Kos belajar memandu mungkin naik- JPJ

TAPAH: Kos untuk belajar memandu mungkin akan dinaikkan berikutan pengenalan kurikulum pembelajaran yang baru yang kini berada di peringkat akhir untuk mendapat kelulusan kerajaan dan mungkin dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata kenaikan kos itu tidak dapat dielakkan dalam usaha JPJ mewujudkan kurikulum pembelajaran memandu yang lebih berkualiti dan menyeluruh kepada bakal pemandu di negara ini.

“Saya jangka akan berlaku kenaikan (kos) sebab kita mahu menuju kepada kualiti latihan yang lebih baik. Kalau kita tidak mahu pemandu yang tidak berkualiti, yang tidak mempunyai pemanduan berhemah, cermat dan bersopan santun, kita kenalah bayar lebih sedikit (untuk latihan memandu),” katanya kepada pemberita selepas menutup program ”Satu Komuniti Satu JPJ” di sini hari ini.

Seramai 585 masyarakat Orang Asli turut menerima lesen memandu B2 pada majlis ini.

Solah menjangkakan kenaikan kos berkenaan akan menjadi perdebatan hangat di kalangan masyarakat, namun beliau menegaskan bahawa negara masih menenakan bayaran paling rendah bagi mendapatkan lesen memandu.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa JPJ akan memperkenalkan kurikulum baru ke arah menyediakan satu sistem latihan memandu yang dapat melahirkan pemandu yang kompeten, mematuhi undang-undang dan berhemah.

Solah berkata menerusi kurikulum baru, jumlah waktu belajar memandu akan turut mengalami perubahan.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah waktu baru yang akan ditetapkan.

“Kita juga akan mengajar mengikut jenis kenderaan yang mereka (pelajar mamandu) mahukan. Kalau mereka mahu kenderaan jenis manual, kita akan ajar cara mengendalikan kenderaan manual, kalau mahu kenderaan automatik, kita akan ajar memandu kenderaan yang berautomatik,” katanya.

Katanya pemegang lesen memandu P (percubaan) juga perlu mengambil ujian khas untuk memperolehi Lesen Memandu Kompeten (CDL) selepas ini dan bukan memperolehinya secara automatik seperti sekarang.

“Kita juga akan memperbaiki lagi cara untuk mendapatkan lesen Public Service Vehicle (PSV) dan Good Driver”s License (GDL). Ini antara beberapa perubahan yang kita hendak laksanakan. Kita kini dalam peringkat akhir untuk mendapat persetujuan pihak Kementerian Pengangkutan,” katanya. – Bernama, 30 Mei 2010.

6,500 maut dalam kemalangan jalanraya setahun

PEKAN: Pengguna jalan raya perlu dilengkapkan dengan ilmu dan kemahiran secukupnya untuk menjadi pemandu yang lebih bertanggungjawab berikutan kemalangan mengakibatkan maut dilihat berpunca daripada sikap mereka yang tidak berhemah, selain tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

Sehubungan itu, menurutnya, beliau mahu pendekatan yang lebih komprehensif dan holistik dalam usaha menangani isu keselamatan jalan raya sehingga menyebabkan jumlah kematian meningkat setiap tahun.
Setiap tahun jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya adalah antara 6,000 hingga 6,500 orang. Malah, kerugian akibat kos membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat kemalangan juga mencecah RM9 bilion.
“Ini tidak termasuk kos perbelanjaan rawatan yang ditanggung kerajaan dan keluarga mangsa, selain kesan emosi dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat agung ke-10 Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan dan Presiden PIMA, Mat Aris Bakar.
Najib berkata, justeru, kokurikulum baru yang bakal diperkenalkan JPJ untuk latihan lesen memandu, perlulah dapat melahirkan pemandu yang kompeten, mematuhi undang-undang dan berhemah.
Beliau turut menegur penguatkuasaan undang-undang jalan raya yang dilihat masih lemah dan mengingatkan pengusaha institut memandu supaya perlu efektif dalam melatih, mendidik bagi melahirkan generasi pemandu yang berhemah.

Sumber: Harian Metro, 30 Mei 2010.

JPJ akan lancar latihan pemanduan baru

PEKAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melancarkan kokurikulam baru latihan pemanduan yang akan lebih menekankan sikap pemanduan berhemah di jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, berkata kokurikulum baru itu akan dilancarkan tidak lama lagi dalam usaha membendung kemalangan maut di jalan raya.

