Menunggang tanpa tangan?

Penunggang tanpa tangan.

Penunggang tanpa tangan.

DI mana ada kemahuan di situ ada jalan. Itulah yang dibuktikan oleh seorang anak muda, Liu, yang mampu menunggang motosikal walaupun kudung kedua belah tangan di Jimo, Shandong, China.

Begitupun perbuatan tersebut menjerat dirinya apabila baru-baru ini dia ditahan dan diberi amaran oleh polis kerana dikhuatiri membahayakan pengguna kenderaan lain.

Liu kehilangan kedua belah tangannya akibat terkena kejutan elektrik ketika berusia tujuh tahun. Dia kemudian dihantar oleh keluarganya menyertai kumpulan sarkis bagi menyara hidup.

Di situlah dia belajar menunggang motosikal walaupun tanpa tangan.

Ketika ditahan Liu juga tidak mempunyai lesen memandu. Dia kemudian berjanji pada polis tersebut tidak akan menunggang motosikal lagi.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 20 Julai 2009.

Padah merempit: dipenjara lapan bulan dan denda RM5,000

KUALA TERENGGANU 15 Julai — Dua mat rempit, masing-masing dihukum penjara lapan bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Khas Trafik di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan menunggang motosikal secara melulu.

 

Mohammad Syawaludin Mahayidin, 20, dan Wan Mohd Basri Wan Mohd, 23, masing-masing juga dikenakan hukuman penjara dua dan tiga bulan, jika gagal membayar denda tersebut.

 

Majisret Nor Azizah Yusof berkata kedua-dua tertuduh turut tidak dibenarkan mendapatkan lesen memandu selama tempoh dua tahun.

 

Beliau berkata kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua tertuduh adalah serius dan mereka perlu dikenakan hukuman yang berat.

 

Mohammad Syawaludin yang menetap di Perumahan Kondo Rakyat Tok Adis di sini, mengaku melakukan perbuatan itu pada pukul 2 pagi, 16 Mei 2007 di Kampung Tok Adis. – Bernama

 

Sumber: Utusan Malaysia, 15 Julai 2009.

Ketua Polis Pahang dapat lesen motor besar

KUANTAN: Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani mencatat sejarah apabila menjadi Ketua Polis pertama berjaya mendapatkan lesen menunggang motosikal berkuasa tinggi, semalam.

Beliau antara 18 pegawai kanan termasuk timbalannya, Datuk Sharifuddin Ab Ghani menamatkan kursus itu selama empat minggu bermula 30 Jun lalu dengan menjalani latihan menunggang motosikal sejauh 1,300 kilometer termasuk merentas Terengganu dan Kelantan.

Sijil serta lesen menunggang disampaikan Komandan Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Zakaria Yusof di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

Terdahulu, Zakaria berkata, beliau memuji kegigihan kumpulan berkenaan yang menjalani latihan dengan penuh dedikasi dan bersemangat tinggi.

“IPK Pahang mencatat satu sejarah kerana buat pertama kali ada Ketua Polis negeri serta pegawai kanan menyertai kursus ini dan saya berharap lebih ramai lagi mengikuti kursus sama.

“Kebiasaannya, latihan dilakukan dengan seorang pengajar ditugaskan untuk tiga peserta, namun di sini keadaan berbeza apabila setiap peserta mendapat seorang tenaga pengajar yang memberi lebih pemahaman dan pengajaran lebih baik untuk mengendalikan motosikal,” katanya pada majlis penutupan Kursus Menunggang Motosikal Besar di sini, semalam.

Beliau berkata, peserta kursus sudah menjalani pelbagai peringkat latihan untuk mendapatkan lesen memandu B penuh yang membolehkan mereka menunggang motosikal berkuasa tinggi milik PDRM.

Sementara itu, Robiah berkata, beliau kagum dengan semangat, dedikasi serta semangat kerja berpasukan ditunjukkan pegawainya sepanjang menjalani kursus berkenaan.

