Belum tahu apakah hukuman kerana merempit? Rayuan tidak akan diterima.

Mat rempit menangis dihukum penjara

IPOH 20 Feb. – Seorang mat rempit yang melakukan aksi berbahaya dengan menunggang sambil mengangkat tayar hadapan motosikal dan menunggang ala Superman, tanpa segan silu menangis apabila dia dan seorang rakannya dihukum penjara selama 26 bulan mulai hari ini.

Kedua-dua mereka diperintahkan menjalani hukuman itu selepas Mahkamah Tinggi di sini menolak rayuan untuk mengetepikan hukuman tersebut kerana kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani memutuskan demikian ketika mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Lee Chee Fook, 24, dan L. Davandr, 22, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan dekat sini pada 22 Februari tahun lalu.

Ketika keputusan itu dibacakan oleh hakim berkenaan, Chee Fook yang memakai baju kemeja coklat dan berseluar hitam, dilihat menitiskan air mata manakala Davandr yang memakai baju hitam hanya bersahaja.

Kedua-dua mereka ditahan selepas melakukan aksi ngeri dan berbahaya dengan menunggang sambil mengangkat tayar hadapan motosikal dan menunggang ala Superman kira-kira pukul 1.40 pagi, 21 November 2010, di Kilometer 3, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, dekat sini.

Selain hukuman penjara, Mahkamah Tinggi turut mengekalkan hukuman denda RM6,000 atau tambahan enam bulan penjara sekiranya kedua-dua tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut selain hilang kelayakan memiliki lesen memandu dalam tempoh dua tahun.

Hakim Zainal Adzam dalam keputusannya berkata, kesalahan kedua-dua tertuduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 Pindaan 1999 itu amat serius dan bukannya satu perkara remeh kerana melibatkan keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya lain.

Menurutnya, tindakan memandu secara melulu dan berbahaya yang sering dilakukan golongan itu juga cenderung melibatkan aktiviti keganasan sekiranya berlaku pergaduhan dengan pengguna yang lain.

“Mereka (mat rempit) ini melakukan perkara itu seolah-olah negara tidak mempunyai undang-undang sehingga langkah penguatkuasaan yang dilakukan tidak berkesan.

“Jadi, menjadi tanggungjawab mahkamah memberi pengajaran bukan sahaja kepada pesalah, malah mereka yang cenderung melakukan perkara sama.

“Seperti tindakan kamu (tertuduh) yang tidak takut melakukan kesalahan serius pada usia muda, saya rasa sudah pasti kamu juga sanggup menghadapi hukuman berat yang ditetapkan undang-undang,” kata beliau.

Sumber: Utusan Malaysia, 21 Februari 2013.

Kesalahan-kesalahan yang dikesan dalam Ops Penyamaran semasa Tahun Baru Cina.

SEREMBAN 17 Feb. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mengesan sebanyak 30 kesalahan yang dilakukan para pengguna kenderaan antaranya melanggar lampu isyarat dan mengguna telefon bimbit ketika memandu.

Pengarahnya, Saiful Azzri Hamzah berkata, semua kesalahan itu dikesan dalam Ops Penyamaran sempena Tahun Baharu Cina yang bermula pada 3 Februari dan berakhir semalam.

“Sehingga 14 Februari, 12 kes dikesan melanggar lampu isyarat lalu lintas, empat kes menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan kesalahan lain sebanyak 14 kes,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kata beliau, dalam Ops Motosikal pula, sebanyak 251 kesalahan dikesan sehingga 14 Februari di mana yang tertinggi adalah melibatkan lesen memandu iaitu sebanyak 130 kes.

“Bagi kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM), sebanyak 68 kes dicatatkan diikuti ubah suai kenderaan sebanyak dua kes dan kesalahan nombor pendaftaran pula sebanyak 36 kes.

“Kita juga mengesan kesalahan membabitkan tayar botak iaitu empat kes dan lain-lain kesalahan teknikal sebanyak 11 kes,” ujarnya.

