Kematian akibat kemalangan menurun dalam Ops Aidilfitri 2014.

MELAKA 6 Ogos – Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di negeri ini yang dicatatkan sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menurun sebanyak 40 peratus atau enam kematian berbanding tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Lim Ban Hong berkata, dari tempoh 21 Julai hingga 5 Ogos lalu sembilan kematian dicatatkan dalam lapan kemalangan maut berbanding 15 kematian dalam 11 kemalangan maut pada operasi sama tahun lalu.

Menurutnya, jumlah mangsa yang mengalami cedera parah juga menurun sebanyak 10 peratus dari 10 orang pada tahun lalu kepada sembilan orang tahun ini.

”Bagaimanapun, jumlah kemalangan yang dicatatkan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri tahun ini meningkat sebanyak 9.1 peratus kepada 789 kes berbanding 723 kes tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Operasi Penguatkuasaan Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2014 di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Semabok, di sini malam tadi.

Yang hadir sama Pengarah JPJ negeri, Azaharuldin Abdullah, Setiausaha Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Melaka, Ong Tai Chu dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, M. Shantini.

Jelas Ban Hong, sempena musim perayaan tahun ini juga, terdapat pertambahan sebanyak 8,189 buah kenderaan memasuki Melaka dari 25 hingga 29 Julai di mana ia dikenal pasti antara punca peningkatan jumlah kemalangan sepanjang tempoh operasi.

Justeru katanya, jawatankuasa pengangkutan negeri bersama jabatan-jabatan terlibat akan meneruskan strategi menjalankan penguatkuasaan lebih ketat selain memperhebatkan penguatkuasaan melalui program kesedaran dan pendidikan.

”Diharapkan kedua-dua cara ini dapat dijalankan serentak untuk meningkatkan kesedaran mementingkan keselamatan di jalan raya di kalangan pemandu dan pengguna lalu lintas,” tegasnya.

Sementara itu tambah beliau, sepanjang tempoh operasi berkenaan juga, sebanyak 5,242 buah kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa oleh JPJ di mana 377 saman dikeluarkan manakala 364 kenderaan diambil tindakan.

Kesalahan paling banyak dicatatkan ialah TIDAK mempunyai lesen memandu yang sah iaitu sebanyak 157 kes, tidak mempunyai cukai jalan (75 kes), nombor pendaftaran tidak mengikuti spesifikasi dibenarkan (33 kes) serta lain-lain kesalahan termasuk ubah suai kenderaan, cermin gelap, tiada insurans dan memandu bawah umur,” jelasnya.

Operasi yang dijalankan bermula pada pukul 9 malam itu melibatkan 198 anggota penguat kuasa termasuk dari JPJ, MKJR, JKJR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Sumber: Utusan Malaysia, 7 Ogos 2014.

Pelajar sekolah menengah dapat topi keledar percuma

BATU PAHAT 5 Ogos – Sebanyak 500 pelajar sekolah menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan menerima topi keledar percuma yang disumbangkan Pusat Khidmat ADUN kawasan itu.

Sumbangan yang turut mendapat kerjasama Kelab Putera 1Malaysia itu diberikan kepada pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah supaya mereka menggunakan topi keledar yang selamat dan diluluskan.

ADUN Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, pemberian topi keledar itu hanya kepada pelajar yang layak iaitu mereka yang mempunyai lesen memandu kelas B atau B2 yang sah.

Tujuan utama pemberian topi keledar secara percuma ini adalah sebagai salah satu langkah untuk memastikan pelajar yang menunggang motosikal menggunakan topi keledar yang baik dan telah diakui keselamatannya.

“Sebelum ini saya lihat ada di antara pelajar yang memakai topi keledar yang tidak selamat, pelbagai jenis dan bentuk yang tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya selepas menyampaikan 150 topi keledar itu kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penghulu Saat, di sini baru-baru ini.

Selain SMK Penghulu Saat, pelajar SMK Dato’ Sulaiman dan SMK Sri Medan turut menerima topi tersebut hasil kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah terlibat.

Zulkurnain berharap, pemberian topi keledar tersebut dapat menunjukkan imej yang baik kepada para pelajar dan menjadi contoh kepada pelajar sekolah lain dan orang ramai di sekelilingnya.

“Mereka yang menerima topi keledar berkenaan perlulah menjaganya dengan baik dan dipakai apabila menunggang motosikal, selain berharap topi itu tidak disalah gunakan,” katanya.

Sumber:  Utusan Malaysia, 6 Ogos 2014.

Patutkah lesen memandu samseng jalanraya digantung?

ELAK pertengkaran dan pastikan anda tidak menjadi ‘road bully’ jika terlibat dengan kemalangan jalan raya untuk mengelak perlakuan amarah anda dirakam serta disebarkan dalam media sosial, sekali gus menjadi viral seperti insiden yang berlaku di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Kejadian ‘road bully’ atau pembuli jalan raya atau samseng jalan raya bukanlah suatu perkara baharu di Malaysia. Sejak 1995, ia telah mula diperkatakan dan turut mendapat perhatian dalam kalangan wakil-wakil rakyat sehingga diperdebatkan dalam sidang Parlimen.

