Lelaki ditahan selepas 79 saman belum lunas.

Alor Gajah: Mengejutkan apabila seorang lelaki dikesan memiliki 79 saman lalu lintas membabitkan pelbagai kesalahan dalam Ops Warta yang dilakukan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) di Rembia, di sini, semalam.

Lelaki berusia 35 tahun yang berkereta mewah mulanya menafikan perkara itu, namun akur selepas semakan polis trafik mendapati dia melakukan kesalahan berkenaan.

Susulan itu, lelaki yang mendakwa anak individu kenamaan berkenaan ditahan untuk tindakan lanjut.

Dalam operasi sama, dua pesalah trafik berusia awal 20-an dan 30-an yang dikesan memiliki satu dan lima waran tangkap ditahan dan dibawa ke balai polis trafik berdekatan untuk tindakan lanjut.

Pegawai Turus Trafik negeri Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, polis turut mengeluarkan 95 saman trafik atas pelbagai kesalahan dalam operasi bermula jam 10.30 pagi itu.

 

 

Sumber: Harian Metro, 18 Jun 2014.

Penuntut kolej dan penghantar piza merempit didenda RM5000.

KUALA LUMPUR 16 Jun – Dua mat rempit masing-masing dipenjara sehari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan aksi ala Superman, minggu lalu.

Majistret Amal Razim Alias menjatuhkan hukuman itu terhadap penuntut kolej, Kamaruddin Ismail, 19, dan penghantar Pizza, Mohamad Hasnol Yusuf Harun, 19, dan memerintahkan kedua-duanya menjalani hukuman penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Kamaruddin yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ 135 warna hijau didakwa menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan aksi ala Superman dengan meletakkan dada pada tangki motor serta mengangkat kaki lurus ke belakang yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 3.20 pagi di Lebuh Raya Duke, 14 Jun lalu.

Sementara itu, Mohamad Hasnol yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda warna biru pula didakwa menunggang motosikalnya dengan gaya yang sama di lebuh raya berkenaan antara pukul 1.15 dan 1.20 pagi, 15 Jun lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 5 tahun dan didenda tidak kurang RM5,000, serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Berdasarkan fakta kes, kedua-duanya berjaya ditahan oleh pihak polis yang melakukan operasi khas samseng jalan raya dan cegah lumba haram di persimpangan jalan lebuh raya itu.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang doktor didenda RM1,800 atau penjara dua bulan selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol, dua hari lalu.

Sumber: Utusan Malaysia, 17 Jun 2014.

Dah bayar saman trafik? Jika belum, anda munkin dibawa ke balai polis.

Ops Warta kesan pesalah trafik mulai 16 Jun hingga 27 Jun 2014.

Kuala Lumpur: Pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap berikutan tidak menjelaskan bayaran saman tertunggak mereka, mula ditahan dan dibawa ke Balai Polis sebaik Operasi Warta (Ops Warta) bermula semalam.

sekatan jalan raya tiga kali iaitu pada waktu pagi, petang dan malam.

Sepanjang Ops Warta yang akan berakhir 27 Jun ini, polis akan melakukan sekatan jalanraya tiga kali iaitu pada waktu pagi,petang dan malam.

Waran tangkap akan diserahkan kepada mereka yang berjaya dikesan dan akan dibawa ke balai untuk tindakan seterusnya.

 

Sumber: Berita Harian, 17 Jun 2014.

Hati-hati! Tiada pihak ketiga urus diskaun saman trafik

KUALA LUMPUR 7 Jun – Kementerian Dalam Negeri tidak pernah melantik mana-mana individu atau syarikat untuk urusan seperti memberi diskaun atau kompaun kepada pesalah trafik.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran seumpama itu dan sebaliknya merujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau menarik perhatian bahawa kira-kira 12,000 individu telah berdaftar dengan sebuah syarikat yang dikenal pasti kononnya menawarkan diskaun saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau PDRM.

“Harus diingatkan hanya PDRM diberi tanggungjawab menguruskan pengoperasian kesalahan trafik seperti yang diputuskan Jemaah Menteri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kedai Tabuan Motors dan Bikers Club di sini hari ini. – BERNAMA, 7 Jun 2014.

