JPJ akan kemukakan cadangan mansuh saman ekor kepada Kabinet

JELI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperhalusi cadangan memansuhkan saman ekor sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan kata putus, kata Timbalan Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad.

Beliau berkata, pihaknya sedar penguatkuasaan peraturan saman ekor itu boleh mengundang pelbagai kesulitan kepada pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan akibat disenaraihitamkan.

“Ini membabitkan dasar dan InsyaAllah cadangan itu akan dibawa oleh Ketua Pengarah JPJ (Datuk Solah Mat Hassan) kepada menteri berkenaan dan seterusnya kepada Kabinet,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Sekolah Menengah Batu Gajah di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Korporat dan Penyelidikan JPJ, Zairi Mat Ali dan Pengarah JPJ Kelantan, Abdul Ghani Che Kassim.

Pada majlis itu, kira-kira 200 peneroka berumur 45 tahun ke atas di jajahan Tanah Merah diberi kemudahan mendapatkan lesen memandu melalui ujian lisan.

Ismail berkata, kerajaan juga akan memperluaskan lagi program SKSJ ke seluruh negara, terutama di Sabah dan Sarawak kerana masih ramai penduduk kawasan luar bandar di negeri itu yang tidak memiliki lesen memandu.

Katanya, program itu yang dahulunya dikenali sebagai ”JPJ Bersama Rakyat” (JBR) diperkenalkan sejak 1990an bagi memberi kemudahan perkhidmatan secara terus kepada masyarakat luar bandar memperoleh lesen memandu.
Menurutnya, program itu akan ditetapkan sebanyak tiga kali setahun di setiap negeri dan mengikut keperluan kawasan pedalaman di sesebuah negeri itu, termasuk di Sabah dan Sarawak.

– Bernama, 25 September 2010.

Pasanglah tali pinggang keledar belakang

PENUMPANG belakang dalam perjalanan balik kampung bersempena musim hari raya perlu pastikan yang mereka menggunakan tali pinggang kaledar kerana jika tidak mereka boleh didenda RM300. Peraturan mewajibkan penggunaan tali pinggang keledar oleh penumpang di belakang masih berkuatkuasa dan pihak penguatkuasa sedang meningkatkan tindakan terhadap sesiapa sahaja yang gagal mematuhi peraturan ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya(JKJR) Datuk Suret Singh.

Walaupun peraturan penggunaan tali pinggang keledar oleh penumpang tempat duduk belakang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2009, adalah jelas ramai pengguna jalan raya masih ragu akan peraturan ini.

“Saya berada di Seremban bagi satu kempen keselamatan jalan raya, dan bingung apabila mendapati ramai pengguna jalan raya yang saya temui masih ragu yang peraturan ini berkuatkuasa,” kata beliau.

Beliau mengakui bahawa kadar pematuhan bagi penggunaan tali pinggang kaledar oleh penumpang di belakang sudah pasti menurun daripada angka 48.5 peratus pada April 2009. Bagaimanapun, beliau tidak dapat menyatakan angka baru kerana belum lagi ada kajian susulan.

“Bagaimanapun, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan rakan-rakan kami komited dalam menggalakkan budaya 100 peratus pematuhan.

“Untuk mewujudkan satu budaya pematuhan ia mengambil masa,” katanya dan menambah kerajaan sedang berusaha gigih untuk mewujudkan budaya seperti itu di kalangan pengguna jalan raya di Malaysia.

Beliau berkata, JKJR dan Polis Diraja Malaysia akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap mereka yang gagal menggunakan tali pinggang keledar.

Tali pinggang keledar bagi penumpang belakang meningkatkan perlindungan dan ia dikatakan dapat mengurangkan kadar kematian sehingga 50 peratus.

Kanak-kanak kecil dan bayi masing-masing perlu ditempatkan pada kerusi booster atau kerusi khas bayi.

Bagaimanapun, Suret menasihatkan mereka yang membawa kanak-kanak serta bayi supaya menempatkan kerusi booster atau kerusi bayi di tempat duduk belakang.