Menurut Saiful Azzri, sebanyak 39 buah motosikal telah dikeluarkan notis arah periksa di bawah Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana pelbagai kesalahan.

“JPJ negeri juga menyita sebanyak sembilan buah motosikal dalam Ops Motosikal ini,” ujarnya.

Operasi sempena Tahun Baharu Cina ini memberikan fokus pemeriksaan ke atas bas ekspres di depot, pemandu bas di terminal utama, penyamaran sebagai penumpang bas, penguatkuasaan statik di kawasan panas, penyamaran di laluan, rondaan lebuh raya serta penguatkuasaan khas motosikal.

“Penguatkuasaan secara bergambar juga telah dilaksanakan di mana kita turut mengesan enam kesalahan gagal mematuhi lampu isyarat, satu kes memotong di garisan berkembar dan sembilan kes memandu di lorong kecemasan.

“Di bawah penguatkuasaan ini juga, JPJ negeri mengesan sebanyak 85 kes tidak memakai topi keledar,” katanya.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 18 Februari 2013.

Luar Negara: Pemandu cuai di Jepun boleh dipenjara 15 tahun

Tokyo: Pemandu yang didapati cuai hingga mengakibatkan kematian atau kecederaan terhadap orang lain wajar dikenakan hukuman penjara 15 tahun.

Ia adalah sebahagian daripada cadangan Kementerian Kehakiman Jepun terhadap pemandu mabuk, penagih dadah dan penghidap sawan yang menjadi punca kemalangan jalan raya.

Kementerian itu menyampaikan draf pelan itu kepada jawatankuasa rendah Majlis Perundangan, sebuah badan penasihat kepada Menteri Kehakiman.

Langkah bertujuan memperketat hukuman terhadap pihak bertangggungjawab atas kemalangan jalan raya.

Hukuman maksimum ketika ini ialah 20 tahun penjara. Seseorang itu boleh dilepaskan selepas dipenjara tujuh tahun.

Draf itu juga mencadangkan supaya tuduhan memandu dalam keadaan mabuk diperluaskan dan memperkuat hukuman terhadap orang yang memandu tanpa lesen.

Jawatankuasa itu merancang mengemukakan cadangan dan pindaan kepada menteri berkenaan.
Bagaimanapun, ada kumpulan membantah kerana langkah itu adalah satu bentuk diskriminasi terhadap golongan tertentu dan mereka diminta mengubahnya.

Pendakwaan pada masa ini membabitkan tuduhan memandu secara bahaya terhad kepada keadaan tertentu. – AGENSI, 19 Januari 2013.

Ops Selamat 2: Polis Pahang sasar kurangkan kemalangan maut

KUANTAN 8 Feb. – Polis Pahang menyasarkan kes kemalangan terutama melibatkan kematian berkurangan ke tahap minimum dalam Op Selamat 2 yang berlangsung selama dua minggu bermula Ahad lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, pihaknya melalui Cawangan Trafik akan melipatgandakan usaha bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan kadar kemalangan jalan raya di seluruh negeri ini.

Saya menasihatkan pengguna jalan raya terutama pemandu dan penunggang motosikal agar mengutamakan keselamatan dengan mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Op Selamat ini tidak hanya memfokuskan kepada penguatkuasaan kerana pihak polis masih mengekalkan elemen nasihat dan bimbingan kepada pengguna jalan raya.

Bagaimanapun polis tidak akan berkompromi kepada pemandu yang mendatangkan risiko tinggi kepada pengguna lain seperti kesalahan memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan lorong kecemasan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 2 peringkat negeri sempena Tahun Baharu Cina di Taman Kerang, Jalan Mahkota di sini semalam

Majlis itu turut disertai agensi kerajaan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Beliau mengedarkan risalah serta borang berkaitan Ops Selamat 2 kepada pengguna jalan raya di situ.

Menurut Sharifuddin, Op Selamat turut membabitkan Kempen Rumah Selamat yang menekankan aspek keselamatan harta benda yang ditinggalkan beberapa hari sekiranya penghuni pulang ke kampung.

