JPJ: Ibu bapa perlu pantau anak bermotosikal.

KANGAR 7 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengingatkan ibu bapa di negeri ini supaya tidak sewenang-wenangnya membiarkan anak-anak mereka yang tidak memiliki lesen memandu menjadikan motosikal sebagai kenderaan ke sekolah.

Pengarahnya, Zulhasmi Mohamad berkata, kebanyakannya ibu bapa sanggup memberikan motosikal milik sendiri atau keluarga untuk digunakan anak ke sekolah kerana enggan menghantarnya sendiri atas alasan sibuk dan sebagainya.

Purata pelajar yang berusia antara 13 hingga 17 di negeri ini didapati menggunakan motosikal tanpa lesen untuk ke sekolah setiap hari di mana mereka terdedah kepada kemalangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa atau cacat anggota seumur hidup,” katanya ketika ditemui semasa operasi khas motosikal sempena Aidilfitri di sini malam semalam.

Zulhasmi berkata, kemalangan motosikal di kalangan pelajar sekolah kerap berlaku tetapi kalangan ibu bapa masih tidak endah terhadap keselamatan anak-anak.

Jangan berkira soal kewangan untuk membolehkan anak-anak mempunyai lesen memandu apabila cukup mengikut umur yang dibenarkan JPJ supaya kes penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan maut dapat dikurangkan,” katanya.

Katanya, sepatutnya ibu bapa jangan sesekali membenarkan anak-anak menunggang motosikal ke sekolah atau ke mana-mana sahaja selagi tidak memiliki lesen memandu.

Beliau berkata, ini penting kerana pengguna jalan raya yang mempunyai lesen memandu akan dilindungi oleh insurans jika berlaku sebarang kemalangan.

Zulhasmi berkata, jika anak sudah mempunyai lesen memandu pula harus pastikan motosikal yang ditunggang itu mempunyai lesen kenderaan.

Sementara itu Zulhasmi berkata, sempena dengan Ops Motosikal Aidilfitri 2014 pada 22 Julai, 3 Ogos dan 5 Ogos di lokasi Kilometer 1.5 Jalan Kangar- Alor Setar yang melibatkan 80 anggota di mana sebanyak 188 notis telah dikeluarkan.

Katanya, selain itu sebanyak 214 kes telah dikesan di mana 113 didapati tidak mempunyai lesen memandu dan 68 pula tiada lesen kenderaan.

Beliau berkata, sepanjang operasi itu juga hanya satu kes dikesan melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun tidak mempunyai lesen memandu dan motosikal yang ditunggangnya itu juga turut disita.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang menyertai operasi berkenaan juga terdapat juga kes penunggang motosikal didapati positif dadah.

Sumber: Utusan Malaysia, 8 Ogos 2014.

Pelajar sekolah menengah dapat topi keledar percuma

BATU PAHAT 5 Ogos – Sebanyak 500 pelajar sekolah menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan menerima topi keledar percuma yang disumbangkan Pusat Khidmat ADUN kawasan itu.

Sumbangan yang turut mendapat kerjasama Kelab Putera 1Malaysia itu diberikan kepada pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah supaya mereka menggunakan topi keledar yang selamat dan diluluskan.

ADUN Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, pemberian topi keledar itu hanya kepada pelajar yang layak iaitu mereka yang mempunyai lesen memandu kelas B atau B2 yang sah.

Tujuan utama pemberian topi keledar secara percuma ini adalah sebagai salah satu langkah untuk memastikan pelajar yang menunggang motosikal menggunakan topi keledar yang baik dan telah diakui keselamatannya.

“Sebelum ini saya lihat ada di antara pelajar yang memakai topi keledar yang tidak selamat, pelbagai jenis dan bentuk yang tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya selepas menyampaikan 150 topi keledar itu kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penghulu Saat, di sini baru-baru ini.

Selain SMK Penghulu Saat, pelajar SMK Dato’ Sulaiman dan SMK Sri Medan turut menerima topi tersebut hasil kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah terlibat.

Zulkurnain berharap, pemberian topi keledar tersebut dapat menunjukkan imej yang baik kepada para pelajar dan menjadi contoh kepada pelajar sekolah lain dan orang ramai di sekelilingnya.

“Mereka yang menerima topi keledar berkenaan perlulah menjaganya dengan baik dan dipakai apabila menunggang motosikal, selain berharap topi itu tidak disalah gunakan,” katanya.

Sumber:  Utusan Malaysia, 6 Ogos 2014.

PPIM: Ujian memandu secara ICT wajar dilaksana.