“Jangan tempatkan kerusi ini di tempat duduk hadapan. Bagi kereta dengan beg udara di hadapan, impak daripada beg udara apabila berlaku kemalangan atau apabila membrek mengejut adalah seperti bom tangan dan boleh membunuh kanak-kanak,” jelas beliau.

Dalam kereta tanpa beg udara pun adalah lebih selamat untuk menempatkan bayi atau kanak-kanak kecil di tempat duduk belakang.

Beliau juga menasihatkan mereka yang memandu kereta dilengkapi beg udara supaya jangan bergantung kepadanya semata-mata untuk memastikan keselamatan.

“Anda harus memakai tali pingang keledar. Ada kereta di mana beg udara mungkin tidak berfungsi apabila pemandu atau penumpang tidak memasang tali pinggang keledar,” katanya.

Selaras dengan kempen keselamatan jalan raya JKJR, pemilik kenderaan yang belum menjelaskan saman lalu lintas dinasihatkan mengambil kesempatan daripada tempoh pengampunan.

“Sasaran kempen keselamatan ini adalah juga untuk menggalakkan pemilik kenderaan membayar saman bersama beberapa insentif, termasuk melalui program pengampunan ini,” kata beliau.

Pesalah lalulintas boleh membayar saman masing-masing secara ansuran dan tidak akan didenda dengan mata demerit.

Lesen memandu mereka juga tidak akan digantung, kerana di bawah program pengampunan ini pesalah trafik yang melangsaikan kesemua saman mereka dapat membersihkan nama mereka daripada senarai hitam JPJ dan polis.

Bagi pemandu yang tidak berpuas hati dengan saman yang diterima, mereka digalak tampil berjumpa dengan pihak polis dan JPJ untuk membuktikan mereka tidak bersalah.

– BERNAMA, 17 September 2010

Perbezaan pemandu lelaki dan wanita

Tingkah laku lelaki ketika membawa kenderaan :

