Wow! 226,000 pemohon BL1M di Kelantan

KOTA BHARU 30 Mac – Sebanyak 148,000 permohonan Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) telah diluluskan sehingga 1 Mac lalu berbanding jumlah keseluruhan permohonan di seluruh negara seramai 226,000 orang.

Pengerusi BL1M, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, mereka yang telah mendapat kelulusan tersebut akan mengikuti Kursus Pendidikan Pemandu 1 (KPP 1) yang akan dikendalikan oleh pegawai daripada institut memandu yang bertanggungjawab.

Katanya, kursus berkenaan terpaksa diadakan secara berperingkat memandangkan bilangan pemohon di seluruh negara yang begitu ramai.

“Nisbah bilangan pemohon yang ramai ini dengan institut memandu yang ada di seluruh negara, kita tidak boleh adakan kursus ini secara sekali gus. Kita juga mesti mematuhi prosedur atau undang-undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Kursus dan Taklimat BL1M KPP 1 Peringkat Parlimen Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia, 30 Mac 2013.

 

Mulai 15 Mac 2013, OKU hanya bayar RM2 untuk lesen motosikal.

LUMUT 15 Mac – Berkuat kuasa hari ini, golongan orang kurang upaya (OKU) dikecualikan fi memperbaharui lesen motosikal dan bayaran ujian memandu RM10 dihapuskan.

Mereka hanya dikenakan bayaran minimum RM2 manakala pengecualian fi memperbaharui lesen memandu kereta pula akan dikuatkuasakan mulai 1 Mei ini.

Ketika mengumumkan berita baik itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, dianggarkan lebih 230,000 OKU yang memiliki lesen memandu di seluruh negara akan mendapat manfaat daripada inisiatif program touch point kepada rakyat itu.

Beliau berkata, inisiatif di bawah program touch point itu menunjukkan keprihatinan kerajaan bagi membantu mengurangkan beban sara hidup golongan tersebut.

“Sebelum ini, kerajaan telah pun menghapuskan bayaran cukai kenderaan kepada golongan OKU dan mulai hari ini, OKU yang mempunyai lesen memandu motosikal akan dikecualikan daripada membayar fi tetapi mereka cuma perlu membayar RM2 untuk membuat kad.

Mulai 1 Mei ini pula, golongan OKU yang memperbaharui lesen memandu kereta akan dikecualikan fi dan dikenakan bayaran minimum RM2 sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan lesen OKU dan vokasional bentuk baharu di JPJ Cawangan Sri Manjung di sini hari ini.

Selain itu, Cho Ha mengumumkan bahawa mulai hari ini, pemegang lesen memandu kenderaan barang (GDL) dan kenderaan pengangkutan awam (PSV) tidak perlu lagi membayar fi tahunan berasingan, sebaliknya hanya menjelaskan satu bayaran untuk kedua-dua jenis lesen itu.

Katanya, langkah penstrukturan bayaran itu akan memberikan faedah kepada lebih 150,000 individu yang memegang kedua-dua lesen itu.

“Dahulu, pemegang lesen vokasional dikehendaki membayar RM20 untuk setiap jenis lesen dan kalau ada dua lesen, mereka perlu membayar RM40 tetapi sekarang, kita telah selaraskan bayaran lesen vokasional sebanyak RM20 sahaja dalam satu kad,” katanya.

Beliau berkata, mulai hari ini, kerajaan juga menyelaraskan tarikh tamat lesen kepada tarikh lahir pemandu bagi pemegang lesen vokasional menggunakan kaedah yang sama dengan pemegang lesen kenderaan biasa yang telah dilaksanakan mulai 21 November 2011.

“Diharap selepas ini, tidak timbul lagi alasan lupa memperbaharui lesen memandu kerana tarikh tamat lesen diselaras ikut tarikh lahir pemegang lesen,” katanya.

Mengikut laporan sebelum ini, kerajaan dijangka menanggung kos tambahan RM9 juta atas penstrukturan bayaran lesen-lesen tersebut selain penyelarasan tarikh tamat lesen kepada tarikh lahir pemandu. – UTUSAN

Sumber: Utusan Malaysia, 15 Mac 2013.

