15,200 pekerja yang menunggang motosikal terbabit nahas

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merekodkan 15,200 pekerja yang menunggang motosikal terbabit dalam kemalangan ketika menjalankan tugas di seluruh negara bagi sembilan bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, K Selvarajah, berkata selain itu pihaknya menerima 3,800 tuntutan membabitkan kemalangan kenderaan lain termasuk lori dan kereta dalam tempoh sama.

“Secara keseluruhannya kita menerima 40,916 tuntutan di bawah Skim Insuran Bencana Pekerjaan membabitkan pelbagai kemalangan di tempat kerja atau ketika dalam perjalanan pergi serta pulang kerja.

// <![CDATA[//

“Menyedari kemalangan membabitkan pekerja menunggang motosikal tinggi, kita mengambil inisiatif meningkatkan kesedaran kumpulan ini melalui pelbagai program serta kempen termasuk dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR),” katanya selepas majlis perasmian Program Ikhtiar Hidup Penunggang Motosikal di Menara Perkeso di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh, berkata program berkenaan diadakan untuk mendedahkan penunggang motosikal kepada pelbagai jenis kemungkinan bahaya di jalan raya dan mengajar mereka cara untuk bertindak.

“Kita akan mengadakan lebih banyak program seperti ini bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran mengendalikan motosikal supaya penunggang dan pembonceng lebih bersedia di jalan raya,” katanya.

Sumber: Berita Harian, 21 Disember 2009.

JPJ tapis sebelum beri lesen

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat tapisan secara terperinci sebelum memberikan lesen motosikal kepada warga emas dan Orang Asli di bawah program ‘1Komuniti, 1JPJ’.

Ketua Unit Operasi JPJ Wilayah Persekutuan, Syed Abdullah Syed Husain berkata, sebelum diberikan lesen, kesemua mereka perlu menjalani pelbagai ceramah dan latihan khas untuk memahami aspek pemanduan berhemah.

“Kami bekerjasama dengan institusi latihan memandu untuk memberi latihan dan seterusnya memilih mereka yang layak untuk mendapatkan lesen ini,” katanya.

Beliau yang ditemui pemberita sempena Program Ikhtiar Hidup Penunggang Motosikal di sini hari menolak andaian sesetengah pihak bahawa dengan pemberian lesen itu terutamanya kepada warga emas akan mendedahkan mereka kepada kemalangan jalan raya berdasarkan faktor umur.

“Kebanyakan mereka yang menerima lesen itu adalah di kalangan mereka yang sudah lama menunggang motosikal tetapi tidak ada lesen.

“Kebanyakannya bawa motor hanya untuk ke surau, kedai dekat-dekat rumah… kalau kita tidak bagi pun mereka akan bawa juga, jadi kita bagi mereka lesen,” katanya.

Di bawah program 1Komuniti, 1JPJ, jabatan itu menjejak generasi warga emas dan Orang Asli berusia 45 tahun ke atas untuk diberi lesen motosikal supaya menunggang dalam keadaan lebih berhemah. – BERNAMA

Dari Akhbar: Dulu menyorok nampak polis, kini lambai tangan

JEMPOL 17 Dis. – Abeng Ahong, 60, tahun sudah menunggang motosikal selama lebih 30 tahun. Namun apa yang menariknya, Abeng – dari kaum Orang Asli, tidak mempunyai lesen motosikal sepanjang tempoh itu.

Waktu itu tiada siapa peduli dan dia sendiri pun tidak kisah sama ada hendak mengambil lesen atau pun tidak, asalkan enjin motosikalnya boleh dihidupkan dan terus memecut.

Yang penting bagi Abeng, hasil hutan yang dikutip setiap hari seperti pisang, petai dan akar kayu perlu sampai ke pekan Bahau, Jempol agar barangan itu dapat dihantar pula ke negeri Pahang.

Kisah Abeng ini senario manis dalam program ‘1Komuniti, 1JPJ’ yang berjaya menjejak generasi warga emas dan Orang Asli untuk diberi lesen motosikal supaya menunggang dalam keadaan lebih berhemah.

“Saya gembira kerana mendapat lesen motosikal. Dahulu saya tidak peduli, asalkan boleh bawa motosikal ke pekan untuk menjual hasil hutan.

“Kalau ada polis atau JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) tahan, saya kata terus terang lesen motosikal tiada tetapi motosikal ada. Boleh tunggang sampai pekan,” katanya yang ditemui di Dewan Orang Ramai Felda Raja Alias 2 di sini.

