Ujian tunggal untuk miliki lesen memandu mulai Mei 2015.

KUALA LUMPUR 2 April – Kerajaan akan melaksanakan ujian tunggal bagi individu yang ingin memiliki lesen memandu kereta dan menunggang motosikal bermula bulan depan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi.

Beliau berkata, ini berikutan aduan serta kritikan yang diterima daripada orang ramai mengenai kekangan masa dan kos bagi menduduki dua ujian berasingan bagi mendapatkan lesen berkenaan.

“Untuk makluman, kerajaan telah mengambil kira segala pandangan orang ramai dan kita jangka akan laksana ujian tunggal mulai bulan depan.

Kedua-dua ujian itu akan disatukan untuk kemudahan orang ramai selain mengurangkan kos bagi tujuan mendapatkan lesen berkenaan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Hasbullah ingin tahu mengenai langkah yang bakal diambil kerajaan bagi memudahkan rakyat memohon lesen memandu kereta dan motosikal di negara ini.

Bagaimanapun katanya, sukatan pelajaran kedua-dua ujian berkenaan adalah berbeza.

Katanya, hasil kaji selidik yang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan peratusan kemalangan melibatkan motosikal adalah tinggi iaitu 60 peratus manakala 20 peratus kemalangan melibatkan kereta.

Menjawab soalan asal Shaharuddin Ismail (BN-Kangar) mengenai peratusan individu yang menduduki ujian berkomputer bagi mendapatkan lesen memandu, Aziz berkata:

57% calon lulus ujian undang-undang berkomputer bagi kali pertama,

38 % bagi kali kedua,

31 % bagi kali ketiga manakala

18 % calon mengambil ujian melebihi tiga kali.

Ujian undang-undang berkomputer adalah bertujuan menilai dan menguji tahap kompetensi bakal pemandu dalam aspek pengetahuan berkaitan peraturan lalu lintas dan konsep pemanduan berhemah,” katanya.

Sebagai kerajaan bertanggungjawab, Aziz berkata rakyat yang kurang mahir dalam penggunaan komputer termasuk penduduk luar bandar dan warga emas akan sentiasa dibantu melalui sistem ujian bertulis atau lisan yang memberi tempoh lebih panjang kepada calon untuk sesi menjawab soalan. – BERNAMA, 2 April 2015.

JPJ sasar 3.4 juta peroleh lesen memandu SKSJ

TANAH MERAH 23 Okt. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan seramai 3.4 juta penunggang motosikal di seluruh negara bakal menerima lesen memandu menerusi Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) menjelang tahun 2020.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Yusoff Ayob berkata, sehingga kini seramai 70,362 penerima di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada program yang mula diperkenalkan pada 2009 itu.

“Program ini dilaksanakan sebagai pendekatan JPJ melalui kaedah turun padang dan berjumpa dengan masyarakat terutama warga emas yang masih belum memiliki lesen memandu.

“Ia dijalankan khusus untuk golongan yang berumur 45 tahun ke atas manakala bagi masyarakat Orang Asli pula untuk mereka berusia 21 tahun ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Program SKSJ yang turut dihadiri Pengarah JPJ negeri, Abd. Ghani Che Kasim di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Suria, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 339 warga emas menerima Lesen Memandu Percubaan (P) bagi kelas B2.

Dalam perkembangan lain, Yusoff berkata, tempoh penguatkuasaan cermin gelap yang baharu telah dilanjutkan sehingga 1 Mei 2015 bagi memberi peluang kepada pengguna untuk bertindak.

“Kita memberi tempoh lanjutan tersebut selepas mengambil kira pelbagai sudut termasuk kos yang terpaksa ditanggung untuk menukar cermin kenderaan yang baharu,” katanya.

“Selepas tempoh lanjutan berkenaan berakhir, kita akan mengeluarkan saman kepada mereka yang didapati tidak mematuhi peraturan kecuali mempunyai surat kebenaran berhubung soal kesihatan serta keselamatan,” katanya.

 

 

Sumber: Utusan Malaysia, 24 Oktober 2014.

Lesen Memandu bukan ‘lesen besar’ untuk lakukan kesalahan jalanraya.

JELEBU 13 Okt. – Pengguna jalan raya yang baru mendapat lesen memandu mahupun menunggang motosikal diingatkan supaya tidak menjadikan lesen yang diperoleh itu untuk melakukan apa sahaja kesalahan di atas jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah Jaba­tan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Arifin Che Mat menegaskan, lesen memandu yang diberikan kepada pengguna layak itu bertujuan memudahkan urusan ha­rian mereka dengan syarat sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

“Jangan jadikan pemberian lesen hari ini sebagai ‘lesen besar’ untuk melakukan apa sahaja tindakan salah di atas jalan raya.