  • Pemandu lelaki tiga kali ganda lebih cenderung menekan hon bila kenderaan di hadapannya dipandu terlalu lambat, berbanding perempuan.
  • Pemandu lelaki dua kali ganda melanggar peraturan jalan raya, berbanding pemandu perempuan. Malah, 83 peratus pemandu lelaki cenderung menunjukkan perangai memandu laju manakala perempuan hanya 17 peratus.
  • Pemandu lelaki lebih banyak yang bergerak walaupun lampu trafik masih merah atau kuning, memandu rapat dengan kenderaan lain di hadapan, berlumba haram, memandu di bawah pengaruh dadah dan tidak memakai tali pinggang keledar.
  • Perbezaan ketara, lelaki lebih cenderung memandu tujuan mencari sensasi iaitu menunjuk kepada rakan sebaya dan orang ramai mengenai kemahirannya memandu di jalan raya. Mereka rasa puas jika rakan sebaya nampak aksi memandu, memuji sekali gus rasa puas hati bila orang ramai terpegun dengan cara memandunya lain daripada orang lain.
  • Tingkah laku wanita ketika membawa kenderaan :
  • Bilangan perempuan yang berpelajaran dan berkerjaya tinggi semakin meningkat sehingga mengakibatkan ada kemungkinan mereka menjadi agresif ketika memandu seperti lelaki. Contohnya, mungkin mereka ingin cepat sampai ke tempat kerja atau ke mesyuarat pada masa yang dijadualkan.
  • Perempuan lebih cenderung menukar lorong secara tiba-tiba dan membahayakan orang lain.
  • Membuat pusingan U secara tiba-tiba, tanpa memikirkan akibatnya kepada orang lain.
  • Memberhentikan kereta secara tiba-tiba dan meletak kereta sesuka hati hingga menghalang laluan.
  • Lebih bersifat sensitif dan penyibuk, selain berminat serta suka mendapatkan maklumat atau `cerita’ berbanding lelaki. Akibatnya, bila melalui kawasan yang baru terjadi kemalangan, mereka ingin hendak tahu apa yang terjadi, menyebabkan trafik menjadi perlahan dan mengganggu pemandu lain.
  • Bersifat pelindung kerana mereka ialah ibu. Oleh itu, mungkin mereka pentingkan diri sendiri bila berada di jalan raya, misalnya tidak beri laluan kepada kereta lain.
  • Lebih bersikap berhati-hati. Oleh itu, boleh jadi mereka bergerak lambat pada jalan lapang dan tidak banyak kereta, menyebabkan gangguan kepada pemandu lain.
  • Perempuan kurang keinginan mencuba dan meningkatkan kemahiran memandu mereka selepas mendapat lesen memandu.
  • Lebih mudah bertanya kalau tersesat atau tidak dapat mencari alamat yang ditujui. Mereka mungkin memberhentikan kereta secara tiba-tiba bila terjumpa dengan sesiapa saja dengan tujuan untuk bertanya. Perbuatan ini mungkin boleh menyebabkan kemalangan.
  • Lebih suka menyuruh lelaki memandu, bila mereka berdua dalam kereta. Akibatnya, oleh sebab yang memandu itu lelaki, makan risiko kemalangan adalah lebih tinggi, lebih-lebih lagi kalau lelaki itu masih muda dan agresif.
  • Bila kereta rosak, pemandu perempuan lebih cenderung menunggu saja pertolongan sampai, tetapi pemandu lelaki akan cuba berbuat sesuatu yang mereka mampu. Ini menyusahkan dirinya, boleh menjadikan emosinya terganggu dan dengan itu mungkin menyebabkan dia kurang tumpuan ketika memandu.
  • Pemandu perempuan kurang berpengetahuan dari segi penyelenggaraan kereta, oleh itu kalau rosak, mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Ini menyusahkan dia di jalan raya dan boleh mengganggu emosinya.
  • Bila berlaku kemalangan, perempuan lebih cenderung berhujah berbanding lelaki. Akibatnya ini boleh menyebabkan pergaduhan yang besar jika mereka sesama perempuan dan boleh mengubah emosi ketika memandu.
  • – Sumber: Berita Harian, 9 September 2010.
  • Isyarat kurang sopan tingkatkan kemarahan pemandu wanita

    KAJIAN sikap pemandu di negara ini mendapati wanita mempunyai tahap kemarahan lebih tinggi ketika memandu terutama apabila berhadapan dengan isyarat kurang sopan seperti mengugut, mencabar dan lucah.

    Berbeza lelaki pula, tahap kemarahan mereka memuncak ketika berhadapan dengan situasi pemandu lain yang tidak mematuhi undang-undang.

    Kajian Institut Keselamatan Jalan Raya (MIROS), mendapati tahap kemarahan itu tidak semestinya mendorong seseorang bertindak balas secara agresif dalam pemanduan mereka, sebaliknya banyak faktor lain yang menyumbang ke arah itu.

    Malah, pemandu wanita disifatkan lebih berhati-hati ketika memandu berbanding lelaki dan natijahnya hanya kira-kira 10 peratus kaum Hawa maut dalam kemalangan jalan raya manakala 90 peratus adalah kaum Adam, sepanjang tahun lalu.

    Bagaimanapun, peratus itu tidak boleh dijadikan ukuran lelaki lebih agresif berbanding perempuan kerana kerana bilangan pemandu lelaki adalah lebih ramai berbanding wanita.

    Ketua Pengarah MIROS, Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata kajian sikap pemandu dijalankan di Perlis, Perak, Kedah dan Pulau Pinang, mendapati sikap agresif ketika memandu jelas menunjukkan responden lelaki mencatatkan tahap lebih tinggi berbanding perempuan.

    “Tindakan agresif ini ditunjukkan secara fizikal dengan menggunakan kenderaan seperti memandu laju dan membunyikan hon. Tetapi tiada perbezaan antara jantina apabila tindak balas agresif secara lisan,” katanya.

