Belajar memandu harus 22 jam.

Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggunakan silibus baru bagi Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) mulai Ogos nanti dengan beberapa penambahbaikan termasuk penambahan satu jam latihan memandu.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, silibus itu akan menggantikan modul yang digunakan sebelum ini selaras dengan hasrat melahirkan pemandu yang lebih berkualiti dan berkemahiran tinggi.

Pelaksanaan silibus baru itu akan menyaksikan pertambahan jumlah jam latihan daripada 21 kepada 22 jam.

“Pertambahan jumlah jam latihan ini bukan untuk membebankan calon, tetapi memastikan mereka dilengkapi dengan kemahiran pemanduan yang tinggi, bukan calon yang boleh memberi risiko kepada pemandu lain atau diri sendiri kelak,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Ismail berkata, KPP akan dikeluarkan dalam bentuk tiga buku seperti manual penguji kelas D Automatik, Kelas D Manual serta Motosikal yang memberi tumpuan kepada kategori lesen yang dipilih pelanggan.

“Sebelum ini, statistik calon yang lulus ujian lesen L hanya 45 peratus, namun selepas silibus baru diperkenalkan kita meletakkan sasaran supaya 75 peratus calon akan lulus ujian itu.

“Bukan setakat memperkenalkan silibus baru, malah ujian L yang akan diduduki calon juga akan diubah supaya tidak ada lagi soalan ujian KPP yang mengelirukan dan disediakan mengikut kategori lesen dipelajari mereka,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, JPJ akan melaksanakan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dikenali sebagai Sistem Berimpak Tinggi mulai April tahun depan bagi menyekat kegiatan lesen terbang pada peringkat tenaga pengajar dan pegawai penilai JPJ.

Beliau berkata, ketika ini sistem JPJ hanya menggunakan 10 peratus kemudahan ICT, sebelum diperluaskan kepada 80 peratus bagi membendung kegiatan itu.

“Ini kerana kaedah manual yang ada sekarang tidak mampu menghalang kegiatan pembelian lesen terbang, sekali gus menyukarkan kita mengesan siapa pemberi dan penerima rasuah.

“Pembangunan semula sistem pengkomputeran JPJ menerusi mySikap sedang dijalankan ketika ini untuk mengawal selia semua proses secara ICT membabitkan peringkat pendaftaran calon sehingga lesen dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, ia juga akan dilengkapi sistem sistem pengimbas cap jari (biometrik) dan calon perlu melakukannya setiap kali keluar masuk di institut memandu.

 

Sumber: Harian Metro, 4 Julai 2014.

Ujian lesen memandu bakal diselia guna ICT.

PUTRAJAYA – Ujian untuk mendapatkan lesen memandu kenderaan akan dikawal selia secara teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mulai April depan bagi mengelak penyelewengan dalam memperoleh lesen tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, sistem itu sedang dibangunkan sekali gus akan menambah baik sistem pengujian sedia ada yang diperkenal di institut memandu.

“Kini ujian berkomputer hanya digunakan untuk ujian undang-undang bahagian satu manakala bahagian dua dan tiga iaitu ujian mendaki bukit, memparkir kenderaan serta memandu di atas jalan raya diselia oleh pegawai JPJ sepenuhnya,”katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Ismail, melalui sistem ICT itu, pegawai JPJ hanya memainkan 40 peratus peranan untuk menentukan sama ada seseorang calon itu gagal atau lulus manakala 60 peratus lagi ditentukan menerusi sistem tersebut.

“Apabila sistem itu sendiri yang menentukan sama ada calon itu berjaya atau gagal, kita jangka unsur penyelewengan tidak mudah berlaku berbanding menggunakan tenaga kerja manusia yang mungkin mempunyai unsur ’kaw tim’ (bertolak ansur) dan sebagainya,” jelasnya. – Bernama, 3 Julai 2014.

Pentingnya menarik brek tangan- Boleh membawa maut.

Gombak: Gara-gara terlupa menarik brek tangan ketika memberhentikan kenderaan, seorang pemandu lori maut apabila dia dihempap muatan lorinya yang tiba-tiba bergerak ketika mangsa mahu membuka kanvas muatan dibawanya dalam kejadian di tapak pembuangan sampah Jalan Sungai Pusu, di sini, kelmarin.

Menurut sumber polis, dalam kejadian jam 4.20 petang itu, mangsa berusia 49 tahun dipercayai memandu lori 10 tan dari ibu negara ke tempat kejadian bagi membuang sisa konkrit di lokasi berkenaan.

Katanya, sebaik tiba, mangsa dipercayai tidak mematikan enjin serta menarik brek tangan sebaliknya terus turun daripada lori sebelum memanjat ke bahagian belakang kenderaannya bagi membuka kanvas.

“Siasatan awal mendapati lori itu diletakkan di kawasan yang agak curam sebelum ia menggelungsur secara tiba-tiba dan terbalik ketika mangsa berada di belakang lorinya,” katanya.

Berikutan kejadian itu, mangsa mati di tempat kejadian kerana dihempap sisa konkrit yang dibawa selepas lorinya terbalik.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Selayang bagi bedah siasat.

 

Sumber: Harian Metro, 1 Julai 2014.