Ujian tunggal untuk miliki lesen memandu mulai Mei 2015.

KUALA LUMPUR 2 April – Kerajaan akan melaksanakan ujian tunggal bagi individu yang ingin memiliki lesen memandu kereta dan menunggang motosikal bermula bulan depan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi.

Beliau berkata, ini berikutan aduan serta kritikan yang diterima daripada orang ramai mengenai kekangan masa dan kos bagi menduduki dua ujian berasingan bagi mendapatkan lesen berkenaan.

“Untuk makluman, kerajaan telah mengambil kira segala pandangan orang ramai dan kita jangka akan laksana ujian tunggal mulai bulan depan.

Kedua-dua ujian itu akan disatukan untuk kemudahan orang ramai selain mengurangkan kos bagi tujuan mendapatkan lesen berkenaan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Hasbullah ingin tahu mengenai langkah yang bakal diambil kerajaan bagi memudahkan rakyat memohon lesen memandu kereta dan motosikal di negara ini.

Bagaimanapun katanya, sukatan pelajaran kedua-dua ujian berkenaan adalah berbeza.

Katanya, hasil kaji selidik yang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan peratusan kemalangan melibatkan motosikal adalah tinggi iaitu 60 peratus manakala 20 peratus kemalangan melibatkan kereta.

Menjawab soalan asal Shaharuddin Ismail (BN-Kangar) mengenai peratusan individu yang menduduki ujian berkomputer bagi mendapatkan lesen memandu, Aziz berkata:

57% calon lulus ujian undang-undang berkomputer bagi kali pertama,

38 % bagi kali kedua,

31 % bagi kali ketiga manakala

18 % calon mengambil ujian melebihi tiga kali.

Ujian undang-undang berkomputer adalah bertujuan menilai dan menguji tahap kompetensi bakal pemandu dalam aspek pengetahuan berkaitan peraturan lalu lintas dan konsep pemanduan berhemah,” katanya.

Sebagai kerajaan bertanggungjawab, Aziz berkata rakyat yang kurang mahir dalam penggunaan komputer termasuk penduduk luar bandar dan warga emas akan sentiasa dibantu melalui sistem ujian bertulis atau lisan yang memberi tempoh lebih panjang kepada calon untuk sesi menjawab soalan. – BERNAMA, 2 April 2015.

Warga asing tidak kisah 
pandu kenderaan perdagangan walau tanpa lesen GDL.

CAMERON HIGHLANDS 16 Nov. – Daerah ini bagaikan pekan koboi apabila warga asing yang hanya mempunyai permit bekerja di kebun bebas memandu kenderaan perdagangan bagi mengangkut dan menghantar barang di sini.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar daerah ini mendapati, mes­kipun operasi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) sedang giat dilakukan pelbagai agensi, warga asing khususnya Bangladesh dilihat masih bekerja dengan memandu kenderaan perdagangan.

Ada antara mereka dilihat memandu berulang-alik dari kebun ke pekan terdekat untuk membawa hasil pertanian dan pelbagai barang lain.

Mungkin ketiadaan operasi berterusan daripada pihak terbabit, khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan membuatkan warga asing yang sudah pastinya tidak mempunyai lesen kenderaan perdagangan bebas memandu ke sana-sini.

Malah, difahamkan kebanyakan kenderaan digunakan turut me­langgar pelbagai peraturan lalu-lintas seperti tiada kelulusan pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Berkomputer Sdn. Bhd. (Puspakom) dan sebagainya.

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), R. Ramakrisnan berkata, kebiasaannya lebih ramai pemandu warga asing ini akan bekerja pada waktu malam iaitu dari pukul 8 hingga 9 malam bagi menghantar pelbagai barangan termasuk gas memasak dan sebagainya.

Kalau lori komersial, mesti ada lesen memandu kenderaan barang (GDL), Bangladesh mana ada GDL, kalau ada lesen antarabangsa sekalipun mereka hanya boleh membawa kereta persendirian sahaja dan tidak boleh kenderaan perdagangan.

“Mungkin mereka melihat pihak terbabit termasuk JPJ tidak bersungguh-sungguh melakukan operasi di sini menyebabkan pelbagai kesalahan lalu-lintas bebas dilakukan,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan maklumat terdapat pelbagai kesalahan melibatkan pengangkutan termasuk ketiadaan cukai jalan dan tanpa pemeriksaan Puspakom.

Malah, tambahnya, ada kenderaan menggunakan nombor pendaftaran dan cukai jalan palsu.

Sumber: Berita Harian, 17 November 2014.

JANGAN pecut kereta kalau lesen dah tamat tempoh.