    Dari segi kecederaan pemandu wanita mengikut jenis kenderaan, yang dicatatkan pada 2008, menunjukkan kira-kira 68.6 peratus terbabit dalam kemalangan menunggang motosikal, iaitu lebih tinggi berbanding kereta.

    Jika dilihat perbandingan kematian akibat kemalangan jalan raya antara pemandu lelaki dan wanita, secara keseluruhan ada perbezaan antara taburan kematian mengikut masa antara pemandu lelaki dan wanita.

    Peratusan pemandu wanita maut yang paling tinggi adalah sebanyak 14.5 peratus iaitu antara jam 6 pagi hingga 8 pagi manakala lelaki, sembilan peratus; antara jam 12 tengah hari dan 2 petang (14.2 peratus) manakala antara jam 4 petang dan 6 petang, 13.2 peratus.

    Antara jam 2 pagi dan 4 pagi, mencatatkan peratusan kematian pemandu wanita yang paling sedikit iaitu hanya 2.8 peratus atau 28 orang manakala bagi pemandu lelaki, kematian tertinggi berlaku antara jam 8 pagi-10 malam dan terendah antara jam 4 pagi hingga 6 pagi dengan 3.6 peratus.

    Pakar Pengangkutan Awam Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abd Rahim Md Nor, menjelaskan banyak salah faham mengenai perbezaan kelakuan antara pemandu perempuan dan lelaki.

    Ramai berpendapat pemandu perempuan tidak mematuhi peraturan jalan raya dan disebabkan itu lebih ramai terbabit dengan kemalangan. Kajian di seluruh dunia mendapati ini adalah pendapat yang tidak benar.

    Katanya, faktor kewanitaan seperti sifat mereka sebagai pelindung, hanya menumpukan kepada perkara yang dekat, memberi perhatian kepada perkara kecil, suka meminta pertolongan dan vokal menyebabkan kemungkinan mendorong tingkah laku tidak berhemah dan kemalangan jalan raya.

    Faktor sosialisasi, iaitu lebih berpendidikan dan berjawatan tinggi, mungkin bukan sekadar persepsi melulu, sebaliknya ia ada kaitan dengan sikap pemanduan wanita yang ingin turut seperti lelaki memandu agresif dan berani.

    “Ini mengakibatkan wanita ada masanya berubah menjadi seperti lelaki ketika memandu dan kemungkinan boleh terbabit dengan kemalangan jalan raya,” katanya.

    Selain itu, pemandu perempuan biasanya mendapat kemalangan kerana ciri kewanitaan mereka, contohnya, hanya beri perhatian kepada perkara yang dekat saja, sebaliknya pemandu lelaki biasanya terbabit dengan kemalangan kerana faktor memandu laju.

    Sumber: Berita Harian, 9 September 2010.

    Pemandu wanita sama ‘hebat’ dengan lelaki

    Segelintir pemandu wanita  terlalu lembap di jalan raya hingga menimbulkan kemarahan pemandu lain malah pemandu wanita dikatakan paling kerap melakukan kesalahan jalan raya.

    Benarkah? Kata Norlina Johor, 28, bekas pelumba Program Pencarian Pemandu Wanita Pasukan Redbull, ragam pemandu wanita dan lelaki sebenarnya sama saja dalam semua aspek dan masing-masing ada karektor tertentu, yang membezakan antara mereka ialah sikap dan disiplin ketika memandu.

    Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatiannya, ramai pemandu di Malaysia tidak ada kemahiran, teknik yang betul memandu kenderaan termasuk gagal mengawal situasi terutama jika berhadapan saat kecemasan ketika memandu laju.

