Ujian memandu guna transmisi auto diTANGGUH ke Jun 2014.

ALOR GAJAH – Penggunaan kenderaan transmisi automatik bagi ujian memandu yang dirancang dilaksanakan pada 1 April lalu terpaksa ditangguhkan kepada pertengahan tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob berkata, ia berikutan masalah teknikal melibatkan percetakan buku Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) yang sepatutnya diedarkan bermula Mac lepas.

“Kita mempunyai masalah proses pencetakan sehingga menyebabkan buku itu gagal disiapkan mengikut jadual,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) bagi Dewan Undangan Negeri Gadek di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Pay Chee di sini semalam.

Katanya, pencetakan buku KPP memerlukan penelitian rapi kerana ia melibatkan pengenalan kurikulum baharu.

Beliau berkata, buku yang akan dicetak 600,000 naskhah setiap tahun itu dilengkapi dua silibus iaitu kurikulum bagi penggunaan kereta manual dan juga automatik.

Buku ini dijangka diedarkan pada Mei kepada semua institusi memandu sebelum ujian bagi kereta automatik dilaksanakan sepenuhnya pada Jun depan,” katanya.

Sumber: Kosmo, 20 April 2014.

Luar Negara: Dek tempias K-pop, rakyat China gila lesen Korea

Sihueng (Korea Selatan): Rakyat China seolah-olah tidak pernah puas untuk memiliki produk Korea Selatan seperti muzik pop, drama TV, kosmetik dan fesyen.

Kini satu lagi produk “wajib” yang mereka cuba miliki lesen memandu Korea Selatan.
Di China, proses memiliki lesen memandu mengambil masa lama dan harganya mencecah dua kali ganda harga yang dikenakan bagi proses sama di Korea Selatan.

 

Ini mendorong pelancong China mengambil lesen memandu di Korea Selatan dan menukarnya ketika pulang ke negara mereka.
Di satu sekolah memandu di Seoul, terdapat kira-kira 200 pemohon dari China dalam masa sebulan, memenuhi separuh kelas ketika sesi teori dalam bahasa Korea dan tertumpu di hadapan skrin televisyen yang memaparkan soalan ujian bertulis dalam bahasa Mandarin. “Lebih mudah mendapatkan lesen memandu di Korea Selatan. Walaupun saya gementar, prosesnya cepat dan mudah untuk ditukarkan kepada lesen memandu China,” kata seorang pemohon, Wang Yingfang, 46.

 

Sumber: Harian Metro, 3 April 2014.

506 penduduk Pulau Sebatik dapat lesen motosikal.

TAWAU 7 April – Sebanyak 506 penduduk di Pulau Sebatik dekat sini memperoleh lesen menunggang motosikal melalui program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang terdiri daripada 407 penunggang lelaki dan 99 penunggang wanita.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata, program SKSJ itu merupakan program turun padang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan memberi manfaat buat penduduk kerana berpeluang mendapatkan lesen motosikal tanpa perlu ke bandar Tawau.

Penduduk yang melepasi ujian yang diadakan oleh JPJ itu diberikan lesen menunggang motosikal percubaan atau P, sekali gus menjadi satu kemudahan kepada golongan tersebut untuk memiliki dokumen penting itu,” katanya ketika berucap dalam penutupan Program SKSJ di Kampung Sungai Tongkang, Pulau Sebatik dekat sini semalam.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho.

Tambah Abdul Ghapur, usaha proaktif itu perlu diteruskan di tempat-tempat lain, khususnya di kawasan luar bandar yang kebanyakan penduduk di situ masih tidak mempunyai tempat latihan dan ujian bagi mendapatkan lesen.

Terdahulu dalam majlis itu, Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ariffin Che Mat berkata, program SKSJ telah memberi manfaat kepada 62,488 peserta di seluruh negara sejak dilancarkan pada tahun 2009.

Selain SKSJ katanya, JPJ turut giat melaksanakan program Mylesen yang bermula bulan ini bagi memberi kemudahan kepada orang ramai.

Tambahnya, JPJ komited untuk memberikan perkhidmatan yang berkesan dan terbaik kepada masyarakat, demi meningkatkan sistem penyampaiannya agar pelanggan sentiasa selesa untuk berurusan dengan mereka.

Sumber: Utusan Malaysia, 8 April 2014.

JPJ permudah pemilikan lesen memandu melalui SKSJ.

KUALA LIPIS 7 April – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan sesi latihan dan pengujian bersistematik bagi golongan belia, Orang Asli dan warga emas yang tidak tahu membaca serta lembam untuk menduduki ujian bagi memiliki lesen memandu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, program di bawah Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJPJ) itu membolehkan golongan terbabit dibim­bing oleh pegawai JPJ bagi mengikuti latihan tersebut.

Beliau berkata, menerusi program berkenaan, warga emas berusia 45 tahun ke atas manakala Orang Asli berusia 21 tahun layak mengikuti ujian lesen P dengan lebih selesa.

“Sehingga kini, seramai 62,488 orang terdiri daripada belia, warga emas dan Orang Asli terbabit memiliki lesen motosikal B2 di negara ini menerusi program ber­kenaan yang dilancarkan pada tahun 2009.

“Kita memberi keselesaan untuk mereka mendapatkan lesen tetapi perlu menjalani silibus ujian yang lebih mudah tentang peraturan jalan raya dan pemanduan, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan membabitkan golongan berkenaan di jalan raya,” katanya selepas majlis penutup program SKSJPJ yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail anjuran JPJ cawangan Raub di Kampung Kuala Medang dekat sini semalam.

Sumber: Utusan Malasia, 7 April 2014.