JPJ adakan program SKSJ untuk golongan muda.

ALOR SETAR — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merancang untuk mengadakan program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) bagi golongan muda yang tidak berkemampuan khususnya pelajar sekolah yang cukup umur untuk mendapatkan lesen motosikal kelas B2.

Pengarah Bahagian Korporat dan Penyelidikan JPJ, Zairi Mat Ali berkata, permintaan daripada golongan itu bagi mendapatkan lesen sudah ada dan pihaknya masih membuat kajian tentang perkara itu.

Kajian ini memakan masa yang lama sebab kita nak libatkan institut memandu dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah untuk melaksanakan program itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program SKSJ Parlimen Kuala Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika ini program SKSJ hanya bagi warga emas di mana JPJ akan menguruskannya 100 peratus, tetapi untuk program kepada golongan muda, JPJ perlu mendapatkan kerjasama institut memandu dan PIBG sekolah. — Bernama, 26 Mac 2011.

 

SKSJ di Kuala Lipis: Warga emas, Orang Asli terima lesen memandu

KUALA LIPIS 21 Mac – Seramai 3,195 warga emas termasuk dari kalangan Orang Asli berjaya mendapat lesen memandu kelas B2 menerusi program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) sejak 2009.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, sebelum ini golongan tersebut sukar untuk menjalani ujian untuk mendapatkan lesen di jabatan itu kerana terletak di pekan atau bandar.

Beliau menjelaskan, untuk mendapatkan lesen tersebut menerusi sekolah memandu pula, bayarannya adalah antara RM211 sehingga RM261.

“Melalui program ini, kerajaan memberi subsidi kepada peserta dengan membayar RM150 hingga RM180 sahaja,” katanya selepas menutup program itu bagi peringkat daerah Lipis di sini semalam.

Seramai 449 warga emas dan Orang Asli dari daerah ini termasuk penduduk Mukim Dong, Raub menerima lesen memandu itu.

Mohd. Soffi berkata, melalui kaedah itu urusan bersama pelanggan akan menjadi mudah berikutan usaha agensi tersebut turun padang dengan memasuki kawasan pedalaman dan kampung.

Tambahnya, program itu menepati konsep mesra rakyat dan mengubah persepsi masyarakat supaya tidak menganggap JPJ hanya menjalankan tugas penguatkuasaan semata-mata.

Katanya, orang ramai dapat mengetahui fungsi JPJ yang lain seperti pengeluaran lesen memandu, semakan senarai hitam, bayaran kompaun dan memperbaharui cukai jalan.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 22 Mac 2011.

 

Apa kata pengguna: Perangkap laju tidak sesuai lagi diamalkan

SEJAK akhir-akhir ini, isu saman saban hari diperkatakan masyarakat majmuk di Malaysia tidak kira peringkat umur, bangsa dan agama.

Di Filipina, perangkap laju (speed trap) tidak diamalkan di negara itu terutama di lebuh raya. Rakyat di negara itu bebas untuk memandu kereta sama ada laju atau pun sebaliknya.

Di Malaysia, perangkap laju boleh dikatakan setiap hari dilakukan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM). Sebenarnya, saya kurang bersetuju dalam hal ini.

Cuba kita bayangkan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), jalannya lurus, kurang kereta, mustahil kita memandu sekitar 110 kilometer (km) sejam. Lebih-lebih lagi kereta yang kuasanya lebih besar. Sudah pasti pemilik kereta memandu lebih daripada yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Saya selalu berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu. Tidak munasabah memandu sekitar 80 hingga 110 km. Berapa jam hendak sampai ke destinasi yang hendak dituju?

Kebiasaannya dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu mengambil masa tujuh jam, itu pun dalam pemanduan antara 120 hingga 130 km di lebuh raya, manakala jalan biasa antara 70 hingga 90 km.

Bagi saya memandu dalam keadaan perlahan ada juga yang membahayakan, umpamanya mengantuk. Saya juga pernah beberapa kali terbabas ke bahu jalan disebabkan memandu di lebuh raya dalam keadaan perlahan.
Kesimpulannya, saya sangat tidak bersetuju terhadap saman perangkap laju ini. Namun, kekalkan saman yang lain sedia ada seperti melanggar lampu merah, memotong di garisan berkembar, tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan lain-lain kesalahan yang berkaitan undang-undang jalan raya di Malaysia.