“JPJ amat komited untuk memberikan perkhidmatan yang baik, memudahkan rakyat tetapi pada masa yang sama tidak pernah berkompromi dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di jalan raya,” katanya semasa penutupan program Satu Komuniti Satu JPJ Dewan Undang­an Negeri (DUN) Pertang di Kompleks UMNO Bahagian Jelebu, Simpang Pertang dekat sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat mewakili ADUN Pertang, Datuk Jalaluddin Alias; Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah; Pegawai Daerah Je­lebu, Mohamed Roduan Ujang dan Ketua Polis Daerah Je­lebu, Deputi Supritendan Setapa Yusoff.

Kata Arifin, lebih utama lagi kepada mereka yang baru menerima lesen penuh menunggang motosikal, pematuhan undang-undang jalan raya amat ditititberatkan.

“Lesen menunggang motosikal yang diberikan ini bertujuan untuk memastikan mereka berada di atas jalan raya dalam kea­daan lebih yakin. Kita berharap golong­an ini dapat membantu pihak berkuasa mengurangkan kadar kemalangan dengan memastikan peraturan yang ditetapkan dipatuhi,” tegasnya.

Sementara itu dalam program yang berlangsung semalam, seramai 281 golongan warga emas diberiken Lesen Memandu Percubaan Motosikal (kelas B2) bagi memudahkan aktiviti harian.

Mereka terdiri daripada 65 pene­rima berbangsa Melayu, tujuh (India) dan 209 (Orang Asli) yang kese­muanya berusia 45 tahun ke atas.

“Kita adakan program ini untuk membantu warga emas me­ngurangkan kos yang tinggi jika mengikuti prosedur penuh kelas menunggang motosikal di institut memandu.

“Selain itu, dengan mengambil kira penunggang motosikal serta pembonceng sangat berisiko tinggi di atas jalan raya, maka dengan pemberian lesen itu mereka akan bertambah yakin untuk menunggang cara berhemah dan selamat,” tegasnya.

Sumber: Utusan Malaysia, 14 Oktober 2014.

MyLesen sasar lebih 3 juta rakyat dapat manfaat

ALOR GAJAH 13 Sept. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan lebih tiga juta rakyat di negara ini mendapat manfaat menerusi program MyLesen yang akan dilaksanakan menjelang awal tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Yusoff Ayob berkata, usaha itu bagi memberi lesen kepada penunggang motosikal yang tidak memiliki lesen dalam tempoh lima tahun tanpa peringkat umur.

Menurutnya, pendekatan itu merupakan satu kaedah dan cara baharu bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang tinggi terutamanya di kalangan penunggang motosikal.

“Pihak kita akan bekerjasama dengan pengendali institut memandu di seluruh negara bagi mewujudkan satu mekanisme untuk melaksanakan program ini.

“Ini bagi mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhemah, berdisplin dan bertolak ansur dengan memberi pendidikan tentang undang-undang jalan raya serta membina etika pemanduan selamat menerusi penambahbaikan dalam beberapa aspek pembelajaran praktikal dan teori.

“Menerusi inisiatif berkenaan kita juga mahu menggalakkan orang ramai terutamanya golongan belia yang kurang berkemampuan memiliki lesen memandu sekurang-kurangnya lesen motosikal kelas B2 yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi, di Japerun Kuala Linggi, Sungai Baru, di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Ismail Othman.

Sementara itu, Yusoff berkata, bermula 1 September lalu JPJ telah melaksanakan kokurikulum yang baharu dengan memberi fokus tiga aspek utama.

Penekanan ini merangkumi pengetahuan tentang jalan raya, kedua adalah aspek kemahiran iaitu bagaimana seseorang itu mengendalikan kenderaan.

“Dan aspek ketiga lebih penting iaitu mewujudkan pemandu berhemah yang boleh ikut peraturan malah dengan mempunyai sikap sopan santun dan tatasusila sesuai ketika berada di jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Yusof berkata menerusi program SKSJ yang dijalankan di seluruh Malaysia sejak tahun 2009 hingga tahun ini seramai 67,985 orang calon yang telah menyertainya.

Sumber:  Utusan Malaysia, 14 September 2014.

Warga emas cuai memandu dipenjara 48 bulan, denda RM10,000.