    Tahu memandu dan ada lesen memandu tak cukup. Sepatutnya pemandu Malaysia diwajibkan mempelajari kursus pemanduan lanjutan supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan ketika kecemasan, tahu teknik bawa kereta ketika hujan, jalan licin dan selekoh.
    “Ramai pemandu tidak kira lelaki atau perempuan yang suka memandu laju, sebenarnya suka-suka atau ingin menunjukkan skil tanpa memikirkan padah bakal ditanggung kalau terbabit dalam kemalangan,” katanya yang mengambil kursus pemanduan lanjutan ketika menuntut di Melbourne dan diperkukuhkan lagi apabila berada dalam pasukan Redbull.

    Beliau menambah, biasanya, ramai pemandu tiba-tiba membrek secara mengejut dalam keadaan memandu laju ketika ingin mengelak subjek seperti orang sedang melintas jalan di hadapannya.

    Ini teknik yang salah kerana dalam keadaan itu, brek akan terkunci dan menjadikan kereta terus meluncur ke hadapan sekali gus melanggar subjek di hadapan sehingga menyebabkan kemalangan.

    “Begitu juga ramai yang tidak mahir membawa kereta dalam keadaan hujan lebat, jalan licin, tidak rata, berbukit, curam atau selekoh.

    Dengan mengambil kursus lanjutan ia dapat membantu orang ramai memandu secara berhemah sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya yang mula berjinak-jinak dengan sukan go-kart sejak usia tujuh tahun sebelum menyertai pasukan pelumba wanita di litar lumba secara serius.

    Justeru, bagi pemandu yang gian ingin pandu laju, jalan raya bukan lokasinya, kata Norlina. Uji kehebatan di litar lumba sedia ada kerana ia lebih selamat dan membolehkan seseorang belajar kaedah terbaik pemanduan selain meningkatkan kemahiran mereka pada situasi tertentu termasuk ketika memandu laju.

    Kemalangan jalan boleh berlaku bila-bila masa dan pada masa sama, orang ramai perlu sentiasa berilmu dari segi teknik pemanduan kerana sentiasa saja ada perkara baru dalam bidang terbabit.

    Norlina, yang juga adik kembar kepada pelakon Diana Johor, berkata jika beliau teringin memandu laju, Litar Lumba F1 Sepang dan Pasir Gudang menjadi pilihannya.

    Tingkah laku pemandu Malaysia memang agak buruk berbanding negara maju lain. Melbourne contohnya, pemandu mereka lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan lalu lintas dan amat jarang memandu laju. Mungkin juga disebabkan undang-undang yang ketat menjadikan mereka lebih terdidik dan akhirnya meresap dalam jiwa tidak boleh memandu laju untuk mengelak disaman atau sedar ia boleh mengundang kemalangan jalan raya.

    “Rata-rata pemandu di sana memandu 80 kilometer sejam. Memang ada juga yang suka mahu memandu laju terutama pada waktu malam. Tetapi bagi yang pandu laju, tidak semena-mena datang saja polis untuk menyaman mereka,” katanya.

    Sumber: Berita Harian, 9 September 2010.

    JPJ mahu laksana sistem elektronik pantau pesalah

    SETIU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan sistem penguatkuasaan elektronik untuk mengesan pesalah lalu lintas, kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan.

    Beliau berkata, penggunaan kedah itu lebih bersistematik dan berkesan kerana bilangan kenderaan di atas jalan raya di negara ini semakin meningkat.

    Katanya, menerusi sistem ini sebuah Pusat Panggilan akan diwujudkan yang boleh dihubungi secara terus oleh orang ramai.

    “Pengguna jalan raya boleh menghubungi JPJ di pusat panggilan itu sekiranya mereka mendapati pengguna jalan raya yang lain melakukan kesalahan trafik.

    “Sebaik sahaja menerima maklumat menerusi pusat ini, anggota JPJ akan dihantar ke tempat kesalahan dilakukan dan mengambil tindakan serta-merta terhadap pesalah terbabit,” katanya kepada pemberita semasa turut serta pada sekatan jalan raya di Stesen Penguatkuasa JPJ Air Sejuk di sini hari ini.

