JELEBU 13 Okt. – Pengguna jalan raya yang baru mendapat lesen memandu mahupun menunggang motosikal diingatkan supaya tidak menjadikan lesen yang diperoleh itu untuk melakukan apa sahaja kesalahan di atas jalan raya.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Arifin Che Mat menegaskan, lesen memandu yang diberikan kepada pengguna layak itu bertujuan memudahkan urusan harian mereka dengan syarat sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
“Jangan jadikan pemberian lesen hari ini sebagai ‘lesen besar’ untuk melakukan apa sahaja tindakan salah di atas jalan raya.
“JPJ amat komited untuk memberikan perkhidmatan yang baik, memudahkan rakyat tetapi pada masa yang sama tidak pernah berkompromi dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di jalan raya,” katanya semasa penutupan program Satu Komuniti Satu JPJ Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang di Kompleks UMNO Bahagian Jelebu, Simpang Pertang dekat sini semalam.
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat mewakili ADUN Pertang, Datuk Jalaluddin Alias; Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah; Pegawai Daerah Jelebu, Mohamed Roduan Ujang dan Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Supritendan Setapa Yusoff.
Kata Arifin, lebih utama lagi kepada mereka yang baru menerima lesen penuh menunggang motosikal, pematuhan undang-undang jalan raya amat ditititberatkan.
“Lesen menunggang motosikal yang diberikan ini bertujuan untuk memastikan mereka berada di atas jalan raya dalam keadaan lebih yakin. Kita berharap golongan ini dapat membantu pihak berkuasa mengurangkan kadar kemalangan dengan memastikan peraturan yang ditetapkan dipatuhi,” tegasnya.
Sementara itu dalam program yang berlangsung semalam, seramai 281 golongan warga emas diberiken Lesen Memandu Percubaan Motosikal (kelas B2) bagi memudahkan aktiviti harian.
Mereka terdiri daripada 65 penerima berbangsa Melayu, tujuh (India) dan 209 (Orang Asli) yang kesemuanya berusia 45 tahun ke atas.
“Kita adakan program ini untuk membantu warga emas mengurangkan kos yang tinggi jika mengikuti prosedur penuh kelas menunggang motosikal di institut memandu.
“Selain itu, dengan mengambil kira penunggang motosikal serta pembonceng sangat berisiko tinggi di atas jalan raya, maka dengan pemberian lesen itu mereka akan bertambah yakin untuk menunggang cara berhemah dan selamat,” tegasnya.
Filed under: Uncategorized | Tagged: akhbar, B2, Belajar, Belajar memandu, Berita, JKJR, JPJ, kejara, KPP, Kursus, Lesen, Lesen L, Lesen memandu, Lesen P, motorsikal, Proses, SKSJ, Test JPJ, Ujian, ujian teori, Ujian undang2, undang-undang, warga emas | Leave a comment »