KUALA LUMPUR 8 Julai – Pelbagai pihak mengalu-alukan langkah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan sistem ujian lesen memandu secara teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi mengurangkan kemungkinan penyelewengan dalam kalangan anggota agensi itu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya juga percaya langkah tersebut akan dapat memastikan hanya pemohon lesen yang benar-benar lulus ujian sahaja memandu di atas jalan.

“Walaupun sistem itu akan menyebabkan kesukaran kepada pemohon untuk lulus, kaedah tersebut dapat membendung kemalangan jalan raya.

Biar sedikit serta sukar mendapat lesen asalkan bernilai untuk keselamatan diri sendiri mahupun orang lain. Tambahan pula, semua pemohon perlu mengikuti kursus dan latihan memandu dalam tempoh yang panjang supaya lesen itu tidak diperoleh dengan mudah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad baru-baru ini, berhubung pengenalan sistem baharu untuk mendapatkan lesen memandu kenderaan yang akan dikawal selia secara ICT mulai tahun depan.

Menurut Ismail, sistem itu sedang dibangunkan, sekali gus akan menambah baik sistem pengujian sedia ada yang diperkenalkan di institut memandu iaitu pegawai JPJ hanya memainkan 40 peratus peranan bagi menentukan sama ada seseorang calon itu gagal atau lulus manakala 60 peratus lagi ditentukan menerusi sistem berkenaan.

Utusan Malaysia dalam laporan khas pada 13 Julai 2011, menyatakan satu kurikulum memandu baharu akan dilaksanakan JPJ bertujuan mengurangkan kadar kemalangan yang tinggi di dalam negara.

Bekas Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Solah Mat Hassan berkata, pelaksanaan itu yang tertangguh sebelum ini hanya menunggu masa untuk dilaksanakan bergantung pada persediaan pihak industri latihan terlibat.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna (PKP) Kuala Lumpur, Samsudin Mohamad Fauzi turut menyokong pelaksanaan sistem ujian baharu itu kerana dapat mengurangkan penyelewengan dalam kalangan pegawai JPJ.

“Sistem ini lebih baik tetapi pemantauan berterusan masih perlu dilakukan terhadap anggota dan pegawai JPJ,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia,9 Julai 2014.

Belajar memandu di Kedah dipantau

BALING 14 Mei – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengambil pendekatan serius yang lebih efektif terhadap calon baru dan institut latihan memandu di negeri ini bagi melahirkan lebih ramai pemandu cekap dan berhemah di jalan raya selepas mendapat lesen.

Pengarahnya, Ahmad Musadad Sulaiman berkata, pendekatan itu ialah memberi penekanan terhadap latihan dan pengajaran serta memantau kesemua 16 institut itu di Kedah.

“Ia penting kerana setiap institut terbabit bertanggungjawab melahirkan lebih ramai pemandu yang berdisiplin di jalan raya ke arah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Memandu Pakatan Latihan Baling di sini, hari ini.

Beliau berkata, tenaga pengajar institut memandu bertanggungjawab memastikan semua sukatan pembelajaran disampaikan dengan berkesan kepada calon latihan memandu.

“JPJ amat mengharapkan kerjasama setiap institut supaya mengikut sukatan pembelajaran yang ditetapkan oleh JPJ agar pemandu baru mematuhi peraturan jalan raya apabila mereka selesai mengikuti latihan dan pengujian,” katanya.

Terdahulu, beliau turut meninjau bangunan untuk dijadikan pejabat kecil JPJ di daerah ini bagi memudahkan masyarakat setempat berurusan dengan JPJ tanpa perlu ke Kulim atau Sungai Petani.

“Pejabat kecil JPJ di daerah ini perlu kerana memberi kemudahan kepada penduduk di luar bandar mendapat faedah kerana jarak untuk berurusan dengan JPJ Sungai Petani dan Kulim amat jauh,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta ibu bapa agar menasihatkan anak-anak mereka sentiasa memakai topi keledar ketika menunggang motosikal dan jangan menganggapnya sebagai perkara remeh.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 16 Mei 2011.

Ujian memandu akan datang boleh guna kereta auto

Penambahbaikan silibus kurikulum latihan mantapkan pemanduan lebih komprehensif

KUALA LUMPUR: Pelatih yang mahu mendapatkan lesen memandu akan dibenarkan menjalani latihan dan ujian menggunakan kenderaan transmisi automatik tidak lama lagi selepas kerajaan meluluskan penambahbaikan silibus kurikulum latihan memandu sedia ada yang menggunakan kenderaan transmisi manual.

