bu bapa perlu tegas kawal anak tanpa lesen memandu: JKJR

KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) hari ini menggesa ibu bapa agar bersikap lebih tegas terhadap anak-anak mereka yang gemar memandu kereta atau menunggang motosikal tanpa lesen.

Pengarahnya, Datuk Suret Singh, berkata berdasarkan statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), angka mereka yang berbuat demikian adalah tinggi dan ianya membimbangkan.

KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) hari ini menggesa ibu bapa agar bersikap lebih tegas terhadap anak-anak mereka yang gemar memandu kereta atau menunggang motosikal tanpa lesen. Pengarahnya, Datuk Suret Singh, berkata berdasarkan statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), angka mereka yang berbuat demikian adalah tinggi dan ianya membimbangkan.

// <![CDATA[// // <![CDATA[// // <![CDATA[// // <![CDATA[//

Statistik Ops Penyamaran oleh JPJ tahun LALU menunjukkan 41 peratus daripada 2,186 pemandu didapati tidak mempunyai lesen dan kebanyakannya berumur antara 16 dan 25 tahun.
“Angka ini tidak boleh diambil sebagai perkara remeh. Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka ada lesen untuk memandu sebelum menggalakkan mereka membawa motosikal atau kereta,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, ketiadaan lesen memandu itu menunjukkan seseorang tidak mempunyai latihan yang cukup daripada segi undang-undang jalan raya.

“Latihan dan pengalaman yang tidak cukup ini akan memudahkan mereka mengalami keadaan panik sekiranya terbabit dalam kemalangan jalan raya dan paling penting, tiada tuntutan kemalangan jalan raya bagi mereka,” katanya.

Suret berkatam, bagi menangani isu pemandu tanpa lesen ini, JKJR akan melaksanakan beberapa langkah termasuk mengadakan kempen dan mesyuarat bersama pihak sekolah dan ibu bapa bagi meningkatkan kesedaran mereka terhadap kepentingan lesen memandu. – Bernama.

Sumber: Berita Harian, 29 April 2010.

Program Satu Komuniti Satu JPJ di Kelantan

JPJ bawa pejabat ke kampung

GUA MUSANG 23 April – Mohamed Derani, 55, tinggal di tanah rancangan kira-kira 50 kilometer dari bandar ini. Dia sudah lama menunggang motosikal ke ladang dan juga untuk ke simpang jalan utama.

Dia agak bimbang untuk pergi lebih jauh dari itu, apatah lagi untuk ke bandar kerana tidak mempunyai lesen. Mohamed tahu risikonya dari segi undang-undang walaupun sudah begitu cekap menguasai cara menunggang.

Namun dia percaya tidak akan lulus ujian bertulis lalu hasrat mendapatkan lesen dipendamkan begitu sahaja, sehinggalah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan memberi kesempatan yang amat menggembirakan.

Kesempatan itu terbuka apabila JPJ Kelantan menganjurkan Program Satu Komuniti Satu JPJ berhampiran penempatan di Kesedar Paloh Tiga dekat sini baru-baru ini.

Ia merupakan salah satu langkah JPJ negeri Kelantan bagi mendekatkan jabatan itu dengan masyarakat setempat dengan membawa perkhidmatan secara terus kepada rakyat.

Program ini juga untuk merealisasikan hasrat dan saranan kerajaan supaya pegawai kerajaan turun padang ke arah mewujudkan perkhidmatan yang mesra rakyat.

Ia dapat menjalin dan mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dengan penduduk setempat demi mencapai matlamat kerajaan di mana “rakyat didahulukan pencapaian diutamakan”.

Mereka boleh berurusan dengan mudah tanpa perlu ke bandar bukan sahaja dengan JPJ tetapi jabatan-jabatan lain.

Mohamed memperoleh Lesen Memandu Percubaan (P) setelah lulus ujian lisan yang diadakan secara berkelompok.

Program yang dianjurkan juga meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memiliki lesen memandu, mematuhi undang-undang, peraturan dan keselamatan, seterusnya untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Kesedar Paloh Tiga merupakan lokasi pertama yang dipilih oleh JPJ negeri untuk mengadakan program ini dan seramai 162 calon kalangan warga emas berpeluang mendapatkan lesen.