“Orang ramai yang akan pulang berhari raya atau bercuti boleh mengisi Borang Maklumat Balik Kampung di balai polis berhampiran agar pihak polis dapat mengadakan rondaan dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menentukan keselamatan rumah yang ditinggalkan.

“Selain borang, orang ramai boleh menghubungi talian 09-5151999 atau menghantar khidmat pesanan ringkas di nombor 019-9879999 bagi menyalurkan maklumat berkaitan,” ujarnya.

Bagaimanapun, tambah beliau, tanggungjawab pemilik rumah tidak berakhir dengan menyalurkan maklumat kepada polis sahaja tetapi perlu memaklumkan kepada jiran atau kenalan terdekat agar mereka dapat dihubungi sekiranya terdapat perbuatan mencurigakan.
Sumber: Utusan Malaysia, 9 Februari 2013.

Syabas! Jumlah kemalangan maut di Melaka menurun.

MELAKA 6 Feb. – Jumlah kes kemalangan maut di negeri ini menurun sebanyak 1.78 peratus atau empat kes daripada 224 kes pada 2011 kepada 220 kes sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, daripada kes kemalangan maut yang dilaporkan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, jumlah keseluruhan yang maut adalah sebanyak 83 orang.

Daripada jumlah itu jelasnya, angka yang tertinggi mencatatkan kematian adalah pengguna jalan raya berusia antara 11 hingga 29 tahun iaitu sebanyak 39 kematian.

“Kenderaan terlibat dalam kemalangan maut yang mencatatkan angka tertinggi pula ialah motosikal sebanyak 40 kes manakala kecederaan kepala merupakan punca tertinggi kematian iaitu sebanyak 45 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen ‘Pandu Selamat’ sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri 2013 di hadapan Mahkota Parade, Banda Hilir di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri merangkap Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Melaka, Datuk Ab. Karim Sulaiman; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri; Datuk Lai Meng Chong serta Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye.

Pada majlis itu, sebanyak 400 beg cenderahati mengandungi risalah keselamatan jalan raya dan limau mandarin diedarkan kepada pengguna jalan raya serta jaket pantulan cahaya khusus bagi penunggang motosikal yang melalui jalan berkenaan.

Bagaimanapun menurut Mohd. Ali, jumlah keseluruhan kemalangan di negeri ini dilaporkan meningkat sebanyak 456 kes atau tiga peratus dari 14,175 kes pada 2011 kepada 15,171 kes tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, jumlah cedera parah juga meningkat sebanyak 16 peratus atau 27 orang iaitu 169 orang pada 2012 berbanding hanya 142 orang pada tahun sebelumnya,” jelas beliau.

Sehubungan itu katanya, para pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati terutamanya menjelang musim perayaan.

“Ini adalah penting dalam usaha memastikan perjalanan ke setiap destinasi selamat seterusnya dapat meraikan perayaan bersama keluarga,” ujarnya.

Sementara itu tambahnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri telah mengeluarkan sebanyak 24,234 saman sepanjang 2012 atas pelbagai kesalahan dan jumlah kompaun yang dikutip adalah sebanyak RM2.37 juta.

Sumber: Utusan Malaysia, 7 Februari 2013.

2 remaja perempuan ditahan memandu tanpa lesen

KUALA TERENGGANU – Dua remaja perempuan ditahan di Jalan Sultan Muhammad di sini malam tadi kerana didapati memandu tanpa lesen.

Mereka yang berumur 16 dan 19 tahun adalah antara 103 pesalah trafik yang ditahan pihak penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi sempena Tahun Baru Cina di sini.

Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata kedua-dua remaja berkenaan dari Kuala Berang, Hulu Terengganu mendakwa mereka datang ke Kuala Terengganu untuk melihat saudara mereka yang sakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

“Kita menahan kedua remaja ini kerana gagal menunjukkan lesen memandu. Biarpun tiada lesen, namun mereka tetap berani memandu dalam jarak yang agak jauh.