“Kami sedang fikirkan transformasi dalam cara beri latihan kepada pemandu, kerana mengikut kajian, sebahagian besar kemalangan jalan raya adalah berpunca daripada sikap pemandu,” katanya kepada pemberita menghadiri majlis Dialog bersama anggota-anggota Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA) di sini, hari ini.
Beliau berkata, kokurikulum itu kelak akan lebih menekankan pembentukan sikap supaya bakal-bakal pemegang lesen memandu lebih bertanggungjawab ketika berada di jalan raya.

“Rata-rata pemandu ketika ini, apabila memandu, sikap mereka terus berubah, kami harap kokurikulum latihan yang baru nanti akan dapat mendidik bakal-bakal pemegang lesen memandu supaya lebih bertanggungjawab,” katanya. – Bernama.

28 Mei 2010.

Ujian memandu 5,000 calon disusun semula JPJ

Beberapa negeri hadapi masalah kurang pegawai penguji

BESUT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terpaksa menyusun semula jadual ujian memandu di beberapa negeri berikutan masalah kekurangan pegawai penguji jabatan itu yang menyebabkan kira-kira 5,000 calon ujian memandu terkandas di peringkat ujian litar dan jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, berkata calon berkenaan sudah lulus ujian berkomputer yang dikendalikan institut latihan memandu, tetapi tidak dapat menjalani ujian peringkat kedua dan ketiga mengikut jadual kerana masalah yang timbul itu.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya mengarahkan JPJ di peringkat negeri menyusun semula jadual ujian unuk memastikan semua calon terbabit dapat menjalani ujian berkenaan dan mendapat lesen sebelum cuti persekolahan Jun ini.

“Tindakan drastik terpaksa dilakukan dan saya mengarahkan JPJ negeri antaranya Terengganu, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang supaya menyusun semula kekerapan ujian memandu, walaupun kita terpaksa menghadapi kekangan pegawai dan anggota penguji.

“Kita juga arahkan pegawai dan anggota JPJ di bahagian operasi mengambil alih tugas penguji untuk menyelesaikan segera masalah ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ di Felda Tenang, Hulu Besut, di sini, semalam.

Solah berkata, JPJ seluruh negara menerima lebih sejuta permohonan setahun untuk mendapatkan pelbagai lesen memandu dengan purata 450,000 pemohon berusia 16 tahun.

Dalam perkembangan lain, Solah berkata, pegawai dan anggota penguat kuasa JPJ dilarang mengadakan sekatan jalan raya di kawasan selekoh, kerana ia boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya selain mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

Katanya, setiap operasi sekatan jalan raya yang akan diadakan perlu mendapat kelulusan pengarah, selain ketua unit dikehendaki sentiasa berada di kawasan operasi bagi memantau operasi yang dijalankan selain menyelesaikan masalah yang timbul.

Sumber: Berita Harian, 23 Mei 2010.

Kompaun minimum RM300

Kadar Kompaun JPJ yang dicadangkan

BESUT – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang mengenakan kompaun minimum RM300 bagi semua pesalah trafik yang liat menjelaskan kompaun dalam tempoh yang ditetapkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan berkata, cadangan itu termasuk dalam pindaan Akta JPJ 1987 yang akan dibentangkan kepada Kabinet bulan depan.

Jumlah RM300 adalah kompaun maksimum mengikut akta sekarang, dan dengan pindaan kelak jumlah kompaun minimum bermula dari RM300,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Satu Komuniti Satu JPJ di Felda Tenang di sini semalam.

Solah berkata langkah itu adalah susulan cadangan pihaknya mengenakan penalti kepada pesalah trafik yang lewat menjelaskan kompaun dan akan dilaksana selepas mendapat persetujuan Kabinet.

Beliau bagaimanapun menegaskan langkah mengenakan penalti minimum RM300 kepada pesalah ingkar bukan bertujuan meningkatkan kutipan.

“Kita mahu mendidik masyarakat supaya bertanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan. Pengguna jalan raya jangan lakukan kesalahan jika tak nak bayar kompaun atau denda,” katanya.

Beliau berkata masih ada 16.9 juta saman dari tahun 2000 hingga 2008 yang belum dijelaskan dengan nilai kompaun dianggar mencecah RM2.5 bilion.

Selain itu JPJ juga mencadangkan kadar kompaun baru bagi setiap kesalahan trafik selain memansuhkan pemberian diskaun, katanya.

“Untuk pemandu semua jenis kenderaan yang melakukan kesalahan yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya, kesesakan lalu lintas seperti memotong barisan dan kesalahan yang berkait dengan perkhidmatan seperti teksi yang tidak menggunakan meter, JPJ mencadangkan kadar kompaun sebanyak RM300 untuk tempoh sehingga 60 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan,” katanya.

