Dari akhbar: JPJ kesan sindiket lesen palsu

BUTTERWORTH 28 Mac – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang berjaya mengesan satu sindiket pemalsuan lesen memandu yang dipercayai beroperasi di Parit Buntar, Perak sebelum dijual secara meluas di pasaran gelap sekitar Semenanjung.

Kegiatan sindiket berkenaan terbongkar berikutan penahanan 150 pemilik kenderaan yang didapati memiliki lesen memandu palsu dalam beberapa sekatan jalan raya sekitar Pulau Pinang sepanjang bulan lalu.

Sindiket yang dipercayai mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap tahun menjual dokumen palsu itu dengan harga antara RM800 hingga RM1,200.

Pengarah JPJ negeri, Datuk Hassan Yaccob berkata, pihaknya sudah mendapatkan keterangan daripada pemilik kenderaan terbabit dan kes berkenaan sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, pihaknya percaya sindiket tersebut mempunyai kaitan dengan sindiket yang pernah ditumpaskan di Pulau Tikus, dekat sini, Tikam Batu di Kedah serta di Lumut, Perak sebelum ini.

”Rata-rata daripada 150 pemilik kenderaan terbabit yang ditahan kerana memiliki lesen memandu palsu mengakui membeli lesen itu dari sindiket yang beroperasi di Parit Buntar, Perak.

”Kita sudah serahkan kes ini kepada pihak polis dan saya percaya siasatan mengenainya sedang giat dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Ops Pengarah V bagi tahun 2009 di Plaza Tol Sungai Dua, di sini awal pagi ini.

Hassan memberitahu, pihaknya percaya kegiatan pemalsuan lesen memandu masih lagi berleluasa ekoran terdapat banyak kes yang dicatatkan setiap kali sekatan jalan raya diadakan.

Perkembangan yang membimbangkan itu, katanya, berpunca daripada permintaan tinggi daripada pemilik kenderaan untuk mendapatkan dokumen itu selain pengetahuan orang ramai mengenainya yang masih rendah.

Ada yang menyangka lesen memandu asli dengan yang palsu hampir sama dan tidak mungkin ia dapat dikesan.

Persepsi ini silap kerana JPJ mempunyai pangkalan data lengkap mengenai semua pemilik lesen memandu yang sah,” tegasnya.

Sementara itu, dalam operasi yang bermula pukul 11 malam hingga 4 pagi ini, lebih 2,000 kenderaan diperiksa dan JPJ mengeluarkan lebih 120 saman atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

 

Sumber: Harian Metro, 29 Mac 2009.

Dari akhbar: JPJ gred sekolah memandu tahun depan

JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan sistem penggredan ke atas institut dan sekolah memandu seawal tahun depan dalam usaha melahirkan generasi pemandu baru yang berhemah di jalan raya. 

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Ruhaizah Mohamed Rashid, berkata ketika ini, kajian mengenai sistem penggredan yang dibuat JPJ bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Persatuan Institut Memandu Malaysia (Pima) masih pada peringkat perbincangan. 

Beliau berkata, kajian terperinci membabitkan semua pihak itu memerlukan penelitian supaya penarafan dilakukan dapat memuaskan hati pengusaha institut memandu.

“Kita juga memerlukan input daripada Pima supaya penambahbaikan dapat dibuat. Mungkin juga kita boleh menjadikan institut memandu terbaik di negara ini atau luar negara sebagai penanda aras untuk pelaksanaan sistem penggredan berkenaan. 

“Dengan sistem penggredan ini, diharap sistem penyampaian institusi memandu dapat dipertingkatkan, sekali gus membantu kerajaan dalam melahirkan generasi pemandu baru yang tidak rakus dan lebih berhemah ketika berada di jalan raya,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat agung Pima kali kesembilan, di sini semalam. Hadir sama, Presiden Pima, Datuk Hanafi Mat Zin dan Pengarah JPJ Johor, Rosli Ramli.

Selain itu, Ruhaizah berkata, seramai 583 calon buta huruf dan lembam sudah menduduki ujian undang-undang bahagian 1 (Lisan) bagi membolehkan mereka memiliki lesen memandu menggunakan saluran betul yang diperkenalkan JPJ mulai 1 Mac lalu sehingga semalam. 

