Pentingnya menarik brek tangan- Boleh membawa maut.

Gombak: Gara-gara terlupa menarik brek tangan ketika memberhentikan kenderaan, seorang pemandu lori maut apabila dia dihempap muatan lorinya yang tiba-tiba bergerak ketika mangsa mahu membuka kanvas muatan dibawanya dalam kejadian di tapak pembuangan sampah Jalan Sungai Pusu, di sini, kelmarin.

Menurut sumber polis, dalam kejadian jam 4.20 petang itu, mangsa berusia 49 tahun dipercayai memandu lori 10 tan dari ibu negara ke tempat kejadian bagi membuang sisa konkrit di lokasi berkenaan.

Katanya, sebaik tiba, mangsa dipercayai tidak mematikan enjin serta menarik brek tangan sebaliknya terus turun daripada lori sebelum memanjat ke bahagian belakang kenderaannya bagi membuka kanvas.

“Siasatan awal mendapati lori itu diletakkan di kawasan yang agak curam sebelum ia menggelungsur secara tiba-tiba dan terbalik ketika mangsa berada di belakang lorinya,” katanya.

Berikutan kejadian itu, mangsa mati di tempat kejadian kerana dihempap sisa konkrit yang dibawa selepas lorinya terbalik.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Selayang bagi bedah siasat.

 

Sumber: Harian Metro, 1 Julai 2014.

Ujian memandu guna transmisi auto diTANGGUH ke Jun 2014.

ALOR GAJAH – Penggunaan kenderaan transmisi automatik bagi ujian memandu yang dirancang dilaksanakan pada 1 April lalu terpaksa ditangguhkan kepada pertengahan tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob berkata, ia berikutan masalah teknikal melibatkan percetakan buku Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) yang sepatutnya diedarkan bermula Mac lepas.

“Kita mempunyai masalah proses pencetakan sehingga menyebabkan buku itu gagal disiapkan mengikut jadual,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) bagi Dewan Undangan Negeri Gadek di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Pay Chee di sini semalam.

Katanya, pencetakan buku KPP memerlukan penelitian rapi kerana ia melibatkan pengenalan kurikulum baharu.

Beliau berkata, buku yang akan dicetak 600,000 naskhah setiap tahun itu dilengkapi dua silibus iaitu kurikulum bagi penggunaan kereta manual dan juga automatik.

Buku ini dijangka diedarkan pada Mei kepada semua institusi memandu sebelum ujian bagi kereta automatik dilaksanakan sepenuhnya pada Jun depan,” katanya.

Sumber: Kosmo, 20 April 2014.

Pemandu degil adalah termasuk pemandu warga asing.

SEREMBAN 21 Okt. – Kedegilan segelintir pengguna memandu kenderaan tanpa cukai jalan dan lesen mengundang padah apabila lapan motosikal dan enam kereta disita anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar Bandar Baru Nilai di sini malam tadi.

Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah memberitahu, operasi di lima buah lokasi di bandar itu bermula pukul 8 malam dan mensasarkan penunggang motosikal dan pemandu yang melanggar peraturan lalu lintas.

Menurutnya operasi itu tidak hanya tertumpu kepada pemilik kenderaan tempatan sahaja akan tetapi melibatkan kenderaan warga Singapura yang didapati turut melanggar peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

“Sepanjang operasi ini JPJ mengeluarkan sebanyak 178 saman dan 62 notis arah periksa kepada pemandu warga asing dan tempatan atas pelbagai kesalahan.

“Berdasarkan pemeriksaan yang kita jalankan, kebanyakan kesalahan yang dilakukan adalah tidak memiliki lesen memandu, tiada cukai jalan dan tiada pelindungan insurans.

“Operasi ini dibuat berikutan aduan orang ramai mengenai tindakan pemandu dan penunggang motosikal yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya khususnya di bandar ini,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi itu malam tadi.

Saiful Azzri memberitahu, operasi melibatkan 80 anggota penguat kuasa dan pegawai yang terdiri daripada anggota JPJ, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Operasi berkenaan turut menyaksikan beberapa penunggang motosikal yang bertindak menunggang melawan arus untuk meloloskan diri daripada ditahan pihak berkuasa namun usaha mereka sia-sia apabila ditahan di lokasi berdekatan.