Hari ini, Abeng tidak bimbang lagi kerana sudah mendapat lesen motosikal dan katanya, apabila bertemu polis atau JPJ selepas ini, dia pasti menunjukkan lesen barunya yang tersimpan dalam sarung plastik.

“Saya berharap selepas ini ramai masyarakat Orang Asli diberi peluang memiliki lesen motosikal.

“Betullah, kalau tiada lesen motosikal, kita menunggang pun tidak selamat. Masyarakat Orang Asli perlu tahu undang-undang jalan raya.

“Mungkin saya sudah lewat untuk mengetahui perihal undang-undang ini,” kataya sambil tersenyum.

Sementara itu, Husin Ningal, 66, yang turut mendapat lesen memberitahu, program ‘1Komuniti, 1JPJ’ tersebut perlu diperluaskan.

“Saya tidak mempunyai lesen motosikal lebih 40 tahun. Tentulah sepanjang tempoh itu hati saya sentiasa berdebar.

“Mana tidaknya, kalau terserempak dengan polis atau JPJ, saya pasti menyorok. Sekarang tidak perlu lagi, apabila terserempak dengan mereka, saya lambai tangan tanda hormat,” katanya.

Katanya, dia menunggang motosikal di sekitar kawasan Felda Raja Alias 2 dan ke pekan berhampiran sahaja.

“Semasa diminta mengambil lesen, saya macam tak percaya. Takut pun ada, maklumkan sudah berumur, takut gagal.

“Saya ucapkan terima kasih kepada JPJ kerana memberi peluang kepada golongan seperti kami memperoleh lesen motosikal,” jelasnya.

Seorang lagi, penerima lesen motosikal, Lye Ah Moi, 58, memberitahu, dia telah menunggang motosikal selama 20 tahun tanpa lesen.

“Saya ada masalah membaca dan menulis. Apa yang ada dalam buku peraturan dan undang-undang pun saya sukar faham.

“Apabila saya gagal ujian bertulis di sekolah memandu, hasrat mendapatkan lesen motosikal terus padam,” katanya.

Tambahnya, sekarang dengan bantuan beberapa rakan dan anggota JPJ, dia dapat menyudahkan ujian menunggang motosikal dengan baik dan akhirnya dia mendapat lesen.

“Sekarang saya boleh katakan kepada orang ramai, eloklah menunggang motosikal dengan lesen sah yang diberi oleh JPJ,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 18 Disember 2009.

Dari Akhbar: Kemalangan motosikal meningkat

JEMPOL 17 Dis. – Sedar atau tidak, angka kemalangan penunggang motosikal terus meningkat dari sehari ke sehari. Mahu atau tidak mahu, ia memerlukan satu mekanisme dalam mencari penyelesaian sama ada membabitkan penguatkuasaan, mahupun melalui kempen berterusan melibatkan pelbagai agensi kerajaan.

Dalam statistik Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), pada Jun tahun ini saja berlaku 8,453 kemalangan melibatkan motosikal dan meningkat kepada 9,026 pada Julai.

Ia menunjukkan peningkatan 6.8 peratus dan memerlukan kesedaran yang lebih tinggi di kalangan penunggang motosikal di negara ini.

Daripada fakta JKJR serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) nyata memperlihatkan bahawa perkembangan berkaitan membimbangkan.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Ruhaizah Mohamad Rashid berkata, jumlah kemalangan maut melibatkan pelbagai jenis kenderaan termasuk motosikal meresahkan pihak berkuasa.

“Akibat kemalangan ini, kerugian yang tinggi perlu ditanggung semua pihak,” katanya pada program ‘1Komuniti, 1JPJ’ di Dewan Orang Ramai Felda Raja Alias 2 di sini baru-baru ini.

Katanya, kemalangan melibatkan individu yang produktif amat merugikan kerana ia boleh menjejaskan perkembangan ekonomi sesebuah keluarga, negeri dan negara.

“Kita ambil contoh seorang graduan yang tamat belajar dan terlibat dalam kemalangan maut. Kita kehilangan seorang tenaga siswazah berkaliber,” jelasnya.

Ruhaizah berkata, graduan tersebut mungkin bakal menjadi bapa yang baik dan bertanggungjawab dalam mendidik keluarganya.

“Sudah tentulah kemalangan merugikan waris, sahabat dan teman-temannya,” katanya.