Bagi kesalahan yang berkait rapat dengan tingkah laku negatif pemandu dan kesalahan teknikal kepada kenderaan yang menyumbang kepada kemalangan seperti tiada lesen memandu dan berhenti di petak kuning, kompaun adalah RM200 (kurang 30 hari) dan RM300 untuk tempoh sehingga 60 hari.

“Manakala untuk motosikal di bawah 250cc yang melakukan kesalahan demikian bakal dikenakan RM150 (bagi tempoh 30 hari) dan RM200 (60 hari dari tarikh saman dikeluarkan).

“Untuk kesalahan pasif seperti lampu tidak menyala, lampu brek tidak berfungsi yang boleh meningkatkan risiko kemalangan, pemandu semua jenis kenderaan dikenakan RM150 (30 hari), dan RM200 (30-60 hari). Untuk motosikal bawah 250cc, sebanyak RM100 dikenakan untuk tempoh 30 hari dan RM200 (30 hingga 60 hari),” katanya. – BERNAMA

Bagi lain-lain kesalahan termasuk lesen memandu tamat tempoh, pemandu semua jenis kenderaan akan dikenakan RM70 (30 hari) dan RM150 (30 hingga 60 hari) sementara motosikal bawah 250cc RM50 (30 hari) dan RM100 (30-60 hari).

Solah berkata jumlah kompaun juga akan diseragamkan antara JPJ, polis dan pihak berkuasa tempatan.

Sumber: Utusan Malaysia , 23 Mei 2010.

Ramai gesa pemansuhan diskaun saman dikaji semula.

Pesalah semakin tidak berminat untuk membayar tunggakan

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengkaji semula pemansuhan kadar diskaun yang ditawarkan kepada penerima saman pelbagai kesalahan lalu lintas yang berkuat kuasa minggu lalu.

Presiden Persatuan Pemilik Kenderaan Bermotor Malaysia, Ahmad Zaki Arifin, berkata pihaknya mahu kajian semula dibuat kerana pemansuhan itu menyebabkan penerima saman menjadi semakin tidak berminat membayar saman tertunggak mereka.

“Bukan semua daripada penerima saman berpendapatan tinggi dan saya berharap pihak berkenaan dapat mencari cara lain untuk menggalakkan mereka membayar saman,” katanya.

Pengarah Eksekutif Yayasan Permotoran Malaysia, Mustafa Latif, berkata beliau tidak bersetuju dengan keputusan itu kerana ia akan memberi tekanan kepada penerima saman, sekali gus menyebabkan lebih ramai yang gagal untuk membayar saman pada masa yang ditetapkan.

Berikutan itu, semakin banyak kes saman yang akan dibawa ke mahkamah, sekali gus meningkatkan kos untuk melaksanakan undang-undang jalan raya,” katanya.

Setiausaha Kelab Volkswagen Klasik Selangor, Indera Shahril, berkata konsep sebelum ini yang memberikan diskaun kepada pesalah yang membayar saman mereka awal dari masa yang ditetapkan lebih praktikal untuk menggalakkan penerima saman membayar saman mereka.
“Peraturan baru yang dicadangkan iaitu jumlah saman akan semakin meningkat jika lambat dibayar hanya akan membuatkan pesalah semakin tidak bersemangat untuk membayar saman,” katanya.

Pengerusi Persatuan Teksi dan Kereta Sewa Seksyen 17 Shah Alam, Borhan Karim, berkata pemansuhan diskaun berkenaan akan menambah beban kepada pemandu yang mempunyai saman tertunggak, khasnya kepada pemandu teksi.

“Saya berpendapat untuk menyelesaikan masalah saman tertunggak, JPJ dan PDRM sepatutnya memberi peringatan kepada pemandu untuk membayar saman mereka,” katanya.

Sumber: Berita Harian, 17 Mei 2010.

Polis turut hapus diskaun untuk elak kekeliruan

Pelaksanaan pastikan denda PDRM, JPJ sama: Musa

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan turut menguatkuasakan pemansuhan kadar diskaun saman kepada pengguna jalan raya di negara ini yang melakukan kesalahan lalu lintas, seperti dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

// <![CDATA[//

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata ia bagi memastikan dua agensi penguat kuasa itu melaksanakan mekanisme dan undang-undang lalu lintas yang sama ke atas semua pesalah trafik di negara ini.

