JPJ: Ibu bapa perlu pantau anak bermotosikal.

KANGAR 7 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengingatkan ibu bapa di negeri ini supaya tidak sewenang-wenangnya membiarkan anak-anak mereka yang tidak memiliki lesen memandu menjadikan motosikal sebagai kenderaan ke sekolah.

Pengarahnya, Zulhasmi Mohamad berkata, kebanyakannya ibu bapa sanggup memberikan motosikal milik sendiri atau keluarga untuk digunakan anak ke sekolah kerana enggan menghantarnya sendiri atas alasan sibuk dan sebagainya.

Purata pelajar yang berusia antara 13 hingga 17 di negeri ini didapati menggunakan motosikal tanpa lesen untuk ke sekolah setiap hari di mana mereka terdedah kepada kemalangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa atau cacat anggota seumur hidup,” katanya ketika ditemui semasa operasi khas motosikal sempena Aidilfitri di sini malam semalam.

Zulhasmi berkata, kemalangan motosikal di kalangan pelajar sekolah kerap berlaku tetapi kalangan ibu bapa masih tidak endah terhadap keselamatan anak-anak.

Jangan berkira soal kewangan untuk membolehkan anak-anak mempunyai lesen memandu apabila cukup mengikut umur yang dibenarkan JPJ supaya kes penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan maut dapat dikurangkan,” katanya.

Katanya, sepatutnya ibu bapa jangan sesekali membenarkan anak-anak menunggang motosikal ke sekolah atau ke mana-mana sahaja selagi tidak memiliki lesen memandu.

Beliau berkata, ini penting kerana pengguna jalan raya yang mempunyai lesen memandu akan dilindungi oleh insurans jika berlaku sebarang kemalangan.

Zulhasmi berkata, jika anak sudah mempunyai lesen memandu pula harus pastikan motosikal yang ditunggang itu mempunyai lesen kenderaan.

Sementara itu Zulhasmi berkata, sempena dengan Ops Motosikal Aidilfitri 2014 pada 22 Julai, 3 Ogos dan 5 Ogos di lokasi Kilometer 1.5 Jalan Kangar- Alor Setar yang melibatkan 80 anggota di mana sebanyak 188 notis telah dikeluarkan.

Katanya, selain itu sebanyak 214 kes telah dikesan di mana 113 didapati tidak mempunyai lesen memandu dan 68 pula tiada lesen kenderaan.

Beliau berkata, sepanjang operasi itu juga hanya satu kes dikesan melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun tidak mempunyai lesen memandu dan motosikal yang ditunggangnya itu juga turut disita.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang menyertai operasi berkenaan juga terdapat juga kes penunggang motosikal didapati positif dadah.

Sumber: Utusan Malaysia, 8 Ogos 2014.

Kematian akibat kemalangan menurun dalam Ops Aidilfitri 2014.

MELAKA 6 Ogos – Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di negeri ini yang dicatatkan sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menurun sebanyak 40 peratus atau enam kematian berbanding tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Lim Ban Hong berkata, dari tempoh 21 Julai hingga 5 Ogos lalu sembilan kematian dicatatkan dalam lapan kemalangan maut berbanding 15 kematian dalam 11 kemalangan maut pada operasi sama tahun lalu.

Menurutnya, jumlah mangsa yang mengalami cedera parah juga menurun sebanyak 10 peratus dari 10 orang pada tahun lalu kepada sembilan orang tahun ini.

”Bagaimanapun, jumlah kemalangan yang dicatatkan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri tahun ini meningkat sebanyak 9.1 peratus kepada 789 kes berbanding 723 kes tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Operasi Penguatkuasaan Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2014 di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Semabok, di sini malam tadi.

Yang hadir sama Pengarah JPJ negeri, Azaharuldin Abdullah, Setiausaha Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Melaka, Ong Tai Chu dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, M. Shantini.

