Selamat Hari Raya….


::Kad Ucapan Raya Percuma

Dari Akhbar: JPJ gantung 62 lesen

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengantung sebanyak 62 lesen memandu pelbagai kelas kerana pemandunya memandu tanpa perlindungan insurans.

Jumlah itu berdasarkan rekod JPJ sepanjang Julai dan Ogos tahun ini dan mahkamah sudah mengeluarkan perintah penggantungan mengikut Seksyen 90 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa JPJ Wilayah Persekutuan, Stanley Tan, berkata daripada jumlah itu, penunggang motosikal mencatatkan jumlah kesalahan memandu tanpa perlindungan insurans paling tinggi.

Sumber: Harian Metro, 25 September 2008.

Hantar SMS ketika pandu bahaya

KUALA LUMPUR: Menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ketika memandu sama berbahaya seperti memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, sekali pun tumpuan pemandu terganggu dalam tempoh singkat.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Ahmad Farhan Mohd Salleh, berkata walaupun dua keadaan terbabit berbeza, kesannya tetap sama kepada pemandu sehingga boleh mengancam nyawa.

“Menghantar SMS hanya memerlukan masa singkat manakala memandu dalam keadaan mabuk mempengaruhi pemandu sepanjang masa pemanduan. Tetapi, kedua-duanya memberi kesan sama kepada pemandu dan harus dielakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasil kajian Pusat Kajian Kenderaan London yang mengatakan menghantar SMS ketika memandu lebih berisiko tinggi kepada pemandu berbanding memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

Ahmad Farhan berkata, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sentiasa menjalankan pelbagai usaha bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini bagi memastikan pengguna jalan raya dapat tiba ke destinasi yang dituju dengan selamat terutama pada musim perayaan.

Katanya, Miros sentiasa menyokong dari segi penilaian keberkesanan dan cadangan penambahbaikan yang berterusan oleh JKJR selain melaksanakan beberapa pendekatan seperti kempen di media dan program berasaskan komuniti.

Beliau bagaimanapun berkata, kesedaran orang ramai mengenai keselamatan di jalan raya masih lemah menyebabkan kes kemalangan jalan raya terus meningkat.

“Hanya pengguna jalan raya saja yang boleh menentukan nasib mereka. Penguatkuasaan sendiri seperti tidak mengguna telefon ketika memandu, memakai topi keledar dengan betul dan menggunakan tali pinggang keledar depan serta belakang boleh dipraktikkan jika mereka sedar musibah yang bakal menimpa,” katanya.

Sumber: Berita Harian, 20 September 2008.

Dari Akhbar: 6 kesalahan trafik kena saman RM300.

KUALA LUMPUR: Saman maksimum RM300 akan dikenakan terhadap pemandu yang melakukan enam kesalahan trafik serius sepanjang 15 hari Ops Sikap XVII sempena Aidilfitri, bermula Rabu ini.

Enam kesalahan yang dikategorikan serius itu ialah

  1. memandu melebihi had laju,
  2. terbabit dalam kemalangan jalan raya,
  3. lampu isyarat merah,
  4. memotong di garisan berkembar,
  5. memotong barisan dan
  6. menggunakan lorong kecemasan.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Hamza Taib, berkata polis tidak akan bertolak ansur terhadap pemandu yang terbabit melakukan enam kesalahan itu dan jumlah kompaun terbabit juga tidak akan dikurangkan.

Kita mengenakan kompaun maksimum itu untuk menimbulkan perasaan takut disaman, selain mendidik pemandu supaya mematuhi undang-undang sekali gus mengelakkan kemalangan,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Hamza berkata demikian sebelum majlis serah terima tugas jawatan yang disandangnya itu kepada Senior Asisten Komisioner II Abdul Aziz Yosof.

Pada majlis sama, Abdul Aziz turut menerima timbalannya yang baru, Asisten Komisioner Muhd Fuad Abdul Latiff yang menggantikan Asisten Komisioner OK Jalil Othman. Hamza dilantik Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak berkuat kuasa 20 Ogos lalu.

Majlis penyerahan tugas itu disaksikan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hussin Ismail.

Sasaran polis dalam Ops Sikap kali ini ialah untuk menurunkan kadar kemalangan maut sebanyak lima peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Sebanyak 203 kemalangan maut mengorbankan 225 nyawa dilaporkan sepanjang Ops Sikap sempena Aidilfitri tahun lalu.