Polis Kuala Lumpur pada 1996 pernah mengemukakan kertas cadangan kepada Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Rahim Noor agar tindakan tegas dikenakan termasuk membatal atau menarik balik lesen pemandu yang bersalah dalam gejala samseng jalan raya.

Ini kerana golongan berkenaan lazimnya mengeluarkan senjata seperti pisau, kayu hoki, kayu besbol, kayu golf dan besi pengunci stereng kereta sebagai senjata, dan mereka tidak teragak-agak bertindak ganas jika tidak berpuas hati dengan pengguna kenderaan lain.

Kejadian terbaharu di Kuantan melibatkan seorang wanita muda yang mengamuk menggunakan besi pengunci stereng setelah kereta Peugeot 208 yang baharu dibelinya sebulan lalu dilanggar oleh seorang warga emas lelaki hanyalah picisan daripada 1,001 kisah pembuli jalan raya di negara ini.

Golongan yang tidak pernah pupus ini ternyata tidak mampu mengawal amarah dan bertindak mengikut perasaan tanpa memikirkan rasional perbuatan yang dilakukan walaupun kemalangan yang berlaku hanya melibatkan kerosakan kecil.

Tanpa mereka sedari, natijah yang terpaksa ditanggung akibat perlakuan ‘kurang siuman’ seketika itu lebih besar kesannya daripada kerosakan kenderaan yang mereka alami kerana negara ini mempunyai undang-undang yang tidak pernah melepaskan sesiapa sahaja yang gemar mengambil tindakan sendiri.

Perkara itu juga terpaksa ditanggung oleh Kiki atau nama sebenarnya, Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin, 30, apabila dia telah dikenakan denda RM5,000 dan diperintah melakukan khidmat sosial selama 240 jam dalam tempoh tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuantan, baru-baru ini.

Dia terlebih dahulu telahpun menerima hukuman di ‘mahkamah awam’ apabila dilemparkan dengan pelbagai cacian dan kutukan setelah video sikap biadapnya terhadap lelaki tua terbabit yang secara tidak sengaja melanggar keretanya tersebar di media sosial sehingga turut mendapat perhatian KPN, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Walaupun dia telah meminta maaf dan warga emas terbabit juga telah memaafkannya, namun segalanya telah terlambat, ibarat ‘nasi telah menjadi bubur’, Kiki terpaksa menanggung akibat daripada perbuatannya itu.

Sebelum ini, beberapa kes pembuli jalan raya turut mendapat liputan media massa dengan ada di antara mangsa di dalam kes tersebut bukan sahaja mengalami kecacatan kekal, malah ada yang maut. Berikut paparan kes-kes berkenaan yang dilaporkan berlaku di dalam dan di luar negara:

MALAYSIA

* 30 September 2013 – Pemandu teksi warga emas, Hiew Chen Guang, 66, mati setelah koma selama seminggu ekoran dibelasah teruk oleh seorang samseng jalan raya di Jalan Klang Lama selepas dikatakan terlanggar seorang penunggang motosikal di hadapan keretanya.

* 29 Jun 2012 – Hanya kerana membunyikan hon ke arah sebuah kereta yang menghalang laluan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, seorang nenek, Yap Kim Fatt, 55, ditumbuk bertubi-tubi oleh pemandu kenderaan terbabit.

* 26 Januari 2005 – Pembantu jurutera komputer, Mohd. Nazri Ismail, 28, maut setelah bertarung nyawa hampir 17 jam di Hospital Kuala Lumpur, dipercayai akibat dipukul dengan objek keras oleh tiga samseng jalan raya setelah dikatakan kenderaannya terlibat dalam satu kemalangan kecil dengan kereta suspek di Jalan Kewajipan, Subang Jaya, awal pagi, sehari sebelum itu.

* 22 November 2004 – Seorang anak tauke kedai ubat, Teo Kai Siang, 22, mati ditikam seorang lelaki selepas cuba mendapatkan penjelasan kenapa kenderaannya dihimpit dan dilanggar di kilometer 20 Jalan Johor Bahru-Pontian.

* 6 Julai 2004 – Seorang pemandu kereta mengugut seorang pengguna jalan raya dengan parang selepas mangsa enggan memberikan laluan di persimpangan lampu isyarat di Serdang, Selangor.

* 28 April 2004 – Seorang wanita, Young Chew Ha, 61, maut manakala anaknya, Chew Saw Bee, 26, parah selepas kereta mereka terbabas lalu terhumban ke dalam Sungai Kapar di Klang dipercayai ketika melarikan diri daripada samseng jalan raya.

* 15 Oktober 2003 – Seorang lelaki, Selva Kumar Alagesu, 27, diserang empat lelaki bersenjatakan parang selepas berlaku perlanggaran kecil di Jalan Bukit, Kajang. Mangsa dikatakan hilang dipercayai dibunuh dengan mayatnya tidak dijumpai.

