai sasaran tersebut.

Pada masa sama kata beliau, tumpuan turut diberikan pada penguatkuasaan undang-undang dan kerja memperbaiki kawasan yang kerap berlaku kemalangan bakal dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Namun begitu, sasaran ini akan sukar dicapai sekiranya masyarakat tidak memberi kerjasama sepenuhnya seperti menyertai kempen-kempen yang diadakan.

“Kempen walaupun nampak mudah, ia memberi kesan mendalam terutama kepada penunggang dan pembonceng motosikal yang menjadi kumpulan tertinggi terbabit dalam kemalangan jalan raya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutupan Program Satu Komuniti Satu JPJ Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di sini semalam.

Perumal memberitahu, sepanjang tempoh Januari hingga November tahun lalu ( 2010) , seramai 4,605 pengguna jalan raya dikenakan tindakan mahkamah kerana memandu tanpa lesen.

“Daripada jumlah itu, 1,215 membabitkan saman kepada penunggang motosikal juga kerana kesalahan yang sama.

“Selain itu, saya difahamkan masih ramai golongan warga emas di negeri ini tidak mempunyai lesen memandu yang sah walaupun sudah bertahun menunggang motosikal,” ujarnya.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 10 Januari 2011.

 

119 saman dalam Ops Tahun Baru

SHAH ALAM 2 Jan. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengeluarkan sebanyak 119 saman melibatkan pelbagai kesalahan dalam Ops Ambang Tahun Baru di Plaza Tol Batu 3 di sini semalam.

Sebanyak 374 kesalahan dikesan termasuk tidak mempunyai lesan memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada insurans, dua kes langgar syarat permit, cermin gelap, lesen memandu perdagangan palsu dan ubah suai kenderaan tanpa kebenaran.

Pengarah JPJ Selangor, Yusoff Ayob berkata, operasi yang bermula pukul 8 malam hingga pukul 1 pagi itu turut menyita 11 buah kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan serius.

Menurut beliau, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah pemandu tidak mempunyai lesen iaitu sebanyak lima kes dengan tiga daripadanya pemandu bawah umur dan dua warga asing.

“Enam kenderaan disita kerana cukai jalan tamat tempoh lebih satu bulan selain dua buah dua motosikal turut dikenakan tindakan sama.

“Semua kenderaan itu akan dibawa ke ibu pejabat JPJ Selangor bagi dituntut oleh pemilik berdaftar setelah semua saman diselesaikan,” katanya.

Yusoff berkata, JPJ akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa bagi mendidik pengguna agar mematuhi peraturan.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 3 Januari 2011.

 

Ops Ambang Tahun Baru kutip 203 saman pelbagai kesalahan trafik di Ipoh

POH — Polis Trafik Ipoh mengeluarkan 203 saman kerana 206 kesalahan ke atas pemandu pelbagai kenderaan dalam Ops Ambang Tahun Baru 2011 bermula 6 petang 31 Disember 2010 hingga 7 pagi 1 Januari 2011.

Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, DSP Mohd. Rodzi Rejab berkata, antara kesalahan yang dilakukan oleh pemandu terbabit ialah :

  • tidak memiliki lesen memandu (36),
  • cukai jalan tamat tempoh (16),
  • tidak mempunyai insurans (2),
  • lesen memandu tamat tempoh (12),
  • mengubah suai ekzos (5),
  • tidak meletakkan huruf L dan P (37).

Selain itu,

  • kesalahan melanggar lampu merah (3),
  • tidak memakai topi keledar (1),
  • nombor pendaftaran diubah suai (34) dan
  • meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan (26)
  • serta kesalahan lain.

Dalam operasi itu, polis turut menahan 10 orang, termasuk seorang wanita kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Rodzi berkata, kesemua mereka dibebaskan selepas diambil keterangan selain ikat jamin polis.

Lebih 100 anggota membabitkan polis, Rela dan Jabatan Pengangkuan Jalan terbabit dalam operasi itu yang diadakan di Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Raja Musa Aziz dan Jalan Raja Nazrin Shah. — Bernama, 1 Januari 2011.