Beliau berkata, Johor mencatatkan jumlah calon tertinggi dengan 165 orang diikuti Perak (141), Kedah (89), Kelantan (84), Negeri Sembilan (32), Perlis (30), Terengganu (25), Selangor (12) dan Melaka (lima). 

“Sebelum ini, ujian undang-undang jalan raya bahagian 1 hanya dilakukan secara berkomputer dan bertulis. Bagaimanapun, ia dilakukan secara lisan untuk kemudahan calon buta atau lembam dengan syarat perlu mengikuti Kursus Kurikulum Pemandu (KPP) khas selam lima jam sebelum dibenarkan menduduki ujian,” katanya. 

Sementara itu, Hanafi meminta kerajaan melanjutkan tempoh arahan kepada institut memandu yang perlu menaik taraf litar memandu masing-masing yang sepatutnya berakhir pada akhir tahun ini berikutan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

“Penambahbaikan litar ke atas institut memandu yang dibuka sebelum 2005 supaya memenuhi spesifikasi seperti memiliki ciri jalan raya sebenar membabitkan kos yang agak tinggi. Oleh itu, arahan itu diharap dapat dilanjutkan berikutan kegawatan ekonomi dunia kini,” katanya.

 

Sumber: Berita Harian, 29 Mac 2009.

Polis cadang lesen memandu diperbaharui secara tahunan sahaja

Melihat kadar kematian yang tinggi di jalan raya, polis mencadangkan supaya lesen memandu hanya diperbaharui secara tahunan, tidak seperti sekarang yang membenarkan pembaharuan sehingga limatahun. 

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Salleh Mat Som berkata langkah itu bertujuan menghalang pemandu yang memiliki rekod buruk berhubung pengurusan pemanduan seperti mempunyai banyak saman dan di senarai hitam, dari terus mempunyai lesen memandu kenderaan. 

Katanya dengan membenarkan pembaharuan sehingga lima tahun, pemandu yang mempunyai saman ataupun telah disenarai hitam tidak akan penduli tentang perkara berkenaan kerana menyedari bahawa mereka boleh terus memandu dengan lesen yang masih sah. 

“Saya mencadangkan supaya pengeluaran lesen hanya bagi tempoh setahun kerana pemandu yang memiliki lesen tempoh sah sehingga lima tahun, dia tahu dia tak perlu ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) setiap tahun dengan itu dia tak peduli tentang saman atau senarai hitam berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Star Ahad. 

Beliau berkata cadangan itu merupakan satu pendekatan yang boleh diambil kerajaan dalam keadaan kematian akibat kemalangan yang terus tinggi, dengan purata 16 kematian setiap hari. 

Mengulas kadar kemalangan dan kematian itu, Salleh berkata ia berpunca dari beberapa sebab seperti kegagalan masyarakat untuk mematuhi undang-undang jalan raya, tidak menghormati pemandu lain serta tidak mengambil kisah mengenai kadar kematian yang tinggi itu. 

Katanya jikalau pemandu menghormati undang-undang dan mengikut panduan, banyak kemalangan dapat dicegah. 

“Saya hairan bagaimana masyarakat kita yang mempunyai budaya bersopan santun dan memiliki peradaban tinggi boleh bersikap mengabaikan undang-undang bila memandu serta tidak menghormati pemandu yang lain,” katanya. 

Beliau juga berkata masyarakat mempunyai sikap tidak kisah mengenai kematian akibat kemalangan. 

“Kalau ada seorang mati kena bunuh, media dan orang ramai akan memberi perhatian terhadap kes berkenaan, tetapi sekarang ini purata 16 orang mati kemalangan setiap hari, tiada yang ambil kisah sangat. 

“Tidakkah kita rasa sedih kematian 16 orang setiap hari, sedangkan yang mati itu mungkin bapa yang mempunyai isteri dan anak yang bergantung hidup bagi menyara keluarga itu. Apa akan jadi kepada keluarga itu apabila kehilangan tempat bergantung?” katanya. 

Salleh berkata sepatutnya masyarakat mempunyai kesedaran bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengatasi masalah kemalangan jalan raya.

 

Sumber: Agendadaily.com, 22 March 2009.

497 Orang Asli mampu dapat lesen memandu

SIMPANG PULAI: Seramai 497 masyarakat Orang Asli seluruh Perak berjaya membuktikan mereka mampu mendapat lesen memandu walaupun buta huruf dan tidak menguasai kemahiran komputer.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Mohd Sani Mistam, berkata pendekatan yang digunakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu mengadakan ujian khas secara lisan bagi mendapatkan lesen memandu di kalangan Orang Asli berjaya membantu mencapai matlamat itu.