Beliau berkata, JPJ akan menjalankan operasi berkala bagi memastikan pengguna kenderaan mematuhi undang-undang jalan raya dan pada masa sama dapat mengurangkan risiko kemalangan.

Sumber: Utusan Malaysia,  22 Oktober 2012.

Ops Sikap BELUM berjaya didik pemandu berhemah di jalan raya.

Oleh Pengarang BH.

OPS Sikap yang ke-24 seperti dijangka, tidak mampu mengurangkan jumlah kematian di jalan raya ketika sambutan perayaan berganda Aidilfitri dan Hari Kebangsaan ini. Setakat Rabu, 166 pengguna jalan raya dilaporkan terkorban. Pihak polis sudah mengerahkan anggota tambahan untuk mengawal lalu lintas serta menghindar pemandu daripada melanggar peraturan jalan raya. Namun jika ditambah dua kali ganda jumlah anggota polis itu, jumlah korban jalan raya mungkin tetap menunjukkan peningkatan. Polis juga mengubah pendekatan yang diambil iaitu daripada semata-mata memberi tumpuan kepada penguatkuasaan kepada memberi kata nasihat. Bagaimanapun, berdasarkan lonjakan 26 peratus jumlah korban setakat seminggu Ops Sikap dilaksanakan, pendekatan baru itu terbukti belum membuahkan sebarang hasil. Adalah jelas tidak banyak lagi yang boleh dilakukan polis. Saban tahun beribu-ribu anggota keselamatan mengorbankan cuti raya mereka bersama-sama keluarga, semata-mata untuk memastikan kebanyakan daripada kita selamat pulang ke kampung halaman. Pihak media turut memainkan peranan memberi peringatan kepada pengguna jalan raya agar memandu berhati-hati untuk mengelak sebarang kecelakaan menimpa diri mereka dan keluarga. Bagaimanapun usaha terbabit nampaknya tidak memberi sebarang kesan kepada sesetengah pengguna jalan raya.

Mengikut perangkaan polis, daripada jumlah kematian sepanjang Ops Sikap 2011, 60 peratus daripada yang terkorban itu ialah penunggang motosikal. Berdasarkan perangkaan berkenaan agak mudah untuk kita membuat kesimpulan bahawa kelompok pengguna jalan raya inilah yang harus dipersalahkan di atas peningkatan jumlah korban. Namun, hakikatnya kemalangan membabitkan motosikal turut disebabkan oleh pemandu kenderaan lyang tidak menghiraukan keselamatan pengguna lain.

Antara kesalahan yang banyak ditegur polis ialah kecenderungan sesetengah pemandu untuk meletak kenderaan di lorong kecemasan tanpa sebarang alasan kecemasan. Sikap seperti ini sudah tentu membahayakan penunggang motosikal yang menggunakan lorong berkenaan bagi mengelak kenderaan yang lebih laju di lorong biasa. Mungkin ada baiknya dipertimbangkan saranan ini agar syarat mendapatkan lesen memandu diperketatkan lagi dengan turut memberi penekanan kepada kemahiran memandu dengan selamat. Kita perlu memahami bahawa pemilikan lesen memandu hanya bermaksud kita dibenarkan memandu dan bukan bererti kita sudah mahir memandu. Dengan peningkatan kes kemalangan maut di jalan raya, ini bermakna kebanyakan kita BUKANlah pemandu yang mahir.

Sumber: Berita Harian, 25 Ogos 2012.

Awas! 1,800 anggota JPJ bertugas dalam Ops Raya.

ALOR SETAR 6 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menugaskan seramai 1,806 anggotanya dalam operasi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan sasaran mengurangkan kadar kemalangan dan angka kematian jalan raya, khususnya membabitkan penunggang serta pembonceng motosikal.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ, Jaafar Mohamed berkata, dalam operasi penguatkuasaan selama 15 hari bermula 12 Ogos ini, anggota yang terlibat akan memantau 32 terminal bas, membuat penyamaran dalam bas ekspres dan mengawasi ‘kawasan hitam’ di seluruh negara.

Katanya, anggota yang ditempatkan di terminal bas akan membuat pemeriksaan termasuk tayar dan brek bas bagi memastikan ia berfungsi dengan baik sebelum memulakan perjalanan membawa penumpang ke destinasi dituju.

“Kami juga bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi memeriksa pemandu bas agar bebas daripada pengaruh dadah atau bahan terlarang,” katanya kepada pemberita pada Ops Pra Perayaan di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini malam tadi.