Kadar ketelusan cahaya cermin depan kenderaan kekal.

Cermin depan: 70%.

Cermin sisi: 50%.

******************************************************************************************************************************************************************

PUTRAJAYA 3 Jun – Kerajaan tidak bercadang untuk mengubah kadar ketelusan cahaya bagi cermin depan dan cermin sisi pemandu yang masing-masing disyaratkan pada tahap 70 peratus serta 50 peratus selepas kajian mendalam mengenainya dibuat.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi bagaimanapun berkata, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan yang diputuskan dalam Bengkel Kajian Semula Peraturan Penggunaan Cermin Gelap bagi Kenderaan untuk mengurangkan kadar ketelusan cahaya bagi cermin sisi penum­pang dan lain-lain cermin kepada 30 peratus berbanding kadar asal 50 peratus.

Beliau berkata, keputusan tersebut akan dibawa ke pengetahuan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk dinilai terlebih dahulu sebelum boleh dikuatkuasakan.

“Buat masa sekarang, syor yang diputuskan dalam bengkel ini masih pada peringkat cadangan dan terpulang kepada Pemangku Menteri Pengangkutan untuk memutuskan sama ada mahu melaksanakannya atau sebaliknya.

“Esok, perkara ini akan dibawa kepada beliau dan sekiranya diluluskan, cadangan untuk mengurangkan kadar ketelusan cahaya bagi cermin sisi penumpang dan lain-lain cermin kepada 30 peratus boleh dikuatkuasakan serta-merta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkaitan keputusan Bengkel Kajian Semula Peraturan Penggunaan Cermin Gelap bagi Kenderaan di Ba­ngunan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ismail Ahmad.

Menurut Ab. Aziz, bengkel tersebut yang dihadiri 100 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta dianjurkan bagi mendapatkan pandangan semua pihak untuk menambah baik peraturan dan mekanisme khususnya peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan penggunaan cermin gelap.

Katanya, keputusan mengekalkan kadar ketelusan cahaya bagi cermin depan dan cermin sisi pemandu dibuat selepas mendapat maklum balas daripada pihak pe­nguat kuasa dan polis bagi memudahkan proses penguatkuasaan keselamatan di jalan raya.

Katanya, kelonggaran yang diberikan bagi cermin sisi penumpang dan lain-lain cermin pula dibuat selepas mempertimbangkan isu keselamatan selain dapat me­ngurangkan tahap kepanasan.

“Bagi kita, tahap kepanasan ini juga bukan semuanya bergantung kepada penggunaan cermin gelap tetapi kepada filem cermin itu sendiri, sekiranya berkualiti tinggi mampu menahan haba panas.

“Selain itu, pasukan penguat kuasa juga menghadapi kesukaran sekiranya cermin gelap dipasang di cermin depan. Contohnya, jika pemandu itu tidak memakai tali pinggang keledar, mereka tidak dapat melihatnya.

“Pada masa sama, pengguna jalan raya juga berasa tidak selesa sekiranya pemandu di sebelahnya menggunakan cermin gelap,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bengkel tersebut juga memutuskan supaya peniaga yang menjual aksesori cermin gelap memiliki alat untuk menguji kadar ketelusan cahaya yang perlu diselaraskan setiap 12 bulan dengan JPJ.

Sumber: Utusan Malaysia, 4 Jun 2014.

Berapa lamakah jangka hayat topi keledar?

KUALA TERENGGANU 26 Mei – Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) menyarankan orang ramai menukar topi keledar selepas tempoh LIMA tahun kerana berkemungkinan tidak selamat lagi digunakan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Tam Weng Wah berkata, keengganan berbuat demikian mendedahkan mereka kepada risiko apatah lagi ketahanannya terjejas apabila sering terjatuh.

“Penunggang atau pembonceng harus menitikberatkan soal itu demi keselamatan mereka. Saya lihat kesedaran pengguna motosikal untuk memakai topi keledar semakin meningkat, namun masih ada juga yang memakai `helmet’ separuh atau yang tidak memenuhi piawaian.

