Awas! Mulai 1 Mei 2011 saman trafik akan disertakan gambar.

KUALA LUMPUR 28 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyertakan gambar kenderaan yang didapati melanggar undang-undang jalan raya di kawasan mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam setiap notis yang dihantar kepada pesalah trafik mulai 1 Mei ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, gambar tersebut akan diletakkan di bawah kaki notis yang dihantar dan orang ramai boleh menyatakan bantahan jika mendapati kenderaan tersebut bukan miliknya.

Kalau ada yang dakwa itu bukan kenderaan mereka (berdasarkan gambar), sila kemukakan bukti di mana-mana kaunter trafik,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Khalid memberitahu, kaedah tersebut diguna pakai bagi semua kesalahan lalu lintas asalkan gambarnya dirakam melalui CCTV termasuk memandu melebihi had laju, tidak memakai tali pinggang keledar dan membuat pusingan di kawasan yang tidak dibenarkan.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, orang ramai boleh membuat aduan jika masih ada anggota polis yang bertugas di balai-balai polis enggan menerima laporan yang dibuat.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai dan anggota polis yang enggan menerima laporan dibuat oleh pengadu biarpun di luar kawasan seliaan mereka.

Menurutnya, perkara tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat ‘Penyampaian Pasukan Khas’ bagi mengurangkan kes jenayah yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya hari ini.

“Perkara ini (enggan menerima laporan) sudah banyak kali kita sebut tetapi hari ini, saya ingin menyatakan lagi bahawa masyarakat boleh membuat laporan polis di mana-mana balai polis mengenai apa-apa perkara.

“Saya ingin mengingatkan anggota saya bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang masih lagi tidak mengikut arahan yang kita keluarkan iaitu enggan menerima laporan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 29 April 2011.

Kerajaan umum mekanisme baru sekat pembaharuan lesen, cukai jalan

TUMPAT 28 April – Kerajaan akan mengumumkan secara terperinci mekanisme baru bagi menyekat pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan kenderaan pemilik yang disenarai hitam kerana kesalahan lalu lintas, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

“Pengumuman itu akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Sekolah Kebangsaan Sri Neting dekat sini hari ini.

Dua hari lepas Kabinet mengumumkan pemilik kenderaan yang disenarai hitam agensi penguatkuasaan seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dibenar membaharui lesen memandu, kecuali mereka yang gagal hadir di mahkamah.

Peraturan itu diperuntukkan di bawah Seksyen 17 dan 29 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Di bawah peruntukan ini, pemilik kenderaan yang dikenakan tindakan oleh agensi penguatkuasaan termasuk JPJ, polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh menyekat mana-mana kenderaan atau pemiliknya yang disenarai hitam daripada membaharui lesen memandu dan cukai jalan kerana melanggar undang-undang kecil agensi terbabit. – Bernama, 28 April 2011.

Warga emas 82 tahun pun boleh dapat lesen memandu. Anda bila lagi?

TUMPAT – Seorang warga emas berusia 82 tahun dari Kampung Tujuh di sini merupakan antara 472 individu berusia lebih 50 tahun yang mendapat lesen memandu percubaan (P) motosikal B2 selepas mengikuti ujian memandu anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama tiga bulan menerusi program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ).

Abdullah Che Ibrahi yang mempunyai 20 cucu ketika berkongsi kegembiraannya berkata, dia tidak menyangka akan mendapat lesen P selain menjadi peserta tertua pada program berkenaan yang dilaksanakan bermula Februari lalu.

“Bagi saya, ini adalah lesen paling besar pernah saya dapat sejak menunggang motosikal hampir 32 tahun lalu.

“Bukan saya sengaja tidak mahu ambil lesen tetapi disebabkan tidak tahu membaca, ia membataskan saya untuk cuba mendapatkan lesen memandu,” katanya selepas menerima lesen pada majlis penutup program SKSJ di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Neting, Pengkalan Kubor di sini semalam.

Sumber: Kosmo, 29 April 2011.