Hamza juga mengumumkan had laju di semua jalan Persekutuan dan negeri dikurangkan 10 kilometer sejam (km/j) kepada 80km/j selama 18 hari bermula Khamis ini bagi mengurangkan kadar kemalangan.

Mengulas lanjut mengenai Ops Sikap XVII, beliau berkata pendekatan kali ini berbentuk strategi kreatif iaitu nasihat, menyampaikan maklumat mengenai waktu sesuai untuk memulakan perjalanan, menambah kamera had laju, memberi fokus pada kawasan berisiko tinggi kemalangan dan menambah papan tanda.

“Kita memberi tumpuan kepada 346 sektor, termasuk 28 daerah di seluruh negara yang dikenal pasti sebagai kawasan risiko kemalangan maut dengan menambah rondaan dan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata, buat pertama kali pihaknya akan bekerjasama dengan media termasuk rangkaian radio Astro, Hot FM, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV3 untuk menyalurkan maklumat mengenai aliran trafik di seluruh negara bagi memudahkan pengguna jalan raya merancang perjalanan.

Beberapa kaedah yang digunakan dalam Ops Sikap sebelum ini dan didapati berkesan seperti penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) dan penyamaran anggota menyamar di dalam bas ekspres akan diteruskan.

Turut disediakan talian bebas tol 1-800-88-2677 bagi membolehkan pegawai kerajaan Kumpulan A menyalurkan maklumat kesalahan lalu lintas.

Sumber: Berita Harian, 20 September 2008.

Tunggang cara berhemah

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaiza@hmetro.com.my

BAGI memberi pendedahan mengenai pemanduan selamat di kalangan penunggang dan pembonceng motosikal, Uni versiti Utara Malaysia (UUM) melalui Kolej Perniagaan (COB) dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pendang me lancarkan kempen Roadtour-Keselamatan Jalan Raya, baru- baru ini.

Kempen berkenaan disertai 130 peserta membabitkan 65 motosikal terdiri daripada mahasiswa UUM, belia daerah Pendang dan Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi Kedah.

Kempen sehari itu memulakan perjalanan dari UUM, Pendang, Titi Gantung dan Yan.

Peserta turut diberi pendedahan mengenai sistem per undangan jalan raya bagi mendidik menjadi penunggang berhemah dan mengikut peraturan yang disampaikan bekas pegawai polis, Kassim Ahmad.

Menurutnya, 90 peratus kemalangan jalan raya disebabkan faktor kemanusiaan seperti memandu atau menunggang dengan laju, tidak bertimbang rasa, cuai serta tidak mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya ditetapkan.

“Menerusi kempen ini, diharap membuka mata peserta supaya sentiasa memandu dengan berhemah dan sentiasa mengutamakan keselamatan.

“Demi keselamatan, pengguna perlu akur dan sentiasa mengikut peraturan, tatatertib, saling toleransi ketika meng gunakan jalan raya.

“Jika dapat memberi kerjasama, nescaya jumlah kemalangan mampu dikurangkan dan jalan raya menjadi lebih selamat,” katanya.

Kempen berkenaan dilancarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang, Suraya Yaacob.

Sumber: Harian Metro, 18 September 2008.

Dari Akhbar: Pelajar diarah bela diri kes tunggang pakai serban

KOTA BHARU: Seorang pelajar pondok diarah membela diri oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap kesalahan tidak memakai topi keledar kerana berserban ketika disaman polis di Pasir Tumboh, pada September tahun lalu.

Majistret Tengku Amalin A’Ishah Putri memerintahkan tertuduh, Ahmad Nasir Darus, 27, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadapnya dan menetapkan 24 November depan untuk kes pembelaan.

“Selepas mendengar keterangan saksi dan hujahan, mahkamah berpuas hati dengan keterangan yang diberikan dan tertuduh diarah membela diri kerana pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie,” katanya ketika membacakan keputusan penghakimannya.

Ahmad Nasir yang belajar di Madrasah al-Diniah al-Bakriah di Pasir Tumboh di sini, sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap kesalahan tidak memakai topi keledar di Jalan Pasir Tumboh, di sini, jam 6.30 petang pada 20 September 2007.