“Kebanyakan Orang Asli menggunakan peluang itu untuk mendapatkan lesen memandu terutama kelas B2 (motosikal) kerana tidak mahu melanggar peraturan lalu lintas. 

“Walaupun mereka tidak mempunyai kemahiran komputer dan tidak tahu membaca tetapi usaha yang ditunjukkan amat baik,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program JPJ Bersama Rakyat Khas Masyarakat Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Pos Raya di sini, kelmarin. 

Hadir sama Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Salim Parlan; Pengarah JPJ Perak, Mad Yasir Mastakim dan Pengarah JHEOA Perak dan Kedah, Mohd Zambri Mustajab.

Pada majlis itu, Salim menyampaikan replika lesen memandu kepada Orang Asli yang lulus dalam ujian berkenaan dan menghadiahkan topi keledar serta baju keselamatan kepada penerima terpilih. 

Ujian khas lisan tanpa menggunakan komputer hanya diberi kepada Orang Asli yang berusia 21 tahun ke atas atau individu berusia 45 tahun ke atas (selain Orang Asli). 

Mohd Sani berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama JPJ untuk menambah program seumpama itu bagi memberi kesedaran kepada masyarakat Orang Asli berhubung kepentingan lesen memandu. 

“Sepanjang tahun lalu, rekod JPJ negeri mencatatkan 7,853 kes kemalangan dan 183 daripadanya membabitkan kemalangan maut.

“Selain itu, JPJ juga mendapati 10 peratus daripada kesalahan utama yang berjaya dikesan ketika sekatan jalan dilakukan adalah membabitkan kesalahan tidak memiliki lesen memandu,” katanya. 

Seorang penerima lesen, Bak Alang Bah Asin, 52, berkata pendekatan yang digunakan JPJ sangat dihargai masyarakat orang Asli kerana memberi peluang kepada mereka yang buta huruf dan tidak berpelajaran. 

“Sejak lebih 20 tahun dulu, saya sentiasa menunggang motosikal secara curi dan tidak dapat ke bandar kerana bimbang ditahan pihak berkuasa kerana tidak ada lesen. 

“Dengan kerjasama daripada JPJ yang banyak membantu saya untuk mendapatkan lesen memudahkan pergerakan saya jika ingin ke bandar,” katanya. 

Beliau yang juga penoreh getah dan suku Semai berkata, kumpulannya adalah perintis kepada masyarakat Orang Asli di kampungnya dalam mendapatkan lesen memandu dan dia berusaha untuk mengajak rakan lain untuk mendapatkan lesen berkenaan.

Dari Akhbar: Sosioekonomi punca pelajar tunggang tanpa lesen

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenal pasti masalah kekurangan pengangkutan awam dan sosioekonomi keluarga, antara faktor pelajar yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal ke sekolah. 

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, berkata kebanyakan kawasan luar bandar tidak mempunyai kemudahan pengangkutan awam yang memudahkan pelajar untuk pergi ke sekolah kerana penempatan jauh serta prasarana jalan raya agak uzur. 

“JPJ sudah lama menilai segala aspek ini kerana ia adalah faktor utama menyebabkan pelajar terpaksa menunggang motosikal ke sekolah kerana tiada pengangkutan lain dan jika ingin menggunakan teksi, tambangnya agak mahal.
“Sosioekonomi keluarga yang kebanyakannya berpendapatan rendah juga memungkinkan perkara ini berlaku disebabkan mereka tidak mampu menyediakan tambang bagi pengangkutan awam disebabkan masalah kewangan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan orang ramai di Langkawi yang mendakwa ramai pelajar yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal ke sekolah sehingga boleh membahayakan keselamatan mereka dan orang lain. 

Solah berkata, masalah yang dihadapi pelajar terbabit bukan alasan utama JPJ tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang, malah pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dengan mengadakan pelbagai program bagi menyedarkan mereka bahaya menunggang motosikal tanpa lesen.

“JPJ dan JKJR saling bekerjasama dengan mengadakan program bersama masyarakat di kawasan luar bandar dan program pendidikan berkenaan keselamatan serta bahaya di jalan raya bagi mendedahkan mereka risiko yang bakal dihadapi jika gagal mematuhi undang-undang ditetapkan. 