AMIRUDDIN,
Petaling Jaya.

-Disiarkan dalam Berita Harian, 14 Mac 2011.

Faktor pengguna jalanraya gagal jelas saman

SEJUMLAH 17.3 juta iaitu 35 peratus daripada 49.4 juta saman yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang 2001 hingga 28 Februari lalu masih belum dijelaskan oleh pesalah trafik.

Kita bernasib baik kerana kerajaan begitu prihatin apabila melanjutkan tempoh bayaran saman trafik sehingga 10 Mac ini. Jika masih gagal berbuat demikian, maka pengguna kenderaan yang mempunyai saman tertunggak akan berdepan dengan masalah untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan kenderaan berikutan telah disenaraihitamkan.

Walaupun kerajaan telah memberi kelonggaran sejak Ogos tahun lalu untuk mereka menjelaskan saman, namun masih ramai gagal berbuat demikian. Mengapa?

Sikap menyelesaikan sesuatu perkara pada saat-saat akhir begitu ketara dalam hidup sebahagian masyarakat kita. Hal ini dapat dilihat dengan peningkatan enam kali ganda daripada hari pembayaran biasa.

Sebanyak 1.5 juta saman telah diselesaikan mulai 21 Februari hingga tengah malam 28 Februari lalu. Tidak hairanlah apabila sistem tergendala kerana penggunaan melampaui keupayaan sistem.

Apapun, pelbagai tanggapan timbul terhadap mereka yang mengerumuni kaunter pembayaran saman pada ketika tempoh diberi semakin menghampiri masa tamat. Ada menganggap, mereka yang membayar pada saat akhir itu adalah orang yang tidak bertanggungjawab atau suka membuat kesalahan trafik berulang kali.

Namun begitu, kita harus bersikap adil terhadap sebahagian daripada mereka yang melanggar peraturan trafik dan melewatkan pembayaran saman kerana ‘terpaksa’.

Pertama, majoriti masyarakat kita terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Mereka inilah sebahagian besar yang melanggar peraturan lalu lintas.

Sama ada mereka sengaja atau tidak sengaja berbuat demikian, itu soal lain. Namun, yang nyata adalah mereka terpaksa mengutamakan keperluan diri dan keluarga atau memenuhi keperluan ‘perut’ terlebih dahulu. Ini kerana pendapatan yang diperoleh lazimnya jarang ada lebihnya. Tambahan pula dengan kenaikan harga barangan mutakhir ini. Hendak menabung pun sukar, apatah lagi hendak menjelaskan saman.

Kedua, pengguna kenderaan yang dikenakan saman terdiri daripada pelbagai jenis kategori kesalahan trafik. Ini termasuklah kesalahan meletak kenderaan pada tempat yang bukan sepatutnya.

Pada ketika pesalah trafik digesa membayar saman dalam tempoh kurang dua bulan, ada baiknya pihak berkenaan mengambil langkah bagi mengelakkan kesalahan sama diulang oleh individu sama, malah orang lain di tempat yang sama.

Paling ketara ialah sejauhmana pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memastikan pembangunan di kawasan masing-masing tidak menjejaskan ruang dan kelancaran trafik? Ini kerana setiap inci tanah terutama di sekitar Lembah Kelang hendak dimajukan dengan bangunan bertingkat sama ada kompleks pejabat atau pusat beli-belah tanpa mengambil kira aspek ruang parkir dan kelancaran trafik.

Penduduk semakin padat tetapi ruang yang ada semakin terhad. Tentulah hal ini tidak adil kepada pengguna kenderaan. Oleh itu, pembangunan lestari sesebuah kawasan perlu diberi perhatian.

Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan risiko pengguna kenderaan dikenakan tindakan kesalahan trafik tetapi menjamin setiap rakyat hidup sejahtera tanpa berdepan dengan pelbagai bentuk tekanan.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 4 Mac 2011.