Jelas Ban Hong, sempena musim perayaan tahun ini juga, terdapat pertambahan sebanyak 8,189 buah kenderaan memasuki Melaka dari 25 hingga 29 Julai di mana ia dikenal pasti antara punca peningkatan jumlah kemalangan sepanjang tempoh operasi.

Justeru katanya, jawatankuasa pengangkutan negeri bersama jabatan-jabatan terlibat akan meneruskan strategi menjalankan penguatkuasaan lebih ketat selain memperhebatkan penguatkuasaan melalui program kesedaran dan pendidikan.

”Diharapkan kedua-dua cara ini dapat dijalankan serentak untuk meningkatkan kesedaran mementingkan keselamatan di jalan raya di kalangan pemandu dan pengguna lalu lintas,” tegasnya.

Sementara itu tambah beliau, sepanjang tempoh operasi berkenaan juga, sebanyak 5,242 buah kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa oleh JPJ di mana 377 saman dikeluarkan manakala 364 kenderaan diambil tindakan.

Kesalahan paling banyak dicatatkan ialah TIDAK mempunyai lesen memandu yang sah iaitu sebanyak 157 kes, tidak mempunyai cukai jalan (75 kes), nombor pendaftaran tidak mengikuti spesifikasi dibenarkan (33 kes) serta lain-lain kesalahan termasuk ubah suai kenderaan, cermin gelap, tiada insurans dan memandu bawah umur,” jelasnya.

Operasi yang dijalankan bermula pada pukul 9 malam itu melibatkan 198 anggota penguat kuasa termasuk dari JPJ, MKJR, JKJR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Sumber: Utusan Malaysia, 7 Ogos 2014.

Warga emas cuai memandu dipenjara 48 bulan, denda RM10,000.

KUALA LUMPUR 11 Julai – Seorang lelaki warga emas dihukum penjara 48 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang, dekat sini atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga mengorbankan sepasang suami isteri dan dua sepupu mereka dalam satu kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Bukit Antarabangsa tahun lalu.

Majistret Noor Farah Hazwani Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap Masrufi Sain, 67, yang be­kerja sebagai buruh binaan selepas mengubah pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan itu hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tiga tahun bermula hari ini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ketika memandu kereta Proton Satria secara cuai dan tanpa pertimbangan yang munasabah menyebabkan kemalangan yang mengakibatkan pemandu kereta Perodua Viva dan tiga penumpangnya terbunuh di MRR2, Bukit Antarabangsa di sini kira-kira pukul 5.40 petang, 19 Mei 2013.

Mereka yang terkorban dalam kejadian itu ialah pemandu kenderaan tersebut, Hasbullah Abdul Ghani, 26, isterinya, Nurul Intan Syahida Nordin, 22, sepupu Hasbullah, Tengku Ahmad Faiz Tengku Mohmad, 28, dan Asma Ismail, 23.

Pendakwaan terhadap Masrufi dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua tahun hingga 10 tahun atau denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000.

Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Masrufi memohon agar dia dikenakan hukuman yang ringan atas alasan faktor usia dan sering sakit.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, tertuduh yang memandu kereta Proton Satria dalam perjalanan dari Bukit Antarabangsa ke MRR2 dan menuruni bukit sebelum kereta tersebut merempuh pembahagi jalan ketika memasuki laluan bertentangan lalu melanggar kereta Perodua Viva yang dinaiki keempat-empat mangsa, kemudian kenderaan itu turut dilanggar kereta Suzuki Swift.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Purnima manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sementara itu, ibu kepada Nurul Intan Syahida, Wan Lili Marsila Wan Jaafar, 45, berkata, sehingga kini dia sukar untuk menerima kenyataan bahawa anak keduanya itu sudah tiada.

“Walaupun saya reda menerima ketentuan Tuhan, namun susah hendak saya gambarkan apabila kehilangan anak sekelip mata. Namun, kami sekeluarga tetap lega kerana semuanya berakhir dengan baik apabila tertuduh menerima hukuman sepatutnya hari ini,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Akhbar sebelum ini melaporkan keempat-empat mangsa itu terbunuh dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan, dipercayai berpunca daripada kegagalan brek kereta Proton Satria berfungsi dalam kejadian itu.