Kuala Lumpur: Seorang pemandu lelaki bertindak agresif memecut kereta melawan arus bagi mengelak diberkas polis hanya kerana lesen memandunya sudah tamat tempoh.

Suspek lelaki berusia 30-an itu dikejar kereta peronda polis sejauh lebih tujuh kilometer berhampiran Lebuhraya Duke arah Sentul di sini, sekitar jam 1 pagi semalam.

Sumber berkata, suspek dikatakan panik selepas terserempak kenderaan polis yang cuba menahannya bagi tujuan pemeriksaan.

Menurutnya, suspek kemudian cuba melepaskan diri daripada ditahan polis dengan memandu laju Perodua Alza miliknya.

“Anggota polis peronda terpaksa meminta bantuan sebuah lagi kereta peronda polis sebelum berjaya memintas dan menahan kenderaan suspek.

“Sejurus ditahan, suspek mengaku dia panik dan takut ditahan polis kerana lesen memandunya sudah tamat tempoh. Semasa ditahan lelaki terbabit turut membawa dua lagi rakannya,” katanya.

Menurutnya, polis yang melakukan pemeriksaan rapi tidak menemui sebarang objek berbahaya atau menyalahi undang-undang di dalam kenderaan itu.

“Bagaimanapun satu saman terhadap mangsa tetap dikeluarkan kerana suspek memandu dengan lesen sudah tamat tempoh.

“Dia turut diberikan amaran keras supaya tidak memandu secara berbahaya,” katanya.

Sementara itu jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul mengesahkan kejadian itu.

Sumber: Harian Metro, 8 November 2014.

Apabila pemegang rekod jenayah jadi pemandu teksi.

Pemandu teksi ada rekod jenayah samun penumpang

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Anda boleh bayangkan betapa ngerinya apabila seorang lelaki yang mempunyai rekod kes bunuh, dadah dan empat kali dibuang daerah menjadi pemandu teksi di ibu negara.

Kejadian ini benar-benar berlaku dan rekod peribadinya terbongkar setelah penjenayah yang baru berumur 27 tahun ini menyamun enam penumpang teksi, kebanyakannya pelancong asing.

Polis yang menubuhkan pasukan khas untuk memberkas suspek setelah menerima enam laporan kegiatan jenayah pemandu teksi itu berjaya mencekupnya semasa dia sedang mencari penumpang di Jalan Thamby Pillay di sini, Sabtu lalu kira-kira pukul 3.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Azlee Abdullah berkata, pihaknya segera menubuhkan pasukan khas selepas menerima tiga aduan kes samun yang sama di daerah ini selain tiga lagi di kawasan lain,

Suspek merosakkan nombor plat kenderaannya bagi mengelakkan dicatat oleh mangsa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Azlee, polis merampas dua komputer riba, telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai, jam tangan, kamera, pisau, gunting, dompet serta pelbagai resit jualan telefon dan surat pajak gadai dalam teksi suspek.

Katanya, suspek juga memiliki dua rekod jenayah membabitkan kes bunuh dan berkaitan dadah selain empat rekod buang daerah.

“Kita mendapati teksi yang dipandu suspek milik bapa saudaranya dan dia tidak mempunyai lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV),” katanya.

 

 

Sumber: Utusan Malaysia, 18 Oktober 2014.

JPJ sasar 3.4 juta peroleh lesen memandu SKSJ

TANAH MERAH 23 Okt. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan seramai 3.4 juta penunggang motosikal di seluruh negara bakal menerima lesen memandu menerusi Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) menjelang tahun 2020.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Yusoff Ayob berkata, sehingga kini seramai 70,362 penerima di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada program yang mula diperkenalkan pada 2009 itu.

“Program ini dilaksanakan sebagai pendekatan JPJ melalui kaedah turun padang dan berjumpa dengan masyarakat terutama warga emas yang masih belum memiliki lesen memandu.

“Ia dijalankan khusus untuk golongan yang berumur 45 tahun ke atas manakala bagi masyarakat Orang Asli pula untuk mereka berusia 21 tahun ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Program SKSJ yang turut dihadiri Pengarah JPJ negeri, Abd. Ghani Che Kasim di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Suria, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 339 warga emas menerima Lesen Memandu Percubaan (P) bagi kelas B2.

Dalam perkembangan lain, Yusoff berkata, tempoh penguatkuasaan cermin gelap yang baharu telah dilanjutkan sehingga 1 Mei 2015 bagi memberi peluang kepada pengguna untuk bertindak.

