Lebih 70,000 peserta BL1M buta huruf, buta IT.

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Kadar buta huruf dan teknologi maklumat (IT) dalam kalangan rakyat negara ini termasuk golongan muda didapati masih tinggi apabila seramai 74,654 peserta program Bantuan Lesen Satu Malaysia (BL1M) gagal memperoleh lesen hanya kerana masalah tersebut.

Mereka yang merupakan sebahagian daripada 137,314 peserta yang mendaftar di bawah BL1M gagal melepasi Ujian Teori Berkomputer Jabatan Pengangkutan Jalan (KPP) sebanyak tiga kali seperti diperuntukkan dalam peraturan BL1M.

Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB), Tengku Azman Tengku Zainol Abidin yang terkejut dengan perkembangan itu berkata, berikutan masalah tersebut BL1M menghadapi cabaran besar dalam mencapai matlamat memberikan lesen motosikal kelas B2 kepada golongan muda yang kurang berkemampuan.

‘‘Kita terkejut, selain faktor tidak mengulangkaji buku undang-undang jalan raya, rupa-rupanya ada antara mereka langsung tidak tahu membaca dan tidak tahu menggunakan komputer.

‘‘Menerusi BL1M kita berikan peluang sebanyak tiga kali, tetapi tiga kali itu juga mereka masih gagal,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Pemuda UMNO, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Eksekutif My E.G. Bhd. (myeg), Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha dan Setiausaha BL1M, Mohamad Faiz Yaacob.

Bagi menangani perkara itu, Tengku Azman mencadangkan agar KPP dan kursus undang-undang jalan raya dijadikan sebagai salah satu modul wajib dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Beliau berkata, aspek lain yang turut menyukarkan BL1M berjalan lancar ialah faktor logistik di Sabah dan Sarawak iaitu peserta yang telah berdaftar tidak dapat menghadiri KPP kerana tinggal jauh di pendalaman dan institusi memandu yang tidak banyak.

Sehubungan itu, kata beliau, bagi mencapai sasaran asal BL1M, pihaknya sedang mendapatkan kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menggantikan KPP kepada ujian bertulis dan ujian lisan khusus untuk mereka yang terkandas pada peringkat tersebut.

Dalam pada itu, menurutnya, pihak pengurusan BL1M juga berdepan masalah tidak dapat menghubungi seramai 18,937 peserta yang telah berdaftar tetapi gagal menghadiri ujian itu di 121 institusi memandu yang terlibat dengan BL1M di seluruh negara.

Beliau berkata, sekiranya ada antara mereka yang tidak mahu meneruskan BL1M, pihaknya akan membuat bayaran balik kepada individu terbabit dan bagi yang mahu meneruskan, boleh menghubungi BL1M di talian 03-40441199.

Tengku Azman berkata, BL1M bagaimanapun berjaya membantu sebanyak 16,592 peserta mendapat lesen dan sebanyak 18,928 sedang menunggu untuk pemberian lesen.

BL1M diilhamkan oleh SHEB bagi mengatasi masalah kos pengambilan lesen memandu yang tinggi dilancarkan awal tahun ini bertujuan membantu golongan muda berusia 17 hingga 40 tahun memiliki lesen motosikal B2 dengan mudah dan murah apabila hanya perlu membayar sebanyak RM199 berbanding kadar bayaran biasa iaitu RM350 seorang.

Sementara itu, Raja Munir berkata, menerusi KPP seseorang peserta wajib lulus dengan mata minimum 42 daripada 50 soalan objektif mengenai peraturan jalan raya dan pemanduan berhemah yang disediakan JPJ dalam tempoh 45 minit menerusi komputer di pusat-pusat ujian milik myeg, Speed dan Coms.

 

 

Sumber: Utusan Malaysia, 31 Ogos 2013. 

Belum bayar saman trafik? Awas! Lesen memandu anda munkin diBATALkan.

1.7 Juta Individu Gagal Bayar Saman Bakal Dibatal Lesen Memandu – KPN

KUALA LUMPUR- Seramai 1.7 juta individu yang disenaraihitamkan kerana degil membayar saman trafik bakal berdepan tindakan lesen memandu dibatalkan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata tindakan itu akan ditumpukan terhadap penunggang motosikal dan pemilik kenderaan komersil yang banyak menyumbang kepada jumlah kemalangan maut pada Op Selamat III sempena Aidilfitri baru-baru ini.

“Kami mensasarkan penunggang motosikal dan pemilik kenderaan komersil terlebih dahulu berikutan peningkatan jumlah kemalangan maut dalam Ops Selamat III (membabitkan mereka),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat penghargaan kepada pengguna jalan raya berhemah dan kontinjen/daerah terbaik Op Selamat III di sini, Rabu.

Beliau berkata polis akan mencadangkan undang-undang dipinda segera bagi membolehkan tindakan itu diambil dengan secepat mungkin.

Ops Selamat III yang bermula pada 1 Ogos hingga 18 Ogos lepas, secara keseluruhannya mencatatkan 17,831 kes kemalangan yang menunjukkan penurunan sebanyak 106 kemalangan berbanding Ops Selamat II.

Bagaimanapun kadar kemalangan maut telah meningkat sebanyak 32 kes atau 14.2 peratus iaitu daripada 226 kes kepada 258 kes, dengan jumlah kematian turut meningkat sebanyak 49 kes atau 20.2 peratus iaitu daripada 243 kes kepada 292.

Khalid berkata mereka yang telah disenarai hitam dan juga mempunyai saman tertunggak dinasihatkan membayar saman mereka bagi mengelakkan tindakan itu.

