Fakta KEJARA

Fakta KEJARA

Maklumat Mata Kejara

“Istimewa” bukan alasan. 196 pelajar pendidikan khas Segamat sudah buktikan.

Berjaya dapat lesen motosikal kelas B2

SEGAMAT 28 Feb. – Seramai 196 pelajar pendidikan khas di daerah ini berjaya memperoleh lesen motosikal kelas B2 menerusi program khas yang diadakan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan (PPD) Segamat dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Segamat sejak dilancarkan pada 2010.

Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, kerjasama kedua-dua jabatan tersebut dengan sokongan serta penglibatan secara langsung syarikat swasta dalam menjayakan program itu bukan sahaja dapat membantu golongan pelajar pendidikan khas mendapatkan lesen memandu, malah turut meringankan beban ibu bapa mereka.

Pelajar pendidikan khas juga seperti insan lain yang memerlukan lesen memandu untuk menjalani kehidupan apabila menamatkan pembelajaran mereka dan menjadi tanggungjawab kita membantu mereka mendapatkan lesen tersebut agar tidak ketinggalan.

“Masyarakat perlu membuang pandangan dan prejudis terhadap kemampuan golongan berkenaan kerana sebenarnya berkemampuan mereka setanding dengan insan normal jika diberi peluang dan ruang untuk membuktikan kebolehan masing-masing,” katanya semasa menutup Program Transisi B2 Pelajar Pendidikan Khas Segamat di Taman Yayasan di sini semalam.

Beliau berharap lebih banyak syarikat swasta membantu menjayakan pelbagai program bertujuan membangunkan keupayaan diri pelajar pendidikan khas.

Menurutnya, sokongan dan bantuan boleh dihulurkan melalui pelbagai cara, termasuk dengan melibatkan diri secara langsung dalam penganjuran program menerusi badan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Khas Segamat, Masnawi Samsuddin memberitahu, program tahun ini melibatkan 37 pelajar pendidikan khas dari 12 sekolah bermula Julai tahun lalu dengan memberi penekanan terhadap aspek teori dan teknikal bagi memastikan semua peserta mampu melaksanakan semua peringkat ujian.

Sumber: Utusan Malaysia, 1 Mac 2014.

3,498 terima lesen motosikal menerusi SKSJ

KUALA PILAH 24 Feb. – Sebanyak 3,498 penduduk di negeri ini menerima manfaat daripada Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) bagi mendapatkan lesen memandu motosikal dengan harga serendah RM150.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob berkata, semenjak program itu dilancarkan pada 2009 di daerah ini, sebanyak 231 orang sudah memperoleh lesen memandu secara sah.

Beliau berkata, pendekatan menerusi pelancaran program ini sekali gus membuktikan fungsi JPJ bukan sekadar menguatkuasakan undang-undang jalan raya, malah berperanan untuk mendekati segenap lapisan masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar.

Kita mahu memadam stigma perasaan takut apabila bertemu dengan JPJ. Oleh yang demikian, JPJ telah turun padang dengan membantu masyarakat luar bandar, khususnya bagi mendapatkan lesen B2 dari kadar harga yang murah iaitu RM150 berbanding harga biasa dari RM380 hingga RM400.

Sebanyak 186 permohonan termasuk daripada 40 masyarakat Orang Asli, berusia 21 tahun hingga 45 tahun ke atas diterima di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Penutupan Program SKS JPJ dan Pelancaran Skuad Muda Satu JPJ bersama dutanya, penyanyi terkenal Datuk Hattan dan Jay Jay di Resort Seri Menanti kelmarin.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Menanti, Datuk Abdul Samad Ibrahim.

Sementara itu, Yusoff memberitahu, Skuad Muda Satu JPJ menyasarkan golongan remaja berusia 16 tahun dan ke atas menyertai skuad berkenaan.

”Skuad Muda Satu JPJ ini berperanan melibatkan orang ramai dengan aktiviti anjuran jabatan kerana kita mahu mereka bersama jabatan mengadakan pelbagai kempen keselamatan jalan raya.

”Aktiviti sukarela mampu memupuk semangat kerjasama dan kesedaran tentang bahaya memandu laju, sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, jumlah kes kemalangan di negeri ini pada tahun 2013 sebanyak 23,066 kes, sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 918 kes berbanding 22,148 kes pada 2012.

