JPJ akan perkenal lesen memandu bentuk baharu Ogos ini.

KOTA KINABALU 13 Mei – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melakukan penambahbaikan terhadap semua lesen memandu dengan memperkenalkannya dalam bentuk baharu bermula Ogos ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad berkata, kesemua lesen baharu yang dikeluarkan termasuk Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Memandu Vokasional akan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan.

“Sebelum ini, kita mengenal pasti bukan sahaja lesen vokasional tetapi lesen CDL disalah guna dengan menukar gambar, jadi dengan lesen baharu ini kita sudah mengambil kira faktor keselamatan.

Antara ciri keselamatan ialah gambar tidak lagi dilekat pada kad tetapi dalam bentuk baharu seperti di dalam MyKad,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Hari Ketua Pengarah Bertemu Pelanggan di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah JPJ negeri, Mohd. Shuhaili Mohd. Taufek.

Tambah Ismail, antara ciri-ciri keselamatan yang ada pada lesen baharu itu termasuklah kertas tera air, teks mikro, serat keselamatan dan cetakan pendafluor limunan.

Katanya, ciri-ciri keselamatan yang ada pada lesen baharu itu dapat mengelakkan penipuan dan cubaan untuk membuat lesen tiruan.

Ismail memberitahu, orang ramai yang ingin menukar kepada lesen baharu boleh datang ke mana-mana kaunter JPJ tanpa dikenakan apa-apa bayaran tambahan.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memudahkan pengguna, pihaknya telah mengambil inisiatif menggabungkan tiga lesen vokasional di dalam satu lesen baharu.

Katanya, melalui inisiatif ini, pengguna yang mempunyai Lesen Memandu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), Lesen Memandu Kenderaan Barang-barang Malaysia (GDL) dan Lesen Konduktor Malaysia (Lesen Konduktor) bukan sahaja digabungkan dalam satu lesen tetapi hanya perlu membayar RM20 bagi menghidupkan ketiga-tiga lesen berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna, semua cawangan JPJ di seluruh negara termasuk pengarah setiap negeri akan mengadakan hari bertemu pelanggan pada setiap minggu.

“Kita telah tetapkan setiap hari Khamis bermula pukul 2 petang hingga 5 petang di semua cawangan akan mengadakan hari bertemu pelanggan yang mana pengarah sendiri akan bertemu dan mendengar masalah pengguna,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia, 14 Mei 2013.

Lagi kes remaja maut bila menunggang motosikal walaupun tiada lesen memandu.

KUANTAN 13 Mei – Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira di Km28 Jalan Temerloh-Bandar Jengka dekat Maran pagi tadi.

Sheikh Mohd Farid Sheikh Zulkifli, 17, yang bekerja sendiri dan menetap di Felda Jengka meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan dalam kemalangan 1.20 pagi itu.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, ketika itu mangsa datang dari arah Bandar Jengka menuju Temerloh.

“Mangsa dipercayai memotong sebuah lagi motosikal sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta terbabit.

“Pemandu kereta berkenaan, Zool Amali Zainal Abidin, 39, dan penunggang sebuah lagi motosikal itu, Muhamad Shazwan, 18, yang turut terbabit dalam kemalangan, hanya cedera ringan,” katanya di sini hari ini.

Mohamed Fauzi berkata, siasatan awal turut mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA, 13 Mei 2013.