Beliau berkata, dalam kumpulan pegawai kanan yang menyertai kursus itu, turut membabitkan tiga lagi pegawai wanita iaitu Asisten Superintendan Zaharah Md Lelah, Asisten Superintendan Tengku Razitah Long Hussien dan Inspektor Nik Azrini Nik Amat.

 

Sumber: Harian Metro, 25 Julai 2009.

Dari Akhbar: Modul institut memandu dikaji kurangkan kemalangan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji modul institut memandu di seluruh negara bagi melahirkan pemandu berhemah, sekali gus mampu mengurangkan kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, berkata perkara itu yang kini dalam kajian memperlihatkan beberapa perubahan modul lebih baik.

“Kita sedang melaksanakannya dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

“Kita juga mendapatkan bantuan Kementerian Kerjaraya kerana infrastruktur berada di bawah bidang mereka,” katanya selepas melancarkan Kempen Pemanduan Pintar dan Slot Trafik baru dengan kerjasama Radio24, Sunglight Radio Taxi dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia di Wisma Bernama di sini, semalam.

Melalui memorandum persefahaman yang ditandatangani ketiga-tiga pihak itu, satu slot laporan lalu lintas ke udara di Radio24 dengan pemandu teksi Sunlight berkongsi maklumat secara langsung mengenai keadaan trafik sekitar Lembah Klang dengan pendengar setia di slot Info Trafik KL @939.

Dalam perkembangan berkaitan, Ong berkata, bengkel kesedaran keselamatan jalan raya akan diadakan secara berperingkat untuk membantu pengguna berhadapan pelbagai masalah di jalan raya.

“Usaha yang dapat membantu pengguna jalan raya termasuk pemandu teksi pada saat genting seperti terserempak penjenayah atau samseng jalan raya ataupun apabila berlaku kemalangan jalan raya, ramai terpinga-pinga, tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

“Dalam keadaan ini mereka perlu mendapatkan bantuan seperti nasihat dan sebab itu kita sediakan bengkel pendek dan padat,” katanya.

Beliau berkata, bengkel itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Jawatankuasa Pihak Berkepentingan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk mengkaji modul bengkel yang sesuai.

Buat permulaan, katanya, bengkel itu akan ditawarkan kepada pemandu teksi yang sering berhadapan dengan pelbagai masalah ketika di jalan raya.

“Selepas itu, kita buka kepada pengguna jalan raya, badan bukan kerajaan dan sebagainya,” katanya.

 

Sumber: Berita Harian, 21 Julai 2009.

Awas! Kamera automatik saman pesalah trafik

IPOH 20 Julai – Mulai 1 September ini, pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan lalu lintas tidak dapat mengelak dari dikompaun atau disaman berikutan Pemasangan Kamera Pengesan Saman Secara Automatik (AES).

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, kamera AES akan merakam semua kesalahan lalu lintas dan saman dikeluarkan serta-merta melalui sistem komputer Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata, sistem AES akan dipasang di lebih 200 kawasan berisiko tinggi kemalangan di seluruh negara.

Selepas kesalahan dirakamkan, saman akan terus dikeluarkan dan dihantar ke alamat pemilik kenderaan.

Sekiranya tidak bayar, mereka akan disenaraihitamkan dan tidak boleh memperbaharui lesen memandu dan cukai kenderaan.

“Kita juga akan tunjukkan rakaman sebagai bukti kepada pesalah yang enggan mengakui kesalahan mereka di pejabat JPJ,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Ibu Pejabat JPJ Perak di sini hari ini.

AES merupakan kaedah terbaik untuk memantau pergerakan kenderaan dan mendisiplinkan pemandu supaya patuh kepada undang-undang bagi mengurangkan kemalangan jalan raya.

Penggunaan sistem berkenaan bukanlah asing kerana ia sudah lama digunapakai di kebanyakan negara termasuk di Taiwan.