* 26 September 2003 – Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) nyaris maut apabila seorang lelaki dipercayai pembuli jalan raya menikam lehernya dengan pisau di Seksyen 14, Shah Alam.

* 24 Januari 1995 – Pasangan kelamin dari Singapura, Mohd. Rafi Mohd. Ibrahim, hilang mata kanan akibat dipukul, manakala isterinya, Khatijah Idoo yang ketika itu hamil empat minggu ditolak kasar oleh seorang pemandu bas ekspres serta pembantunya kerana berang apabila Mohd. Rafi memberi isyarat supaya memandu lebih berhati-hati.

BRUNEI

* 19 Mei 2014 – Kerana marah kereta dipintas, seorang lelaki tempatan yang bertindak ganas, dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret pada tarikh berkenaan. Tertuduh, Mohammad Hassanalhamizan Mohd. Ibrahim, 22, dikatakan merempuh kereta mangsa sebanyak tiga kali sehingga menyebabkan kerosakan teruk di Jalan Jerudong pada 1 September 2011.

AMERIKA SYARIKAT

* 5 Disember 2005 – Dua waran dikeluarkan kepada bekas juara gusti dunia 16 kali, Ric Flair atau nama sebenar Richard Morgan Fliehr, 56, atas kesalahan ringan menyerang dan merosakkan harta peribadi seorang lelaki selepas keretanya kemalangan di Jalan I-485, Charlotte, North Carolina, pada 30 November 2005. Flair atau gelarannya ‘The Dirtiest Player In The Game’ dituduh melakukan jenayah itu setelah geram dengan sikap lelaki terbabit yang melengah-lengahkan pergerakan keretanya di jalan raya yang penuh sesak ketika itu.

Oleh RAJMAH HASAN,

Artikel disiarkan dalam Utusan Malaysia, 26 Julai 2014.

 

70 peratus kemalangan maut libatkan penunggang dan pembonceng motosikal

SEREMBAN 28 Feb. – Kira-kira 70 peratus mangsa korban jalan raya yang dicatatkan di seluruh negeri ini sepanjang tahun lalu terdiri daripada pembonceng dan penunggang motosikal.

Pendedahan membimbangkan itu didedahkan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Mohd. Rusdi Ismail menerusi statistik kemalangan yang dicatatkan JKJR dari tempoh awal Januari hingga penghujung Disember 2009.

”Daripada 377 kes kemalangan maut, 232 merupakan angka korban yang membabitkan pembonceng dan penunggang motosikal di sekitar negeri ini.

”Lebih mendukacitakan, kebanyakan kes maut yang membabitkan kumpulan tersebut merupakan golongan belia yang berusia 15 hingga 40 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohd. Rusdi, kes kemalangan yang melibatkan pembonceng dan penunggang motosikal di negeri ini adalah sebanyak 5,152 bagi tahun lalu berbanding kereta iaitu 22,333 kes.

”Walaupun kes kemalangan yang membabitkan pembonceng dan penunggang motosikal lebih rendah berbanding kereta, namun angka kematian membabitkan pengguna motosikal lebih tinggi berbanding kenderaan lain.

”Statistik juga menunjukkan, daripada 5,152 kes kemalangan membabitkan motosikal, 232 maut, 484 cedera parah, manakala 983 cedera ringan,” ujarnya.

Jelasnya, salah satu faktor penyumbang yang mengakibatkan pembonceng dan penunggang motosikal menjadi mangsa korban tertinggi dalam kes kemalangan jalan raya adalah kerana kurangnya kesedaran berhubung pemakaian topi keledar berkualiti.

”Berdasarkan kajian yang dijalankan, kami mendapati bahawa masih ramai pembonceng dan penunggang motosikal tidak menggunakan topi keledar yang diluluskan oleh SIRIM Berhad.

”Ini kerana topi keledar dengan kelulusan SIRIM telah diuji ketahanannya termasuk ketahanan cengkerang, keupayaan menyerap hentakan, kekuatan tali selain memberikan keselesaan kepada pemakai,”ujarnya.

Tambahnya, penggunaan topi keledar tanpa label SIRIM mampu menjuruskan kepada kecederaan parah di bahagian kepala terhadap pembonceng dan penunggang motosikal apabila terlibat dengan kemalangan.

”Namun, ada juga pembonceng dan penunggang motosikal yang memakai topi keledar secara salah dengan tidak mengikat talinya,” katanya.

Dalam pada itu, tegas Mohd. Rusdi, berdasarkan kaji selidik JKJR, sekiranya pembonceng dan penunggang motosikal memakai topi keledar yang disahkan SIRIM angka kematian dan kecederaan dapat dikurangkan.

”Hasil kajian menunjukkan, pemakaian topi keledar yang disahkan serta betul dapat mengurangkan 33 peratus angka kematian dan 40 peratus kecederaan kepala selain 60 peratus kecederaan otak,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia, 1 Mac 2010.