Selangor Edar Topi Keledar Percuma Di Kawasan Luar Bandar

SHAH ALAM, 17 Sep (Bernama) — Selangor menerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri itu mengambil langkah mengedarkan topi keledar secara percuma di kawasan luar bandar dalam usaha mengurangkan kemalangan terutamanya kemalangan maut.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata langkah itu diambil sebagai kempen kesedaran berhubung kepentingan memakai topi keledar bagi penunggang dan pembonceng motosikal terutamanya di kawasan luar bandar serta pinggir bandar.

Beliau berkata dua kawasan utama yang diberi tumpuan sempena kempen berkenaan ialah Gombak dan Klang dekat sini di mana kebanyakan pengguna motosikal masih mengabaikan pemakaian topi keledar.

“Kita bagi secara percuma supaya mereka sedar dan tahu bahawa dengan memakai topi keledar ia akan membantu menyelamatkan nyawa sekiranya berlaku kemalangan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cenderahati Aidilfitri, jaket pantul cahaya dan topi keledar kepada pengguna laluan plaza Tol Batu 3 di sini pada Khamis.

Abdul Khalid berkata kempen pemilikan lesen memandu kelas B2 pada kadar rendah turut diteruskan dalam usaha menggalakkan mereka yang kurang berkemampuan memiliki lesen menunggang motosikal.

Beliau berkata kempen itu dijalankan sejak 2007 dengan kerjasama beberapa institut latihan memandu yang memberikan pengurangan bayaran kepada golongan kurang berkemampuan untuk memiliki lesen.

Katanya selain itu Selangor turut melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena sambutan perayaan Aidilfitri dan Tahun Baru Cina memandangkan orang ramai mengambil kesempatan pulang ke kampung sempena cuti.

Abdul Khalid berharap usaha yang dijalankan itu dapat membantu mengurangkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di negeri itu pada tahun ini berbanding 1,083 kematian dicatatkan pada tahun lepas, iaitu negeri tertinggi mencatat jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya.

–BERNAMA

FOMCA syor batal lesen pemandu tak berhemah

Tindakan tegas sedarkan pihak langgar peraturan jalan raya

KUALA LUMPUR: Batalkan serta-merta lesen pemandu tegar yang sering melanggar peraturan jalan raya khususnya menyebabkan kematian.

Itulah saranan Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman yang menurutnya langkah tegas bagi menyedarkan mereka yang sengaja tidak mahu menghormati peraturan keselamatan jalan raya.

Beliau berkata, walaupun pelbagai kempen keselamatan jalan raya dianjurkan bagi mendidik pengguna jalan raya, masih ramai memandang remeh usaha murni kerajaan.

“Yang sedihnya, masih ada pemandu degil dan terus melakukan kesalahan walaupun mereka tahu perbuatan itu tidak harus dilakukan.

“Pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan banyak mengeluarkan saman terhadap mereka yang melanggar peraturan, namun masih ada yang mengulangi ke-salahan sama,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Mohd Yusof berkata, walaupun pemandu mengetahui melanggar lampu isyarat, memandu melebihi had laju dan memotong di lorong kecemasan adalah kesalahan serius, ada yang tidak mempedulikannya.

“Sebagai pemandu kita harus mendisiplin diri.

“Jika tidak boleh menghormati peraturan jalan raya, hukuman berat perlu dikenakan supaya mereka mematuhinya.

“Tindakan tegas membatalkan lesen serta-merta tidak harus dilihat sebagai hukuman kejam, sebaliknya bertujuan mendidik mereka yang tidak mahu menghormati peraturan,” katanya.

Mohd Yusof berkata, selain membatalkan lesen, mereka juga perlu diwajibkan melakukan kerja kemasyarakatan.

Sumber: Berita Harian, 25 September 2009.