 

Polis Ipoh kutip saman RM1 juta dalam 6 hari

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bahagian Trafik Ipoh mengutip RM1 juta bayaran saman daripada pesalah trafik dalam tempoh enam hari sejak tawaran kadar sehingga 50 peratus diberikan berkuatkuasa 1 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata sejak diumumkan kadar diskaun itu, semua balai polis dan Pejabat Pos di daerah Ipoh telah dibanjiri orang ramai yang mahu membayar saman.

Beliau berkata, purata kutipan di kawasan Ipoh ialah RM25,000 hingga RM35,000 sehari dan dengan kehadiran antara 100 dan 300 orang.

“Ada yang mempunyai 50 keping saman mengambil peluang menjelaskan saman
trafik dengan diskaun 50 peratus ini,” katanya. – Bernama, 4 Mac 2011.

 

7.9 juta saman trafik tertunggak dibayar setakat hari ini

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2.4 juta lagi saman tertunggak diselesaikan pesalah trafik selepas kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh pemberian diskaun sebanyak 50 peratus sehingga 10 Mac ini.

Lanjutan tempoh ini menjadikan jumlah keseluruhan saman yang dibayar adalah 7.9 juta.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hussin Ismail, berkata pesalah trafik yang masih memiliki 14.9 juta saman tertunggak perlu mengambil peluang kedua ini sebelum dikenakan tindakan tegas.

 

Menurutnya, jika orang ramai masih lagi gagal membayar saman, kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan akan melaksanakan tindakan menyenarai hitam serta menguatkuasakan Sistem Merit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang boleh mengakibatkan pesalah trafik digantung daripada memandu selama enam bulan.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 4 Mac 2011.

 

Apakah hukumnya elak bayar saman ekor?

SOALAN:
Saya adalah pekerja swasta yang berpendapatan sederhana. Baru-baru ini orang sibuk menjelaskan saman ekor, namun saya tidak dapat berbuat demikian sebab ketiadaan wang. Apa hukumnya perbuatan saya itu?

JAWAPAN:

Secara dasarnya saman yang saudara terima adalah atas kesalahan lalu lintas, alasan saman dikeluarkan kerana saudara tidak mematuhi had kelajuan yang telah ditetapkan.

Kalau itu keadaannya saudara bersalah mengikut undang-undang lalu lintas. Ini kerana saudara dengan sengaja telah memandu kenderaan dengan laju dengan boleh mengundang mudarat kepada diri sendiri dan juga kepada pengguna lalu lintas yang lain. Bagaimana saman itu dikeluarkan dan disampaikan itu soal lain.

Pertamanya kita jawab soalan ini, betul atau tidak kita memandu dengan melanggar had laju yang ditetapkan? Kalau jawapannya ya, bermakna kita salah. Selagi tidak bayar selagi itulah kita salah di sisi undang-undang.

Saman ekor adalah istilah bagi saman yang diterima sedangkan pesalah tidak tahu pada masa kesalahan dilakukan. Pesalah dapat tahu bahawa dia melakukan satu kesalahan lalu lintas pada sekian tarikh, hari dan masa sekian apabila dapat penyata saman, atau dia sendiri pergi menyemak status samannya ada atau pun tidak.

Ada yang terlalu lama sudah samannya hingga mencecah 10 tahun. Mungkin juga dia tahu bahawa dia ada saman selepas beberapa tahun selepas dia disaman. Semua ini dinamakan saman ekor.

Walaupun istilahnya macam lucu tetapi telah digunapakai sebagai satu istilah bagi penerima saman kesalahan lalu lintas. Dalam Kamus Dewan istilah ini tidak ada. Mungkin kerana saman itu mengekori kita sesudah kita melakukan kesalahan lalu lintas.

Lagipun saman ekor ini hanya dikhususkan kepada pesalah-pesalah lalu lintas yang tidak mematuhi had laju. Kesalahan yang dilakukan adalah kerana melanggar ketetapan had laju oleh pihak berkuasa.

Pertamanya, setiap pesalah lalu lintas adalah tetap bersalah. Katakan had kelajuan adalah 110 kilometer sejam (km/j) maka memandu pada had laju 120 km/j adalah salah.