// <![CDATA[//

Beliau berkata, sebagai dua agensi menguatkuasakan undang-undang jalan raya dan memastikan peraturan lalu lintas dipatuhi, kesamaan dalam menentukan hukuman, termasuk tidak membenarkan lagi diskaun saman perlu dilaksana bersama bagi mengelak kekeliruan.

“Kita akan selaras semua (pemansuhan diskaun saman dan mengenakan penalti jika lewat menjelaskan saman antara PDRM dan JPJ)… tak boleh ada dua pelaksanaan hukuman dan peraturan yang berbeza,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Kelmarin, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, dilaporkan berkata, JPJ kini memansuhkan kadar diskaun yang ditawarkan kepada penerima saman pelbagai kesalahan lalu lintas, berkuat kuasa minggu lalu.

Solah dilaporkan berkata, satu pendekatan lain juga akan dilaksanakan, iaitu dengan mengenakan penalti jika lewat menjelaskan bayaran saman.
Sebelum ini, Musa dilaporkan berkata, PDRM tidak bercadang mengadakan operasi besar-besaran bagi memastikan pesalah lalu lintas yang belum menjelaskan saman berbuat demikian.

Katanya, mereka yang tidak menjelaskan saman itu sudah pasti terpaksa juga berbuat demikian selepas tempoh tertentu apabila tidak dapat memperbaharui cukai jalan atau lesen memandu disebabkan nama mereka sudah disenarai hitam.

Mengulas lanjut, Musa berkata, tiada sebab mengapa pesalah trafik tidak mahu atau terlewat menjelaskan saman kerana PDRM sudah melaksanakan pelbagai kaedah bagi memudahkan mereka berbuat demikian termasuk menyediakan kaunter saman di lokasi tertentu.

Katanya, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan lebih lanjut bagi menentukan jumlah kadar penalti yang mungkin dikenakan terhadap pesalah trafik yang lewat menjelaskan bayaran saman mereka.

Beliau bagaimanapun, tidak memberitahu jumlah keseluruhan saman PDRM kepada pesalah trafik yang belum dijelaskan sehingga kini.

Sumber: Berita Harian, 17 Mei 2010.

Jangan berlembut dengan penunggang muda- Presiden CAP.

KATEGORI mangsa kemalangan jalan raya yang paling terjejas teruk di Malaysia ialah mereka yang berada dalam kumpulan berusia 16 hingga 25 tahun yang menunggang motosikal dan memandu kereta.

Mereka memerlukan paling banyak perhatian dan kefahaman yang lebih baik berhubung kesedaran keselamatan. Rancangan sedang dijalankan untuk mendidik mereka yang berada dalam kumpulan kategori ini. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan pihak berkuasa terhadap usaha mereka ini tetapi menggesa pihak berkuasa untuk tidak berkompromi atau terlalu berlembut terhadap kumpulan ini.

CAP juga sebelum ini telah mencadangkan agar had usia 17 tahun dinaikkan kepada yang lebih tinggi sebelum seseorang itu layak untuk menunggang motosikal dengan kapasiti enjin maksimum 70cc sahaja. Apabila penunggang mencapai usia 21 tahun barulah mereka layak untuk menduduki ujian bagi melayakkan mereka menunggang motosikal dengan kapasiti enjin yang lebih tinggi. Motosikal dengan kapasiti enjin 70cc perlu diperkenalkan semula. Memandangkan remaja cenderung untuk memecut, had ini akan membataskan mereka. Perkara ini diamalkan di beberapa negara barat.

Langkah oleh pihak berkuasa pengangkutan jalan untuk mengurangkan bayaran bagi pelajar untuk mendapatkan lesen menunggang motosikal tidak akan membantu untuk mencegah kemalangan jalan raya. Ini dilakukan dengan harapan remaja tidak akan menggunakan kenderaan ibu bapa mereka secara tidak sah. Sebagai ganti lesen memandu seharusnya menjadi sukar untuk diperolehi.

Pemandu yang sedang belajar perlu menjalani tempoh latihan yang lebih panjang sebelum mereka menduduki ujian memandu dan ujian memandu juga mestilah dibuat dengan lebih sukar.

CAP sekali lagi menggesa pihak berkuasa supaya bertindak tegas dengan penunggang dan pemandu muda, dengan meningkatkan had usia kelayakan untuk menunggang dan memandu, mengehadkan mereka kepada kapasiti enjin yang lebih rendah dan menjadikan kesukaran untuk mendapatkan lesen.

S. M. MOHAMED IDRIS
Presiden CAP

-Artikel disiar dalam Utusan Malaysia, 4 Mei 2010.

