Usahkan lesen PSV, JPJ sahkan pemandu bas tragik TIADA LESEN MEMANDU

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Pemandu bas yang mengakibatkan tujuh orang maut dalam satu kemalangan di KM38 Genting Sempah dekat sini malam tadi, didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Husin Omar berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan kepada polis mengenai perkara tersebut.

“Pemandu bas tersebut sebelum ini mengaku kepada pihak polis bahawa beliau mempunyai lesen memandu, namun setelah kami memeriksanya dengan pihak JPJ, kami mendapati bahawa dia tidak mempunyainya,” katanya di sini hari ini.

Che Husin berkata, pemandu tersebut yang patah kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ditahan polis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara merbahaya yang boleh menyebabkan kematian.

Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedu -duanya sekali jika disabit dengan kesalahan.

Che Husin berkata, polis sedang menyiasat sama ada pemandu tersebut mempunyai rekod kesalahan memandu lampau atau pun tidak, serta perkara perkara lain yang berkaitan dengan kemalangan tersebut. – Bernama, 30 Oktober 2010.

Penduduk Lembah Klang boleh bayar saman di pejabat pos mulai 1 Nov. 2010

JERANTUT 31 Okt. – Mulai esok, pemilik saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar Lembah Klang boleh membayar saman mereka di lima buah pejabat pos di Selangor dan ibu negara.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata, sebagai percubaan, lima buah kaunter yang dibuka untuk pembayar saman adalah:

1) Pejabat Pos Shah Alam,

2) Pejabat Pos Daya Bumi,

3) Pejabat Pos Wangsa Maju,

4) Pejabat Pos Jalan Sultan Salahuddin dan

5) Pejabat Pos Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Beliau berkata, bagi pengguna di tempat lain pula, mereka boleh berbuat demikian di 688 pejabat pos di seluruh negara selewat-lewatnya pada akhir bulan depan.

“Usaha ini boleh menggalakkan orang ramai terutamanya penduduk luar bandar untuk membayar saman kerana sebelum ini mungkin mereka sukar membayarnya sebab ia hanya boleh dibayar melalui kaunter JPJ yang kesemuanya terletak di tengah bandar selain saluran e-Khidmat,” katanya kepada pemberita selepas menutup program Satu Komuniti Satu JPJ di Felda Lepar Utara di sini hari ini. – Bernama, 31 Oktober 2010.

Malaysia rugi RM9 bilion akibat kemalangan jalanraya.

POH 28 Okt. – Negara mencatatkan kerugian sebanyak RM9 bilion membabitkan 6,745 kematian akibat kemalangan jalan raya tahun lalu.

Sehubungan itu, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mencadangkan semua sekolah rendah dan menengah di negara ini menubuhkan kelab keselamatan jalan raya untuk mendidik generasi muda mengenai keselamatan di jalan raya.

Pengarah Bahagian Dasar dan Pemantauan JKJR, Sahipulhijaiman Sulaiman berkata, langkah itu bertujuan memberikan kesedaran awal kepada murid-murid dan para pelajar terhadap keselamatan diri.

Menurut beliau, walaupun telah ada sekolah di negara ini menubuhkan kelab berkenaan sejak 2007, pendedahan terhadap keselamatan jalan raya perlu diberikan penekanan terutama kepada murid-murid tahun satu hingga enam.

“Selain menjadikan kegiatan kelab sebagai kokurikulum dan trafik warden di sekolah, kita mahu memastikan murid selamat ketika berada di jalan raya dan sampai ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah sempena kempen keselamatan jalan raya untuk para pemandu kenderaan berat di sini hari ini.

Program tersebut dianjurkan oleh JKJR dengan kerjasama Plus Expressways Bhd. disertai lebih 100 peserta.

Sahipulhijaiman berkata, setakat ini, Negeri Sembilan telah mewajibkan sekolah di negeri itu menubuhkan kelab berkenaan.

Menurut beliau, guru-guru yang terbabit dengan kelab tersebut telah diberikan latihan sejak dua tahun lalu.

Katanya, JKJR turut memberikan tumpuan kempen kepada pemandu kenderaan komersial yang dikenal pasti menjadi salah satu penyumbang kepada kemalangan maut di negara ini.

Kebanyakan kemalangan berpunca kerana pemandu kenderaan lain gagal memotong kenderaan berat membawa muatan ketika di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya amat memerlukan sokongan daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta untuk membantu kerajaan dalam memastikan keselamatan jalan raya menjadi tanggungjawab bersama.

Sumber: Utusan Malaysia, 29 Oktober 2010.

Apakah kesalahan jalanraya yang popular di Jempol?