Apatah lagi kalau 150 km/j. Ini kerana ramai juga yang memacu kereta dengan tidak mengendahkan had laju yang ditetapkan. Malahan kelajuannya melampau bukan melebihi sedikit daripada had.

Pertamanya dalam isu membayar saman ekor kita harus akur kepada kesalahan yang telah dilakukan dengan melanggar arahan pihak berkuasa dalam mematuhi had kelajuan. Salah tetap salah.

Ini kerana kesalahan tidak ada pengecualian atas alasan tidak tahu atau tidak perasan. Eloklah kalau dapat menyedarkan diri kita bahawa betul kita salah dalam hal ini. Kita telah diberi lesen kerana kita lulus ujian memandu, dapat lesen L.

Kita juga telah diajar mengenai peraturan lalu lintas, kepatuhan kepada undang-undang jalan raya, berhemah ketika memandu dan sebagainya sebagai ilmu awalan sebelum memandu kenderaan.

Semasa kursus memandu, semua kita faham. Apabila dah lama pegang steering kereta mula lupa pada undang-undang dan peraturan lalu lintas. Inilah yang dinamakan manusia yang sering lupa dan alpa terhadap persekitarannya.

Secara nalurinya manusia akan membantah untuk membayar atas kesalahan yang tidak dimakluminya sejak awal dia melakukan kesalahan itu.

Maklumlah, tiba-tiba nak bayar RM300 untuk satu kesalahan, sudah tentu akan dibantah. Bayangkan pula saman yang telah terkumpul, ada yang kumpul sampai 12 saman, ada yang sampai 15 saman.

Kalau satu saman nilai kompaunnya RM150 didarab dengan 10, jumlah yang perlu dibayar adalah RM1,500. Bagi mereka yang berpendapatan rendah pasti sangat membebankan.

Kita harus rasional

Pada tahun 2010, kerajaan pernah berjanji akan meneliti saman ekor atas desakan pelbagai pihak, namun perkembangan tidak diketahui umum. Ini menjadikan orang ramai masih mempertikaikan kaedah saman yang dikenakan ke atas mereka.

Turut dipertikaikan adalah dihalang daripada memperbaharui cukai jalan atas alasan telah disenarai hitamkan.

Keadaan seperti inilah yang menyebabkan ramai yang tidak berpuas hati dengan cara saman ini dipaksa bayar. Saya yakin pihak berkuasa ada hujah dan alasan undang-undang untuk menyaman seseorang secara saman ekor dan ditawarkan kompaun untuk dilangsaikan, kalau tidak bersetuju maka langkah seterusnya akan diambil.

Hari ini bila pesalah-pesalah trafik diberi peluang untuk membayar kompaun dengan tawaran 50% ramai yang berpusu-pusu ke bahagian trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah seluruh negara bagi tujuan melangsaikan saman.

Saya fikir dalam hal ini kita harus rasional dalam memberi pandangan sama ada dalam sudut undang-undang mahupun kemasyarakatan. Ini bukan isu untuk dimenangi oleh ahli politik untuk menunjukkan dialah juara.

Dalam Islam juga setiap kesalahan ada hukuman dan balasannya, bezanya cepat atau lambat. Kalau memandu dalam keadaan laju tanpa alasan yang benar-benar munasabah adalah satu kesalahan kerana kelajuan itu ada kemungkinan membawa kepada mudarat pada diri sendiri lebih-lebih lagi mengundang musibah kepada pengguna jalan raya yang lain.

Mengikut perangkaan kemalangan lalu lintas punca kemalangan adalah berpunca kerana pemandu tidak mematuhi had kelajuan lalu lintas. Boleh rujuk laman rasmi Institut Penyelidikan Lalu Lintas Malaysia (MIROS).

Islam mengajar umatnya supaya tidak mengundang kemudaratan dan tidak mendedahkan orang kepada kemudaratan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: ...dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke Dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang berusaha memperbaiki amalannya. (al-Baqarah: 195)

Islam pastinya tidak mengizinkan umatnya melakukan sesuatu yang bisa mengundang kemudaratan.