Dia didakwa mengikut Kaedah 4 Motosikal (Topi Keledar) 1973, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan dibaca bersama Seksyen 128(1) akta sama. Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Polis, Cif Inspektor Mohd Yusri Mamat, manakala Ahmad Nasir yang hadir di mahkamah dengan memakai serban semalam diwakili peguam, Ahmad Rizal Affande Zainol.

Kes berkenaan menarik perhatian umum selepas tertuduh mengaku tidak bersalah kerana ketika disaman, dia memakai serban dan mendakwa tidak boleh disaman berdasarkan Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 yang dibaca bersama Pengecualian 1975, menyatakan pengecualian hanya untuk seseorang bergelar haji, Sikh dan lebai.

Sumber: Berita Harian, 16 September 2008.

Post berkaitan: sila klik sini.

Awas! Ops Warta 1: 47 waran tangkap dikeluarkan

KUALA LUMPUR: Polis Trafik Selangor mengeluarkan 47 waran tangkap kepada pesalah trafik kerana gagal menyelesaikan saman trafik mereka, dalam Ops Warta 1 hari ini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor Supt Che Hussin Omar berkata operasi bermula pada pukul 11 pagi tadi dan setakat pukul 3.30 petang, polis sudah mengeluarkan 47 waran tangkap.

“Mereka ditahan di rumah mereka, manakala 150 notis ditampal di pintu, bagi pesalah yang tiada di rumah,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata hanya kesalahan trafik bagi Notis POL 257 sahaja dikeluarkan waran tangkap.

“Bagi Notis POL 257 ini pesalah dikehendaki menurunkan tandatangan pada surat saman dan kesalahan trafik yang dilakukan termasuklah menunggang motosikal tanpa memiliki lesen memandu, tidak mempunyai cukai jalan dan melanggar lampu isyarat,” katanya. – Bernama

Sumber: Harian Metro, 11 September 2008.

Ops Sikap 17: Kesalahan kecil dikecualikan.

Polis guna pendekatan nasihat sepanjang Ops Sikap 17

KUALA LUMPUR: Penunggang dan pembonceng motosikal yang tidak mengikat tali topi keledar mereka dengan kemas sepanjang Ops Sikap 17 yang akan berlangsung sempena Aidilfitri ini tidak akan disaman, sebaliknya diberi nasihat supaya tidak mengulangi kesalahan itu.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Hamza Taib ketika dihubungi semalam berkata, perkara itu sudah dipersetujui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

“Kita sudah dimaklumkan berhubung perkara itu dan pendekatan yang lebih lembut terbabit akan dilaksanakan oleh semua anggota kita yang bertugas sepanjang Ops Sikap bermula 24 September hingga 8 Oktober ini.

“Selain memberikan nasihat, anggota kita juga akan menunjukkan cara pemakaian topi keledar yang betul kepada penunggang dan pembonceng motosikal bagi memastikan mereka tidak membahayakan keselamatan diri,” katanya.

“Bagaimanapun, arahan ini hanya untuk pemakaian topi keledar saja, bukan tali pinggang keledar kerana tindakan tegas akan tetap dikenakan terhadap pemandu kenderaan lain yang mengingkari arahan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, untuk Ops Sikap 17, polis dijangka mengerahkan kira-kira 5,000 anggota cawangan trafik dan tugas am untuk mengawal lalu lintas serta memastikan kelancaran perjalanan orang ramai untuk balik kampung.

Sementara itu, seramai 1,500 anggota penguat kuasa termasuk 684 anggota baru JPJ juga terbabit dalam Ops Sikap sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan kecil seperti tidak memakai tali pinggang keledar dengan sempurna sepanjang Ops Sikap 17 tidak akan dikenakan saman.

Sebaliknya beliau berkata, mereka akan diberi nasihat kakitangan penguat kuasa seperti polis dan JPJ supaya tidak mengulangi kesalahan itu dan diberi tunjuk ajar cara betul memakainya.

Beliau berkata, ‘tindakan mengecualikan kesalahan kecil’ adalah elemen terbaru yang bakal diperkenalkan pada Ops Sikap kali ini dan perkara berkenaan sudah dipersetujui dalam mesyuarat antara pihaknya dengan polis dan JPJ.

Ops Sikap diperkenalkan sejak Disember 2001 bagi menggantikan Ops Statik yang mana antara objektifnya mengurangkan kadar kemalangan pada musim perayaan dan memberi kesedaran terhadap pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati serta berdisiplin di jalan raya.

Sumber: Berita Harian, 8 September 2008.