“Daripada perjumpaan ini, kita juga mengenal pasti kebanyakan pelajar di bawah umur berani menunggang motosikal ke sekolah disebabkan kawasan luar bandar tidak mempunyai bilangan kenderaan yang banyak serta kurangnya bilangan jalan raya besar,” katanya. 

“Namun, kita sentiasa memantau perkara ini dan mengambil tindakan melalui PIBG dan pihak disiplin sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar dan peraturan sedia ada dipatuhi, ” katanya.

 

Sumber: Berita Harian, 10 Mac 2009.

Pemandu wanita – Lembap atau berhati-hati?

DARI dulu hingga kini tanggapannya masih sama – pemandu lelaki lebih cekap daripada pemandu wanita. Persoalannya, sejauh mana kebenaran ‘mitos’ tersebut?

Walaupun tiada bukti kukuh untuk kenyataan tersebut, tetapi berapa ramai lelaki sanggup mengakui isteri atau teman wanita mereka memandu dengan lebih baik.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad berkata, tabiat memandu antara pemandu lelaki dan wanita sebenarnya hampir sama sahaja.

Bahkan menurut beliau, pemandu wanita lebih cermat dan berhati-hati menyebabkan mereka lebih senang memandu dengan kadar lebih perlahan berbanding pemandu lelaki.

“Pemanduan berhati-hati oleh pemandu wanita ini boleh dilihat ketika mereka memandu di kawasan berbahaya seperti di simpang dan memotong di selekoh.

“Perbuatan tersebut tidak dinafikan kadang kala menyumbang kepada kesesakan lalu lintas, namun jika dilihat dari sudut lain keadaan itu adalah lebih selamat.

“Dalam pada itu, pemandu wanita yang juga lebih beretika daripada lelaki kerana sifat semula jadinya yang amat mengambil berat tentang keselamatan termasuk ketika mereka hendak memulakan pemanduan,” ujar beliau.

Cuma bagi beliau, masalah yang sering dihadapi oleh wanita ialah kurangnya keyakinan diri apabila memandu.

Mereka kerap diburu perasaan akan dilanggar kenderaan lain dan ramai juga pemandu wanita cepat panik serta risau pada perkara yang belum pasti berlaku.

Namun, apabila diminta komen tentang sejauh mana kebenaran pemandu wanita lebih banyak terbabit dalam kemalangan jalan raya, Aishah menyangkal perkara tersebut.

“Menerusi apa yang dilaporkan di akhbar, kebanyakan kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh pemandu lelaki berbanding pemandu wanita.

“Ini mungkin disebabkan oleh dua perkara iaitu kerana lebih ramai pemandu lelaki berbanding wanita, dan kedua sikap sambil lewa pemandu lelaki ketika memandu,” jelas beliau.

Sebagai pemandu, Aishah juga pernah berhadapan dengan situasi pemandu yang kurang sopan dan suka memotong sesuka hati.

“Tidak dinafikan pemandu muda lebih agresif, terutama yang baru memperoleh lesen,” katanya.

Sebagai langkah mengelakkan lebih banyak kemalangan yang berpunca daripada pemandu wanita, kerajaan patut menjalankan kempen pemanduan selamat menerusi media dan sekolah memandu, bukan hanya untuk wanita malah kepada semua.

“Penerbitan risalah pula hanya akan memberi manfaat sekiranya pemandu benar-benar mengadaptasi apa yang dibaca ketika pemanduan sebenar,” kata beliau.

Bagi Suraya Nuraliaa Saharidan, seorang remaja, memandu kereta sendiri dan keluar bersama rakan-rakan ke kota merupakan gaya hidup remaja masa kini.

Mungkin tidak salah bergaya dengan kereta sendiri, bersosial dengan rakan-rakan dari satu tempat ke satu, tetapi yang paling penting anda mempunyai lesen memandu.

Untuk itu, Suraya Nuraliaa, sebaik sahaja umurnya mencecah 17, beliau terus mendaftarkan diri di sebuah pusat latihan memandu di Ipoh, Perak, tempat tinggal keluarganya.

“Sebenarnya ibu saya memang menggalakkan kami adik-beradik supaya terus mengambil lesen memandu apabila umur mencecah 17 tahun.