Pemandu dan tiga penumpang kereta Perodua Viva itu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala manakala sekurang-kurangnya tiga lagi penumpang kenderaan lain cedera.

Hasbullah dan isterinya, Nurul Intan Syahida yang duduk di bahagian penumpang depan putus kepala akibat terkena kabel penghadang jalan.

Sumber: Utusan Malaysia, 12 Julai 2014.

PPIM: Ujian memandu secara ICT wajar dilaksana.

KUALA LUMPUR 8 Julai – Pelbagai pihak mengalu-alukan langkah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan sistem ujian lesen memandu secara teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi mengurangkan kemungkinan penyelewengan dalam kalangan anggota agensi itu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya juga percaya langkah tersebut akan dapat memastikan hanya pemohon lesen yang benar-benar lulus ujian sahaja memandu di atas jalan.

“Walaupun sistem itu akan menyebabkan kesukaran kepada pemohon untuk lulus, kaedah tersebut dapat membendung kemalangan jalan raya.

Biar sedikit serta sukar mendapat lesen asalkan bernilai untuk keselamatan diri sendiri mahupun orang lain. Tambahan pula, semua pemohon perlu mengikuti kursus dan latihan memandu dalam tempoh yang panjang supaya lesen itu tidak diperoleh dengan mudah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad baru-baru ini, berhubung pengenalan sistem baharu untuk mendapatkan lesen memandu kenderaan yang akan dikawal selia secara ICT mulai tahun depan.

Menurut Ismail, sistem itu sedang dibangunkan, sekali gus akan menambah baik sistem pengujian sedia ada yang diperkenalkan di institut memandu iaitu pegawai JPJ hanya memainkan 40 peratus peranan bagi menentukan sama ada seseorang calon itu gagal atau lulus manakala 60 peratus lagi ditentukan menerusi sistem berkenaan.

Utusan Malaysia dalam laporan khas pada 13 Julai 2011, menyatakan satu kurikulum memandu baharu akan dilaksanakan JPJ bertujuan mengurangkan kadar kemalangan yang tinggi di dalam negara.

Bekas Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Solah Mat Hassan berkata, pelaksanaan itu yang tertangguh sebelum ini hanya menunggu masa untuk dilaksanakan bergantung pada persediaan pihak industri latihan terlibat.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna (PKP) Kuala Lumpur, Samsudin Mohamad Fauzi turut menyokong pelaksanaan sistem ujian baharu itu kerana dapat mengurangkan penyelewengan dalam kalangan pegawai JPJ.

“Sistem ini lebih baik tetapi pemantauan berterusan masih perlu dilakukan terhadap anggota dan pegawai JPJ,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia,9 Julai 2014.

Penuntut kolej dan penghantar piza merempit didenda RM5000.

KUALA LUMPUR 16 Jun – Dua mat rempit masing-masing dipenjara sehari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan aksi ala Superman, minggu lalu.

Majistret Amal Razim Alias menjatuhkan hukuman itu terhadap penuntut kolej, Kamaruddin Ismail, 19, dan penghantar Pizza, Mohamad Hasnol Yusuf Harun, 19, dan memerintahkan kedua-duanya menjalani hukuman penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Kamaruddin yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ 135 warna hijau didakwa menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan aksi ala Superman dengan meletakkan dada pada tangki motor serta mengangkat kaki lurus ke belakang yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 3.20 pagi di Lebuh Raya Duke, 14 Jun lalu.

Sementara itu, Mohamad Hasnol yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda warna biru pula didakwa menunggang motosikalnya dengan gaya yang sama di lebuh raya berkenaan antara pukul 1.15 dan 1.20 pagi, 15 Jun lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 5 tahun dan didenda tidak kurang RM5,000, serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Berdasarkan fakta kes, kedua-duanya berjaya ditahan oleh pihak polis yang melakukan operasi khas samseng jalan raya dan cegah lumba haram di persimpangan jalan lebuh raya itu.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang doktor didenda RM1,800 atau penjara dua bulan selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol, dua hari lalu.