Hati-hati dengan tawaran belajar memandu percuma.

BATANG KALI – Lebih 1,000 penduduk kawasan ini mula merasa sangsi dengan tawaran mengikuti latihan memandu percuma yang dikendalikan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kebanyakan mereka yang telah membuat pembayaran antara RM20 dan RM70 masih menanti panggilan untuk mengikuti latihan memandu berkenaan menerusi Kempen Pemanduan Berhemah 1Malaysia yang sepatutnya bermula Disember tahun lalu.

Seorang penduduk, Nabilah Shuhadah Mohammad Hatta, 18, berkata, dia antara peserta yang mendaftar di bawah NGO terbabit, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang makluman untuk hadir ke institut memandu terlibat.

“Saya pun ragu-ragu juga sebab sudah lama mendaftar dan sepatutnya Disember tahun lalu sudah mula latihan.

“Tapi, sampai sekarang belum ada panggilan atau surat mengenai tawaran memandu ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Nabilah berkata, selain dia, abangnya turut mendaftar di bawah NGO berkenaan dan sudah pun membuat bayaran penuh sebanyak RM70.

Katanya, bayaran RM20 dikenakan sebagai pendaftaran ahli salah sebuah NGO terbabit, manakala RM50 untuk mengikuti seminar di institut memandu yang berpusat di Subang Jaya dan Puchong.

Seorang lagi peserta, Razidan Ahmad, 24, berkata, dia berasa tertipu dan tidak sanggup lagi menunggu, lalu mengambil keputusan mendaftar sendiri di sebuah pusat memandu di Kuala Kubu Bharu.

Dakwanya, ramai rakannya yang turut berdaftar di bawah NGO berkenaan merungut dengan masalah itu dan mahu pihak atasan menyiasat serta mengambil tindakan sewajarnya kerana bimbang wujud sindiket penipuan.

“Apa cerita? Duit sudah bayar tapi masih tidak dipanggil.

“Jangan-jangan kami ditipu kerana sampai sekarang langsung tidak terima sebarang panggilan atau surat mengatakan bila kami boleh berlatih memandu,” katanya yang telah pun memiliki lesen memandu.

Pada 29 September tahun lalu, dua NGO berkunjung ke Bandar Utama Batang Kali untuk mengadakan taklimat dan membuka kaunter pendaftaran menyertai kempen tersebut.

Penduduk yang terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan ditawarkan mengikuti latihan memandu percuma yang dikendalikan sebuah institut memandu di Lembah Klang dengan syarat berdaftar di bawah salah satu NGO terbabit.

Dua NGO itu turut mendakwa terdapat dana korporat berjumlah RM50 juta yang akan digunakan untuk menaja seluruh perbelanjaan mengikuti latihan memandu itu.

 

Sumber: Sinar Harian, 19 Februari 2013.

6 doktor subahat tipu JPJ ditahan

Selepas sekian lama melakukan penipuan, enam doktor klinik swasta dari beberapa daerah di negeri ini ditahan apabila dikesan melakukan pemalsuan laporan pemeriksaan kesihatan borang permohonan Lesen Memandu Vokasional (VDL) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Enam doktor terbabit berusia 40 hingga 60 tahun ditahan dalam serbuan serentak di Ipoh, Manjung, Teluk Intan, Taiping, Gerik dan Tapah, petang semalam.
Jurucakap Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, semua doktor terbabit dipercayai membuat pengesahan kesihatan tanpa menjalankan pemeriksaan terhadap pemohon lesen berkenaan.

 

“Siasatan awal mendapati, klinik swasta berkenaan mengenakan bayaran serendah RM5 bagi setiap pemohon dan dijangka setiap mereka mampu memperoleh pendapatan ratusan ringgit sehari.
“Kegiatan pemalsuan pengesahan itu dipercayai berlaku sejak beberapa tahun lalu dan semakin aktif selepas menerima banyak permohonan,” katanya di sini, semalam.
Katanya, setiap pemohon lesen vokasional perlu mengemukakan borang JPJ (JPJ L8) kepada klinik berkenaan dan mengikut syarat, pemohon perlu menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapat pengesahan doktor.

