Hukuman kesalahan AES: Saman, mata demerit, kompaun, gantung lesen.

Putrajaya: Berkuat kuasa Januari tahun depan, pesalah yang disaman menerusi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dikenakan mata demerit Keselamatan Jalan Raya (KEJARA), selain boleh dikenakan kompaun maksimum sehingga RM300 jika lewat membayar saman.

Tempoh Setahun

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ismail Ahmad, berkata  jika mendapat 15 mata demerit dalam tempoh setahun, lesen memandu mereka boleh digantung.

 Bagaimanapun, menurutnya, jika mereka membayar saman dalam tempoh tiga bulan, mata demerit tidak akan dikenakan.

Sebagai contoh, beliau berkata, bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat dan melebihi had laju, pesalah akan dikenakan lapan mata demerit.

“Penyelarasan hukuman itu dijangka dilakukan selepas proses pengambilalihan AES dan sistem KEJARA oleh kerajaan selesai,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Mengenai kompaun maksimum RM300, beliau berkata, ia hanya akan dikenakan jika mereka membayar saman selepas tempoh 30 hari daripada tarikh notis dikeluarkan, manakala yang membayar dalam tempoh satu hingga 14 hari hanya perlu membayar RM150 dan yang membayar dalam tempoh 15 hingga 30 hari, sebanyak RM200.

Kompaun kekal RM300

Ismail berkata, kadar berkenaan hanya untuk kesalahan pemanduan melebihi satu kilometer hingga 40 kilometer sejam daripada had laju yang ditetapkan serta melanggar lampu isyarat merah.

Bagi kesalahan yang melebihi 40 kilometer sejam daripada had laju, kadar kompaun kekal RM300 tanpa mengambil bila mereka membuat bayaran.

“Kadar baru saman AES ini adalah berasaskan prinsip ‘lebih lama anda tangguh, lebih tinggi anda bayar.

“Bagi saman AES yang dikeluarkan antara 18 September lalu hingga semalam (9 Oktober), tempoh pembayaran 14 hari dikira mulai hari ini (semalam).

“Bagaimanapun, ia hanya berkuat kuasa bagi saman dikeluarkan mulai 18 September lalu. Saman sebelum itu masih pada kadar tetap tetapi bergantung keputusan kerajaan kelak,” katanya.

Beliau menjelaskan, saman boleh dibayar melalui Sistem MySIKAP JPJ.

 

Sumber: Berita Harian, 11 Oktober 2013.

Perkembangan BL1M:19,342 pemohon gagal dikesan.

KUALA LUMPUR: Sejumlah 19,432 daripada 139,434 pemohon Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) gagal memberi maklum balas untuk meneruskan program terbabit. 

Setiausaha BL1M Mohamad Faiz Yaacob berkata pihak urus setia mengalami kesukaran untuk menghubungi golongan tersebut dan mengakibatkan proses penjadualan semula program itu terjejas. 

Ada juga segelintir daripada mereka yang dapat kita hubungi, tetapi apabila kita membuat penjadualan semula, mereka gagal memberi komitmen untuk menghadirkan diri ke kelas memandu yang disediakan. 

“Ini memberi masalah kepada pihak urus setia kerana proses ini turut melibatkan pihak ketiga iaitu institut memandu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Program BL1M merupakan antara inisiatif Pergerakan Pemuda Umno di bawah kelolaan Sekretariat Hal Ehwal Bandar bagi membolehkan penunggang motosikal muda memperoleh lesen B2 dengan kadar yang lebih murah. 

Mengikut statistik BL1M, daripada 139,434 orang pemohon yang mendaftar untuk mengikuti kursus itu, sejumlah 18,446 orang berjaya menamatkan keseluruhan kursus untuk mendapat lesen sementara 19,432 orang lagi gagal dihubungi untuk meneruskan kursus. 

Pengarah Eksekutif Kumpulan MyEG yang melaksanakan kursus itu Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha pula berkata pihaknya sudah membuat ketetapan agar peserta program yang gagal dalam ujian komputer sebanyak tiga kali akan dibenarkan untuk menduduki ujian sehingga mereka lulus. – BERNAMA, 3 Oktober 2013.

Luar Negara: Wanita-wanita Arab Saudi didenda kerana memandu kereta.