Pada masa sama, Ruhaizah menerangkan, jika kemalangan maut itu membabitkan seseorang bapa atau ibu, ia pasti mengakibatkan anak-anak menjadi yatim piatu.

“Sumber pendapatan keluarga berkurangan dan mungkin mereka berdepan konflik kewangan yang teruk,” katanya.

Mengenai program yang dijalankan itu, beliau berkata, ia akan terus diperluaskan supaya golongan sasar iaitu warga tua mendapat lesen.

Sumber: Utusan Malaysia, 18 Disember 2009.

JPJ nafi lesen dikeluar SKSJ kelas kedua

PEKAN 14 Dis. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa lesen yang dikeluarkan pada Program Satu Komuniti dan Satu JPJ (SKSJ) merupakan kelas kedua.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Rohaizah Mohamad Rashid berkata, tidak ada soal kelas dalam pemberian lesen oleh JPJ dan apa yang berbeza mungkin cara pemberian lesen itu sahaja.

“Tujuan kita mengadakan program ini adalah untuk membantu setiap orang kampung dan Orang Asli yang kurang berkemampuan memiliki lesen sekali gus mereka boleh menunggang dengan keadaan selamat dan dilindungi insurans,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Lesen dan Penutup Program Satu Komuniti dan Satu JPJ (SKSJ) di Dewan Orang Kampung Baru Salong di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Mohd. Sani Mistam; Pengarah JPJ Pahang, Datuk Zakaria Man dan Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie.

Rohaizah diminta mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya lesen yang dikeluarkan oleh JPJ melalui program SKSJ adalah lesen kelas kedua berbanding kaedah biasa.

Menurut Rohaizah, pengeluaran lesen memandu dalam program SKSJ itu juga mengikut semua prosedur yang telah ditetapkan secara sah.

“Program ini menyasarkan penyertaan individu yang berusia 45 tahun ke atas yang kurang berpengetahuan dan juga tidak berkemampuan,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan program sedemikian adalah bagi membolehkan golongan tersebut memperoleh lesen terutama yang sudah berkali-kali gagal untuk mendapatkannya.

“Selain itu ia juga membantu golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan lesen. Bayaran serendah RM150 dikenakan berbanding yuran di sekolah memandu. Yuran ini berpatutan dan mampu untuk semua golongan miskin,” kata beliau.

Mengulas lanjut mengenai program SKSJ di sini, beliau memberitahu, seramai 490 peserta yang terdiri daripada penduduk di sekitar daerah ini dan masyarakat Orang Asli hari ini diberikan lesen motosikal.

Antara acara diadakan sempena program itu termasuk gotong royong bersama komuniti, kenduri sekampung, pemeriksaan motosikal, ceramah, acara sukan, pameran Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pameran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sumber: Utusan Malaysia, 15 Disember 2009.

Lebih 48,000 pemandu degil terlepas hukuman gantung lesen

KUALA LUMPUR – Seramai 48,923 pemandu sepatutnya sudah menghadapi tindakan lesen mereka digantung atau dibatalkan selepas mengumpul sekurang-kurangnya 15 mata demerit di bawah Sistem Kejara.

Bagaimanapun, masalah pelaksanaan sistem itu menyaksikan hanya 3,633 pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan 200 Lesen Memandu Percubaan (PDL) menghadapi tindakan lesen digantung atau dibatalkan sejak 2005 hingga September lalu.

Bagi Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, sistem mata demerit itu perlu dipinda kerana hasilnya jauh daripada memuaskan hati.

“Contohnya, untuk memastikan Notis Tunjuk Sebab benar-benar dapat diserahkan, undang-undang yang sedia ada memperuntukkan bahawa notis dihantar berdasarkan alamat dalam MyKad.

“Namun realitinya notis itu tidak sampai kepada pemegang lesen disebabkan majoriti alamat itu tidak wujud,” katanya ketika menjawab soalan Senator Mumtaz Md Nawi di Dewan Negara di sini semalam.

Mumtaz sebelum itu bertanyakan sama ada sistem mata demerit berjaya dilaksanakan dengan memenuhi tujuan asalnya mendisiplinkan pemandu serta mengurangkan kemalangan jalan raya.

Sumber: Kosmo, 15 Disember 2009.

Padah makan sambil memandu

SHAH ALAM: Seorang pengarah kewangan warga China, maut dalam kemalangan selepas Proton Wira yang dipandunya merempuh pembahagi jalan dan beberapa batang pokok tanaman hiasan di Pesiaran Tengku Ampuan, Seksyen 20, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata mangsa, Ho Gong Bo, 31, yang bertugas di sebuah kilang pemprosesan besi di sini, maut akibat cedera parah di kepala kira-kira 5.25 pagi.