Pada operasi bersepadu yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), AADK, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Puspakom itu, sebanyak 111 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan dan sejumlah 26 motosikal disita.

Jaafar berkata, anggota JPJ turut melakukan penyamaran di dalam bas ekspres bagi memantau kesalahan dilakukan oleh pemandu seperti gagal mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Katanya, jabatan berkenaan juga menggunakan pendekatan psikologi iaitu meletakkan anggota di 96 ‘kawasan hitam’ di seluruh negara selama 24 jam selain pemasangan blinkers bagi memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya.

 

 

Sumber: Utusan Malaysia, 7 Ogos 2012.

Ops Khas JPJ kutip 157 saman

KUANTAN 18 Nov. – Sebanyak 157 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal dan pemandu kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang di Jalan Tanah Putih di sini malam semalam.

Operasi empat jam bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) bermula pukul 9.30 malam itu diketuai Ketua Unit Operasi JPJ negeri, Yusoff Mohd. Nor bersama 110 anggota pelbagai agensi.

Pengarah JPJ negeri, Datuk Zakaria Man berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 26 kesalahan termasuk tiada lesen memandu serta lesen tamat tempoh dikesan manakala dua pemandu teksi didapati tidak memiliki permit.

“Turut direkodkan, sebanyak 33 kesalahan cukai jalan tamat tempoh, 16 kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, 35 kes cermin gelap dan dua kesalahan teknikal,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Katanya, empat pengguna kenderaan berusia antara 20 hingga lingkungan 30-an turut didapati positif dadah selepas ujian air kencing dan mereka diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Operasi ini menumpukan pemeriksaan motosikal, namun pemilik kenderaan lain yang diperiksa didapati melakukan kesalahan.

“Selain itu, ada di kalangan pemandu kereta yang menggunakan cermin gelap dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” tambahnya.

Katanya, pemilik kenderaan yang disita akibat cukai jalan yang tamat tempoh melebihi setahun perlu datang ke pejabat cawangan JPJ untuk memperoleh surat pengesahan sebelum boleh memperbaharui cukai jalan masing-masing.

“Pihak penguat kuasa bukan mahu mencari kesalahan pengguna jalan raya untuk disaman, tetapi lebih kepada mengurangkan risiko kemalangan selain menimbulkan kesedaran untuk kebaikan semua pihak,” jelasnya.

 

 

Sumber: Utusan Malaysia, 15 November 2011.

Ops besar-besaran JPJ menjelang Hari Raya

MIRI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan operasi besar-besaran menjelang Hari Raya Aidilfitri ini bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan terutama dalam pemakaian tali pinggang belakang kenderaan.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata walaupun pelbagai kempen telah diadakan, masih ramai penumpang enggan menggunakan tali pinggang belakang.
Tindakan saman boleh dikenakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu, katanya selepas upacara penutupan program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Khas Ba’kelalan di Ba’Kelalan di sini semalam.

 

Seramai 77 peserta terdiri daripada penduduk setempat dan kawasan sekitar lulus ujian dan menerima lesen memandu percubaan masing-masing.
Solah berkata berdasarkan pemerhatian pihaknya, kesedaran dan budaya pemakaian tali pinggang keledar di kalangan pemilik dan penumpang kenderaan belum lagi wujud.

 

Sumber: Harian Metro, 10 Ogos 2011.

17 maut di jalan raya setiap hari

BERA 18 Jun – Purata kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini pada setiap hari sepanjang tahun lalu adalah seramai 17 orang.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan (gambar)memberitahu, pihaknya mencatatkan 6,218 kes kemalangan maut daripada 397,330 kes kemalangan di seluruh negara pada tahun lalu.

Daripada jumlah kemalangan maut itu, kata beliau, penunggang dan pembonceng motosikal kekal sebagai penyumbang terbesar kepada kemalangan maut.

“Sungguhpun banyak usaha dilakukan oleh kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini, perangkaan kecelakaan masih tinggi dan membimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Satu Komuniti Satu JPJ’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Purun dekat sini hari ini.

Sementara itu, Solah berkata, JPJ tidak akan mengambil tindakan sewenang-wenangnya tanpa bukti yang lengkap terhadap pesalah trafik di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurut beliau, PBT perlu mengemukakan butir-butir kesalahan secara tepat dan terperinci termasuk nama, alamat, jenis dan waktu kesalahan bagi membolehkan JPJ menjalankan penelitian.