Berikutan itu, mereka yang lulus ujian menggunakan kenderaan gear automatik akan mendapat lesen yang mengandungi catatan khas sebagai lesen kenderaan automatik dan hanya dibenarkan memandu kenderaan jenis itu saja, manakala yang memilih ujian manual boleh memandu kedua-dua jenis kenderaan.Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata, kurikulum baru itu sudah siap sepenuhnya dan dijangka diperkenalkan tidak lama lagi selepas Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima peruntukan daripada kerajaan.

“Pelaksanaan sistem itu selaras permintaan orang ramai, manakala penambahbaikan silibus kurikulum akan turut memasukkan elemen nilai tambah untuk melahirkan pemandu kompeten, berhemah dan berdisiplin.

“Melalui sistem terbaru itu, calon mempunyai pilihan untuk menjalani ujian memandu menggunakan kenderaan transmisi automatik, berbanding sekarang yang membenarkan mereka menggunakan kenderaan manual sahaja.

“Kerajaan mendengar permintaan orang ramai berikutan penggunaan kenderaan transmisi automatik semakin meluas di negara ini. Saya tidak menjangkakan institut memandu akan menghadapi masalah untuk menjayakan sistem baru itu nanti,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Abdul Rahim berkata, penambahbaikan silibus bertujuan memantapkan kurikulum latihan memandu secara komprehensif bagi melahirkan pemandu yang bukan saja mahir mengendalikan kenderaan dan mengetahui peraturan jalan raya, malah meliputi penerapan aspek menyeluruh.

Bagi tujuan itu, suntikan input diperoleh daripada pelbagai pihak berkaitan, berkepakaran dan berkepentingan, termasuk Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Sementara itu, Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA) , Mat Aris Bakar, berkata penambahbaikan silibus berkenaan adalah yang pertama kali dalam tempoh 13 tahun kurikulum latihan memandu dilaksanakan setakat ini.

Pada Mesyuarat Agung PIMA di Kota Bharu pada 18 Mac lalu, beliau berkata, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, memaklumkan ahli persatuan bahawa kurikulum baru berkenaan lebih efektif serta membabitkan elemen kognitif dan psikomotor yang antara lain memberi penekanan terhadap aspek pengurusan risiko dan emosi.

“PIMA menyambut baik penambahbaikan silibus kurikulum latihan memandu ini dan akan memberikan kerjasama penuh menjayakannya. Pelaksanaan itu juga akan memerlukan kira-kira 12,000 tenaga pengajar di sebanyak 174 institut memandu seluruh negara menjalani kursus secara berperingkat,” katanya.

Mengenai laporan akhbar semalam yang memetik Solah sebagai berkata, ada institut memandu menggunakan khidmat tenaga pengajar tidak terlatih dan kenderaan tiada perlindungan insurans bagi melatih calon yang mahu mendapatkan lesen memandu, Mat Aris mengaku terkejut dan menegaskan perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana ia membabitkan keselamatan.

Sumber: Berita Harian, 30 Mac 2011.

Kempen jalan raya dikembang ke semua sekolah

KUALA LUMPUR 15 Mei – Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya akan dikembangkan ke sekolah-sekolah seluruh negara bagi mendidik pelajar-pelajar, ibu bapa dan guru akan pentingnya keselamatan jalan raya.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh, kempen tersebut akan turut melibatkan pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta sekolah-sekolah memandu.

“Pihak sekolah akan bekerjasama dengan PIBG serta JKJR untuk bertemu dengan ibu bapa dan pelajar bagi memberi kesedaran tentang aspek keselamatan jalan raya.

“Kita juga akan menasihatkan ibu bapa supaya tidak membenarkan anak mereka yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal atau memandu ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjayakan Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya anjuran JKJR di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah.

Suret Singh berkata, projek perintis bagi kempen itu telah dijalankan di Ampang yang melibatkan beberapa sekolah dan juga sekolah memandu.

“Terdapat sekolah memandu yang menyediakan pakej diskaun kepada mereka yang berumur 16 tahun ke atas bagi mendapatkan lesen memandu.

“Pakej ini adalah sebahagian tanggung jawab sosial sekolah memandu bagi membolehkan pelajar mendapatkan lesen dan belajar memandu dengan betul dan cermat serta mematuhi undang-undang jalan raya,” tambahnya.

Sementara itu, dalam kempen yang diadakan itu, kesedaran bagi pejalan kaki, penggunaan topi keledar serta penggunaan tali pinggang keledar di tempat duduk belakang dititikberatkan.

Menurut Suret Singh, pejalan kaki digesa mematuhi arahan keselamatan jalan raya dengan menggunakan lintasan yang telah disediakan bagi mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak diingini.

Selain itu, sebanyak 50 buah topi keledar dan pelekat peringatan kelajuan diagihkan kepada penunggang motosikal melalui Program Gantian Topi Keledar.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 16 Mei 2009.