Jangan jadi insan yang tidak boleh terima hakikat kesalahan. Mungkin dalam hal ini pihak berkuasa harus ada medium yang mesra pesalah bagi menjaga kebajikan mereka yang benar-benar tidak mampu membayar saman.

Cadangan saya agar mereka yang tidak mampu membayar saman diperintah melakukan kerja-kerja amal. Mungkin boleh diberi peluang untuk membayar secara ansuran.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 4 Mac 2011.

 

Orang ramai digalak bayar saman secara online

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang ingin membuat semakan dan membayar saman yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh menggunakan perkhidmatan online dan SMS sebagai alternatif.

Menurut Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Datuk Zabidi Zainal, semakan saman boleh dibuat menerusi laman web rasmi JPJ (http://www.jpj.gov.my) dan laman web PDRM (http://www.rmp.gov.my).

Pembayaran boleh dibuat melalui laman web http://www.myeg.com.my dan http://www.rileks.com.my menggunakan mod bayaran Kad Debit atau Kad Kredit.

“Penggunaan perkhidmatan online akan mempermudahkan orang ramai membuat pembayaran saman itu sepanjang masa.

“Namun begitu, orang ramai perlu bijak menggunakan masa termasuk penggunaan masa di luar beban puncak untuk menggunakan perkhidmatan online tanpa menunggu tarikh akhir lanjutan semakan dan bayaran bagi mengelak kesesakan ke atas talian yang boleh menjejaskan perkhidmatan seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

– Bernama, 4 Mac 2011.

 

Peluang kedua- Diskaun dilanjut 10 hari…

Kabinet setuju diskaun bayaran saman dilanjut 10 hari lagi

KUALA LUMPUR: Selepas sehari lenggang, semua pejabat dan balai polis trafik di seluruh negara kembali sibuk semalam, sebaik keputusan Kabinet melanjutkan tempoh bayaran saman diskaun sehingga 10 Mac ini diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Tinjauan Berita Harian petang semalam mendapati hampir semua pejabat pos, Kaunter Trafik di Bukit Aman dan Balai Polis Trafik di Jalan Tun HS Lee di sini sesak dengan orang ramai untuk membayar saman masing-masing.

Kebanyakan mereka yang ditemui lega dengan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh bayaran saman diskaun itu selama sembilan hari lagi selepas kecewa tidak dapat melaksanakannya sebelum 28 Februari lalu.

Sehingga kelmarin, hampir 18 juta saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) belum dilunaskan daripada jumlah keseluruhan hampir 50 juta yang dikeluarkan sejak tahun 2000. Jumlah itu membabitkan 17.3 juta saman yang dikeluarkan polis dan 432,671 saman JPJ. Jumlah itu bagaimanapun tidak termasuk 839,361 saman lalu lintas dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Hishamuddin pada sidang medianya jam 2 petang semalam di Putrajaya, berkata kerajaan membuat keputusan melanjutkan tempoh itu bagi memberi peluang kepada pesalah menjelaskan saman masing-masing, selain banyak rayuan diterima.

“Ada individu mendakwa mahu menjelaskan kompaun dan sudah ke balai polis tetapi tidak dapat berbuat demikian, walaupun kaunter dibuka hingga ke lewat malam tempoh hari.
“Malah, ada aduan dan pertikaian mengenai kesahihan saman dikeluarkan kerana ada antara mereka mendakwa tidak menggunakan kenderaan yang direkodkan serta pelbagai alasan lain.

“Berikutan itu, saya membawa perkara ini ke pengetahuan Kabinet pagi tadi (semalam) dan keputusan dibuat supaya diskaun 50 peratus untuk membayar saman dilanjutkan sehingga 10 Mac ini,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan orang ramai yang memiliki saman yang dikeluarkan sebelum 1 Disember lalu, berpeluang menikmati insentif 50 peratus diskaun dan jika gagal dijelaskan sehingga Isnin lalu, nama mereka akan disenaraihitamkan dan akan menghadapi masalah memperbaharui cukai jalan.

Hishammuddin bagaimanapun menegaskan lanjutan tempoh bayaran kompaun itu adalah muktamad.