    Solah berkata, sistem berkenaan juga alternatif kepada kaedah sekatan jalan raya oleh JPJ yang tidak lagi begitu praktikal dilaksanakan kerana turut menimbulkan kesesakan lalu lintas.

    Beliau berkata, JPJ kini sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan.
    Sementara itu, beliau berkata 1,322 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang Ops Sikap ke-22 bermula 4 September lalu hingga hari ini.

    Katanya, daripada jumlah itu, 236 kes membabitkan pemandu tidak mempunyai lesen memandu, 70 kes membabitkan cukai jalan tamat tempoh dan 990 kes kesalahan lain. – BERNAMA, 8 September 2010.

    Pemandu harap kurikulum bakal pemandu digubal- guna kereta automatik dalam ujian

    LANGKAH penggubalan semula kurikulum memandu yang membenarkan penggunaan kereta automatik bagi ujian memandu kereta seperti yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara membangun adalah relevan dengan masa kini.

    Pada pandangan saya penggunaan kereta automatik di negara ini ibarat menukar pelita kepada lampu elektrik. Pengalaman saya memandu menggunakan kereta manual ketika kesesakan lalu lintas amat meletihkan dan saya akhirnya menukar kepada kereta automatik dan ia lebih mudah.

    Selain itu, memandu menggunakan kereta automatik lebih mudah dan ini memberi kemudahan bagi wanita dan warga tua yang kurang mahir mengendalikan kereta manual. Saya juga turut bersimpati dengan nasib kawan saya yang terpaksa menghabiskan hampir beribu ringgit untuk mendapatkan lesen kerana tidak mahir dalam menggunakan kereta manual.

    Keadaan itu menyebabkan kawan saya berputus asa dan terpaksa mengambil dan menghantar anak ke sekolah menggunakan kereta automatik tanpa lesen ketika suami bertugas di luar kawasan. Bukan kawan saya tiada inisiatif untuk mengambil lesen tetapi kelemahan menggunakan kereta manual menjadi penghalang.

    Kebanyakan wanita memang kurang mahir menggunakan kereta manual dan terpaksa menduduki ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) beberapa kali untuk lulus. Seperti saya yang mengambil ujian sebanyak tiga kali untuk lulus. Ini juga membebankan bagi yang kurang kemampuan berikutan yuran yang tinggi.

    Apa yang dapat dilihat sekarang kebanyakan yang lulus ujian memandu cenderung untuk menggunakan kereta automatik. Ini menunjukkan apa yang dipelajari ketika belajar memandu kereta manual seolah-olah hanya syarat untuk mendapatkan lesen sedangkan apabila lulus membawa kereta automatik.

    Langkah mengubah sistem kenderaan ini ternyata lebih berkesan kerana selain mampu mengurangkan keletihan pemandu ketika memandu, ia juga mampu menghalang pemandu memandu dengan agresif di jalan raya.
    Kemalangan jalan raya yang berlaku selalunya berpunca daripada sikap pemandu sendiri bukan kerana jenis kereta yang dibawa. Pasaran kereta masa kini banyak memperkenalkan model baru yang kebanyakan memperkenalkan kenderaan auto ke pasaran mereka. Seharusnya pihak pengangkutan khasnya JPJ menurut langkah pasaran itu.

    Oleh itu, saya berharap agar pihak kerajaan dan Kementerian Pengangkutan dapat meluluskan kokurikulum baru ini dengan cepat dan dapat membenarkan penggunaan kereta automatik dalam ujian memandu bagi memberi kemudahan bagi pihak yang kurang mahir menggunakan kereta manual terutama wanita dan warga tua yang ingin mendapatkan lesen memandu.

    INTAN,
    Selangor.

    ( disiarkan dalam Berita Harian, 25 Ogos 2010.)

    Elak tragedi Hari Raya Aidilfitri

    RASAH 1 Sept. – Polis mengingatkan orang ramai yang pulang bercuti pada Hari Raya Aidilfitri supaya tidak mengubah suasana gembira itu menjadi tragedi akibat lalai dan cuai ketika memandu.

    Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, pemandu perlu mengelak memandu terlalu laju terutama di jalan yang lurus kerana ia boleh menjadi menyumbang kepada kemalangan maut.

    “Berdasarkan kajian kita, kebanyakan kemalangan berlaku di negeri ini melibatkan jalan persekutuan.

    Masa kemalangan itu berlaku biasanya ketika keadaan kereta kurang dan pemandu pula memandu terlalu laju sehingga menyebabkan kenderaan terbabas,” katanya di Senawang, dekat sini hari ini.

    Osman ditemui pemberita selepas melancarkan Ops Sikap Ke-22 peringkat negeri di Plaza Tol Senawang, dekat sini hari ini.

    Hadir sama Pengarah Kesihatan negeri, Datin Zailan Zainuddin serta beberapa pegawai kanan polis negeri.

    Kata Osman lagi, penunggang motosikal juga masih menjadi penyumbang kepada kemalangan maut di negeri ini.

    Saya nasihatkan kepada penunggang motosikal, pakailah jaket pemantul cahaya atau berwarna cerah supaya kehadiran mereka dapat dikesan pemandu kenderaan, khususnya kenderaan berat.

    “Jangan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar yang diikat dengan kemas. Perbuatan tidak memakai topi keledar ini boleh mengundang bahaya,” tegasnya.

    Sementara itu dalam Ops Sikap Ke-22 yang dilancarkan serentak seluruh negara hari ini, seramai 27 orang pegawai akan bertugas secara bergilir-gilir bersama 208 orang anggota pelbagai pangkat bermula hari ini sehingga 27 September depan.

    “Mereka akan mengawasi laluan sejauh 2,718.73 kilometer di kesemua jalan persekutuan dan negeri, di negeri ini, termasuklah di lebuh raya,” tambahnya.

    Tegas Osman, berdasarkan statistik 2008 telah dicatatkan sebanyak 863 kes kemalangan jalan raya dengan 23 kematian.

    “Tahun lalu, jumlah kemalangan jalan raya direkodkan sebanyak 865 kes, bagaimanapun jumlah kematian menurun kepada 18 orang,” jelasnya.

    Sehubungan itu, Osman berharap pada Ops Sikap kali ini, kadar kemalangan dan kematian dapat diturunkan selepas begitu banyak kempen kesedaran dibuat pelbagai pihak.

    Pakailah tali pinggang keledar di tempat duduk hadapan dan belakang kerana ia dapat meningkatkan tahap keselamatan apabila berlaku kemalangan.

    “Penumpang di belakang yang tidak menggunakan tali pinggang keledar merupakan punca bahaya kepada pemandu dan penumpang di hadapan.

    “Ini kerana pada kelajuan biasa 50 hingga 60 kilometer sejam, impak hentakan penumpang di belakang pada kerusi di hadapannya ialah 40 kali berat badannya,” ujar Osman.

    Pada majlis pelancaran itu Osman turut mengedarkan jaket keselamatan dan topi keledar kepada penunggang motosikal selain risalah keselamatan.

    Sumber: Utusan Malaysia, 2 September 2010.

    Awas! Memandu perlahan di lorong laju akan dikompaun maksimum

    KUCHING 1 Sept. – Memandu perlahan di lorong laju merupakan antara enam kesalahan yang akan dikenakan kompaun maksimum RM300 sempena Ops Sikap Ke-22 bermula hari ini sehingga 17 September ini.

    Selain itu, melanggar lampu isyarat; memotong di sebelah kiri; memandu melebihi had laju; meletak kenderaan di petak kuning serta memotong barisan.

    Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Mohmad Salleh berkata, memandu perlahan di sebelah kanan banyak berlaku terutamanya di Jalan Bandaran.

    Katanya, oleh itu, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap kesalahan tersebut kerana ia menghalang kelancaran lalu lintas.