Beliau berkata, pemasangan kamera akan dibuat secara berperingkat-peringkat di kawasan yang kerap berlaku kemalangan di semua negeri terutamanya di lebuh raya dan jalan-jalan persekutuan.

Sumber: Utusan Malaysia, 21 Julai 2009.

Dari Akhbar: Penurunan bayaran latihan kurangkan penunggang motosikal tanpa lesen, bantu penduduk desa.

ALOR SETAR: Langkah kerajaan mengurangkan kadar bayaran untuk mendapatkan lesen motosikal berkuasa 250cc ke bawah dijangka mampu mengurangkan jumlah penunggang motosikal tanpa lesen selain meringankan beban terutama penduduk luar bandar yang berpendapatan rendah.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata kadar baru itu dipersetujui antara kerajaan dan Persatuan Institut Memandu memandangkan motosikal berkuasa 250cc ke bawah atau ‘kapcai’ adalah pengangkutan utama bagi masyarakat luar bandar khususnya yang berpendapatan rendah.

Beliau berkata, mengikut rekod pendaftaran kenderaan tahun lalu, daripada 17.7 juta kenderaan berdaftar di negara ini 8.4 juta adalah motosikal dan daripada jumlah itu sebanyak 6.74 juta adalah jenis motosikal di bawah 250cc.

“Berdasarkan perangkaan, kebanyakan pemilik motosikal di bawah 250cc atau diklasifikasikan mengikut kategori B2 di negara ini tidak memiliki lesen.

“Perkara ini perlu diambil perhatian memandangkan daripada 5,974 kematian yang dicatatkan akibat kemalangan tahun lalu, sebanyak 3,898 daripadanya adalah penunggang dan pembonceng motosikal,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah JPJ dengan Petugas Kaunter di Pejabat JPJ, Alor Setar, di sini, semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan 11 Hadiah Mesra Rakyat termasuk mengurangkan kadar bayaran untuk mendapatkan lesen motosikal 250cc ke bawah menjadi RM211 mulai 1 September ini.

Sementara itu, Solah berkata, daripada operasi yang dijalankan JPJ mendapati, kebanyakan penunggang motosikal jenis ‘kapcai’ tidak memiliki lesen dengan memberi alasan tidak mampu berikutan kos yang terlalu tinggi.

“Secara purata kadar lama bagi setiap individu memiliki lesen B2 adalah sekitar RM500 hingga RM700. Keadaan ini sekali gus menyebabkan kebanyakan mereka menunggang motosikal tanpa lesen.

“Ini terbukti apabila purata lima daripada 10 penunggang motosikal ‘kapcai’ yang ditahan dalam operasi yang dijalankan dikesan tidak mempunyai lesen,” katanya.

Solah berkata, bagaimanapun kadar pengurangan kepada RM211 ini tidak akan menjejaskan empat elemen sedia ada termasuk Latihan Memandu, Ujian Kekompetenan (kompetensi), Lesen Belajar Memandu (LDL) dan Lesen Memandu Percubaan (PDL) Dua Tahun.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapati ada antara penunggang motosikal B2 sanggup membeli lesen palsu daripada sindiket tertentu yang berharga mencecah RM1,500 hingga RM2,500 kerana khuatir gagal dalam ujian berkenaan.

“Langkah mengurangkan kadar berkenaan dijangka dapat mengurangkan kadar pemegang lesen palsu kelas B2 selain meningkatkan jumlah golongan luar bandar dan remaja memperoleh lesen menunggang motosikal yang sah,” katanya.

Sumber: Berita Harian, 13 Julai 2009.

Kadar bayaran latihan menunggang motosikal ditanggung bersama kerajaan

SEREMBAN: Kerajaan dan institut memandu akan menanggung bersama kadar bayaran latihan menunggang motosikal kelas B2, iaitu 250cc ke bawah yang dikurangkan kepada RM211 mulai 1 September ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, berkata kementeriannya sudah berbincang dan mencapai kata sepakat dengan semua institut memandu mengenai langkah pengurangan kadar bayaran latihan itu.