KUALA LUMPUR 11 Julai – Seorang lelaki warga emas dihukum penjara 48 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang, dekat sini atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga mengorbankan sepasang suami isteri dan dua sepupu mereka dalam satu kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Bukit Antarabangsa tahun lalu.

Majistret Noor Farah Hazwani Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap Masrufi Sain, 67, yang be­kerja sebagai buruh binaan selepas mengubah pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan itu hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tiga tahun bermula hari ini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ketika memandu kereta Proton Satria secara cuai dan tanpa pertimbangan yang munasabah menyebabkan kemalangan yang mengakibatkan pemandu kereta Perodua Viva dan tiga penumpangnya terbunuh di MRR2, Bukit Antarabangsa di sini kira-kira pukul 5.40 petang, 19 Mei 2013.

Mereka yang terkorban dalam kejadian itu ialah pemandu kenderaan tersebut, Hasbullah Abdul Ghani, 26, isterinya, Nurul Intan Syahida Nordin, 22, sepupu Hasbullah, Tengku Ahmad Faiz Tengku Mohmad, 28, dan Asma Ismail, 23.

Pendakwaan terhadap Masrufi dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua tahun hingga 10 tahun atau denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000.

Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Masrufi memohon agar dia dikenakan hukuman yang ringan atas alasan faktor usia dan sering sakit.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, tertuduh yang memandu kereta Proton Satria dalam perjalanan dari Bukit Antarabangsa ke MRR2 dan menuruni bukit sebelum kereta tersebut merempuh pembahagi jalan ketika memasuki laluan bertentangan lalu melanggar kereta Perodua Viva yang dinaiki keempat-empat mangsa, kemudian kenderaan itu turut dilanggar kereta Suzuki Swift.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Purnima manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sementara itu, ibu kepada Nurul Intan Syahida, Wan Lili Marsila Wan Jaafar, 45, berkata, sehingga kini dia sukar untuk menerima kenyataan bahawa anak keduanya itu sudah tiada.

“Walaupun saya reda menerima ketentuan Tuhan, namun susah hendak saya gambarkan apabila kehilangan anak sekelip mata. Namun, kami sekeluarga tetap lega kerana semuanya berakhir dengan baik apabila tertuduh menerima hukuman sepatutnya hari ini,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Akhbar sebelum ini melaporkan keempat-empat mangsa itu terbunuh dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan, dipercayai berpunca daripada kegagalan brek kereta Proton Satria berfungsi dalam kejadian itu.

Pemandu dan tiga penumpang kereta Perodua Viva itu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala manakala sekurang-kurangnya tiga lagi penumpang kenderaan lain cedera.

Hasbullah dan isterinya, Nurul Intan Syahida yang duduk di bahagian penumpang depan putus kepala akibat terkena kabel penghadang jalan.

Sumber: Utusan Malaysia, 12 Julai 2014.

SKSJ: 1,729 warga Perlis dapat lesen P.

ARAU 27 April – Program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) (SKSJ) yang dilaksanakan di Perlis sejak enam tahun lalu telah berjaya memberi manfaat kepada 1, 729 rakyat pelbagai kaum yang berusia 45 tahun ke atas apabila layak memiliki Lesen Memandu Percubaan (P) Kelas B2.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, sejak dilaksanakan pada tahun 2009 sebanyak 278 orang layak mendapat Lesen Memandu P Kelas B2, 2010 (319), 2011 (292), 2012 (261), 2013 (319) dan 2014 (260).

Beliau berkata, pada tahun ini menerusi program SKSJ yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Budriah, Arau telah melibatkan 260 peserta yang terdiri dari 185 wanita dan 75 lelaki.

“Daripada peserta ini sebanyak 234 orang terdiri dari kaum Melayu, India (tiga), Siam (tujuh) dan selebihnya penduduk tetap Malaysia telah layak mendapat lesen,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Penutup SKSJ dan Pelancaran Skuad Muda 1JPJ di SMK Tengku Budriah di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Negeri, Sabry Ahmad.

Ismail berkata, menerusi program ini para peserta hanya dikenakan bayaran minimum sebanyak RM140 bagi mendapatkan lesen memandu percubaan motosikal berbanding jika diambil melalui Institut Memandu dikenakan bayaran sebanyak RM261.

Beliau berkata, kursus, latihan dan ujian memandu dikendalikan oleh anggota JPJ sendiri dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Sementara itu, Yus Raja Lawak atau nama sebenarnya Yussry Edoo, 38, diumumkan sebagai Ikon Skuad Muda 1JPJ Perlis sempena pelancaran Skuad Muda 1JPJ peringkat negeri.

