JPJ: Ibu bapa perlu pantau anak bermotosikal.

KANGAR 7 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengingatkan ibu bapa di negeri ini supaya tidak sewenang-wenangnya membiarkan anak-anak mereka yang tidak memiliki lesen memandu menjadikan motosikal sebagai kenderaan ke sekolah.

Pengarahnya, Zulhasmi Mohamad berkata, kebanyakannya ibu bapa sanggup memberikan motosikal milik sendiri atau keluarga untuk digunakan anak ke sekolah kerana enggan menghantarnya sendiri atas alasan sibuk dan sebagainya.

Purata pelajar yang berusia antara 13 hingga 17 di negeri ini didapati menggunakan motosikal tanpa lesen untuk ke sekolah setiap hari di mana mereka terdedah kepada kemalangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa atau cacat anggota seumur hidup,” katanya ketika ditemui semasa operasi khas motosikal sempena Aidilfitri di sini malam semalam.

Zulhasmi berkata, kemalangan motosikal di kalangan pelajar sekolah kerap berlaku tetapi kalangan ibu bapa masih tidak endah terhadap keselamatan anak-anak.

Jangan berkira soal kewangan untuk membolehkan anak-anak mempunyai lesen memandu apabila cukup mengikut umur yang dibenarkan JPJ supaya kes penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan maut dapat dikurangkan,” katanya.

Katanya, sepatutnya ibu bapa jangan sesekali membenarkan anak-anak menunggang motosikal ke sekolah atau ke mana-mana sahaja selagi tidak memiliki lesen memandu.

Beliau berkata, ini penting kerana pengguna jalan raya yang mempunyai lesen memandu akan dilindungi oleh insurans jika berlaku sebarang kemalangan.

Zulhasmi berkata, jika anak sudah mempunyai lesen memandu pula harus pastikan motosikal yang ditunggang itu mempunyai lesen kenderaan.

Sementara itu Zulhasmi berkata, sempena dengan Ops Motosikal Aidilfitri 2014 pada 22 Julai, 3 Ogos dan 5 Ogos di lokasi Kilometer 1.5 Jalan Kangar- Alor Setar yang melibatkan 80 anggota di mana sebanyak 188 notis telah dikeluarkan.

Katanya, selain itu sebanyak 214 kes telah dikesan di mana 113 didapati tidak mempunyai lesen memandu dan 68 pula tiada lesen kenderaan.

Beliau berkata, sepanjang operasi itu juga hanya satu kes dikesan melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun tidak mempunyai lesen memandu dan motosikal yang ditunggangnya itu juga turut disita.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang menyertai operasi berkenaan juga terdapat juga kes penunggang motosikal didapati positif dadah.

Sumber: Utusan Malaysia, 8 Ogos 2014.

Kematian akibat kemalangan menurun dalam Ops Aidilfitri 2014.

MELAKA 6 Ogos – Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di negeri ini yang dicatatkan sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menurun sebanyak 40 peratus atau enam kematian berbanding tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Lim Ban Hong berkata, dari tempoh 21 Julai hingga 5 Ogos lalu sembilan kematian dicatatkan dalam lapan kemalangan maut berbanding 15 kematian dalam 11 kemalangan maut pada operasi sama tahun lalu.

Menurutnya, jumlah mangsa yang mengalami cedera parah juga menurun sebanyak 10 peratus dari 10 orang pada tahun lalu kepada sembilan orang tahun ini.

”Bagaimanapun, jumlah kemalangan yang dicatatkan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri tahun ini meningkat sebanyak 9.1 peratus kepada 789 kes berbanding 723 kes tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Operasi Penguatkuasaan Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2014 di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Semabok, di sini malam tadi.

Yang hadir sama Pengarah JPJ negeri, Azaharuldin Abdullah, Setiausaha Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Melaka, Ong Tai Chu dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, M. Shantini.

Jelas Ban Hong, sempena musim perayaan tahun ini juga, terdapat pertambahan sebanyak 8,189 buah kenderaan memasuki Melaka dari 25 hingga 29 Julai di mana ia dikenal pasti antara punca peningkatan jumlah kemalangan sepanjang tempoh operasi.

Justeru katanya, jawatankuasa pengangkutan negeri bersama jabatan-jabatan terlibat akan meneruskan strategi menjalankan penguatkuasaan lebih ketat selain memperhebatkan penguatkuasaan melalui program kesedaran dan pendidikan.

”Diharapkan kedua-dua cara ini dapat dijalankan serentak untuk meningkatkan kesedaran mementingkan keselamatan di jalan raya di kalangan pemandu dan pengguna lalu lintas,” tegasnya.

Sementara itu tambah beliau, sepanjang tempoh operasi berkenaan juga, sebanyak 5,242 buah kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa oleh JPJ di mana 377 saman dikeluarkan manakala 364 kenderaan diambil tindakan.

Kesalahan paling banyak dicatatkan ialah TIDAK mempunyai lesen memandu yang sah iaitu sebanyak 157 kes, tidak mempunyai cukai jalan (75 kes), nombor pendaftaran tidak mengikuti spesifikasi dibenarkan (33 kes) serta lain-lain kesalahan termasuk ubah suai kenderaan, cermin gelap, tiada insurans dan memandu bawah umur,” jelasnya.