Dua kesalahan jalan raya kekal popular di Jempol

JEMPOL 20 Okt. – Memandu tanpa lesen dan menggunakan cukai jalan tamat tempoh masih menjadi ‘kegemaran’ segelintir pemandu yang tidak bertanggungjawab di daerah ini.

Penolong Pengawai Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd. Ismail Omar berkata, masih terdapat pengguna jalan raya bersikap leka dan tidak memandang serius dua kesalahan tersebut.

“Mereka tidak ambil peduli perkara itu dan memandu seperti biasa, seolah-olah tidak melakukan kesalahan yang jelas telah melanggar peraturan jalan raya,” katanya di sini, semalam.

Mohd. Ismail berkata, perangai buruk sesetengah pemandu itu dikesan dalam operasi JPJ di daerah ini apabila 32 saman telah dikeluarkan dengan jumlah besar membabitkan dua kesalahan ‘popular’ itu.

“Pengguna jalan raya yang degil ini, bukannya tidak tahu memandu tanpa lesen dan cukai jalan adalah satu kesalahan.

“Sikap degil ini, bukan sahaja menyusahkan orang lain jika mereka terbabit dengan kemalangan, tetapi turut membawa padah kepada diri sendiri yang terpaksa berhadapan tindakan lebih tegas,” katanya.

Dalam operasi berkenaan, selain dua kesalahan itu, JPJ turut mengesan kesalahan pada motosikal dan kereta, yang mana lampu kenderaan yang tidak berfungsi, tayar haus, selain mengubah suai kenderaan.

“Kesalahan memandu tanpa lesen boleh dikenakan saman mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Bilangan yang paling ramai adalah golongan remaja dan pelajar.

“JPJ juga telah menyita lapan buah motosikal dan sebuah kereta,” tegasnya.

Menurutnya, kenderaan yang disita itu juga dikesan tidak mempunyai perlindungan insurans.

Katanya, operasi yang dijalankan di Kilometer 2, Jalan Bandar Seri Jempol-Bahau, dekat sini turut mendapati beberapa pemandu dan penunggang motosikal bertindak melarikan diri dengan membuat pusingan ‘U’.

Mohd. Ismail berkata, tindakan yang dilakukan oleh pemandu sebegitu boleh mengundang kemalangan dan apa yang telah dilakukan mereka itu, mendapat perhatian JPJ.

“Operasi selama tiga jam itu disertai 10 anggota penguatkuasa JPJ dan ia akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan pengguna diberi didikan cara pemanduan yang lebih baik, selain mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

Pesalah trafik PBT juga mungkin disenarai hitam JPJ

SHAH ALAM: Pesalah trafik yang menerima kompaun bagi kesalahan trafik yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mungkin menghadapi tindakan disenarai hitam apabila rang undang-undang pindaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 diluluskan Parlimen.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata tindakan itu boleh diambil jika PBT mendapat kebenaran menteri membuat satu jadual khas bagi kesalahan yang boleh disenarai hitam dan tindakan dikenakan kepada pesalah trafik jika PBT memohon kepada JPJ apabila pindaan akta diluluskan seawal Januari depan.

Misalnya, jika seorang pesalah mempunyai lima kompaun trafik PBT, PBT boleh meminta nama pesalah terbabit disenaraihitamkan.

Bayaran kompaun tertunggak membabitkan kesalahan trafik di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) saja mencecah berjuta ringgit, katanya pada sidang media selepas sesi penerangan pada Hari terbuka JPJ di SACC Mall di sini, semalam.

Hari terbuka itu dirasmikan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

Solah berkata, pesalah trafik yang pernah dikenakan saman atau kompaun trafik bagi kesalahan trafik oleh JPJ dan polis juga bakal menghadapi tindakan lebih tegas termasuk disekat daripada berurusan dengan JPJ sehingga kompaun tertunggak dilunaskan.

Katanya, ini termasuk proses tukar nama pada kenderaan, membeli dan mendaftarkan kereta baru serta apa-apa urusan membabitkan JPJ.

Sumer: Berita Harian, 1 Oktober 2010.

Pelajari elemen penting pada kenderaan anda: tayar.

SEMENJAK penemuan teknologi tayar pnuematik pada awal abad ke-20, getah menjadi satu komoditi penting dunia. Seratus tahun dahulu, tayar dicipta dengan teknologi asas seretan, mengurangkan geseran permukaan agar kenderaan yang bergerak mampu mengimbangi berat badannya dengan geseran yang minimum.

Ia menghasilkan pergerakan yang konsisten, selesa, selamat dan jauh lebih praktikal berbanding mana-mana teknologi yang pernah dicipta sebelum itu.

Syarikat-syarikat tayar seluruh dunia juga telah melaburkan berjuta-juta ringgit membuat kajian kesesuaian tayar sebelum diproduksi. Setiap tayar direka agar mampu menampung sejumlah beban, kelajuan dan had perbatuan.

