PPIM: Ujian memandu secara ICT wajar dilaksana.

KUALA LUMPUR 8 Julai – Pelbagai pihak mengalu-alukan langkah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan sistem ujian lesen memandu secara teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi mengurangkan kemungkinan penyelewengan dalam kalangan anggota agensi itu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya juga percaya langkah tersebut akan dapat memastikan hanya pemohon lesen yang benar-benar lulus ujian sahaja memandu di atas jalan.

“Walaupun sistem itu akan menyebabkan kesukaran kepada pemohon untuk lulus, kaedah tersebut dapat membendung kemalangan jalan raya.

Biar sedikit serta sukar mendapat lesen asalkan bernilai untuk keselamatan diri sendiri mahupun orang lain. Tambahan pula, semua pemohon perlu mengikuti kursus dan latihan memandu dalam tempoh yang panjang supaya lesen itu tidak diperoleh dengan mudah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad baru-baru ini, berhubung pengenalan sistem baharu untuk mendapatkan lesen memandu kenderaan yang akan dikawal selia secara ICT mulai tahun depan.

Menurut Ismail, sistem itu sedang dibangunkan, sekali gus akan menambah baik sistem pengujian sedia ada yang diperkenalkan di institut memandu iaitu pegawai JPJ hanya memainkan 40 peratus peranan bagi menentukan sama ada seseorang calon itu gagal atau lulus manakala 60 peratus lagi ditentukan menerusi sistem berkenaan.

Utusan Malaysia dalam laporan khas pada 13 Julai 2011, menyatakan satu kurikulum memandu baharu akan dilaksanakan JPJ bertujuan mengurangkan kadar kemalangan yang tinggi di dalam negara.

Bekas Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Solah Mat Hassan berkata, pelaksanaan itu yang tertangguh sebelum ini hanya menunggu masa untuk dilaksanakan bergantung pada persediaan pihak industri latihan terlibat.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna (PKP) Kuala Lumpur, Samsudin Mohamad Fauzi turut menyokong pelaksanaan sistem ujian baharu itu kerana dapat mengurangkan penyelewengan dalam kalangan pegawai JPJ.

“Sistem ini lebih baik tetapi pemantauan berterusan masih perlu dilakukan terhadap anggota dan pegawai JPJ,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia,9 Julai 2014.

Dari Akhbar: Ujian memandu guna kereta automatik

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menggunakan kereta transmisi gear automatik sebagai kereta ujian memandu seperti digunakan di kebanyakan negara lain seperti United Kingdom, Jepun dan Singapura.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata cadangan itu dijangka dilaksanakan hujung tahun ini.

“Bagi melaksanakan cadangan ini, kementerian akan membuat perubahan kepada kurikulum memandu, latihan ujian memandu dan menstruktur semula kelas lesen memandu bagi menetapkan kelas khas lesen memandu untuk penggunaan kenderaan automatik.

“Peraturan untuk membenarkan penggunaan kenderaan automatik bagi tujuan ujian memandu juga akan dirangka,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. – Bernama

Abdul Rahim berkata, kerajaan juga mungkin akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Lesen Memandu) 1992 bagi memudah cara pelaksanaannya.

Beliau berkata, kementerian juga akan membuat penambahbaikan kepada kurikulum pendidikan pemandu dengan memasukkan unsur etika dan moral.

“Inisiatif ini sedang diperhalusi pelbagai pihak dan agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan wakil persatuan memandu.

Abdul Rahim berkata, semua penekanan itu diadakan bertujuan melahirkan pemandu kenderaan persendirian dan awam yang memiliki kecekapan, berhemah dan memiliki mentaliti kelas pertama selain mengurangkan kemalangan fatal yang masih berada di tahap tinggi masa kini. – Bernama

Sumber:  Harian Metro. 29 Jun 2009.

Proses tambah kelas E

journey2etambah-kelas.gif

Proses tambah kelas D

journey2dtambah-kelas.gif

Proses tambah kelas B/B2

journey2btambah-kelas.gif