Dari Akhbar: Penumpang boleh kena saman

PUTRAJAYA: Penumpang di tempat duduk belakang kenderaan yang tidak memakai tali pinggang keledar akan disaman mulai September ini, tiga bulan selepas tempoh pengenalan penguatkuasaan undang-undang baru itu mulai Jun ini tamat.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh, berkata polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertanggungjawab mengeluarkan saman terhadap mereka yang didapati melanggar peraturan berkenaan.

Beliau berkata, dalam tempoh tiga bulan pertama undang-undang itu dikuatkuasakan, penumpang di tempat duduk belakang kenderaan yang tidak memakai tali pinggang keledar akan hanya diberi nasihat dan amaran.

 

“Selepas tempoh pengenalan itu berakhir, kita akan mengenakan saman kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan berkenaan, tetapi kadarnya belum ditetapkan kerana masih pada peringkat rundingan,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Suret berkata, penguatkuasaan peraturan pemakaian tali pinggang keledar itu membabitkan kenderaan yang dikeluarkan selepas 1 Januari 1995 dan bagi kenderaan yang tidak mempunyai alat itu, pemiliknya diberi tempoh tiga tahun untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, katanya, peraturan baru itu tidak tertakluk kepada kenderaan yang dikeluarkan sebelum 1 Januari 1995 dan kereta Perodua Kancil serta Kenari yang dikeluarkan pada pertengahan 1998 hingga 2004.

Beliau berkata, walaupun kenderaan berkenaan dikecualikan daripada penguatkuasaan undang-undang, pemiliknya tetap digalakkan memasang tali pinggang keledar atas sebab keselamatan.

Mengenai penumpang keempat dalam sesebuah kenderaan, Suret berkata tindakan saman tidak boleh dikenakan kerana hanya ada dua set tali pinggang keledar disediakan di bahagian tempat duduk belakang.

Video Belajar Memandu

Video Belajar Parking

Dari Akhbar: Artis sembunyi lepas disaman JPJ

KUALA LUMPUR: Seorang bintang program realiti televisyen terkemuka tanah air menggelabah lari apabila mengetahui dia dikejar pihak media selepas disaman atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu dalam Ops Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi, malam tadi.

Artis lelaki berusia 27 tahun dan berasal dari utara tanah air itu antara 54 individu yang dikenakan tindakan dalam operasi besar-besaran diketuai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan bersama 13 agensi penguat kuasa lain.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, artis terbabit yang memandu Satria Neo sambil ditemani seorang wanita, diarah berhenti untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil pemeriksaan kemudian mendapati kedua-dua individu dalam kenderaan berkenaan tidak memiliki lesen memandu sebelum dibawa ke kaunter berhampiran untuk diberikan notis saman.

Bagaimanapun, sejurus menyedari kehadiran wakil media, bintang realiti berkenaan terus beredar dan bergegas ke restoran makanan ringan berhampiran untuk bersembunyi sambil meninggalkan teman wanitanya.

 

Tali pinggang keledar belakang wajib Jun

Kerajaan beri tempoh tiga bulan sebelum ambil tindakan  

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua penumpang bahagian belakang kenderaan mulai Jun ini, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat.

Bagi membiasakan orang ramai dengan peraturan baru itu, kerajaan bersetuju untuk memberi tempoh kelonggaran tiga bulan sehingga akhir Ogos sebelum mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang ingkar arahan berkenaan.

Katanya, tempoh tiga bulan juga diberikan bagi membolehkan kementerian melaksanakan kempen kesedaran berhubung pelaksanaan undang-undang berkenaan menerusi pelbagai program supaya orang ramai tidak mengambil mudah mengenainya.

Sebelum ini, kementerian itu dilaporkan akan membentangkan rang undang-undang mengenai penguatkuasaan peraturan berkenaan di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen yang dijadual mula bersidang akhir bulan ini untuk diluluskan.

“Bagi saya, peraturan itu perlu dilaksanakan segera iaitu seboleh-bolehnya menjelang Jun ini bagi membantu mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan jalan raya,” katanya kepada Berita Harian, dalam satu temu bual di sini.

Cadangan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang bahagian belakang kenderaan mula ditimbulkan pada Mac 2006 oleh Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Chan Kong Choy berikutan syor daripada pelbagai pihak.

Bagaimanapun, ia hanya diluluskan Kabinet pada Februari lalu selepas kajian mengenainya dilakukan kementerian dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ong berkata rang undang-undang berhubung perkara itu dapat diluluskan secepat mungkin bagi membolehkan pelbagai persediaan yang sudah dirancang untuk mewujudkan kesedaran orang ramai mengenainya dimulakan.