“Kita memberi tempoh lanjutan tersebut selepas mengambil kira pelbagai sudut termasuk kos yang terpaksa ditanggung untuk menukar cermin kenderaan yang baharu,” katanya.

“Selepas tempoh lanjutan berkenaan berakhir, kita akan mengeluarkan saman kepada mereka yang didapati tidak mematuhi peraturan kecuali mempunyai surat kebenaran berhubung soal kesihatan serta keselamatan,” katanya.

 

 

Sumber: Utusan Malaysia, 24 Oktober 2014.

Lesen Memandu bukan ‘lesen besar’ untuk lakukan kesalahan jalanraya.

JELEBU 13 Okt. – Pengguna jalan raya yang baru mendapat lesen memandu mahupun menunggang motosikal diingatkan supaya tidak menjadikan lesen yang diperoleh itu untuk melakukan apa sahaja kesalahan di atas jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah Jaba­tan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Arifin Che Mat menegaskan, lesen memandu yang diberikan kepada pengguna layak itu bertujuan memudahkan urusan ha­rian mereka dengan syarat sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

“Jangan jadikan pemberian lesen hari ini sebagai ‘lesen besar’ untuk melakukan apa sahaja tindakan salah di atas jalan raya.

“JPJ amat komited untuk memberikan perkhidmatan yang baik, memudahkan rakyat tetapi pada masa yang sama tidak pernah berkompromi dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di jalan raya,” katanya semasa penutupan program Satu Komuniti Satu JPJ Dewan Undang­an Negeri (DUN) Pertang di Kompleks UMNO Bahagian Jelebu, Simpang Pertang dekat sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat mewakili ADUN Pertang, Datuk Jalaluddin Alias; Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah; Pegawai Daerah Je­lebu, Mohamed Roduan Ujang dan Ketua Polis Daerah Je­lebu, Deputi Supritendan Setapa Yusoff.

Kata Arifin, lebih utama lagi kepada mereka yang baru menerima lesen penuh menunggang motosikal, pematuhan undang-undang jalan raya amat ditititberatkan.

“Lesen menunggang motosikal yang diberikan ini bertujuan untuk memastikan mereka berada di atas jalan raya dalam kea­daan lebih yakin. Kita berharap golong­an ini dapat membantu pihak berkuasa mengurangkan kadar kemalangan dengan memastikan peraturan yang ditetapkan dipatuhi,” tegasnya.

Sementara itu dalam program yang berlangsung semalam, seramai 281 golongan warga emas diberiken Lesen Memandu Percubaan Motosikal (kelas B2) bagi memudahkan aktiviti harian.

Mereka terdiri daripada 65 pene­rima berbangsa Melayu, tujuh (India) dan 209 (Orang Asli) yang kese­muanya berusia 45 tahun ke atas.

“Kita adakan program ini untuk membantu warga emas me­ngurangkan kos yang tinggi jika mengikuti prosedur penuh kelas menunggang motosikal di institut memandu.

“Selain itu, dengan mengambil kira penunggang motosikal serta pembonceng sangat berisiko tinggi di atas jalan raya, maka dengan pemberian lesen itu mereka akan bertambah yakin untuk menunggang cara berhemah dan selamat,” tegasnya.

Sumber: Utusan Malaysia, 14 Oktober 2014.

Penunggang motor besar patut ikuti kursus intensif mahir pengendalian motosikal

Kuala Lumpur: Penunggang motosikal berkuasa tinggi dinasihatkan mengikuti ‘kursus penunggang intensif’ bagi memahirkan mereka dalam aspek tunggangan motosikal, sekali gus bertindak pantas jika berdepan detik cemas.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Dr Tam Weng Wah berkata, biarpun mereka memperoleh lesen B penuh seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, tetapi mereka masih perlu mengikuti kursus intensif supaya mahir dalam pengendalian motosikal.

“Menunggang motosikal berkuasa tinggi bukan sesuatu yang mudah, banyak perkara perlu kita pelajari terutama dalam aspek latihan ketika berdepan detik cemas termasuk perubahan landskap jalan raya terutamanya ketika hujan.

“Semua itu perlu dipelajari dengan lebih mendalam dan bukannya sekadar bergantung kepada lesen yang diperoleh. Ini sangat penting dan ada segelintir penunggang baru yang tidak ambil peduli berhubung aspek ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan dua penunggang motosikal berkuasa tinggi maut di tempat kejadian dalam satu kemalangan di Kilometer 26.4 Lebnih raya Karak arah Kuala Lumpur.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila motosikal berkuasa tinggi terbabas sebelum berlanggar sesama sendiri dan terbakar di tempat kejadian.

Sumber: Harian Metro, 21 Oktober 2014.