Salah faham isu tali pinggang keledar

MELAKA 6 Mei – Orang ramai masih berpendapat pelaksanaan undang- undang yang mewajibkan penumpang belakang kenderaan memakai tali pinggang keledar ketika ini ditangguhkan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Norazle Sulaiman berkata, dalam Ops Nasihat yang diadakan baru-baru ini daripada 250 kenderaan yang diperiksa sejumlah 30 daripadanya tidak memakai tali pinggang keledar belakang.

Menurutnya, rata-rata pemandu ketika ditemubual memberitahu mereka tidak tahu mengenai pelaksanaan undang-undang yang mewajibkan penumpang belakang memakai tali pinggang keledar sebenarnya sudah terlaksana.

”Apabila dimaklumkan bahawa JKJR tidak pernah membatalkan peraturan tersebut, mereka nyata terkejut dan meminta maaf kerana tidak mengetahui ia merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan denda maksimum RM300,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurutnya, Ops Nasihat yang dijalankan oleh JKJR dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah itu mendapati tahap kesedaran orang ramai terhadap penggunaan tali pinggang keledar penumpang belakang kenderaan masih rendah.

Norazle berkata, ada di antara penumpang yang hanya memakai tali pinggang keledar apabila ternampak anggota penguat kuasa sahaja dan kembali menanggalkannya selepas itu.

Perkara tersebut katanya, cukup jelas membuktikan ada pengguna kenderaan yang masih berdegil untuk mematuhi peraturan yang sudah ditetapkan walaupun sudah mengetahui denda saman maksimum RM300 setiap seorang.

Beliau memberitahu, berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), kadar pematuhan pemakaian tali pinggang keledar juga semakin menurun.

”Kajian Miros menunjukkan tahap pemakaian tali pinggang keledar belakang khususnya telah menurun daripada 48 peratus pada Mac 2009 kepada 20 peratus sehingga Mac 2010,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, katanya, Ops Nasihat yang diadakan secara berterusan di negeri ini akan digunakan untuk memberi nasihat dan serta peringatan diberikan kepada mereka yang tidak memakai tali pinggang keledar belakang.

”Kita juga akan mengedarkan risalah dan pelekat kempen untuk diedarkan kepada setiap pemandu bagi meningkatkan kembali kesedaran mereka tentang kewajipan memakai tali pinggang keledar belakang yang telah pun berkuat kuasa mulai 1 Januari 2009 lalu,” katanya.

Katanya, menjadi tanggungjawab JKJR untuk meningkatkan kesedaran pemakaian tali keledar penumpang belakang kenderaan bagi mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan di jalan raya.

Sumber: Utusan Malaysia, 7 Mei 2010.

Kamera AES untuk kurangkan kemalangan, bukan untuk kutip saman

KOTA KINABALU 3 Mei – Pemasangan kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) di 831 lokasi di seluruh negara hujung tahun ini bukan bertujuan meningkat hasil saman, sebaliknya untuk mengurangkan kemalangan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata, langkah itu adalah yang paling relevan ketika ini untuk mengurangkan kemalangan di kawasan berisiko tinggi.

“Jangan salah faham, tujuan kita pasang AES bukan untuk dapat saman sebanyak mungkin tetapi mencegah kemalangan.

Lagi pun kita akan pasang papan tanda peringatan sebelum tiba di kawasan AES supaya pengguna jalan raya bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 JPJ Sabah di Hotel Le Meridien di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah JPJ Sabah, Shuhaili Mohd. Taufik.

Seramai 44 anggota JPJ negeri menerima anugerah berkenaan yang terdiri daripada para pegawai dari seluruh Sabah.

Katanya, pemasangan AES di kawasan hitam dan lampu isyarat tidak akan mengakibatkan pertindihan tugas antara JPJ dengan pihak polis.

Di Sabah, katanya, JPJ akan memasang 40 unit kamera AES iaitu 10 buah di kawasan panas, 20 lagi di kawasan lampu isyarat dan selebihnya dipasang di kereta-kereta peronda.

Dalam pada itu, beliau menyuarakan rasa kecewa dengan sikap segelintir penumpang kereta yang masih berdegil tidak mahu menggunakan tali pinggang keledar bahagian belakang.

“Masih ramai tidak mematuhi peraturan sedangkan untuk pakai tali pinggang keledar tidak sampai seminit pun,” katanya.

”Tahap kesedaran masih kurang walaupun kempen kesedaran mengenainya sudah kita dilakukan lebih setahun lalu,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 4 Mei 2010.