RIYADH – Seramai 16 wanita Arab Saudi didenda kerana memandu pada hari kempen menentang larangan memandu terhadap wanita di negara berkenaan, kata polis semalam.

Hanya segelintir wanita yang memberanikan diri untuk memandu kelmarin sebagai menyahut kempen menentang larangan memandu yang disebar secara dalam talian.

Ia ekoran kerajaan Arab Saudi memberi amaran akan menghukum mereka yang terlibat dalam kempen tersebut.

“Pihak polis menahan enam wanita di sini dengan setiap seorang didenda sebanyak 300 Riyal (RM252),” kata jurucakap polis di sini, Kolonel Fawaz Al-Miman.

Sementara itu, di Jeddah, polis telah mengenakan denda terhadap dua wanita kerana memandu kereta, menurut jurucakap polis bandar berkenaan, Nawaf Al-Bouq.

Akhbar Arab Saudi melaporkan bahawa enam lagi wanita ditahan di wilayah timur manakala dua wanita lain ditangkap di beberapa tempat lain di negara berkenaan.

Terdahulu, seramai 12 wanita Arab Saudi memuat naik klip video di laman sosial Twitter yang menunjukkan mereka memandu kereta.

Para aktivis wanita pada asalnya meminta wanita di Arab Saudi memandu kereta mereka kelmarin untuk mencabar larangan tersebut.

Permintaan tersebut disiarkan di beberapa laman sosial termasuk Twitter.

Wanita Arab Saudi dilarang memandu kenderaan atau keluar rumah tanpa ditemani oleh seorang mahram. – AFP.

Sumber: Kosmo, 27 Oktober 2013.

Pegawai polis turut ambil kursus motor besar.

Sepang: Penyertaan anggota dan pegawai polis yang mengikuti Kursus Asas Menunggang Motosikal Berat dilihat dapat meningkatkan kecekapan dan ketangkasan mereka dalam mengendalikan motosikal berkuasa tinggi ketika menjalankan tugas.

Berikutan itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor Superintendan Zulkifli Jonit berkata, seramai 24 pegawai dan anggota polis di Selangor terpilih mengikuti kursus berkenaan bermula 30 September lalu serta berakhir semalam.

“Kursus ini diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan membabitkan penyertaan daripada anggota serta pegawai yang berkebolehan menunggang motosikal berkuasa tinggi, tetapi tidak mempunyai lesen kelas B,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kepada peserta Kursus Asas Menunggang Motosikal Berat Siri 2/2013 di IPD Sepang di sini, semalam.

“Kebanyakan anggota dan pegawai polis yang menyertai kursus ini adalah dari bahagian trafik dan tujuannya mahu meningkatkan kecekapan masing-masing mengendalikan aset dan motosikal ketika menjalankan tugas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kepada peserta Kursus Asas Menunggang Motosikal Berat Siri 2/2013 di IPD Sepang di sini, semalam.

Pada majlis semalam, peserta kursus turut membuat persembahan demonstrasi menunggang motosikal pelbagai gaya yang menguji kecekapan dan kemahiran menunggang motosikal.

Sumber: Harian Metro, 26 Oktober 2013.

Jadual Kursus dan Ujian teori Kelas Vokasional (PSV/ GDL) bagi November 2013

Kursus: 13 November 2013 ( Rabu).

Ujian: 20 November 2013 ( Rabu).

Tarikh tutup pendaftaran: 6 November 2013.

Cadangan supaya dimansuhkan saman tertunggak AES.

PUTRAJAYA 21 Okt. – Cadangan memansuhkan kadar saman tertunggak Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dikeluarkan sebelum 18 September lalu, akan dibentang kepada Kabinet minggu depan.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, selain itu, cadangan lain yang akan dikemukakan Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan AES ialah menetapkan kadar separuh harga terhadap semua saman tertunggak.

Walau bagaimanapun, katanya, setiap pilihan itu akan dikaji terlebih dahulu kerana kesannya melibatkan banyak pihak termasuk pengguna yang telah membayar saman dan syarikat konsesi sebelum ini.

“Jika saman tertunggak ini hendak dikurangkan kita perlu fikir berapa kadar dan dari tempoh bila, juga apa akan terjadi kepada mereka yang sudah bayar awal, ini merupakan antara perkara yang kita kadang-kadang terlepas pandang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan AES di pejabatnya, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Hishammuddin mengumumkan jawatankuasa tersebut bersetuju menetapkan kadar baharu kompaun AES diturunkan kepada RM150 bermula 18 September lalu.