    “Orang ramai jangan beranggapan apabila memandu perlahan di sebelah kanan bukan satu kesalahan, kita akan mengeluarkan kompaun maksimum RM300 untuk kesalahan tersebut.

    “Perkara ini (memandu perlahan di lorong laju) perlu dipandang berat dan orang ramai perlu peka dengan semua kesalahan yang dinyatakan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Ops Sikap Ke-22 di Batu 11, Jalan Kuching-Serian dekat sini hari ini.

    Hadir sama Timbalannya, Datuk Hamza Taib.

    Dalam pada itu, Mohmad berkata, Ops Sikap Ke-22 akan dilaksanakan secara menyeluruh di negeri ini bagi mengurangkan kadar kemalangan di samping mengawal aliran lalu lintas yang dijangka sibuk sempena sambutan perayaan.

    Statistik kemalangan di negeri ini meningkat 56 kes atau 9.1 peratus berbanding dua tahun lalu.

    “Justeru, kita mengingatkan pemandu kenderaan dan pengguna lalu lintas supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dalam mengawal lalu lintas,” ujarnya.

    Mohmad menyarankan pengguna agar mengamalkan sikap bertanggungjawab dengan memandu pada had laju dibenarkan dan menentukan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

    Katanya, selain itu, mereka sewajarnya mempunyai pemandu gantian bagi perjalanan jauh dan merancang jadual pergerakan dan perjalanan.

    Ambil masa sekurang-kurangnya 15 minit untuk berehat atau tidur jika letih dan mengantuk, elakkan daripada mengekori kenderaan lain terlalu rapat di samping mengamalkan sikap bertimbang rasa kepada pengguna jalan yang lain,” ujar beliau.

    Sumber: Utusan Malaysia,  2 September 2010.

    Sembilan jalan maut di Batu Pahat & Kluang

    BATU PAHAT 1 Sept. – Sebanyak sembilan lokasi ‘jalan maut’ dikenal pasti di daerah ini dan Kluang yang akan diberi tumpuan dalam Ops Sikap Ke-22 sempena sambutan Aidilfitri bermula 3 hingga 17 September ini.

    Jalan maut itu dikenal pasti sebagai lokasi kerap berlaku kemalangan.

    Justeru, orang ramai khususnya yang pulang menyambut Aidilfitri diminta lebih berwaspada di lokasi tersebut.

    Enam jalan maut itu terletak di Batu Pahat, manakala selebihnya di Kluang, demikian menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini baru-baru ini.

    Seramai 300 pegawai dan anggota trafik dari IPK dan ibu pejabat polis daerah (IPD) akan terlibat dalam Ops Sikap kali ini.

    Penguatkuasaan ke atas penunggang dan pembonceng motosikal juga diberi tumpuan memandangkan golongan itu menyumbangkan sebanyak 60 peratus daripada keseluruhan jumlah kematian nahas jalan raya di negeri ini.

    Mengenai konsep operasi, kenyataan itu memberitahu, ia dilakukan antaranya menerusi perangkap had laju, rondaan di lokasi jalan maut, kawalan lalu lintas di kawasan sesak, operasi bersepadu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dan penyamaran di dalam bas.

    Pasukan Tindakan Kecemasan turut diwujudkan di Sedenak, Yong Peng dan Tangkak. Ahlinya terdiri daripada cawangan trafik daerah, kereta peronda Bukit Aman, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

    Kenyataan itu memberitahu, kemalangan lazimnya berpunca daripada pemanduan dan penunggangan melebihi had laju dibenarkan, tidak memberi isyarat semasa membelok, tidak berhenti semasa keluar dari simpang, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar dan selekoh serta tidak mematuhi lampu isyarat.

    Orang ramai turut dinasihatkan merancang perjalanan, mematuhi had laju serta peraturan lalu lintas, dapatkan rehat mencukupi, tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan mematuhi panduan anggota trafik yang bertugas.

    Sumber: Utusan Malaysia, 2 September 2010.