Program ini merupakan inisiatif agensi kerajaan untuk memberi kemudahan kepada warga-warga emas terutama yang berada di kawasan luar bandar.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan semasa merasmikan program itu berterima kasih kepada pelbagai jabatan dan agensi lain serta pemimpin masyarakat setempat yang berperanan menjayakan program ini.

“Melalui program khas Satu Komuniti Satu JPJ ini pihak JPJ telah menyediakan pelbagai kemudahan perkhidmatan kepada rakyat secara terus termasuk membuka kaunter pembaharuan lesen kereta motor dan lesen memandu serta bayaran kompaun.

“Kami juga mengadakan pemeriksaan khas secara percuma bagi motosikal yang telah tamat lesen kereta motor lebih setahun,” katanya.

Agensi-agensi penguat kuasa dan jabatan kerajaan seperti Agensi Anti dadah Kebangsaan (AADK), Kesihatan, Bomba, Polis, JKJR dan sokongan agensi swasta seperti Celcom, Singer, Puspakom, Agrobank turut mengadakan pameran dan menawarkan perkhidmatan.

Sumber: Utusan Malaysia, 24 April 2010.

5 pelajar pondok tak pakai topi keledar dibebas

TUMPAT: Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan dan melepaskan lima pelajar sebuah sekolah pondok atas kesalahan tidak memakai topi keledar tetapi sebaliknya memakai serban ketika menunggang motosikal, dua tahun lalu.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes berkenaan.

Sebaik sahaja Raja Norshuzianna Shakila selesai membacakan penghakimannya, kelima-lima pelajar itu Adli Abd Halim, 22, Ahmad Hafiz Shaari, 24, Mohd Hafizul Mohamad, 22, Mohd Azam Mohd Arifin, 24, dan Che Mohd Noor Che Soh, 28, kelihatan sebak dan beberapa daripada mereka mengalirkan air mata. Kelima-lima pelajar Pondok Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Yusufiah, Gelang Mas, di sini, ditahan dalam sekatan polis di Kampung Geting, dekat sini, pada jam 12.30 tengah malam, 28 April, 2008, semasa dalam perjalanan pulang dari menghadiri sembahyang jenazah di sebuah masjid.

Mereka didakwa mengikut Kaedah 4 (motosikal topi keledar keselamatan) 1973 dan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibaca bersama Seksyen 128(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Ketika di luar mahkamah, Mohd Hafizul berkata mereka tidak menyangka akan dilepaskan sebaliknya akan dikenakan perintah denda atau penjara.
“Jadi kami sangat terkejut dan gembira dibebaskan oleh majistret dan keadilan telah ditegakkan oleh mahkamah,” katanya.

Terdahulu itu, sebelum memasuki mahkamah, lebih 50 rakan mereka yang turut hadir sempat membacakan doa selamat.

Kelima-lima pelajar itu diwakili peguam Amir Syafiq Venkadesh Narayanan manakala pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Azmi Mohd Ali. -Bernama, 22 April 2010.

Rang pengangkutan jalan ditarik balik

KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam menarik balik Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama, Isnin lalu bagi menggugurkan tiga daripada 51 Fasal, termasuk Fasal 46 yang menaikkan kadar kompaun maksimum daripada RM300 kepada RM1,000.

Turut digugurkan Fasal 8 yang melarang mana-mana pihak kecuali Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat, mengeluar, mengedar, menjual atau memasang nombor pendaftaran kenderaan, manakala Fasal 22 menaikkan had umur kelayakan memohon lesen memandu daripada 16 kepada 17 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata rang undang-undang yang diperhalusi itu dijangka dibentangkan semula bagi bacaan kali pertama pada sesi akan datang, 7 Jun ini. Beliau berkata, keputusan menarik balik rang undang-undang dan menggugurkan tiga Fasal dibuat selepas mendapat pengesahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya yang juga Ketua Whip, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya menerima surat bantahan mengenai rang undang-undang itu daripada Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) sebelum perkara itu dirundingkan dengan pihak dewan dan dikemukakan untuk pengesahan kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, semalam.