Beliau berkata, Ho dipercayai sedang menikmati sarapan pagi sambil memandu ketika kemalangan berlaku berdasarkan beberapa cebisan burger ditemui pada mulut mangsa.

Katanya, anggota penyelamat turut menemui resit pembelian yang mencatatkan urus niaga dilakukan 15 minit sebelum kejadian di sebuah restoran makanan segera berhampiran.

“Kami percaya mangsa memandu dengan laju berdasarkan kenderaannya yang rosak teruk dan diklasifikasikan sebagai hilang kawalan langsung,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk bedah siasat.

Che Hussin berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada majikan mangsa, Ho sudah berkahwin dan isterinya di China sudah dimaklumkan mengenai kemalangan itu.

“Isteri mangsa akan tiba di negara ini dalam masa dua hari lagi bagi menuntut mayat mendiang,” katanya.

Beliau berkata, mangsa mempunyai lesen memandu antarabangsa dikeluarkan di Bangladesh pada 2008.

Orang ramai yang melihat kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-55102222 atau balai polis berhampiran.

– Bernama, 13 Disember 2009.

Lebih 300 warga emas di Melaka dapat lesen memandu

JASIN: “Jika anak saya tidak memberi dorongan kerana bimbang soal keselamatan, mungkin hingga ke hari ini saya belum memiliki lesen memandu kelas B2 apabila menunggang motosikal,” kata Mohd Yusof Abu, 84, dari Tabuh Naning, Alor Gajah.

Pesara polis berkenaan adalah antara 382 warga emas berusia 45 tahun dan ke atas yang menerima lesen memandu kelas B2 masing-masing melalui program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), semalam.

Mohd Yusof berkata, dia tidak pernah menunggang motosikal kerana biasa menggunakan basikal ketika bertugas sebagai anggota polis sekitar 1950-an.

Menurutnya, dia hanya mula menggunakan motosikal sejak 1990-an dan menunggang kenderaan itu tanpa memiliki lesen memandu, tetapi hanya untuk perjalanan berdekatan sahaja kerana tidak berani.

“Sebenarnya saya rasa begitu takut apabila hendak mengambil ujian lesen memandu dengan JPJ sebelum ini kerana bimbang tidak lulus, tetapi melalui program sebegini segalanya berjalan dengan lancar sehingga mampu memiliki lesen memandu B2.

“Mujur juga anak saya selalu suruh mengambil lesen memandu dan memberi tunjuk ajar hingga akhirnya tergerak hati untuk mencuba, dan keadaan ini begitu menggembirakan kerana sudah boleh menunggang motosikal tanpa bimbang disaman oleh JPJ atau polis,” katanya.

Mohd Yusof berkata ketika ditemui selepas program Satu Komuniti Satu JPJ serta program Merakyatkan Seni dan Budaya di Saujana Asahan.

Sumber: Harian Metro, 13 Disember 2009.

JPJ bantu penduduk dapatkan lesen

SIBU 6 Dis. – Lebih 6,000 penduduk luar bandar di Sarawak dibantu bagi mendapatkan lesen memandu Kelas B2 untuk menunggang motosikal, melalui program khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Program yang dikenali sebagai ‘Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan‘ itu dilancarkan kira-kira 10 tahun lepas, kata Pengarah Bahagian Korporat JPJ, Zairie Mod. Ali.

Beliau berkata jabatan itu akan terus mengadakan program serupa di Sabah dan Sarawak memandangkan ia amat diperlukan di dua negeri tersebut.

Program terbaru yang diadakan di Bazar Kabong di Bahagian Betong, dekat sini malam tadi menyaksikan 485 penduduk kampung mendapat lesen masing-masing.

Zairie juga menasihati mereka yang dikenakan kompaun kerana kesalahan lalu lintas supaya menjelaskannya dalam tempoh 15 hari daripada tarikh ia dikeluarkan bagi melayakkan mereka mendapat potongan 30 peratus.

“Mereka yang membayarnya 15 hari selepas tempoh itu akan diberi potongan 15 peratus, sejajar dengan langkah JPJ untuk mendidik orang ramai menjadi pengguna jalan raya yang mematuhi undang-undang,” katanya.

— BERNAMA, 7 Disember 2009.