Susulan pengumuman itu, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof pada sidang medianya di Bukit Aman petang semalam berkata, bermula hari ini tempoh operasi semua kaunter bayaran saman trafik di seluruh negara akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 10 malam, termasuk pada Sabtu dan Ahad.

Beliau menasihati orang ramai menggunakan ‘peluang kedua’ ini dan tidak lagi menunggu sehingga saat akhir bagi menjelaskan saman mereka bagi mengelak pelbagai masalah, termasuk gangguan pada sistem komputer apabila orang ramai bersesak-sesak membuat bayaran.

Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor, pula berkata pihaknya sudah membuka semua kaunter sejak semalam dan menjangka jumlah yang datang untuk membayar saman akan meningkat mulai hari ini.

Sementara itu, pemandu pelancong, Lim Yoon Yew, 38, yang tiba di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur kira-kira jam 4 petang semalam untuk menjelaskan saman tertunggaknya, terkejut apabila dimaklumkan nombor giliran sudah habis.

“PDRM sepatutnya melanjutkan operasi kaunter sehingga hingga jam 10 malam, termasuk menempatkan pegawai dan anggota bekerja lebih masa sepanjang tempoh pemberian diskaun. Ini membolehkan orang ramai menjelaskan saman, selain mengelak masalah kesesakan di kaunter,” katanya.

Ahli perniagaan, Mohd Ridwan Yunus, 40, juga bersetuju dengan cadangan PDRM melanjutkan tempoh bayaran sehingga lewat malam kerana sebahagian besar pesalah trafik bekerja dan sukar untuk menyelesaikan urusan itu ketika waktu pejabat.

Ridwan yang datang seawal jam 10 pagi semalam juga kesal kerana hanya tiga kaunter semakan dan bayaran dibuka.

 

Sumber: Berita Harian, 4 Mac 2011.

Kisah seorang Pak Aji dan pegawai polis.

Sastera ” Dabai Tinggai” oleh Prof Madya Dr Nor Hisham Osman.

 

SUATU petang seorang lelaki berkopiah putih yang menunggang motosikal ditahan polis ….

Polis: Assalamualaikum Encik!Pak Aji: Waalaikummussalam ….

Polis: Encik tau tak? …. Encik dah buat salah ni.

Pak Aji: Buat salah? Isy …. Salah apa pulak ni?! Pak cik baru balik masjid ni.

Polis: Encik … eh! Pak cik …. Ni ha … pak cik naik motor tak pakai helmet, salah ni.

Pak Aji: Eh … bukan pergi mana pun, pergi masjid tu aje …. Asar! Takkan ke masjid pun kena pakai helmet gak?!
Polis: Tak kiralah nak ke mana, asal naik motor atas jalan raya aje … kenalah pakai helmet. Undang-undang dah kata macam tu, lagipun helmet tu untuk keselamatan diri sendiri juga. Boleh saya tengok lesen dan kad pengenalan?

Pak Aji: Kad pengenalan?!

Polis: Ha’a … mykad, … lesen sekali, yea.

Pak Aji: Isy! Isy! …. daba tinggai ….

Polis: Tinggal?

Pak Aji: Ha … tinggai, daba.

Polis: Memang double le ni … tidak pakai helmet satu kesalahan dan tidak bawa lesen memandu pun satu kesalahan. Betullah … double salah ni pak cik! Ni tak pakai helmet ni … tak boleh bawak motor ni!

Pak Aji: Eh! Cik, saya bukan tak ada lesen ….Cuma tak bawak aje, tinggal kat rumah dalam daba. Nak ke masjid tadi tergesa-gesa, sampai tertinggai daba. Lesen motor saya ada, B full lagi … tapi dah kelam-kabut tadi, azan dah bunyi … tu yang daba tertinggai tu!

Polis: Ooo … tu yang double benda yang tertinggal yek?! Helmet ngan lesen?

Pak Aji: Lesen aje ….

Polis: Kata double? Lesen dengan helmet la kan?

Pak Aji: Tak lah … lesen aje tinggai, bukan sengaja cik … yang tak pakai helmet tu bukan tertinggai, tapi tak jumpa.

Polis: Kan ke pak cik yang cakap double benda yang tinggal?!

Pak Aji: Double? Eh! Bila pulak pak cik kata double?