Pindaan itu menyatakan penalti bagi kesalahan melanggar umur kelayakan
dinaikkan daripada tidak melebihi RM2,000 kepada tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000.
Selain itu, pindaan akta bertujuan memasukkan seksyen baru 13A yang memperuntukkan mana-mana orang yang didapati bersalah membuat, mengeluar, mengedar, menjual atau memasang plat nombor pendaftaran palsu boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pindaan Akta JPJ turut menaikkan penalti bagi kesalahan tidak memperaga plat nombor pendaftaran mengikut syarat daripada RM200 sebelum ini kepada tidak melebihi RM3,000.

Mohamed Nazri berkata, bagi had kelayakan memohon lesen, selain usia 16 tahun dilihat cukup matang, BNBBC melihat pindaan peruntukan akan menjejaskan aktiviti pelajar di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, BNBCC tidak bersetuju dengan peruntukan yang hanya memberi kuasa kepada JPJ membuat, mengeluar, mengedar atau memasang nombor pendaftaran kerana menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana terutama di kawasan kampung dan estet, selain tiada jaminan tidak berlaku pemalsuan nombor pendaftaran.

Terdahulu, pada sidang media BNBBC diketuai Timbalannya, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, pihaknya memutuskan untuk membantah rang undang-undang berkenaan kerana didapati tidak mesra rakyat.

Beliau berkata, pihaknya mencadangkan supaya pembentangan untuk bacaan kali kedua ditangguhkan selepas memperoleh maklum balas Kementerian Pengangkutan, JPJ dan agensi berkaitan.

Sumber: Berita Harian, 22 April 2010.

Awas! Kompaun JPJ sekarang RM300, akan datang RM1000.

Kompaun JPJ naik 333 peratus

KUALA LUMPUR – Para pemilik kenderaan dan pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati selepas ini berikutan kadar kompaun maksimum kesalahan jalan raya akan dinaikkan daripada RM300 kepada RM1,000 tidak lama lagi.

Kenaikan kira-kira 333 peratus itu berikutan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang akan dikuatkuasakan kelak.

Peruntukan itu adalah antara 51 Fasal pindaan yang terkandung di dalam Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Rahim Bakri di Dewan Rakyat semalam.

Antara pindaan lain yang dicadangkan termasuk menaikkan umur kelayakan memohon lesen memandu motosikal daripada 16 tahun kepada 17 tahun. Penalti bagi kesalahan melanggar umur kelayakan itu juga dinaikkan daripada tidak melebihi RM2,000 kepada tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000.

Sumber: Kosmo, 20 April 2010.

200 Orang Asli dapat lesen

KUALA BERANG 13 April – Masalah ketiadaan lesen memandu di kalangan masyarakat Orang Asli di negeri ini sejak sekian lama bakal berakhir apabila program memudahkan mereka mendapatkan lesen dilaksanakan tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, program kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan itu akan merangkumi kelas pemanduan dan peraturan jalan raya kepada masyarakat Orang Asli.

Katanya, tiga kawasan penempatan Orang Asli akan terlibat dalam program tersebut iaitu Sungai Pergam (Kemaman), Sungai Sayap (Besut) dan Sungai Berua (Kuala Berang).

“Kebanyakan Orang Asli di sini mempunyai kenderaan bagaimanapun mereka sukar ke bandar kerana tidak mempunyai lesen dan bimbang disaman penguat kuasa.

“Justeru itu, lebih 200 pemohon daripada masyarakat Orang Asli bakal memperolehi lesen memandu tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Program Beramah Mesra Bersama Orang Asli di Sungai Berua dekat sini hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia, 14 April 2010.

Dari Akhbar: Kerajaan sedia timbang lesen kelas H warga asing

KUALA LUMPUR 12 April – Kerajaan sedia mempertimbangkan permohonan warganegara asing untuk memiliki lesen memandu kelas H negara ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, walaupun kerajaan menetapkan dasar untuk tidak mengeluarkan lesen vokasional kepada warganegara asing sejak 2008, perkara itu boleh dikaji demi keperluan ekonomi negara.

Bagaimanapun katanya, pertimbangan itu akan hanya dibuat terhadap warganegara asing yang mengikuti syarat ditetapkan seperti mempunyai dokumen perjalanan lengkap.