“Sebahagian besar mereka yang terdedah kepada kemalangan terdiri daripada penunggang,” ujarnya ketika merasmikan program Keselamatan Jalan Raya (KJR): Advokasi JKR Bermotor berhampiran Medan Selera Padang Negara dekat sini hari ini.

Selain JKJR, program tersebut turut dijayakan oleh beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Polis Diraja Malaysia (PDRM) di samping kelab pemilik motosikal berkuasa besar.

Program itu turut diisi dengan pengagihan cenderahati dan baju pemantul cahaya kepada pengguna jalan raya, pengedaran risalah, pertukaran topi keledar serta menampal pelekat khas kepada kenderaan yang lalu-lalang di situ.

Dalam pada itu, Weng Wah berkata, berdasarkan statistik kemalangan maut yang dikeluarkan Cawangan Trafik Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu sepanjang tahun lalu, sebanyak 4.87 peratus atau 337 kes kemalangan maut dicatatkan di negeri ini daripada 6,915 kes yang dicatatkan di seluruh negara.

Katanya, jumlah itu meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu 4.35 peratus atau 301 daripada 6,917 kes kemalangan maut secara keseluruhannya.

“Untuk tahun ini pula iaitu sehingga bulan Mac lalu, sebanyak 5.17 peratus atau 84 kes kemalangan maut dicatatkan di negeri ini berbanding 1,623 kes yang dicatatkan di seluruh negara.

“Sebahagian besar daripada kemalangan ini pula melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal justeru, kami berharap, pengguna kenderaan akan lebih berhati-hati dan berwaspada ketika berada di jalan raya,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 27 Mei 2014.

SKSJ: 1,729 warga Perlis dapat lesen P.

ARAU 27 April – Program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) (SKSJ) yang dilaksanakan di Perlis sejak enam tahun lalu telah berjaya memberi manfaat kepada 1, 729 rakyat pelbagai kaum yang berusia 45 tahun ke atas apabila layak memiliki Lesen Memandu Percubaan (P) Kelas B2.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, sejak dilaksanakan pada tahun 2009 sebanyak 278 orang layak mendapat Lesen Memandu P Kelas B2, 2010 (319), 2011 (292), 2012 (261), 2013 (319) dan 2014 (260).

Beliau berkata, pada tahun ini menerusi program SKSJ yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Budriah, Arau telah melibatkan 260 peserta yang terdiri dari 185 wanita dan 75 lelaki.

“Daripada peserta ini sebanyak 234 orang terdiri dari kaum Melayu, India (tiga), Siam (tujuh) dan selebihnya penduduk tetap Malaysia telah layak mendapat lesen,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Penutup SKSJ dan Pelancaran Skuad Muda 1JPJ di SMK Tengku Budriah di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Negeri, Sabry Ahmad.

Ismail berkata, menerusi program ini para peserta hanya dikenakan bayaran minimum sebanyak RM140 bagi mendapatkan lesen memandu percubaan motosikal berbanding jika diambil melalui Institut Memandu dikenakan bayaran sebanyak RM261.

Beliau berkata, kursus, latihan dan ujian memandu dikendalikan oleh anggota JPJ sendiri dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Sementara itu, Yus Raja Lawak atau nama sebenarnya Yussry Edoo, 38, diumumkan sebagai Ikon Skuad Muda 1JPJ Perlis sempena pelancaran Skuad Muda 1JPJ peringkat negeri.

Dalam ucapannya, Yus mengakui ketika di usia belasan tahun dia pernah terlibat dalam kegiatan Mat Rempit.

Katanya, beliau pernah jatuh motor sehingga mengalami kecederaan pada anggota badannya.

“Semenjak itu saya mulai sedar bahawa aktiviti seperti ini tidak berfaedah lalu memulakan hobi baru dengan memilih bidang teater sehinggalah bakat saya mula digilap daripada situ,” katanya yang dilahirkan di Kampung Nesam, Jalan Batu Pahat, Kangar.

Yus memberitahu, beliau juga beruntung kerana ibunya memberi galakan untuknya memiliki lesen memandu sejak berada di tingkatan lima lagi.

Sumber: Utusan Malaysia, 28 April 2014.