“Kami juga akan mengambil penguatkuasaan yang lebih agresif khususnya terhadap mereka memandu laju, melanggar lampu isyarat dan memotong dua garisan berkembar, jadi, esok jangan salahkan polis kerana mendapat saman,” katanya.

Sementara itu semasa berucap pada majlis tersebut, Khalid berkata para pemandu kenderaan, terutamanya penunggang motosikal, perlu mengubah sikap bagi mengelakkan daripada kemalangan maut yang semakin meningkat pada masa ini.

Mengenai kesedaran di kalangan masyarakat untuk bekerjasama dengan polis dalam membantu menjaga harta benda dan memerangi jenayah, beliau melahirkan rasa puas hati dengan peningkatan penyertaan masyarakat.

“Ini dapat dilihat berdasarkan peningkatan penyertaan masyarakat dalam kempen Op Selamat tahun ini iaitu sebanyak 8,592 atau 58.5 peratus, secara tidak langsung menunjukkan tahap penerimaan masyarakat terhadap PDRM semakin positif dalam usaha membanteras jenayah,” katanya.

– BERNAMA, 21 Ogos 2013.

Pulang beraya? Kawal emosi di jalan raya.

HUJUNG minggu ini, keadaan jalan raya pasti sesak. Mereka yang pulang beraya ke kampung halaman pada Aidilfitri lalu akan kembali ke ibu kota.

Keadaan itu sangat sukar dielakkan namun jangan biarkan kegelisahan tersebut menyebabkan kita memandu secara cuai dan tidak selamat.

Kajian-kajian psikologi menunjukkan fikiran yang tidak tenteram selalu memberikan kesan buruk di jalan raya.

Sejak tahun 1970-an lagi, kajian menunjukkan mereka yang mempunyai masalah di rumah, ada kecenderungan untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Kajian seorang ahli psikologi, McMurray, menunjukkan kadar kemalangan tinggi membabitkan seseorang yang memfailkan perceraian pada enam bulan lalu malah kes naik mendadak dalam tempoh tiga bulan selepas mereka bercerai.

Ini menunjukkan bahawa kemalangan jalan raya yang berlaku sebenarnya melibatkan isu psikologikal.

Apatah lagi, pada musim perayaan ini, kita mungkin akan menghadapi aliran trafik yang padat berbanding biasa.

Keadaan ini tentulah memerlukan kesabaran yang tinggi dan pengguna jalan raya harus bijak mengawal emosi.

Ilmu psikologi mendedahkan beberapa faktor yang membangkitkan emosi marah ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya iaitu kawalan diri, jangkaan dan kesuntukan masa.

Tidak sabar

Melihat kenderaan yang perlahan di hadapan, pengguna cenderung sama ada mampu mengawal diri atau tidak, dan kemudian menjangkakan sama ada mereka sempat memotong atau tidak kenderaan di hadapan.

Keadaan ini kemudian dihimpit pula oleh persepsi bahawa mereka kesuntukan masa dan perlu sampai ke destinasi dalam masa tertentu.

Keadaan tersebut menghuraikan situasi yang membangkitkan rasa kecewa yang akhirnya menyebabkan seseorang itu gagal mengawal kemarahan mereka.

Ia berlaku kepada kebanyakan orang yang berada di jalan raya, apatah lagi bagi individu yang terkenal dengan sifat panas baran.

Sebab itulah, ada baiknya mereka yang tidak sabar atau mempunyai sikap tergesa-gesa, merancang perjalanan agar tidak pulang ke ibu kota semasa ribuan kenderaan sedang bersesak-sesak di jalan raya.

Keadaan ini bertambah teruk apabila ada yang merasakan diri mereka ‘seseorang’ di tengah-tengah kesesakan itu.

Ini biasanya berlaku kepada mereka yang berstatus tinggi dan melihat orang lain sebagai pemandu kerdil.

Hakikatnya, apabila berada di jalan raya, setiap orang sama sahaja sifatnya. Tidak ada lagi status dan jawatan. Kita semua hanya pengguna jalan raya yang sedang memandu untuk sampai ke destinasi tertentu.

Selain faktor psikologikal dan jantina, umur pemandu ada kaitan dengan kebarangkalian berlakunya kemalangan.

Pemandu lelaki didapati sering terlibat dalam kemalangan jalan raya berbanding wanita. Begitu jugalah yang selalu berlaku kepada pemandu muda yang beranggapan bahawa mereka pemandu yang cekap dan dengan itu mengabaikan peraturan jalan raya.

Kawal psikologi

Pada akhirnya, sebagai pengguna jalan raya, kita perlu bijak mengawal psikologi diri. Dalam psikologi, ia dikenali sebagai coping atau bagaimana kita menafsirkan sesuatu.

Sekiranya kita menafsirkan kesesakan lalu lintas sebagai satu masalah, maka tindakan kita akan terarah untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Sebab itulah, ada pengguna yang mengambil jalan pintas untuk menyelesaikan masalah tadi dengan memandu secara laju atau memotong barisan di lorong kecemasan.

Hakikatnya, ia mungkin satu kaedah penyelesaian masalah yang menimbulkan masalah yang lebih besar.

Ada baiknya jika setiap pengguna melihat kesesakan jalan raya sebagai salah satu isu atau cabaran yang akan kita hadapi setiap kali musim perayaan.

Sekurang-kurangnya dengan cara ini, kita akan lebih bersikap sabar dan menerima hakikat bahawa apa yang kita lalui itu juga dihadapi oleh pengguna jalan raya yang lain.

Sumber: Kosmo, 17 Ogos 2013.