 

“Bagaimanapun, hanya dikenakan sejumlah bayaran, pemohon terbabit tidak perlu mengikuti syarat itu bagi membolehkan mereka lulus permohonan mendapatkan lesen itu.
Borang JPJ L8 memerlukan pengesahan doktor klinik swasta atau doktor kerajaan bagi mendapatkan permohonan baru atau proses pembaharuan lesen berkenaan,” katanya.

 

“Semua doktor itu kini ditahan untuk siasatan di Ibu Pejabat SRPM Perak, di sini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

 

Sumber: Harian Metro, 9 Mac 2013.

JKJR: Remaja paling berisiko terlibat kemalangan motosikal

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Remaja antara golongan paling berisiko terlibat dalam kemalangan jalan raya kerana kurangnya kemahiran daripada segi teori dan praktikal dalam mengendalikan motosikal.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Dr Tam Weng Wah berkata menurut kajian Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), 60 peratus kes kematian yang dicatatkan setiap tahun adalah melibatkan golongan muda atau yang gemar bermotosikal.

Kebanyakan penunggang motosikal yang terdiri daripada golongan remaja didapati kurang mahir dalam mengendalikan motosikal kerana di antara mereka tidak mempunyai lesen memandu yang sah serta tidak pernah menjalani latihan pemanduan atau penunggangan dengan betul di bawah penyeliaan pengajar di institut memandu,” katanya dalam ucapan Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Kolej Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini hari ini.

Beliau menyeru agar golongan remaja merebut peluang dengan mendaftar di bawah program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) yang ditawarkan kerajaan dalam membantu dan memastikan golongan muda mendapat pendidikan serta pengetahuan mengenai keselamatan jalan raya dengan baik.

“Secara tidak langsung bila mereka telah pun diasuh dan diajar dengan ilmu keselamatan jalan dengan bersistematik, jadi saya percaya kes-kes kemalangan jalan raya dapat dikurangkan,” katanya.

Tam juga berkata selain faktor manusia dan sikap, punca utama kematian bagi penunggang dan pembonceng motosikal disebabkan kecederaan serius di bahagian kepala.

Topi keledar yang dipakai harus mempunyai piawaian SIRIM dan harus diikat dengan sempurna kerana terdapat banyak kes-kes kemalangan menunjukkan topi keledar tidak diikat dengan sempurna akan tercabut semasa berlakunya kemalangan dan membawa kepada kecederaan parah di kepala serta menyebabkan maut, katanya.

Beliau meminta ibu bapa memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dengan memantau dan sentiasa menasihati anak-anak serta golongan muda agar tidak mengabaikan pemakaian topi keledar walaupun untuk jarak perjalanan yang dekat.

Sementara itu, Pengetua Kolej TAR Datuk Dr Tan Chik Heok berkata menurut Organisasi Kesihatan Sedunia, setiap hari lebih daripada 1,000 orang muda di bawah umur 25 tahun terbunuh dalam kemalangan jalan raya di seluruh dunia.

Kecederaan jalan raya antara punca utama kematian di seluruh dunia yang melibatkan mereka yang berusia 15 hingga 19 tahun, manakala bagi yang berusia 10 hingga 14 tahun dan kumpulan umur 20 hingga 24 tahun, mereka adalah punca kedua utama kematian, katanya.

Katanya dengan angka-angka yang membimbangkan, ia penting untuk menyebarkan pendidikan dan kesedaran keselamatan jalan raya untuk memberitahu kepada golongan muda supaya berhati-hati di jalan raya. – Bernama, 6 Mac 2013.

Gegar 1Perikanan bantu nelayan dapat lesen memandu

KOTA BHARU 28 Feb. – Nelayan adalah kumpulan sasar yang perlu diberi perhatian berhubung keperluan dan masalah mereka kerana sebahagian sumber utama bekalan makanan negara bergantung kepada golongan tersebut.