Apabila teknologi tayar semakin maju, tayar-tayar direka dengan campuran pelbagai bahan, lapisan dan menjalani ujian ketat bagi memastikannya selamat digunakan.

Anda mungkin pernah mengalami masalah kereta yang dipandu tidak selesa, bergegar, tidak selari atau stereng bergetar walaupun sudah menghabiskan wang membuat penjajaran (alignment) tayar, menukar perkakasan ganti lusuh, suspensi dan setiap komponen yang berkaitan. Ia berkemungkinan besar disumbangkan oleh masalah tayar yang tidak bagus.

Tayar botak

Tahap kehausan tayar boleh dilihat dengan mata kasar. Bunga tayar yang semakin licin menunjukkan penggunaan perjalanan yang tinggi. Begitupun, kehausan tayar boleh terjadi atas sebab-sebab lain seperti penyerap hentak yang rosak, penjajaran yang salah, permukaan jalan raya tidak elok dan corak pemanduan yang kasar.

Kerap membrek secara kuat dan pemanduan yang agresif boleh menyebabkan tayar haus secara tidak sekata.

Kehausan juga boleh terjadi secara tidak seimbang. Dalam banyak keadaan, ia terjadi kerana penjajaran. Roda bersaiz besar dan tayar berprofil rendah biasanya berdepan masalah ini. Tayar kebiasaannya haus di satu sisi sahaja.

Ada dua cara yang boleh dibuat. Sama ada menggantikan terus dengan tayar baru atau menukar posisi tayar kepada sudut lain. Bagaimanapun ia bergantung kepada jenis tayar. Ini kerana sesetengah tayar tidak boleh dipasangkan pada sudut songsang.

Tayar yang botak secara sekata pula adalah normal. Ia bergantung kepada jenis pacuan kenderaan. Kereta pacuan hadapan akan mengalami kehausan tayar hadapan dalam kadar lebih cepat. Dalam industri, tiada ketetapan yang khusus tentang kaedah rotasi tayar.

Ada yang mencadangkan perbatuan 10,000 kilometer (km), malah ada yang mencecah 20,000 kilometer. Rotasi tayar perlu dibuat dengan betul. Tayar hadapan kanan perlu ditukar dengan tayar belakang kiri dan begitulah sebaliknya.

Memilih tayar

Pilih tayar yang sesuai dengan spesifikasi kenderaan seperti dicadangkan oleh pengeluar. Jenis dan jenama tayar pula bergantung kepada kesesuaian bajet. Sudah tentu, tayar mahal memiliki kualiti yang lebih baik.

Jika anda tidak kisah dengan kos, biasakan diri dengan tayar premium kerana bahan sintetik dalam penghasilan tayar sebegini sangat bagus. Apatah lagi jika dinilai kepada keadaan jalan raya dan permukaan jalan yang tidak rata di Malaysia.

Jangan lupa periksa tekanan tayar sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Tekanan tayar boleh dilihat pada pelekat yang lazimnya diletakkan di bahagian pintu pemandu sebagai rujukan. Jangan pam tayar lebih tinggi daripada had yang disyorkan. Jangan pula biarkan tekanan angin tayar berada di bawah paras yang dicadangkan.

Kenderaan seperti MPV pula lazimnya memiliki tekanan berbeza mengikut jumlah penumpang. Ia juga dinyatakan dalam spesifikasi kenderaan. Bergantung kepada jumlah penumpang, tekanan tayar perlu disesuaikan mengikut situasi. Kenderaan lain seperti pacuan empat roda, kereta kompak dan kenderaan komersial yang berat juga memiliki tekanan khusus yang perlu dipatuhi.

Fakta penting

1Jangan gunakan tayar yang telah tamat tempoh. Semak catatan produksi tayar.

2Jangan pakai tayar korek. Tahap kakisan tayar ini telah melebihi had rekaan pengeluar.

3Jangan gunakan tayar berlainan model pada setiap sisi.

4Pastikan ukuran tayar tidak melebihi had pengeluar.

5Roda yang terlalu besar menyebabkan keupayaan berhenti menjadi rendah.

6Rim yang rosak pada bahagian sisinya boleh menyebabkan kebocoran angin secara perlahan. Bukan disebabkan tayar terkena objek tajam.

7Jangan memandu laju ketika hujan dengan tayar yang sudah haus. Ia boleh menyebabkan berlakunya aquaplaning, situasi apabila lapisan air di atas jalan raya lebih ‘tebal’ berbanding bunga tayar.

Ia akan membuatkan tayar ‘terapung’, hilang cengkaman serta kenderaan tidak dapat dikawal oleh pemandu.

Sumer: Kosmo,  2 Oktober 2010.