Sumber: Utusan Malaysia, 17 Jun 2014.

Nasihat buat ibu bapa: Terapkan aspek keselamatan, elak anak terdedah risiko kemalangan.

KULIM 12 Feb. – Ibu bapa perlu menerapkan aspek keselamatan kepada anak-anak secara berterusan supaya mereka peka dan mengambil langkah selamat, khususnya semasa dalam perjalanan pergi dan balik sekolah .

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Chua Thiong Ghee berkata, tindakan tersebut diperlukan untuk memastikan anak-anak mereka tidak terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya.

Buat masa sekarang, didapati ramai di antara ibu bapa mengambil sikap sambil lewa dengan membenarkan anak-anak menunggang motosikal secara berbahaya ke sekolah. Kebanyakan pelajar terlibat tidak memakai topi keledar, malah tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

“Secara peribadi, saya tidak menggalakkan ibu bapa membenarkan anak-anak menunggang motosikal ke sekolah kerana dalam kes-kes kemalangan yang dilaporkan, kebanyakan mangsa adalah penunggang atau pembonceng motosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau aktiviti menunggang motosikal dalam kalangan pelajar sekolah menengah di sekitar Kulim baru-baru ini.

Thiong Ghee berkata, selain melibatkan isu keselamatan, tindakan menunggang motosikal ke sekolah juga merupakan satu bentuk pelanggaran undang-undang jalan raya.

Saya hairan bagaimana ibu bapa hari ini boleh membenarkan anak mereka yang tidak cukup umur menunggang motosikal ke sekolah. Ini adalah satu kesalahan serius dan boleh mengakibatkan motosikal yang ditunggang itu disita manakala pemiliknya juga boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau yang merupakan seorang peguam berkata, pihak sekolah turut diingatkan agar bersikap tegas memastikan pelajar sekolah yang menunggang motosikal mempunyai lesen sah.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya akan meminta kerjasama pihak berkuasa agar memantau aktiviti tersebut dan menguatkuasakan undang-undang secara tegas.

Sumber: Utusan Malaysia, 13 Februari 2013.

Pelajar maut dalam perjalanan untuk ujian memandu.

GUA MUSANG 20 Nov. – Hasrat seorang pelajar tingkatan empat untuk mendapatkan lesen memandu bagi memudahkannya berulang-alik ke sekolah tidak kesampaian apabila dia maut ketika dalam perjalanan ke sekolah memandu tersebut untuk menduduki ujian.

Kemalangan kira-kira pukul 8.30 pagi semalam di Kilometer 8.5, Jalan Gua Musang-Kuala Krai itu mengakibatkan Muhamad Zul Khalid Zakaria, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Chiku meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ibu mangsa, Che Som Awang, 54, memberitahu, anaknya bertekad tidak lagi mahu menunggang motosikal tanpa lesen dan mahu mengambil ujian memandu semasa cuti persekolahan ini kerana tidak mahu mengganggu hari persekolahannya.

“Arwah memang menghitung hari untuk menjalani ujian memandu kerana tidak mahu menunggang motosikal tanpa lesen, tetapi hari pertama untuk menjalani ujian itu pagi ini dia ditimpa nasib malang.

“Apa pun saya reda dengan pemergiannya kerana itu adalah kehendak Allah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Saiful Bahri Abdullah berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Gua Musang manakala kereta Proton Wira dipandu seorang warga Indonesia dikenali sebagai Erfan, 39, pula sedang menghala ke Kampung Sungai Asap.

“Kejadian berlaku apabila kereta tersebut cuba memotong kenderaan di hadapannya tetapi gagal lalu bertembung dengan dua buah motosikal di laluan bertentangan.