Jasa dan keringat puluhan ribu nelayan itu juga membolehkan pengeluaran hasil laut mencukupi bagi pasaran tempatan dengan nilai eksport juga lebih tinggi daripada hasil laut yang diimport dari luar negara setiap tahun.

Maka, tidak hairanlah kerajaan dalam Bajet 2013 memperuntukkan sebanyak RM230 juta tahun ini sebagai insentif tangkapan ikan dan bayaran elaun bantuan sara hidup nelayan.

Sebelum ini, kerajaan turut memperkenalkan skim perlindungan insurans nelayan dengan perlindungan maksimum RM100,000 malah pembiayaan elaun sara hidup RM200 sebulan telah memberi manfaat kepada lebih 55,000 nelayan berdaftar.

Walau bagaimanapun, menyedari masih banyak lagi isu yang melingkari kehidupan nelayan dan keluarga mereka, Jabatan Perikanan melancarkan program Gegar 1Perikanan 2013 yang mana mereka turun padang bersama jabatan dan agensi lain yang berkaitan menangani pelbagai permasalahan nelayan setempat di seluruh negara.

Sebanyak lapan isu utama telah dikenal pasti bagi menjayakan Program Gegar 1Perikanan 2013 iaitu masalah nelayan menunggang motosikal tanpa lesen di Kelantan dan pencerobohan dan penangkapan ikan secara haram di Sungai Pahang.

Turut diadakan ialah penangkapan ikan menggunakan bom di perairan Pantai Barat Sabah, pencerobohan bot ‘kenka’ dari Bagan Tiang ke perairan Pulau Rimau, Pulau Pinang dan pencerobohan bot pukat tunda di perairan Batu Pahat, Johor.

Turut diberi perhatian adalah isu vesel pukat tunda laut dalam tempatan yang mengendalikan operasi pukat tunda bot kargo di perairan Pantai Timur Semenanjung iaitu di Pahang, pencerobohan bot pukat tunda di perairan Lawas, Sarawak, serta kerosakan dan kematian ikan akibat bencana banjir.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Hashim Abdullah, program Gegar 1Perikanan yang memfokuskan kepada penyelesaian masalah komuniti nelayan termasuk keluarga, pengusaha pemprosesan, penjual ikan dan semua pihak yang berkaitan industri perikanan memerlukan gerak kerja bersepadu Jabatan Perikanan dengan pelbagai jabatan dan agensi lain.

Beliau berkata, perkara itu selaras dengan dasar strategi lautan biru (BOS) yang mana pelbagai pihak boleh bekerjasama dalam membangun modal insan serta kumpulan sasar yang serupa dengan memaksimumkan penggunaan sumber dan tenaga sedia ada.

“Ketika kita perlu menjaga kepentingan nelayan sama ada dari sudut kelengkapan bot dan sebagainya, kita juga perlu melihat dari perspektif keselamatan mereka semasa berada di atas darat, isu keselamatan semasa mereka berulang-alik kerana majoriti tidak begitu memikirkan tentang keperluan lesen motosikal.

Sesetengahnya memang tidak memakai atau memiliki topi keledar dan cukai jalan pun sudah ‘mati’. Jadi adalah perlu untuk jabatan kerajaan pergi ke akar umbi mengatasi masalah ini dan memerlukan kerjasama dengan jabatan lain khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Dalam program seperti ini, komuniti nelayan mendapat faedah secara langsung daripada perkhidmatan agensi dan jabatan kerajaan yang turun bersama kita seperti maklumat terkini mengenai kelengkapan ketika di laut dan penghasilan produk makanan berasaskan ikan daripada pameran yang diadakan serta perkhidmatan lain seperti pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Gegar 1Perikanan 2013 dan Majlis Penutup 1Komuniti 1JPJ (SKSJ) bagi Parlimen Pengkalan Chepa di Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Buloh, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Solah Mat Hassan; Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood; Pengarah Perikanan negeri, Datuk Mohammad Mat Saman; Pengarah JPJ negeri, Abd. Ghani Che Kassim dan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Pengkalan Chepa, Datuk Dali Husin.