“Saya agak kesal dengan insiden seperti ini kerana masih ramai pengguna jalan raya yang kurang sedar tentang bahaya dan risiko bakal dihadapi jika memandu tanpa lesen,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi tersebut.

Abdul Rahman berkata dalam operasi itu, sebanyak 103 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 27 pemilik kenderaan diberi notis arah periksa kenderaan mereka.

Enam buah motosikal dan sebuah kereta turut disita dan enam  notis larangan penggunaan kenderaan dikeluarkan oleh JPJ sementara 55 saman dikeluarkan oleh pihak polis, katanya.

Operasi itu melibatkan daerah Kemaman, Kuala Terengganu dan Besut dengan seramai 87 pegawai JPJ, polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.  – Bernama, 9 Februari 2013.

Ops Tahun Baharu Cina: JPJ tingkat penguatkuasaan

JOHOR BAHRU 6 Feb. – Sempena sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri melancarkan operasi bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.

Pengarahnya, Johari Yusof berkata, Ops Tahun Baharu Cina itu dimulakan sejak 3 Februari lalu sehingga 17 Februari ini.

Beliau berkata, selain mengurangkan kadar kemalangan dan kematian jalan raya, operasi itu bertujuan meningkatkan kesedaran pemandu agar lebih berhati-hati semasa di jalan raya dengan mematuhi undang-undang dan peraturan sepanjang tempoh musim perayaan ini.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap pengguna yang melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar semasa menyertai operasi pemeriksaan bas ekspres di Larkin Sentral malam tadi. – UTUSAN, 6 Februari 2013.

Panduan untuk penunggang motosikal.

Kesalahan Utama

* Penguasaan motosikal.

Penunggang gagal mengawal klac dan pemutar minyak ‘throttle’. Jika tidak faham keadaan jentera motosikal, penunggang hilang keyakinan mengawal motosikal itu.

* Penunggang gagal mengikut gelombang trafik. Penunggang tidak menunggang dengan kelajuan betul – terlalu perlahan atau terlalu cepat. Mereka tidak memastikan jarak yang selamat antara motosikal dan kenderaan lain.

* Penunggang gagal memastikan soal keselamatan dan menilai keadaan lalu lintas. Mereka tahu ada bahaya tetapi gagal bertindak atau hanya bertindak setelah berada dalam bahaya.

* Titik pandangan atau Eye Point.

Apabila membelok selekoh, pandangan mata perlu melihat arah tempat yang hendak dituju. Pandangan mata dapat menghantar signal ke otak untuk bergerak ke arah yang hendak dituju.

Kalau hendak membelok selekoh, jangan memandang lurus atau ke bawah.

Gagal melihat arah tujulah yang menyebabkan motosikal terbabas di selekoh. Sama juga seperti orang berjalan. Kita perlu lihat ke mana arah tuju kita.

Sekiranya ada sesuatu di atas jalan pastinya secara automatik kita dapat mengelak.

* Pakaian dan peralatan yang selamat.

Topi keledar dan etika berpakaian semasa menunggang motosikal tidak dipedulikan sedangkan semua ini penting. Sekiranya terjatuh, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kecederaan. Perlu sentiasa mengenakan jaket, sarung tangan, seluar panjang, kasut yang sesuai dan topi keledar yang baik.

Postur tubuh

Terdapat tujuh kriteria postur tubuh yang perlu diamalkan.

* Mata perlu melihat jauh

* Bahu perlu relaks

* Lengan dan siku perlu relaks

* Pergelangan tangan perlu 120 darjah ketika memutar minyak throttle

* Punggung tidak terlalu ke belakang tempat duduk

* Lutut perlu rapat ke tangki minyak

* Tapak kaki perlu lurus ke hadapan di atas pemijak kaki.

Berapa kali nak guna alasan ” Lesen tertinggal kat rumah”?