“Sebuah motosikal lagi yang ditunggang oleh pemuda, Junaidi Seman, 39, sempat mengelak namun terbabas ke dalam longkang di bahu jalan berkenaan.

“Penunggang motosikal yang terselamat itu mengalami kecederaan di kaki manakala pemandu kereta tersebut mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Gua Musang,” katanya.

Saiful Bahri berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Utusan Malaysia, 21 November 2013.

‘Seksyen Profil Pemandu’ diperkenal bagi elak nahas pengangkutan awam.

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperkenalkan Seksyen Profil Pemandu bagi menghalang pemandu yang mempunyai rekod kesalahan jalanraya lampau untuk terus menjadi pemandu kenderaan pengangkutan awam.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi berkata langkah tersebut diambil bagi mengelak tragedi malang berulang terutamanya kemalangan jalanraya yang membabitkan pengangkutan awam sekaligus menyebabkan banyak nyawa terkoban.

“Berdasarkan rekod PDRM, pemandu bas  yang terlibat dengan kemalangan tersebut mempunyai 15 saman yang belum selesai, iaitu kesalahan di atas memandu, memandu had lebih laju dan satu saman menghalang lalu lintas.

“Sehubungan dengan itu pihak kerajaan mengambil beberapa langkah pertama iaitu JPJ akan menubuhkan satu seksyen baru yang dinamakan Seksyen Profil Pemandu.

Seksyen ini dibawah penguatkuasaan JPJ Malaysia berfungsi untuk membatalkan lesen memandu di bawah sistem generate untuk menggantung dan membatalkan lesen memandu penagih dadah dan menggantungkan lesen pemandu yang banyak kesalahan jalanraya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang bertanya mengenai status jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan bagi menyiasat beberapa pengangkutan awam yang terlibat dengan kemalangan jalanraya.

Aziz selain itu ketika membahaskan soalan lisan itu turut memberi cadangan satu kamera litar tertutup perlu dipasang di dalam bas bagi mengawasi cara pemanduan pemandu bas.

“Saya turut mahu mencadangkan satu CCTV dipasang…tujuannya untuk memerhati bagaimana pemandu memandu…

“Dan video CCTV ini hanya boleh dipadamkan selepas seminggu perjalanan,” katanya lagi.

Malah beliau berkata satu pekeliling di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan dikeluarkan.

Pekeliling baru ini bertujuan bagi memberi peringatan dan menambahbaik kawalan keselamatan di jalan raya.

Sementara itu Liow mengharapkan Kementerian Pengangkutan Awam mengambil tindakan proaktif dalam memastikan semua jawatankuasa dan seksyen baru yang ditubuhkan berfungsi dengan baik.

“Kita mengharapkan jawatankuasa ini diitubuhkan secepat mungkin kerana orang orang awam dan tempatan di kawasan ini untuk memberikan satu sistem yang selamat.

“Saya berharap mempunyai satu sistem untuk memantau kawasan-kawasan khas dibaiki dari semasa ke semasa.

“Yang kedua ialah perlu mengambilkira dari keselamatan pemandu yang di bawah pengawasan dadah dan adakan satu sistem untuk memastikan semua pemandu kenderaan dan lori melalui sistem saringan kesihatan yang rapi,” katanya.

-Antarapos, 29 Oktober 2013.

JKJR: Remaja paling berisiko terlibat kemalangan motosikal

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Remaja antara golongan paling berisiko terlibat dalam kemalangan jalan raya kerana kurangnya kemahiran daripada segi teori dan praktikal dalam mengendalikan motosikal.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Dr Tam Weng Wah berkata menurut kajian Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), 60 peratus kes kematian yang dicatatkan setiap tahun adalah melibatkan golongan muda atau yang gemar bermotosikal.

Kebanyakan penunggang motosikal yang terdiri daripada golongan remaja didapati kurang mahir dalam mengendalikan motosikal kerana di antara mereka tidak mempunyai lesen memandu yang sah serta tidak pernah menjalani latihan pemanduan atau penunggangan dengan betul di bawah penyeliaan pengajar di institut memandu,” katanya dalam ucapan Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Kolej Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini hari ini.