Operasi yang dijalankan bermula pada pukul 9 malam itu melibatkan 198 anggota penguat kuasa termasuk dari JPJ, MKJR, JKJR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Sumber: Utusan Malaysia, 7 Ogos 2014.

Pelajar sekolah menengah dapat topi keledar percuma

BATU PAHAT 5 Ogos – Sebanyak 500 pelajar sekolah menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan menerima topi keledar percuma yang disumbangkan Pusat Khidmat ADUN kawasan itu.

Sumbangan yang turut mendapat kerjasama Kelab Putera 1Malaysia itu diberikan kepada pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah supaya mereka menggunakan topi keledar yang selamat dan diluluskan.

ADUN Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, pemberian topi keledar itu hanya kepada pelajar yang layak iaitu mereka yang mempunyai lesen memandu kelas B atau B2 yang sah.

Tujuan utama pemberian topi keledar secara percuma ini adalah sebagai salah satu langkah untuk memastikan pelajar yang menunggang motosikal menggunakan topi keledar yang baik dan telah diakui keselamatannya.

“Sebelum ini saya lihat ada di antara pelajar yang memakai topi keledar yang tidak selamat, pelbagai jenis dan bentuk yang tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya selepas menyampaikan 150 topi keledar itu kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penghulu Saat, di sini baru-baru ini.

Selain SMK Penghulu Saat, pelajar SMK Dato’ Sulaiman dan SMK Sri Medan turut menerima topi tersebut hasil kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah terlibat.

Zulkurnain berharap, pemberian topi keledar tersebut dapat menunjukkan imej yang baik kepada para pelajar dan menjadi contoh kepada pelajar sekolah lain dan orang ramai di sekelilingnya.

“Mereka yang menerima topi keledar berkenaan perlulah menjaganya dengan baik dan dipakai apabila menunggang motosikal, selain berharap topi itu tidak disalah gunakan,” katanya.

Sumber:  Utusan Malaysia, 6 Ogos 2014.

70 peratus kemalangan maut libatkan penunggang dan pembonceng motosikal

SEREMBAN 28 Feb. – Kira-kira 70 peratus mangsa korban jalan raya yang dicatatkan di seluruh negeri ini sepanjang tahun lalu terdiri daripada pembonceng dan penunggang motosikal.

Pendedahan membimbangkan itu didedahkan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Mohd. Rusdi Ismail menerusi statistik kemalangan yang dicatatkan JKJR dari tempoh awal Januari hingga penghujung Disember 2009.

”Daripada 377 kes kemalangan maut, 232 merupakan angka korban yang membabitkan pembonceng dan penunggang motosikal di sekitar negeri ini.

”Lebih mendukacitakan, kebanyakan kes maut yang membabitkan kumpulan tersebut merupakan golongan belia yang berusia 15 hingga 40 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohd. Rusdi, kes kemalangan yang melibatkan pembonceng dan penunggang motosikal di negeri ini adalah sebanyak 5,152 bagi tahun lalu berbanding kereta iaitu 22,333 kes.

”Walaupun kes kemalangan yang membabitkan pembonceng dan penunggang motosikal lebih rendah berbanding kereta, namun angka kematian membabitkan pengguna motosikal lebih tinggi berbanding kenderaan lain.

”Statistik juga menunjukkan, daripada 5,152 kes kemalangan membabitkan motosikal, 232 maut, 484 cedera parah, manakala 983 cedera ringan,” ujarnya.

Jelasnya, salah satu faktor penyumbang yang mengakibatkan pembonceng dan penunggang motosikal menjadi mangsa korban tertinggi dalam kes kemalangan jalan raya adalah kerana kurangnya kesedaran berhubung pemakaian topi keledar berkualiti.

”Berdasarkan kajian yang dijalankan, kami mendapati bahawa masih ramai pembonceng dan penunggang motosikal tidak menggunakan topi keledar yang diluluskan oleh SIRIM Berhad.

”Ini kerana topi keledar dengan kelulusan SIRIM telah diuji ketahanannya termasuk ketahanan cengkerang, keupayaan menyerap hentakan, kekuatan tali selain memberikan keselesaan kepada pemakai,”ujarnya.

Tambahnya, penggunaan topi keledar tanpa label SIRIM mampu menjuruskan kepada kecederaan parah di bahagian kepala terhadap pembonceng dan penunggang motosikal apabila terlibat dengan kemalangan.

”Namun, ada juga pembonceng dan penunggang motosikal yang memakai topi keledar secara salah dengan tidak mengikat talinya,” katanya.

Dalam pada itu, tegas Mohd. Rusdi, berdasarkan kaji selidik JKJR, sekiranya pembonceng dan penunggang motosikal memakai topi keledar yang disahkan SIRIM angka kematian dan kecederaan dapat dikurangkan.

”Hasil kajian menunjukkan, pemakaian topi keledar yang disahkan serta betul dapat mengurangkan 33 peratus angka kematian dan 40 peratus kecederaan kepala selain 60 peratus kecederaan otak,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia, 1 Mac 2010.