Walau bagaimanapun, kadar saman itu bergantung kepada tempoh pembayaran saman dan had laju yang dilakukan pengguna jalan raya yang mana saman maksimumnya sebanyak RM300.

Mengulas lanjut cadangan itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan meminta semua pihak bersabar dan menunggu sehingga keputusan rasmi diumumkan Kabinet kelak.

Dalam pada itu, beliau berkata, jawatankuasa kecil kewangan yang diterajui Kementerian Kewangan bersetuju melantik firma audit bebas, Azmi & Associates bagi melaksana kajian berhemat bagi memastikan harga yang dibayar adil dan munasabah.

Katanya, kerajaan melalui syarikat milik penuhnya di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) iaitu AES Solutions Sdn. Bhd. akan mengambil alih operasi sistem AES daripada pengendali sedia ada, A.T.E.S dan Beta Tegap Sdn. Bhd..

Dalam masa sama, katanya, jawatankuasa kecil operasi itu juga memutuskan penguatkuasaan dan pengoperasian sistem tersebut akan dilaksana Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sumber: Utusan Malaysia (M) Bhd

Selepas SKSJ, kini program “MyLesen” bakal diperkenal bagi golongan muda bandar.

PADANG RENGAS 13 Okt. – Setelah berjaya membantu warga emas di luar bandar menerusi program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal melancarkan satu lagi program khas, MyLesen bagi membantu rakyat di negara ini khususnya golongan muda di bandar memiliki lesen sah mulai tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad berkata, program yang disasarkan kepada remaja berusia 16 tahun ke atas itu akan dimulakan projek perintisnya di dua buah negeri iaitu Selangor dan Sabah pada November ini.

Tambah beliau, mengikut rekod pihaknya terdapat sebanyak 6.7 juta individu berumur 16 tahun ke atas ketika ini tidak memiliki lesen.

“Kita akan melancarkan program ini untuk memastikan masyarakat khususnya orang muda dan mat rempit di kawasan bandar mempunyai lesen. Kita tidak mahu lagi mereka menunggang sewenang-wenangnya tanpa lesen kerana boleh mendatangkan masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian penutupan SKSJ peringkat daerah Kuala Kangsar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, sebanyak 322 individu termasuk warga emas dan 123 Orang Asli menerima lesen memandu percubaan (P) kelas B2 setelah lulus menduduki kursus, latihan dan ujian memandu di bawah program SKSJ.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata, program SKSJ yang bermula sejak 2009 kini telah memanfaatkan kira-kira 40,000 orang di seluruh negara dengan masing-masing melibatkan warga emas dan Orang Asli berusia 45 dan 21 tahun ke atas.

Beliau berkata, program yang menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bertujuan merakyatkan lagi perkhidmatan awam.

“Program SKSJ ini telah membantu masyarakat di luar bandar memiliki lesen walaupun mereka sudah menunggang motosikal, mungkin lebih 10 tahun, tetapi sukar untuk lulus bahagian satu melibatkan ujian berkomputer,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 14 Oktober 2013.

JPJ sita 142 motosikal

MELAKA 29 Sept. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menyita sebanyak 142 buah motosikal atas pelbagai kesalahan lalu lintas yang dikesan dalam operasi jabatan itu sepanjang tahun ini.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ negeri, Jaafar Yaakob berkata, daripada 24,163 motosikal yang diperiksa tahun ini sebanyak 11,050 kesalahan dikesan yang mana 3,728 kesalahan berkaitan lesen memandu.

Menurutnya, kesalahan melibatkan cukai jalan merupakan kesalahan kedua tertinggi dicatatkan iaitu sebanyak 3,696 diikuti lain-lain kesalahan (2,745), teknikal (594) serta pemalsuan lesen dan cukai jalan (14).

“Memandangkan jumlah kemalangan membabitkan motosikal masih di tahap yang tinggi, JPJ negeri memberi fokus terhadap kenderaan itu dalam setiap operasi yang dijalankan tahun ini.

“Tujuan dan matlamat JPJ adalah bagi membantu kerajaan mengurangkan kadar kemalangan dan kematian disebabkan kemalangan jalan raya selain memastikan tiada pelanggaran undang-undang dilakukan pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Operasi Bersepadu di Lebuh AMJ arah selatan dekat Bukit Piatu, di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Setiausaha Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri, Thomas Ong Tai Chu dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek, Zaidi Atan.