“Dalam perbincangan bersama, mereka berjanji mematuhinya tanpa mengenakan sebarang caj tambahan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau yang juga Presiden MCA berkata demikian selepas merasmikan perhimpunan agung MCA Negeri Sembilan 2009.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan tentang kadar bayaran latihan menunggang motosikal bawah 250cc termasuk mendapatkan lesen dikurangkan kepada RM211 berbanding RM500 hingga RM700 sebelum ini.

Pengumuman itu adalah antara 11 hadiah mesra rakyat yang diumumkan Najib sempena sambutan 100 hari pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri.

Langkah itu bertujuan membantu terutamanya golongan belia yang mempunyai sumber kewangan terhad untuk mendapat lesen memandu.

Ong berkata, sebelum ini kadar bayaran latihan menunggang motosikal ditetapkan sendiri oleh institut memandu, tetapi berdasarkan semakan semula dan selepas mendengar rungutan orang ramai, ia didapati membebankan.

“Kita berharap pengurangan kadar bayaran latihan ini iaitu lebih 50 peratus akan membantu orang ramai mendapatkan lesen memandu, terutama bagi golongan belia yang menunggang tanpa lesen,” katanya.

Sumber: Berita Harian, 12 Julai 2009.

Dari Akhbar: Pelajar ditahan JPJ miliki lesen memandu palsu

Tak faham prosedur punca terpedaya sindiket jual lesen

BALING: Seorang pelajar Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) terkejut apabila mendapati lesen memandu yang dimilikinya sejak setahun lalu adalah lesen palsu selepas diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu sekatan jalan raya di sini, kelmarin.

Mohd Azraie Muhammad Yunus, 19, berkata dia membuat lesen memandu itu tahun lalu selepas ditawarkan oleh seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ketika belajar di sebuah sekolah pondok di Parit Panjang, dekat sini.

Katanya, lelaki itu yang juga pelajar di sekolah pondok berkenaan mendakwa berasal dari Perak menawarkan diri untuk membantu menguruskan permohonan mendapatkan lesen `D’ dan `B2′ dengan bayaran RM550.

“Dia mengatakan boleh menguruskan permohonan lesen memandu tanpa menghadiri kursus ditetapkan oleh JPJ kononnya ingin membantu pelajar sekolah pondok menyebabkan saya dan beberapa pelajar lain turut mendaftar dan menyerahkan wang.

“Lelaki itu juga menawarkan permohonan lesen secara mudah tanpa perlu menghadiri kursus ditetapkan JPJ bagi memudahkan pelajar sekolah agama.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana lesen itu diperoleh dalam tempoh beberapa hari seperti dijanjikan dan ia kelihatan sama seperti lesen memandu orang lain,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Azraie berkata, dia terkejut apabila diberitahu JPJ bahawa lesennya adalah palsu ketika ditahan dalam satu sekatan jalan raya melalui Ops Bersepadu JPJ dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di Kilometer 52 Jalan Baling-Sungai Petani, kelmarin.

Katanya, dia terpengaruh dengan tawaran itu kerana tidak mengetahui prosedur permohonan lesen yang memerlukan seseorang mengikuti kelas pendidikan pemandu, menduduki ujian berkomputer, belajar memandu kereta sekurang-kurangnya lapan jam sebelum diuji JPJ.

Mohd Azraie yang juga pelajar jurusan Syariah di Insaniah Alor Setar berkata, dia bernasib baik kerana tidak disaman JPJ, tetapi bimbang bagaimana mahu membaharui lesen itu apabila tempoh sahnya tamat nanti.

Beliau mengesyaki lelaki terbabit menjadi ejen sindiket pengeluaran lesen memandu palsu dan ramai rakannya turut tertipu.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan membuat laporan polis berhubung penipuan itu bagi membolehkan siasatan dijalankan.

 

Sumber: Berita Harian, 5 Julai 2009.