Shah Alam: “Tolong tuan, jangan tahan saya. Saya ada lesen memandu, tapi tertinggal di rumah,” itu antara alasan seorang mat rempit yang ditahan kerana cuba melarikan diri dalam Ops Samseng Jalanan dan Cegah Lumba Haram di Dataran Shah Alam, di sini, awal pagi semalam.

Remaja berusia 20-an itu cuba melarikan diri sebaik melihat kelibat anggota polis yang mengadakan sekatan jalan raya di kawasan itu.
Namun, kecekapan anggota polis yang berpakaian awam berjaya menahan lelaki terbabit.

 

Walaupun memberikan alasan lesen memandunya tertinggal di rumah, lelaki terbabit disaman kerana kegagalan mengemukakan lesen memandu ketika diminta polis adalah satu kesalahan. Pegawai Penguat kuasa Trafik Shah Alam Inspektor Ahmad Fazuan Md Zain berkata, selain polis, operasi bermula jam 2 pagi itu mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan seperti Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Menurutnya, dalam operasi itu, 253 kenderaan diperiksa dan 204 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh. Dalam operasi berkenaan, 54 motosikal dan dua kereta disita dibawa ke Balai Polis Seksyen 9 untuk pemeriksaan lanjut. “Operasi ini adalah usaha berterusan pihak berkuasa untuk mengekang gejala lumba haram dalam kalangan remaja dan Dataran Shah Alam dikesan antara tempat yang menjadi tumpuan mat rempit untuk berlumba dan melakukan aksi berbahaya.
“Tindakan mereka bukan saja membahayakan diri sendiri, tetapi turut membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya, semalam.

 

Sumber: Harian Metro, 4 Februari 2013.

710 orang asli dapat lesen memandu melalui SKSJ di Jempol

JEMPOL 21 Jan. – Golongan belia yang masih belum mempunyai lesen motosikal kelas B2 disaran mendaftar dan mendapatkan manfaat daripada program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M).

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peluang tersebut seharusnya segera direbut kerana golongan belia akan mendapat lesen memandu dengan harga yang lebih rendah.

”Biasanya kalau mereka ambil lesen di pusat memandu, ia lebih mahal malah akan dikenakan caj untuk tenaga pengajar. Namun menerusi BL1M mereka hanya dikenakan bayaran serendah RM199 sahaja.

”Walaupun sebelum ini ada di kalangan mereka tidak pernah disaman walaupun tidak mempunyai lesen memandu, mereka harus sedar bahawa mereka tidak dilindungi sebarang insurans jika berlaku sesuatu kemalangan,” jelasnya.

Mohamad berkata demikian ketika merasmikan Program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang di Dewan Orang ramai, Felda Palong Satu, dekat sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia, Alam Sekitar dan Pengaduan Awam negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk V.S. Mogan dan Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad.

Katanya, golongan belia yang berusia 17 sehingga 40 tahun layak untuk mengikuti program tersebut yang mana mereka hanya perlu merujuk kepada pejabat Pemuda UMNO di kawasan masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut.

”Kerajaan sentiasa mencari formula untuk meringankan beban rakyat. Jadi tolong gunakan peluang ini dengan sebaiknya,” ujarnya.

Mohamad juga mahu golongan warga emas membuang sikap malu untuk memiliki lesen biarpun mereka berpendapat faktor usia membataskan mereka untuk mengambil lesen motosikal.

”Sampai bila mahu disaman dan lari apabila melihat penguat kuasa membuat sekatan. Sudah sampai masa untuk kita memandu tanpa rasa takut.

Menerusi program ini mereka tidak perlu menduduki ujian komputer kerana ia dilakukan dengan cara manual. JPJ faham golongan ini sukar menggunakan komputer malah latihan memandu juga dijalankan dengan cara yang lebih mudah,” jelasnya lagi.

Pada majlis berkenaan, seramai 710 orang yang terdiri daripada warga emas dan masyarakat Orang Asli berjaya mendapat lesen memandu B2 menerusi Program Satu Komuniti satu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sumber: Utusan Malaysia, 22 Januari 2013.