“Ini untuk memudahkan kami mengatur masa belajar dan menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi tanpa perlu memperuntukkan masa untuk menghadiri latihan pemanduan,” jelas Suraya ketika ditemui di pusat latihan memandu Telatin Mewah, Gombak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Suraya yang kini merupakan pelajar tahun dua jurusan bioteknologi di Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech, Damansara mengakui, ramai di antara rakan-rakannya yang memandu tanpa lesen.

Alasannya, mereka tidak ada masa untuk mengikuti jadual kelas memandu dan tidak mempunyai wang yang cukup untuk membiaya kos keseluruhan mengikuti latihan memandu.

Paling menghairankan Suraya, ada di antara teman sekuliah yang telah tiga tahun memandu kenderaan ke kolej tanpa lesen.

“Pernah juga saya bertanya padanya tidak risaukah melakukan kesalahan undang-undang jalan raya, tetapi menurut sahabat itu setakat ini dia selalu bernasib baik kerana tidak pernah ditahan polis ketika sekatan jalan raya diadakan,” jelas gadis yang turut memiliki lesen motosikal ini.

Memiliki lesen memandu lebih daripada setakat takutkan pihak berkuasa tetapi apa yang lebih penting mereka tidak membahayakan diri sendiri dan pemandu lain ketika berada di jalan raya.

Pemandu tanpa lesen yang kemalangan juga tidak dilindungi insurans dan jika berlaku kematian, ia ibarat `mati katak.’

Bagi Suraya, ia maju mengelak perkara itu berlaku.

Anak sulung kepada empat beradik ini juga mengakui memandu ketika baru pertama kali memperoleh lesen P memang agak mencabar.

“Walaupun sudah ada lesen saya belum begitu mahir, jadi rasa gementar dan gemuruh masih ada. Waktu itu, saya mengambil langkah berhati-hari dengan memandu secara perlahan,” katanya.

Sebagai pemandu perempuan, kebenaran untuk memandu daripada ibu bapanya terhad pada jarak sekitar tempat tinggalnya sahaja. Paling jauh pun untuk balik ke kampung, itupun mesti dengan pengawasan rakan yang telah lama memiliki lesen memandu.

Seperti orang lain, Suraya turut hampir terlibat dalam kemalangan ketika memandu dalam hujan lebat di akhir tahun lalu kerana hampir melanggar penunggang motosikal yang berpakaian gelap.

Suraya juga pernah berhadapan dengan keadaan dibuli pemandu lelaki ketika dia baru sahaja mula memandu kenderaan sendiri.

“Mungkin juga kerana saya belum mahir tentang jalan raya di Kuala Lumpur membuatkan saya memandu perlahan dan agak berhati-hati, ada kenderaan di belakang yang tidak puas hati tiba-tiba hon panjang dan menunjukkan reaksi muka yang tidak menyenangkan,” katanya sambil mengungkapkan pemanduan adalah satu proses ke arah kematangan fikiran.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 4 March 2009.

Dari akhbar: Tempoh menunggu ujian pemanduan dikurangkan

MELAKA: Tempoh menunggu bagi seseorang calon pemandu untuk menduduki ujian pemanduan selepas mendaftar mendapatkan lesen belajar atau L, kini dikurangkan kepada dua minggu berbanding sehingga lebih dua bulan ketika ini. 

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata langkah memendekkan tempoh berkenaan diambil selaras pertambahan kira-kira 50 peratus bilangan pegawai yang dipertanggungjawab menjalankan ujian berkenaan baru-baru ini. 

Katanya, langkah yang bakal dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara tahun ini juga bertujuan mengelak kesesakan di semua pejabat JPJ berikutan peningkatan bilangan calon.
“Sekarang ini tempoh menunggu untuk menduduki ujian memandu adalah antara satu hingga dua bulan. Jadi menerusi langkah baru ini, kita berharap ia dapat mengelakkan calon yang bakal menduduki ujian itu terpaksa menunggu terlalu lama sehingga menyulitkan urusan pengendalian,” katanya. 

Beliau berkata, demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perbarisan tamat Kursus Asas dan Induksi Pembantu Penguatkuasa Gred N17 dan Pemeriksa Kereta Motor Gred A17 di Akademi JPJ Tiang Dua di Ayer Molek dekat sini, hari ini.

Sumber: Berita Harian, 1 Mac 2009.