Beliau menyeru agar golongan remaja merebut peluang dengan mendaftar di bawah program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) yang ditawarkan kerajaan dalam membantu dan memastikan golongan muda mendapat pendidikan serta pengetahuan mengenai keselamatan jalan raya dengan baik.

“Secara tidak langsung bila mereka telah pun diasuh dan diajar dengan ilmu keselamatan jalan dengan bersistematik, jadi saya percaya kes-kes kemalangan jalan raya dapat dikurangkan,” katanya.

Tam juga berkata selain faktor manusia dan sikap, punca utama kematian bagi penunggang dan pembonceng motosikal disebabkan kecederaan serius di bahagian kepala.

Topi keledar yang dipakai harus mempunyai piawaian SIRIM dan harus diikat dengan sempurna kerana terdapat banyak kes-kes kemalangan menunjukkan topi keledar tidak diikat dengan sempurna akan tercabut semasa berlakunya kemalangan dan membawa kepada kecederaan parah di kepala serta menyebabkan maut, katanya.

Beliau meminta ibu bapa memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dengan memantau dan sentiasa menasihati anak-anak serta golongan muda agar tidak mengabaikan pemakaian topi keledar walaupun untuk jarak perjalanan yang dekat.

Sementara itu, Pengetua Kolej TAR Datuk Dr Tan Chik Heok berkata menurut Organisasi Kesihatan Sedunia, setiap hari lebih daripada 1,000 orang muda di bawah umur 25 tahun terbunuh dalam kemalangan jalan raya di seluruh dunia.

Kecederaan jalan raya antara punca utama kematian di seluruh dunia yang melibatkan mereka yang berusia 15 hingga 19 tahun, manakala bagi yang berusia 10 hingga 14 tahun dan kumpulan umur 20 hingga 24 tahun, mereka adalah punca kedua utama kematian, katanya.

Katanya dengan angka-angka yang membimbangkan, ia penting untuk menyebarkan pendidikan dan kesedaran keselamatan jalan raya untuk memberitahu kepada golongan muda supaya berhati-hati di jalan raya. – Bernama, 6 Mac 2013.

Awas! 1,800 anggota JPJ bertugas dalam Ops Raya.

ALOR SETAR 6 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menugaskan seramai 1,806 anggotanya dalam operasi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan sasaran mengurangkan kadar kemalangan dan angka kematian jalan raya, khususnya membabitkan penunggang serta pembonceng motosikal.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ, Jaafar Mohamed berkata, dalam operasi penguatkuasaan selama 15 hari bermula 12 Ogos ini, anggota yang terlibat akan memantau 32 terminal bas, membuat penyamaran dalam bas ekspres dan mengawasi ‘kawasan hitam’ di seluruh negara.

Katanya, anggota yang ditempatkan di terminal bas akan membuat pemeriksaan termasuk tayar dan brek bas bagi memastikan ia berfungsi dengan baik sebelum memulakan perjalanan membawa penumpang ke destinasi dituju.

“Kami juga bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi memeriksa pemandu bas agar bebas daripada pengaruh dadah atau bahan terlarang,” katanya kepada pemberita pada Ops Pra Perayaan di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini malam tadi.

Pada operasi bersepadu yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), AADK, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Puspakom itu, sebanyak 111 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan dan sejumlah 26 motosikal disita.

Jaafar berkata, anggota JPJ turut melakukan penyamaran di dalam bas ekspres bagi memantau kesalahan dilakukan oleh pemandu seperti gagal mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Katanya, jabatan berkenaan juga menggunakan pendekatan psikologi iaitu meletakkan anggota di 96 ‘kawasan hitam’ di seluruh negara selama 24 jam selain pemasangan blinkers bagi memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya.

 

 

Sumber: Utusan Malaysia, 7 Ogos 2012.