Bagi kes melibatkan kematian pula, Yusoff menjelaskan, terdapat peningkatan kes melibatkan 396 orang pada 2013 berbanding tahun 2012 yang mencatatkan 352 orang dengan perbezaan 44 orang.

Sumber: Utusan Malaysia, 25 Februari 2014.

3,200 penduduk di Baling dapat manfaat program BL1M

BALING 23 Feb – Seramai 3,200 penduduk kawasan ini mendapat manfaat melalui program Bantuan Lesen 1Malaysia (BLIM) dengan kerjasama Institut Memandu dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Daripada jumlah itu seramai 1,600 peserta peringkat pertama berjaya memperoleh lesen menunggang motosikal bagi kelas B2 selepas mengikuti semua sukatan pembelajaran yang ditetapkan oleh JPJ.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, usaha itu dapat membantu dan memudahkan golongan terbabit terutamanya belia yang tidak memiliki lesen berbuat demikian.

“Pejabat Khidmat Ahli Parlimen mengambil inisiatif untuk membantu mereka yang tercicir supaya mereka tidak ketinggalan untuk memperoleh lesen berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan lesen L kepada 850 lagi calon yang berjaya pada peringkat kedua di Dewan Tun Abdul Razak, di sini semalam.

Menurutnya, mereka terpaksa melalui semua peringkat kursus di bilik darjah dan litar sebelum diuji oleh JPJ bagi melayakkan mereka memperoleh lesen belajar memandu (L) dan lesen percubaan (P) selama dua tahun.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Harun Abd Aziz, Ketua Pemuda UMNO Baling, Mohd. Noor Mohd. Amin dan Pegawai Bahagian Korporat JPJ Alor Setar, Ahmad Said Man.

Sempena program itu, turut diadakan seminar kerjaya kepada belia lepasan sekolah untuk mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan oleh Kolej Komuniti dan Pusat Giat Mara.

Kata Abdul Azeez, Pejabat Parlimen Baling turut menawarkan pakej pendaftaran percuma kursus kahwin dan pendaftaran pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, JPJ turut membuka kaunter bergerak untuk membayar saman, memperbaharui cukai jalan, lesen memandu dan pemeriksaan motosikal secara percuma bagi kenderaan yang tamat tempoh cukai jalan melebihi setahun.

Ahmad Said berkata, selain itu JPJ juga berjaya mendaftar lebih 500 ahli Skuad Muda JPJ yang berusia 17 tahun ke atas.

Sumber: Utusan Malaysia, 24 Februari 2014.

Peluang untuk 3.3 juta remaja miliki lesen memandu

BAGAN DATOH 16 Feb. – Kira-kira 3.3 juta individu berumur 16 tahun ke atas berpeluang memiliki lesen motosikal B2 menerusi program MyLesen yang akan dilancarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), April ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, program khas itu akan membantu orang ramai khususnya golongan muda di bandar dan pinggir bandar memiliki lesen memandu sah dengan kadar bayaran lebih rendah,

“Terdapat sebanyak 3.35 juta individu berumur 16 tahun ke atas yang sepatutnya memiliki lesen. Ini akan dimulakan dengan kerjasama sekolah latihan memandu di setiap negeri.

“Menerusi program ini para peserta berpeluang mendapatkan lesen motosikal kelas B2 dengan bayaran sebanyak RM198 seorang, jauh lebih murah berbanding biasa iaitu kira-kira RM360 seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menutup Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) peringkat Parlimen Bagan Datoh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, di sini hari ini.

Dalam majlis yang disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, seramai 237 peserta menerima lesen memandu percubaan (P) kelas B2 setelah lulus menduduki kursus, latihan dan ujian memandu di bawah program SKSJ.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Yusoff Ayob dan Pengarah JPJ Perak, Ramli Awang Seberang.

Ismail berkata, di dalam program MyLesen, pihaknya turut melakukan beberapa pindaan dalam silibus yang digunakan antaranya memansuhkan soalan-soalan mengelirukan.

Kita akan gunakan Kokurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) baru yang soalannya lebih objektif, spesifik dan secara terus. Tiada lagi soalan berbelit-belit.

“Sebaik sahaja tamat projek perintis itu pada Jun nanti, kita juga akan lihat kekuatan dan kelemahannya dan akan ditambah baik supaya lebih mantap,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, pihaknya juga mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan program Kadet JPJ di semua sekolah menengah bermula April depan.

Katanya, program itu antara usaha JPJ untuk memberi pendedahan awal mengenai peraturan jalan raya kepada golongan pelajar bermula di tingkatan satu hingga enam.

