Polis tahan 111 motosikal dalam Ops Samseng Jalan Raya di Kuala Kedah, termasuk 15 remaja perempuan.

KUALA KEDAH: Polis menahan 111 motosikal dalam Ops Samseng Jalan Raya di Kampung Padang Garam, Kota Marina, Kuala Kedah dekat sini, semalam.

Operasi yang bermula jam 3 petang dan berakhir kira-kira 11 malam diketuai Ketua Polis Trafik Kota Setar, Deputi Superintendan Jamil Ahamed, menahan 132 remaja berusia lingkungan 14 dan 21 tahun termasuk 15 remaja perempuan yang terlibat dalam aktiviti merempit.

Ketua Polis Kedah, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, 86 motosikal disita kerana penunggangnya melakukan pelbagai kesalahan seperti pengubahsuaian kenderaan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

“Kita bebaskan 25 motosikal yang mempunyai lesen memandu, cukai jalan selain motosikal mereka tidak diubah suai, selain ujian air kencing negatif,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, polis turut menahan empat remaja lelaki yang positif dadah.

Tinjauan ketika operasi malam tadi mendapati ibu bapa remaja yang ditahan menunggu di luar pagar Balai Polis Kuala Kedah untuk melihat kelibat anak masing-masing sebelum membawa mereka pulang.

Kesemua remaja terbabit kemudian dibebaskan selepas menjalani ujian air kencing manakala motosikal yang disita akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar. – BERNAMA, 17 September 2012.

22 pelajar antara 250 yang ditahan merempit.

PULAU PINANG 9 Sept. – Lebih 250 mat rempit termasuk 22 pelajar yang menyertai perlumbaan haram sambil melakukan aksi-aksi berani mati ditahan dalam ‘Ops Samseng Jalanan’ oleh pihak berkuasa di Bukit Gambir di sini awal pagi ini.

Operasi selama enam jam yang bermula pukul 12 tengah malam itu melibatkan anggota dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Wan Aziz Wan Husin berkata, operasi itu dibuat hasil maklumat awam dan risikan pihaknya setelah mengenal pasti lokasi trek lumba haram yang sering menjadi tumpuan mat rempit di kawasan itu setiap malam minggu.

Wan Aziz berkata, sebanyak 90 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya menunggang tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai ekzos dan enjin serta nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi.

“Polis turut menyita 14 buah motosikal, manakala pihak JPJ dan JAS pula mengeluarkan 14 saman kerana pelbagai kesalahan dalam ops ini. Juga, seramai lapan orang ditahan AADK kerana ujian air kencing mereka didapati positif dadah,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak menonton aksi mat rempit kerana selain tidak berfaedah ia boleh membahayakan keselamatan mereka.

“Kehadiran penonton di bahu-bahu jalan seakan-akan menyokong tindakan mereka dan ini membuatkan mat rempit ini semakin berani menunggang secara berbahaya,” kata beliau.

Wan Aziz turut memberi amaran akan mengadakan operasi seperti itu bukan hanya di lokasi-lokasi panas tetapi semua kawasan yang dikenal pasti menjadi lubuk mat rempit.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 10 September 2012.

Apa kata pengguna: Haramkan remaja bawah umur tunggang motosikal

Laporan kemalangan jalan raya membabitkan pelajar sekolah menunggang motosikal sering mengundang persoalan, apakah tidak ada cara untuk mengatasi kejadian sepatutnya dapat dielakkan. 

Mencegah lebih baik daripada mengubati yang sering kita ungkapkan nampaknya gagal membantu kita mencari langkah pencegahan mengatasi permasalahan yang rasanya akan terus mempengaruhi statistik kemalangan jalan raya.

Mengharamkan penggunaan motosikal ke sekolah dalam kalangan pelajar bawah 18 tahun serta mengenakan tindakan tegas termasuk penjara kepada ibu bapa yang ingkar dan merampas motosikal adalah satu tindakan yang difikirkan perlu.

Penunggang motosikal termasuk pelajar sekolah tidak memakai topi keledar, menunggang dalam keadaan bahaya, membonceng melebihi dua orang dan penunggang motosikal dalam kalangan kanak-kanak berusia 10 tahun adalah pemandangan ‘terlalu biasa’ bagi kita.

Remaja bawah umur tak cukup matang

Tindakan sesetengah ibu bapa yang membenarkan anak masih muda menunggang motosikal adalah tidak bertanggungjawab. Remaja bawah umur tidak cukup matang untuk menunggang dengan selamat apatah lagi mereka yang tidak mendapat latihan daripada pihak berkuasa.

Tambahan pula terdapat segelintir pengguna jalan raya yang tidak berhati-hati dan memandu mengikut nafsu.
Walaupun perkara ini sudah banyak kali dibangkitkan termasuk cadangan mengeluarkan lesen hanya untuk yang berumur sekurang-kurangnya 18 tahun, mewajibkan penggunaan topi keledar untuk semua peringkat umur dan mengembalikan perkhidmatan bas sekolah, namun semua tidak diberi perhatian serius.

 

Syor tindakan tegas

Oleh itu, mengharamkan penggunaan motosikal ke sekolah dalam kalangan pelajar bawah 18 tahun serta mengenakan tindakan tegas termasuk penjara kepada ibu bapa yang ingkar dan merampas motosikal adalah satu tindakan yang difikirkan perlu.