Dalam operasi bersepadu itu sebanyak 140 anggota pelbagai agensi terlibat antaranya polis, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Sebanyak 69 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya dalam operasi itu atas pelbagai kesalahan dan tiga buah motosikal disita.

Lain-lain kesalahan yang diambil tindakan termasuk berkaitan kesalahan memasang cermin gelap, lampu HID, cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu dan ubah suai kenderaan.

Dalam operasi bersepadu yang berakhir pukul 12 tengah malam itu, AADK menahan dua penunggang motosikal kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah selepas gagal dalam ujian saringan air kencing.

Sumber: Utusan Malaysia, 30 September 2013.

Lebih 1,000 pemandu pengangkutan awam diburu

KOTA KINABALU 29 Sept. – Polis melancarkan Op Warta bagi memburu lebih 1,000 pemandu dan syarikat pengangkutan awam di negeri ini yang memiliki waran tangkap kerana berdegil tidak mahu menjelaskan saman.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Deputi Supritendan Mohd. Zaidi Abdullah berkata, operasi itu akan dijalankan selama dua minggu yang bermula semalam.

Menurutnya, jumlah waran tangkap tertinggi yang dikeluarkan adalah di Tawau diikuti Kota Kinabalu, Sandakan, Beluran dan Papar.

“Kesemua waran tersebut telah dikeluarkan kepada pemandu pengangkutan awam meliputi bas ekspres, teksi dan bas henti-henti yang mempunyai rekod kesalahan melebihi lima tahun.

“Antara kesalahan dilakukan adalah memandu melebihi had laju, beroperasi di luar kawasan dibenarkan dan memotong laluan berkembar serta menggunakan laluan kecemasan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Mohd. Zaidi berkata, berdasarkan statistik, jumlah waran tertinggi dikeluarkan adalah melibatkan pemandu bas henti-henti.

Katanya, terdapat dalam kalangan pemandu bas itu bekerja secara sambilan, tidak mempunyai lesen memandu dan beroperasi selepas pukul 7 malam.

“Sehubungan itu, Op Warta yang melibatkan seramai 76 anggota dan pegawai akan menjejak mereka di terminal bas seluruh di negeri,” jelasnya.

Mohd. Zaidi berkata, setiap pesalah yang telah mendapat waran tangkap akan dibicarakan di mahkamah dengan denda sebanyak RM300.

Sumber: Utusan Malaysia, 30 September 2013.

PDRM buru 2,900 pemandu bas tak bayar saman, ada waran tangkap.

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memburu seramai 2,900 pemandu bas kerana memiliki saman tertunggak dan waran tangkap yang dikeluarkan sejak tahun lalu sehingga kini.

Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof memberitahu, kebanyakan mereka adalah pemandu bas ekspres.

“Ini berikutan statistik kemalangan melibatkan bas sejak 2012 sehingga kini telah menunjukkan peningkatan sebanyak 14.5 peratus,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan Ops Khas Warta Bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Ops Khas Warta Bas yang dijalankan 55 pegawai serta anggota pasukan tersebut secara serentak di TBS, Hentian Putra dan Hentian Puduraya bertujuan mengesan pemandu bas yang mempunyai rekod saman tertunggak atau waran tangkap.

Menurut Abdul Aziz, seramai 99 pemandu bas diperiksa dan 65 orang daripadanya dikeluarkan notis untuk hadir ke mahkamah dalam masa seminggu.

“Ini peluang terakhir mereka (hadir ke mahkamah) sebelum kita mengambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan supaya semua kenderaan berat mematuhi waktu larangan untuk tidak memasuki kawasan bandar dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada pukul 6.30 pagi sehingga pukul 9.30 pagi.

Sementara itu, seorang pemandu bas yang dikenakan waran tangkap, S. Arumugam, 42, mendakwa tidak mengetahui mempunyai saman sehinggalah memeriksa MyKad dalam operasi itu.

“Selama 15 tahun memandu bas, saya tidak mempunyai masalah untuk memperbaharui lesen memandu tetapi hasil pemeriksaan MyKad, saya mempunyai enam saman serta satu waran tangkap,” ujarnya.

 

Sumber:  Utusan Malaysia, 26 September 2013.