“Bagaimanapun, ia tetap tertakluk kepada keadaan serta keperluan semasa kerana kita tidak tahu jika ada masalah lain yang mungkin timbul. Kita cuma berharap ia dapat dilaksanakan dalam tempoh yang disasarkan,” katanya

Beliau juga enggan mengulas mengenai hukuman yang akan dikenakan kepada mereka yang gagal mematuhi peraturan itu apabila undang-undang berkenaan dikuatkuasakan, sebaliknya menegaskan, perkara yang lebih penting ini ialah kesedaran di kalangan masyarakat.

“Ketika ini saya tidak mahu bercakap mengenai hukuman kerana kita akan lebih menumpukan kepada usaha memberi tempoh percubaan tetapi saya ingin tegaskan bahawa tiada sebarang pengecualian akan diberi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh, meminta semua pemilik kenderaan yang masih belum melengkapkan kenderaan mereka dengan tali pinggang keledar untuk penumpang bahagian belakang supaya segera berbuat demikian.

Kajian Miros mendapati ketika ini kira-kira 10 peratus daripada jumlah kenderaan di jalan raya masih belum dilengkapi tali pinggang keledar untuk penumpang di bahagian belakang.

Suret berkata, JKJR dimaklumkan kerajaan sudah bersetuju memberi tempoh kelonggaran selama tiga bulan sebelum undang-undang baru itu dikuatkuasakan sepenuhnya bagi memberi peluang kepada penumpang membiasakan diri memakai tali pinggang keledar.

Beliau berkata, pemakaian tali pinggang keledar oleh penumpang di bahagian belakang penting kerana kajian oleh pelbagai badan tempatan serta antarabangsa menunjukkan ia terbukti mampu mengurangkan risiko kematian ketika berlaku kemalangan.

“Pada kelajuan 50 kilometer sejam, seorang penumpang yang mempunyai berat badan 60 kilogram dan duduk di bahagian belakang, boleh memberi impak hentaman sekuat 2.4 tan kepada pemandu atau penumpang yang duduk di hadapannya.

“Kajian juga mendapati peratus risiko kecederaan bagi penumpang di belakang boleh dikurangkan sebanyak 45 peratus jika mereka memakai tali pinggang keledar,” katanya.

Adakah anda rabun warna?

Semua calon yang ingin mendapatkan lesen belajar memandu (Lesen L) dikehendaki lulus ujian buta warna 100% sebelum boleh meneruskan proses ujian teori berkomputer dimana calon dikehendaki menjawab 50 soalan. Markah lulus ujian teori ialah sekurang-kurangnya 42/50 atau 84%.

Di sini kita boleh lihat perbezaan pandangan seorang yang berpenglihatan normal dan yang rabun warna.

Lampu Isyarat Pandangan NormalLampu Isyarat Pandangan Rabun Warna

Jadi di sini lah logiknya keperluan bagi mereka yang ingin mendapatkan lesen memandu untuk lulus ujian ini demi keselamatan pengguna-pengguna jalanraya yang lain.

Anda boleh menguji tahap penglihatan anda di sini.

 

Kebanyakan orang yang rabun warna tidak boleh membezakan beberapa tona warna merah dengan hijau atau biru dengan kuning, sama ada dalam keadaan terang atau cahaya samar.

Dalam kebanyakan kes, rabun warna adalah masalah keturunan. Namun, penyakit mata dan kesan sampingan ubat tertentu juga boleh menyebabkan masalah rabun warna.

Masalah ini lebih kerap berlaku di kalangan lelaki pada nisbah lapan lelaki kepada seorang wanita. Kebolehan melihat warna dalam spektrum warna bermula dengan keupayaan mata membezakan secara tepat tiga warna utama iaitu merah, biru dan hijau.

Cahaya memasuki mata melalui kanta dan menerobos masuk ke bahan lut sinar seperti jeli (yang mengisi ruang di belakang kanta mata) dipanggil jasad untuk sampai ke sel yang sensitif terhadap warna (kon) di retina.

Bahan kimia dalam sel kon ini akan membezakan warna dan menyalurkan maklumat ini melalui saraf optik untuk dihantar ke otak. Jika mata anda normal, anda akan dapat membezakan beratus-ratus nada warna.

Jika sel kon ada kekurangan bahan kimia yang sensitif terhadap cahaya, anda hanya boleh melihat dua warna utama dan biasanya individu rabun warna ada masalah melihat warna merah dan hijau.

Sebaliknya, jika diberikan spektrum warna, individu ini akan melihat warna merah atau hijau sebagai kelabu. Bagaimanapun, tidak semestinya mereka tidak boleh melihat warna merah atau hijau.