Dalam ucapannya, Yus mengakui ketika di usia belasan tahun dia pernah terlibat dalam kegiatan Mat Rempit.

Katanya, beliau pernah jatuh motor sehingga mengalami kecederaan pada anggota badannya.

“Semenjak itu saya mulai sedar bahawa aktiviti seperti ini tidak berfaedah lalu memulakan hobi baru dengan memilih bidang teater sehinggalah bakat saya mula digilap daripada situ,” katanya yang dilahirkan di Kampung Nesam, Jalan Batu Pahat, Kangar.

Yus memberitahu, beliau juga beruntung kerana ibunya memberi galakan untuknya memiliki lesen memandu sejak berada di tingkatan lima lagi.

Sumber: Utusan Malaysia, 28 April 2014.

SKSJ: Warga emas Alor Gajah berjaya dapat lesen memandu.

ALOR GAJAH 19 April – Tiada yang lebih menggembirakan bagi segelintir warga emas yang lebih 30 tahun menunggang motosikal tanpa lesen apabila akhirnya berjaya mendapatkannya menerusi program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di daerah ini.

Program yang dibuka kepada seluruh penduduk berusia 45 tahun ke atas itu disertai 321 orang yang kesemuanya berjaya mendapatkan Lesen Memandu Percubaan Motosikal setelah melalui beberapa siri kursus memandu dan ujian.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Yusoff Ayob berkata, program SKSJ itu bertujuan memberi kemudahan kepada golongan warga emas untuk mendapatkan lesen memandu dengan kadar bayaran yang lebih rendah.

Menurutnya, kebanyakan peserta program itu mempunyai pengalaman menunggang motosikal dan pihaknya hanya menjalankan ujian asas bagi menguji tahap kemahiran golongan itu selain memastikan kemampuan mereka untuk berada di atas jalan raya.

Program SKSJ adalah untuk menggalakkan golongan warga emas memiliki lesen memandu bagi memudahkan pergerakan mereka menjalankan aktiviti harian dengan lebih selamat,” katanya berucap pada majlis penutup SKSJ peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek di Pulau Sebang, di sini hari ini.

Seorang peserta, Hamid Hakim, 84, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada JPJ kerana memudahkannya mendapatkan lesen memandu setelah hampir 40 tahun menunggang motosikal tanpa lesen.

Katanya, dengan usianya yang telah lanjut adalah sukar baginya untuk mengikuti ujian memandu biasa yang syaratnya lebih ketat berbanding melalui program SKSJ.

“Syukur sebab akhirnya saya dapat memiliki lesen memandu dan pergerakan harian saya dengan motosikal selepas ini akan lebih mudah dan selamat kerana ada perlindungan insurans,” katanya.

Seorang lagi peserta, Chan Mei Ying, 50, berkata, dia berasa begitu gembira dan lebih selamat menunggang motosikal untuk mengambil cucunya di sekolah dan ke pasar selepas ini kerana telah mempunyai lesen memandu.

“Terima kasih kepada JPJ sebab bantu saya dapatkan lesen memandu dan lepas ini saya tidak lagi takut bila berdepan dengan JPJ atau polis yang mengadakan sekatan jalan,” katanya.

Bagi seorang lagi peserta, Pragasam Peter, 55, setelah mengikuti kursus memandu di bawah program SKSJ itu, dia baru menyedari kepentingan memiliki lesen memandu walaupun untuk pergerakan jarak dekat.

“Sebelum ini saya rasa tidak ada masalah tiada lesen sebab menunggang motosikal dari rumah ke kawasan sekitar sahaja tapi selepas berpeluang mengikuti program SKSJ ini baru satu tahu kepentingannya dan yang penting adalah untuk keselamatan,” katanya.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 20 April 2014.

506 penduduk Pulau Sebatik dapat lesen motosikal.

TAWAU 7 April – Sebanyak 506 penduduk di Pulau Sebatik dekat sini memperoleh lesen menunggang motosikal melalui program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang terdiri daripada 407 penunggang lelaki dan 99 penunggang wanita.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata, program SKSJ itu merupakan program turun padang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan memberi manfaat buat penduduk kerana berpeluang mendapatkan lesen motosikal tanpa perlu ke bandar Tawau.

Penduduk yang melepasi ujian yang diadakan oleh JPJ itu diberikan lesen menunggang motosikal percubaan atau P, sekali gus menjadi satu kemudahan kepada golongan tersebut untuk memiliki dokumen penting itu,” katanya ketika berucap dalam penutupan Program SKSJ di Kampung Sungai Tongkang, Pulau Sebatik dekat sini semalam.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho.