Pihak berkuasa tempatan perlu mengenal pasti laluan berisiko tinggi di kawasan masing-masing dan meletakkan tanda amaran perlahan walaupun bukan di depan sekolah. Banyak lagi kawasan berbahaya yang sering berlaku kemalangan turut wajar diberi perhatian.

Undang-undang yang sudah ada perlu dikuatkuasakan sepenuhnya bukan sekadar menghiasi dada akhbar.

Semua pihak seperti remaja, ibu bapa, guru, polis dan seluruh masyarakat mesti bekerjasama sekiranya kita ingin melihat perubahan. Sampai bila kita hendak melihat sebelah mata? Berapa banyak lagi yang perlu menjadi korban akibat sikap lepas tangan kita.

Siti Mariam Che Tam,
Air Hitam, Kedah.

 

Artikel disiarkan dalam Berita Harian, 3 September 2012.

Kamera automatik kesan pesalah trafik bermula hari ini.

Kuala Lumpur: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mula beroperasi tengah malam tadi (23 September 2012) di 14 ‘lokasi maut’ bagi mengesan pesalah lalu lintas yang memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata bagi fasa pertama AES, sebanyak 14 kamera dipasang di beberapa lokasi yang dikenal pasti di Perak, Selangor,Putrajaya dan Kuala Lumpur. 

JPJ akan keluar notis temu siasat pesalah Op Selamat hujung bulan ini.

PUTRAJAYA 6 Sept. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mula mengeluarkan notis temu siasat para pesalah trafik yang didapati melakukan pelbagai kesalahan lalu-lintas sepanjang Op Selamat 2012 akhir bulan ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, mana-mana pesalah trafik yang ingkar hadir di mana-mana pejabat JPJ terdekat akan disenaraihitamkan.

“Notis itu bukan saman tetapi ia penting bagi membolehkan pihak JPJ mengenal pasti siapakah individu memandu kenderaan ketika kesalahan itu dilakukan.

“Sebab itulah, kami mahu pemilik kenderaan tersebut hadir untuk disiasat bagi mengelakkan sebarang ketidakadilan bila saman dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penutupan Op Perayaan dan sambutan Aidilfitri JPJ di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, JPJ negeri Perak dipilih sebagai Pasukan Penguat Kuasa JPJ Negeri Terbaik sempena Op Selamat 2012.

Anugerah tersebut diterima oleh Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Perak, Abdul Aziz Malik.

Menurut Solah, sepanjang Op Selamat yang bermula 12 hingga 26 Ogos lalu, 5,487 kes kesalahan trafik telah dikesan oleh JPJ.

Beliau berkata, ia membabitkan kegagalan mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu kenderaan berat di lorong laju dan memandu di lorong kecemasan.

Turut dikesan, katanya, kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang keledar hadapan/belakang, tidak memakai topi keledar dan lain-lain.

“Kami kini sedang menilai setiap rakaman kesalahan lalu lintas itu sebelum mengeluarkan notis temu siasat bagi mengelakkan sebarang masalah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JPJ akan meneruskan pemantauan di 96 lokasi hitam (blackspot) yang telah dikenal pasti sering berlaku kemalangan maut.

“Ia dilakukan sama ada meningkatkan kekerapan operasi atau menambah bilangan anggota penguat kuasa bagi melakukan penyamaran di kawasan terbabit, lebih-lebih lagi pada waktu cuti yang melebihi dua hari berturut-turut,” katanya.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 7 September 2012.

Remaja 13 tahun diberkas tunggang motosikal tanpa lesen, merempit.

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Gara-gara bertindak agresif dengan cuba melarikan diri daripada sekatan polis, seorang remaja berusia 13 tahun ditahan dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan Unit Khas Pasukan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Serdang awal pagi ini.

Dalam operasi yang dijalankan di Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) itu, remaja lelaki terbabit ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.

Ketua Operasi Unit Khas tersebut, Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit berkata, hasil pemeriksaan ke atas remaja lelaki terbabit mendapati, dia masih di bawah umur dan tidak memiliki lesen memandu.

“Remaja itu adalah antara 10 yang ditahan kerana menunggang motosikal tanpa lesen dalam keadaan berbahaya,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi itu awal pagi ini.

Beliau berkata, turut ditahan dalam operasi terbabit ialah seorang lelaki berusia 30-an yang kerana memiliki dadah dipercayai syabu.

Pemeriksaan lanjut ke atas motosikal yang ditunggang mendapati nombor pendaftaran adalah palsu yang didaftarkan ke atas sebuah kereta jenis Proton Persona.

“Siasatan mendapati, dia membeli motosikal jenis Yamaha LC itu dengan harga RM500 daripada seorang kenalannya,” katanya lagi.

Menurut Khuzir, operasi bermula pukul 1.30 pagi dan berakhir pukul 5 pagi ini turut mengeluarkan sebanyak 173 saman atas pelbagai kesalahan.

Katanya, sebanyak 200 buah motosikal telah diperiksa dan 96 daripadanya disita atas kesalahan tidak mempunyai cukai jalan, cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu.

Tambahnya, polis turut menemui 18 buah motosikal telah ditinggalkan di sekitar kawasan semak dan tapak pembinaan dipercayai motosikal curi atau terlibat dengan jenayah.

Operasi ini bertujuan menyekat kegiatan lumba haram yang sering menjadikan lebuh raya ini sebagai gelanggang terutama ketika hujung minggu.

Ia disertai seramai 300 anggota trafik termasuk lima pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan dan ibu pejabat Putrajaya.

Sumber: Utusan Malaysia, 9 September 2012.