Trajedi Ramadhan: Pelajar 14 tahun maut kemalangan motosikal,

KUANTAN: Seorang pelajar tingkatan dua maut pada hari pertama Ramadan, selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 33, Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Sungai Ular, di sini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, Wan Nur Amanina Wan Ramzi, 14, maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung kenderaan pacuan empat roda. Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Baging itu dalam perjalanan dari rumah di Kuarters Stesen Penyelidikan Mardi, Sungai Baging menuju ke sebuah kedai runcit ketika kejadian, katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kenderaan pacuan empat roda dari arah Kuantan menuju ke Cherating itu dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal Wan Nur Amanina menyebabkan remaja tersebut tercampak dan terjatuh di atas jalan.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan polis sudah mengambil keterangan pemandu kenderaan pacuan empat roda yang berusia 24 tahun itu untuk membantu siasatan.

– BERNAMA, 22 Julai 2012.

Gara-gara tiada lesen memandu dan cukai jalan, terpaksa berendam sejam dalam sungai.

KUALA TERENGGANU – Dua remaja termasuk seorang pelajar tingkatan lima akhirnya mengalah dan menyerah diri kepada pihak polis setelah kesejukan serta keletihan selepas berendam hampir sejam di sungai Terengganu, dalam satu kejadian di Jalan Hiliran, Pulau Kambing, di sini, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu, penunggang dan pembonceng masing-masing berusia 17 dan 20 tahun itu nekad terjun ke dalam sungai berkenaan sejurus terserempak sepasukan anggota polis sedang menjalankan sekatan jalan raya dalam Ops Samseng Jalanan di lokasi terbabit.

Menurut sumber, dua sahabat itu yang berasal dari Kampung Tanjung Putat, Kuala Berang, menunggang motosikal jenis Honda Ex5 dari arah Pulau Kambing menghala ke pusat bandar dipercayai untuk bersiar-siar sempena cuti hujung minggu.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi dan ternampak sekatan jalan raya, mereka nekad melarikan diri ke arah Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sebelum meninggalkan motosikal di kawasan berhampiran lalu terjun ke dalam sungai.

“Mereka berendam di dalam sungai berkenaan hampir sejam dan mungkin kepenatan serta kesejukan, akhirnya mereka naik ke tebing selain dipujuk oleh anggota polis dan anggota Rakan Cegah Jenayah Terengganu yang turut sama membantu,” katanya.

Katanya, berikutan tindakan berani mereka itu menyebabkan pembonceng yang berusia 20 tahun dan bekerja sebagai buruh serta rakannya cedera di bahagian kaki dan tangan.

Mereka kemudiannya dibawa balik ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk tindakan selanjutnya. Siasatan awal mendapati penunggang motosikal itu tidak memiliki lesen memandu sah dan motosikal yang ditunggangi mereka tidak mempunyai cukai jalan selain turut menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Ishak berkata, operasi yang diketuai seorang pegawai dan 14 anggota trafik IPD Kuala Terengganu itu berjaya mengeluarkan sejumlah 43 saman melibatkan 45 kesalahan termasuk menyita sebuah motosikal milik dua lelaki yang cuba meloloskan diri dalam sekatan.

Katanya, dua lelaki yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membuat penyataan palsu.

Antara kesalahan dilakukan pesalah trafik sepanjang sekatan jalan raya tersebut adalah tidak memiliki lesen memandu sah, cukai jalan tamat tempoh dan mengubahsuai kenderaan,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian, 9 Julai 2012.

Jangan tak percaya- Warga emas umur 90 tahun pun ambil lesen memandu. Anda bila lagi?

BATU PAHAT 30 Jun – Setelah menunggang motosikal secara ‘haram’ selama 72 tahun, seorang tukang urut berusia 90 tahun berasa amat bertuah apabila mendapat lesen B2 menerusi program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini hari ini.

Lelaki dari Kampung Parit Sidik, Semerah di sini, Ngamin Ngarjo mengakui menunggang motosikal tanpa lesen sejak berusia 18 tahun, tetapi bernasib baik kerana belum pernah disaman.

“Namun saya sedar, jika berlaku kemalangan boleh ‘mati katak’ kerana tidak dilindungi oleh insurans.

“Saya bersyukur kerana JPJ turun padang membantu warga emas seperti saya untuk mendapatkan lesen motosikal kerana kalau hendak jalani ujian berkomputer sampai bila pun tak lulus,” katanya.

Seramai 585 peserta berusia 45 tahun ke atas berjaya mendapat lesen B2 yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad pada program Satu Komuniti Satu JPJ peringkat Parlimen Parit Sulong siri Ke-2 di Semerah.

Baru-baru ini, siri pertama program itu diadakan di Sri Medan yang menyaksikan 544 peserta berjaya mendapat lesen B2, sekali gus menjadikan sejumlah 1,129 orang memperoleh lesen tersebut di kawasan Parlimen Parit Sulong.

Sementara itu, Ismail berkata, menerusi program tersebut pegawai JPJ turun padang bagi membantu peserta, khususnya golongan veteran di luar bandar untuk mendapatkan lesen B2.

Kebiasaannya golongan ini boleh menunggang motosikal tetapi menghadapi kesukaran untuk lulus ujian bahagian satu yang menggunakan komputer. Justeru JPJ menggantikan ujian itu dengan soalan lisan.

“Kita perlu ingat, motosikal menjadi satu keperluan bagi golongan ini sama ada hendak ke kebun, ke pasar mahupun menghantar cucu ke sekolah. Jadi kita ambil pendekatan untuk datang kepada mereka, bukan mereka datang kepada kita,” katanya.

Beliau berkata, selain menyalahi undang-undang, penunggang motosikal tanpa lesen tidak dilindungi oleh insurans, justeru mendedahkan individu tersebut kepada pelbagai risiko seandainya berlaku kemalangan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad berkata, program itu juga merupakan inisiatif kerajaan untuk memastikan warga emas tidak malu mengambil lesen demi keselamatan mereka.

Beliau terkejut mendapati 65 peratus peserta program terdiri daripada wanita.

“Menerusi program ini, kita kumpulkan golongan yang veteran untuk mengambil lesen kerana mungkin mereka malu untuk ambil ujian bersama anak-anak remaja yang lain,” katanya.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 1 Julai 2012.