Polis: Jangan nak loyar buruk pulak pak cik, pak cik yang cakap tadi!

Pak Aji: Pak cik bukan kata double … pak cik kata daba! Daba … Daba, tau tak?!

Polis: Daba?? Daba tu apa?

Pak Aji: Isy! Daba pun tak tau?! Tu tempat simpan duit, simpan lesen, simpan mykad, … orang putih kata wallet!!

Polis: Ooo … dompet duit ke?

Pak Aji: Ha’ah … dompet! Maaflah, pak cik dah terbiasa guna daba, orang kampung pak cik panggil daba. Sejak pencen ni pak cik dah duduk kampung, tu yang terikut cara orang kampung cakap.

Polis: . Ooo … pak cik tak bawa lesen ni sebab tertinggal dompet le yek? Tak pelah, yang itu saya maafkan, tapi tak pakai helmet ni tak boleh. Walaupun pergi masjid dan pakai kopiah, helmet kena pakai sebab itu untuk keselamatan. Kalau apa-apa hal, terjatuh ke … ada helmet boleh juga lindungi kepala …

Pak Aji: Ya, ya …. pakc ik sedo tu …. Tapi tadi cari helmet biasa tak jumpa pulak. Sebenarnya pak cik datang ke rumah anak ni, baru sampai pagi tadi dari Perak. Rumah anak pak cik tu dekat aje dari sini … nun ha rumahnya, tak nampak dari sini haa … Asar tadi gi masjid kat kona tu. Bukannya jauh pun.

Polis: Lain kali, kalau tak ada helmet, naik kereta ajelah atau jalan kaki aje … bukannya jauh pun.

Pak Aji: Tu la pasa … kereta pun tak ada. Pak cik laki bini datang dari Perak pagi tadi naik moto je ….

Polis: Naik motor? Motor ni? Betul ke ni?! …. Helmetnya??

Pak Aji: Isy!! Idak le moto ni … yang ni pak cik pinjam moto buruk anak pak cik, dia pakai masa belajo dulu. Pak cik pakai naked seribu empat ratus!

Polis: Seribu empat ratus?? GTR ke?

Pak Aji: Ha, le … Naked … .Ate dah pakai moto macam tu, helmetnya fullface le … takkan pakai fullface naik kapcai buruk ni. Jenuh cari helmet biasa, tak jumpa pulak kat rumah tu … anak pak cik gi keje laki bini. Tu le ceritanya yang tak pakai helmet ni ….

Polis: . Betul ke pak cik pakai motor besar naked seribu empat ratus tu? Isy!! Susah saya nak percaya ni …

Pak Aji: Eh! Betoi le … tak kan bebohong pulak. Pak cik dah pencen, anak-anak semua dah berkeluarga dan duduk jauh. Naik moto senang nak gi jeru anak cucu, ada di Kelantan, Pulau Pinang … yang bongsu di Shah Alam ni. Kalau naik kereta mau tiga jam lebih dekat empat jam baru sampai dari kampung ke sini, tapi naik moto tu dua jam je … Kekadang tak sampai dua jam pun!! Hehehhe ….

Polis: Isy! Saya macam tak percaya pulak pak cik bawa motor besar! Tapi … tak apalah pak cik …. Kali ni saya maafkan, tapi lain kalau saya jumpa lagi, saya saman. Pak cik pergilah balik tapi jangan ikut jalan besar ni … ikut jalan dalam perumahan tu.

Pak Aji: Eh, betul ke tak kena saman ni?! Isy!! terima kasih bebanyak le yek, lain kali pak cik pakai helmet le.

Polis: Eh! Pak cik, saja nak bertanya ni … pak cik pencen kerja apa?

Pak Aji: Askar … pencen kolonel!! Assalamualaikum … pak cik balik dulu yek!!

Polis: . Haaaa …

***********************************************************************
Glossary: Dialek Perak
Daba – dompet
Jeru – jenguk, menziarahi
Tinggai – tinggal
Naked – sejenis motor berkuasa tinggi
Fullface – jenis helmet yang tutup seluruh kepala hingga ke leher

disiarkan dalam Berita Harian, 2 Mac 2011.