Masalah rabun warna boleh dibahagikan kepada tiga; ringan, sederhana dan serius; bergantung kepada jumlah kehilangan bahan kimia yang sensitif kepada cahaya dalam sel kon.

Kekurangan sensitiviti pada warna merah biasanya memberi kesan sama kepada warna hijau. Jadi, lebih ramai individu yang mengalami masalah rabun warna lebih sukar melihat warna hijau.

Malangnya, ramai yang mengalami masalah ini tidak menyedari mereka rabun warna. Mereka tahu hijau untuk daun dan bunga mawar pula warna merah, tetapi mereka mungkin melihat warna yang tidak sama dengan orang lain.

Pada mereka, hijau adalah warna yang kita lihat kuning, tetapi disebabkan sudah diajar dari kecil daun warnanya hijau, mereka menerima ?kuning? sebagai hijau.

Punca

Ada beberapa punca yang menyebabkan rabun warna:

  • Faktor genetik. Dalam kebanyaan kes, gen rabun warna diturunkan daripada emak kepada anak lelaki. Wanita lebih beruntung kerana mempunyai bahan baka yang boleh mengatasi masalah ini. Faktor genetik juga menyebabkan kebanyakan orang sukar melihat warna merah dan hijau. Tahap masalah tidak berubah dengan peningkatan umur.
  • Penyakit mata. Apabila retina mata dijangkiti penyakit tertentu, anda mungkin mengalami masalah membezakan warna biru dan kuning.
  • Gangguan saraf optik juga boleh menyebabkan kerengsaan pada saraf.
  • Kekurangan zat seperti vitamin A juga didapati menyukarkan anda mengenalpasti warna.
  • Kerengsaan menyebabkan sebelah mata membuat penafsiran warna yang berbeza dengan mata sebelah lagi. Malah, pandangan kabur akibat masalah katarak akan menyukarkan anda melihat warna.
  • Kesan sampingan ubat seperti tamozifen; yang diambil untuk mengelakkan barah payu dara.
  • Umur. Kebolehan melihat warna akan bertambah baik dengan peningkatan umur, terutama pada umur 30-an. Keupayaan ini akan berkurangan apabila seseorang bertambah tua.

    Biasanya orang tidak sedar mengalami masalah rabun warna. Rasa syak hanya timbul apabila anak keliru atau selalu membuat kesilapan mengenal warna lampu isyarat atau bahan pendidikan berwarna.

    Jika ini berlaku, bawa segera anak berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan supaya punca masalah ini dapat diketahui. Jika rabun warna disebabkan penyakit, dia sebenarnya ada peluang melihat warna dengan lebih baik jika penyakitnya dapat diubati.

    Ujian untuk rabun warna boleh dilakukan mana-mana oftamologi dengan menggunakan kad bintik warna dan nombor. Jika mata anda tidak bermasalah, anda dengan mudah dapat membezakan nombor dan bentuk yang tersembunyi dalam bintik warna tadi.

    Sebaliknya, jika anda rabun warna, anda sukar melihat nombor atau bentuk dimaksudkan. Ada kemungkinan semua yang ditunjukkan kelihatan sama saja.

    Walaupun tiada rawatan dan cara mengelakkan masalah rabun warna, tetapi perubatan moden dapat membantu anda melihat warna dengan lebih baik dengan memakai kaca mata berpenapis atau kanta sentuh berwarna.

    Bagaimanapun, teknik ini ada kelemahannya kerana ia biasanya bertindak pada sebelah mata saja dan boleh mengganggu keupayaan anda menentukan jarak.

 

 

 

Dari Akhbar: Syor pakai tali pinggang keledar tetap dilaksana

KUALA LUMPUR: Cadangan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar kepada penumpang bahagian belakang akan diteruskan dan dilaksana dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat, berkata kerajaan akan tetap melaksanakan pemakaian tali pinggang keledar kepada penumpang bahagian belakang bagi membantu mengurangkan risiko kecederaan akibat kemalangan.

Beliau berkata, cadangan pelaksanaannya perlu diteruskan kerana sudah dipersetujui di semua peringkat dan kini sudah memasuki fasa terakhir untuk membolehkan ia dilakukan.

“Saya masih baru di kementerian ini dan perlu sedikit masa untuk membuat penilaian sendiri. Bagaimanapun ia tetap akan di laksanakan dan saya akan umumkan perkara itu dalam masa terdekat nanti,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. Februari lalu kerajaan memutuskan untuk mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar kepada penumpang bahagian belakang bagi mengurangkan risiko kecederaan akibat kemalangan dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Chan Kong Choy, berkata berikutan keputusan mesyuarat Kabinet pelaksanaan pemakaian tali pinggang keledar itu akan diadakan tidak lama lagi selepas meneliti kertas cadangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan polis.