Tambah Abdul Ghapur, usaha proaktif itu perlu diteruskan di tempat-tempat lain, khususnya di kawasan luar bandar yang kebanyakan penduduk di situ masih tidak mempunyai tempat latihan dan ujian bagi mendapatkan lesen.

Terdahulu dalam majlis itu, Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ariffin Che Mat berkata, program SKSJ telah memberi manfaat kepada 62,488 peserta di seluruh negara sejak dilancarkan pada tahun 2009.

Selain SKSJ katanya, JPJ turut giat melaksanakan program Mylesen yang bermula bulan ini bagi memberi kemudahan kepada orang ramai.

Tambahnya, JPJ komited untuk memberikan perkhidmatan yang berkesan dan terbaik kepada masyarakat, demi meningkatkan sistem penyampaiannya agar pelanggan sentiasa selesa untuk berurusan dengan mereka.

Sumber: Utusan Malaysia, 8 April 2014.

JPJ permudah pemilikan lesen memandu melalui SKSJ.

KUALA LIPIS 7 April – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan sesi latihan dan pengujian bersistematik bagi golongan belia, Orang Asli dan warga emas yang tidak tahu membaca serta lembam untuk menduduki ujian bagi memiliki lesen memandu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, program di bawah Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJPJ) itu membolehkan golongan terbabit dibim­bing oleh pegawai JPJ bagi mengikuti latihan tersebut.

Beliau berkata, menerusi program berkenaan, warga emas berusia 45 tahun ke atas manakala Orang Asli berusia 21 tahun layak mengikuti ujian lesen P dengan lebih selesa.

“Sehingga kini, seramai 62,488 orang terdiri daripada belia, warga emas dan Orang Asli terbabit memiliki lesen motosikal B2 di negara ini menerusi program ber­kenaan yang dilancarkan pada tahun 2009.

“Kita memberi keselesaan untuk mereka mendapatkan lesen tetapi perlu menjalani silibus ujian yang lebih mudah tentang peraturan jalan raya dan pemanduan, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan membabitkan golongan berkenaan di jalan raya,” katanya selepas majlis penutup program SKSJPJ yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail anjuran JPJ cawangan Raub di Kampung Kuala Medang dekat sini semalam.

Sumber: Utusan Malasia, 7 April 2014.

“Istimewa” bukan alasan. 196 pelajar pendidikan khas Segamat sudah buktikan.

Berjaya dapat lesen motosikal kelas B2

SEGAMAT 28 Feb. – Seramai 196 pelajar pendidikan khas di daerah ini berjaya memperoleh lesen motosikal kelas B2 menerusi program khas yang diadakan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan (PPD) Segamat dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Segamat sejak dilancarkan pada 2010.

Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, kerjasama kedua-dua jabatan tersebut dengan sokongan serta penglibatan secara langsung syarikat swasta dalam menjayakan program itu bukan sahaja dapat membantu golongan pelajar pendidikan khas mendapatkan lesen memandu, malah turut meringankan beban ibu bapa mereka.

Pelajar pendidikan khas juga seperti insan lain yang memerlukan lesen memandu untuk menjalani kehidupan apabila menamatkan pembelajaran mereka dan menjadi tanggungjawab kita membantu mereka mendapatkan lesen tersebut agar tidak ketinggalan.

“Masyarakat perlu membuang pandangan dan prejudis terhadap kemampuan golongan berkenaan kerana sebenarnya berkemampuan mereka setanding dengan insan normal jika diberi peluang dan ruang untuk membuktikan kebolehan masing-masing,” katanya semasa menutup Program Transisi B2 Pelajar Pendidikan Khas Segamat di Taman Yayasan di sini semalam.

Beliau berharap lebih banyak syarikat swasta membantu menjayakan pelbagai program bertujuan membangunkan keupayaan diri pelajar pendidikan khas.

Menurutnya, sokongan dan bantuan boleh dihulurkan melalui pelbagai cara, termasuk dengan melibatkan diri secara langsung dalam penganjuran program menerusi badan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Khas Segamat, Masnawi Samsuddin memberitahu, program tahun ini melibatkan 37 pelajar pendidikan khas dari 12 sekolah bermula Julai tahun lalu dengan memberi penekanan terhadap aspek teori dan teknikal bagi memastikan semua peserta mampu melaksanakan semua peringkat ujian.

Sumber: Utusan Malaysia, 1 Mac 2014.