Sumber: Utusan Malaysia, 17 Februari 2014.

Nasihat buat ibu bapa: Terapkan aspek keselamatan, elak anak terdedah risiko kemalangan.

KULIM 12 Feb. – Ibu bapa perlu menerapkan aspek keselamatan kepada anak-anak secara berterusan supaya mereka peka dan mengambil langkah selamat, khususnya semasa dalam perjalanan pergi dan balik sekolah .

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Chua Thiong Ghee berkata, tindakan tersebut diperlukan untuk memastikan anak-anak mereka tidak terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya.

Buat masa sekarang, didapati ramai di antara ibu bapa mengambil sikap sambil lewa dengan membenarkan anak-anak menunggang motosikal secara berbahaya ke sekolah. Kebanyakan pelajar terlibat tidak memakai topi keledar, malah tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

“Secara peribadi, saya tidak menggalakkan ibu bapa membenarkan anak-anak menunggang motosikal ke sekolah kerana dalam kes-kes kemalangan yang dilaporkan, kebanyakan mangsa adalah penunggang atau pembonceng motosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau aktiviti menunggang motosikal dalam kalangan pelajar sekolah menengah di sekitar Kulim baru-baru ini.

Thiong Ghee berkata, selain melibatkan isu keselamatan, tindakan menunggang motosikal ke sekolah juga merupakan satu bentuk pelanggaran undang-undang jalan raya.

Saya hairan bagaimana ibu bapa hari ini boleh membenarkan anak mereka yang tidak cukup umur menunggang motosikal ke sekolah. Ini adalah satu kesalahan serius dan boleh mengakibatkan motosikal yang ditunggang itu disita manakala pemiliknya juga boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau yang merupakan seorang peguam berkata, pihak sekolah turut diingatkan agar bersikap tegas memastikan pelajar sekolah yang menunggang motosikal mempunyai lesen sah.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya akan meminta kerjasama pihak berkuasa agar memantau aktiviti tersebut dan menguatkuasakan undang-undang secara tegas.

Sumber: Utusan Malaysia, 13 Februari 2013.

Syabas UTEM kerana kuatkuasakan peraturan lalu lintas dalam kampus.

MELAKA 11 Feb. – Polis Bantuan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menguatkuasakan sepenuhnya peraturan lalu lintas di seluruh kampus dan premis universiti itu bermula awal Februari lalu.

Pengarah Pejabat Keselamatan UTeM, Affindi Abu Bakar berkata, penguatkuasaan peraturan lalu lintas itu melibatkan seluruh warga universiti merangkumi pelajar, staf, kontraktor, pembekal termasuk orang awam yang berurusan di kampus-kampus mahupun asrama universiti berkenaan.

Menurutnya, Polis Bantuan UTeM mempunyai kuasa penuh untuk menguatkuasakan peraturan lalu lintas di dalam kawasan universiti dan semua pihak diminta mematuhi segala arahan serta undang-undang yang digunapakai.

Antara peraturan lalu lintas yang sering dipandang ringan oleh sesetengah pihak adalah seperti tidak memakai tali pinggang keselamatan, tidak memakai topi keledar, tidak membawa lesen memandu dan meletakkan kenderaan di kawasan larangan.

“Melalui kuasa yang diberikan kepada Polis Bantuan UTeM, anggota boleh mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang melakukan kesalahan lalu lintas di dalam premis universiti bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan di sini.

Affindi berkata, orang awam yang menggunakan laluan di dalam kampus induk UTeM iaitu dari Ayer Keroh ke Jasin dan sebaliknya juga perlu mematuhi peraturan serta memberi kerjasama sepenuhnya apabila anggota polis bantuan melakukan pemeriksaan keselamatan.

Katanya, secara asas, semua pihak diminta mematuhi peraturan lalu lintas UTeM kerana itu adalah peraturan yang sama digunapakai oleh jabatan dan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lain-lain.

Dalam pada itu, Affindi memaklumkan laluan untuk orang awam di kampus induk Durian Tunggal yang sebelum ini beroperasi hingga pukul 7 malam telah dilanjutkan hingga ke pukul 9 malam.

“Laluan tersebut merupakan jalan alternatif orang awam sekitar Jasin dan Kesang ke Bandar Melaka dan adalah diharapkan dengan pelanjutan masa itu memberi kemudahan kepada pengguna,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 12 Februari 2013.