“Mereka juga perlu mengikuti kursus dan lulus ujian pemanduan seperti ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya menjawab soalan Mohsin Fadzli Samsuri (Bebas-Bagan Serai)  pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mohsin ingin mengetahui jumlah lesen memandu kelas H yang dikeluarkan kepada pendatang asing serta jumlah pendatang asing terlibat dengan pengendalian kenderaan berat.

Abdul Rahim memberitahu, sehingga kini, sebanyak 117,751 lesen memandu kelas H telah dikeluarkan di seluruh negara dengan 117,214 daripada pemegangnya merupakan warganegara Malaysia.

”Manakala selebihnya iaitu 537 orang atau satu peratus merupakan warganegara asing,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 13 April 2010.

Kadar kemalangan maut, cedera tinggi babitkan kanak-kanak – Miros

KUALA LUMPUR: Kemalangan jalan raya di negara ini mengorbankan 410 nyawa kanak-kanak berusia antara satu hingga 15 tahun manakala 2,797 kanak-kanak mengalami cedera ringan dan serius pada 2008, menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Jumlah tertinggi kanak-kanak yang terkorban berusia antara 11 dan 15 tahun dengan merekodkan jumlah kematian 213 mangsa di seluruh negara,” menurut Miros dalam satu kenyataan hari ini.

Sebanyak 43 peratus membabitkan kemalangan motosikal di mana kanak-kanak ini menunggang sendiri motosikal atau kerana terjatuh selaku pembonceng.

Sementara 24 peratus lagi membabitkan kemalangan kenderaan dan 18 peratus kemalangan membabitkan pejalan kaki.

Memandangkan kadar kemalangan yang tinggi membabitkan kanak-kanak di Malaysia, Miros akan menganjurkan kempen kesedaran mengenai pentingnya keselamatan jalan raya sempena pameran “Smart Kids Education Fair” di Pusat Dagangan Dunia Putra bermula hari ini sehingga Ahad.

Miros sudah merangka beberapa aktiviti dan permainan yang direka khusus untuk mengajar golongan muda ini mengenai nilai positif keselamatan jalan raya dan bagaimana mereka boleh melindungi diri mereka ketika di jalan raya.

Miros juga berharap ibu bapa dan golongan dewasa akan memainkan peranan lebih aktif untuk menanam nilai asas dan adab yang baik mengenai keselamatan jalan raya terhadap anak-anak mereka.
“Adalah sangat penting bagi kanak-kanak terutama yang bersekolah mempunyai pengetahuan asas dan memahami apakah keselamatan jalan raya. Ini adalah sebab utama mengapa mata pelajaran mengenai keselamatan jalan raya sedang giat diajar di sekolah,” kata Pengarah Besar Miros, Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Beliau berkata, seseorang tidak boleh mengharapkan kanak-kanak itu berupaya untuk menyelami dan mengingati semua aspek mengenai keselamatan jalan raya.

Dr Ahmad Farhan berkata, perilaku kanak-kanak sebagai pengguna jalan raya kerap kali tidak mengikut perilaku ibu bapa atau orang dewasa lain.

“Ini adalah sesuatu yang berpotensi menguntungkan dan berbahaya. Maknanya ibu bapa dan orang dewasa mesti membimbing dengan menunjukkan teladan, iaitu mempamerkan sikap yang betul di jalan raya untuk mematuhi peraturan lalu lintas. Dalam jangka masa panjang nilai-nilai ini yang berkesan diserapkan.”

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak membenarkan anak-anak mereka terutamanya remaja yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal atau memandu kenderaan kerana tindakan ini boleh mengancam nyawa mereka.

Katanya, walaupun golongan muda ini mempunyai kebolehan untuk membawa kenderaan tetapi mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenai peraturan lalu lintas dan etika jalan raya yang betul yang akan mendedahkan mereka kepada risiko kemalangan.

“Tindakan ini juga boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya lagi.

Dr Ahmad Farhan berkata, menyemai kesedaran mengenai keselamatan jalan raya daripada umur muda lagi akan membantu membentuk masyarakat terutama golongan pemandu yang lebih bertanggungjawab di masa depan. – Bernama, 9 April 2010.