“Selagi tidak mempunyai bukti lengkap, JPJ tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya termasuk menyenarai hitam kenderaan atau pemandu terbabit,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi mengelak pemandu teraniaya.

Beliau memberitahu, pihaknya kini di peringkat akhir perbincangan dengan Kementerian Pelajaran bagi pengeluaran lesen memandu motor berkelompok kepada pelajar sekolah menengah berumur 17 tahun ke atas.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan pelajar memiliki lesen memandu yang sah dan tahu mengenai peraturan jalan raya.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 19 Jun 2011.

Awas! Mulai 1 Mei 2011 saman trafik akan disertakan gambar.

KUALA LUMPUR 28 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyertakan gambar kenderaan yang didapati melanggar undang-undang jalan raya di kawasan mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam setiap notis yang dihantar kepada pesalah trafik mulai 1 Mei ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, gambar tersebut akan diletakkan di bawah kaki notis yang dihantar dan orang ramai boleh menyatakan bantahan jika mendapati kenderaan tersebut bukan miliknya.

Kalau ada yang dakwa itu bukan kenderaan mereka (berdasarkan gambar), sila kemukakan bukti di mana-mana kaunter trafik,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Khalid memberitahu, kaedah tersebut diguna pakai bagi semua kesalahan lalu lintas asalkan gambarnya dirakam melalui CCTV termasuk memandu melebihi had laju, tidak memakai tali pinggang keledar dan membuat pusingan di kawasan yang tidak dibenarkan.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, orang ramai boleh membuat aduan jika masih ada anggota polis yang bertugas di balai-balai polis enggan menerima laporan yang dibuat.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai dan anggota polis yang enggan menerima laporan dibuat oleh pengadu biarpun di luar kawasan seliaan mereka.

Menurutnya, perkara tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat ‘Penyampaian Pasukan Khas’ bagi mengurangkan kes jenayah yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya hari ini.

“Perkara ini (enggan menerima laporan) sudah banyak kali kita sebut tetapi hari ini, saya ingin menyatakan lagi bahawa masyarakat boleh membuat laporan polis di mana-mana balai polis mengenai apa-apa perkara.

“Saya ingin mengingatkan anggota saya bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang masih lagi tidak mengikut arahan yang kita keluarkan iaitu enggan menerima laporan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 29 April 2011.

Apa kata pengguna: Perangkap laju tidak sesuai lagi diamalkan

SEJAK akhir-akhir ini, isu saman saban hari diperkatakan masyarakat majmuk di Malaysia tidak kira peringkat umur, bangsa dan agama.

Di Filipina, perangkap laju (speed trap) tidak diamalkan di negara itu terutama di lebuh raya. Rakyat di negara itu bebas untuk memandu kereta sama ada laju atau pun sebaliknya.

Di Malaysia, perangkap laju boleh dikatakan setiap hari dilakukan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM). Sebenarnya, saya kurang bersetuju dalam hal ini.

Cuba kita bayangkan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), jalannya lurus, kurang kereta, mustahil kita memandu sekitar 110 kilometer (km) sejam. Lebih-lebih lagi kereta yang kuasanya lebih besar. Sudah pasti pemilik kereta memandu lebih daripada yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Saya selalu berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu. Tidak munasabah memandu sekitar 80 hingga 110 km. Berapa jam hendak sampai ke destinasi yang hendak dituju?

Kebiasaannya dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu mengambil masa tujuh jam, itu pun dalam pemanduan antara 120 hingga 130 km di lebuh raya, manakala jalan biasa antara 70 hingga 90 km.

Bagi saya memandu dalam keadaan perlahan ada juga yang membahayakan, umpamanya mengantuk. Saya juga pernah beberapa kali terbabas ke bahu jalan disebabkan memandu di lebuh raya dalam keadaan perlahan.
Kesimpulannya, saya sangat tidak bersetuju terhadap saman perangkap laju ini. Namun, kekalkan saman yang lain sedia ada seperti melanggar lampu merah, memotong di garisan berkembar, tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan lain-lain kesalahan yang berkaitan undang-undang jalan raya di Malaysia.

AMIRUDDIN,
Petaling Jaya.

-Disiarkan dalam Berita Harian, 14 Mac 2011.