Sementara itu, Solah memberitahu, sebanyak 370 nelayan dari Parlimen Pengkalan Chepa menerima lesen motosikal B2 hasil kerjasama antara Jabatan Perikanan dan JPJ.

Menurutnya, kumpulan tersebut adalah sebahagian daripada lebih 800 nelayan negeri ini yang telah mendapat faedah daripada program SKSJ yang mana JPJ sendiri turun padang memberi kursus dan latihan di kawasan setempat.

Sebelum ini, katanya, sebanyak 489 orang dari komuniti nelayan daerah Bachok telah mengikuti program sama pada Mac hingga Mei tahun lalu.

Beliau berkata, sejak program SKSJ dimulakan pada 2009, sebanyak 50,225 orang daripada komuniti tertentu di seluruh negara khususnya masyarakat luar bandar mendapat lesen motosikal termasuk masyarakat Orang Asli.

“Elemen penting program ini adalah agensi dan jabatan kerajaan membawa khidmat terus ke kampung, jadi penduduk setempat tidak perlu bimbang terpaksa meninggalkan kerja lama-lama.

“Kita berkongsi fasiliti dan kemudahan sekali gus mengurangkan kos, kalau ikut kadar biasa kos untuk mengikuti kursus dan mendapat lesen adalah RM551 tetapi macam hari ini nelayan hanya bayar RM150.

“Namun, ini tidak bermakna mereka dapat lesen secara mudah, kesemua proses daripada pendaftaran, latihan dan ujian memakan masa tiga bulan cuma mereka tidak perlu pergi ke sekolah memandu tetapi anggota JPJ sendiri yang datang ke tempat mereka memberi kursus,” katanya.

Dalam program Gegar 1Perikanan itu, pelbagai aktiviti disediakan antaranya sukan rakyat, pameran agensi kerajaan dan swasta, pembaharuan lesen bot dan perkakas vesel perikanan, bengkel enjin sangkut, demonstrasi penghasilan produk perikanan serta pemeriksaan pergigian dan kesihatan percuma.

Turut mendapat perhatian masyarakat perikanan Pengkalan Chepa adalah khemah pemeriksaan motosikal nelayan yang tamat tempoh cukai jalan oleh pihak JPJ.

Masing-masing tidak melepaskan peluang membawa motosikal untuk pemeriksaan sekali gus ‘menghidupkan’ kembali cukai jalan mereka melalui kaunter JPJ termasuk menyelesaikan urusan insurans motosikal di lokasi yang sama.

Penduduk, Nor Farah Aida Husain, 23, dari Kampung Penambang berkata, perkhidmatan yang disediakan JPJ itu memudahkan penduduk yang tidak perlu bersusah payah membawa motosikal ke pejabat JPJ untuk pemeriksaan dan pembaharuan cukai jalan.

Katanya, tanpa inisiatif JPJ itu mereka mungkin terpaksa mengangkut sendiri motosikal dengan kenderaan lain atau memohon surat perjalanan terlebih dahulu untuk ke pejabat JPJ yang terletak jauh dari kampung mereka.

“Dengan program begini, saya tidak perlu menghabiskan masa yang lama untuk siapkan semua urusan, saya tidak perlu beratur panjang tetapi sebaliknya hanya membawa motosikal untuk diperiksa nombor enjin dan sebagainya oleh pihak JPJ di lokasi berdekatan rumah saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, warga emas, Yaacob Abdullah, 66, dari Kampung Kuala Besar menjadi peserta program SKSJ di Pengkalan Chepa yang paling tua menerima lesen percubaannya dalam majlis tersebut.

Yaacob yang juga seorang nelayan berkata, dia mula mengikuti kursus yang dianjurkan JPJ di kompleks pendaratan ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar pada Disember tahun lalu dan bersyukur kerana berjaya lulus ujian lesen motosikal B2.

Sumber: Utusan Malaysia, 1 Mac 2013.