Program SKSJ di Kelantan

KOTA BHARU 25 April – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri akan mengadakan Program Satu Komuniti Satu JPJ di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Neting, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Rabu dan Khamis (27 &28 April) ini.

Ketua Bahagian Khidmat Pelanggan JPJ negeri, Mohd. Faisal Abdul Malik memberitahu, program itu dijadual bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang dan bertujuan merapatkan hubungan penduduk setempat dengan jabatan berkenaan.

“Antara aktiviti yang diatur sepanjang program adalah pameran pelbagai agensi swasta, pemeriksaan motosikal, kaunter bayaran lesen memandu, semakan senarai hitam serta perkhidmatan insurans.

“Pihak kami turut menyediakan sukan futsal antara JPJ dan komuniti serta acara sukaneka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia, 25 April 2011.

JPJ tidak lagi senarai hitam kes yang tak dibawa ke mahkamah

KUALA LUMPUR 25 April – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak lagi menyekat urusniaga pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan motor bagi kes-kes yang tidak dibawa ke mahkamah, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Jelaing Mersat.

Beliau berkata, hanya kes-kes yang dibawa ke mahkamah dan kes jenayah yang berada dalam siasatan Polis Diraja Malaysia atau JPJ sahaja yang akan disenarai hitam lesen memandu dan kenderaan motor terbabit.

“Tindakan menyenarai hitam kenderaan dengan menyekat urusniaga pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan motor yang dilakukan oleh JPJ adalah selaras dengan kuasa di bawah Seksyen 17(1)(d) dan 29 (1A) Akta Pengangkutan Jalan.

“Tindakan ini diambil terhadap pemandu atau pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan lalu lintas,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohammed Najeeb Abdullah yang ingin tahu mengenai kenderaan yang disenaraihitamkan oleh JPJ berdasarkan saman ekor sedangkan kesalahan belum disabitkan oleh mahkamah. – Bernama, 25 April 2011.

Ujian memandu akan datang boleh guna kereta auto

Penambahbaikan silibus kurikulum latihan mantapkan pemanduan lebih komprehensif

KUALA LUMPUR: Pelatih yang mahu mendapatkan lesen memandu akan dibenarkan menjalani latihan dan ujian menggunakan kenderaan transmisi automatik tidak lama lagi selepas kerajaan meluluskan penambahbaikan silibus kurikulum latihan memandu sedia ada yang menggunakan kenderaan transmisi manual.

Berikutan itu, mereka yang lulus ujian menggunakan kenderaan gear automatik akan mendapat lesen yang mengandungi catatan khas sebagai lesen kenderaan automatik dan hanya dibenarkan memandu kenderaan jenis itu saja, manakala yang memilih ujian manual boleh memandu kedua-dua jenis kenderaan.Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata, kurikulum baru itu sudah siap sepenuhnya dan dijangka diperkenalkan tidak lama lagi selepas Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima peruntukan daripada kerajaan.

“Pelaksanaan sistem itu selaras permintaan orang ramai, manakala penambahbaikan silibus kurikulum akan turut memasukkan elemen nilai tambah untuk melahirkan pemandu kompeten, berhemah dan berdisiplin.

“Melalui sistem terbaru itu, calon mempunyai pilihan untuk menjalani ujian memandu menggunakan kenderaan transmisi automatik, berbanding sekarang yang membenarkan mereka menggunakan kenderaan manual sahaja.

“Kerajaan mendengar permintaan orang ramai berikutan penggunaan kenderaan transmisi automatik semakin meluas di negara ini. Saya tidak menjangkakan institut memandu akan menghadapi masalah untuk menjayakan sistem baru itu nanti,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Abdul Rahim berkata, penambahbaikan silibus bertujuan memantapkan kurikulum latihan memandu secara komprehensif bagi melahirkan pemandu yang bukan saja mahir mengendalikan kenderaan dan mengetahui peraturan jalan raya, malah meliputi penerapan aspek menyeluruh.

Bagi tujuan itu, suntikan input diperoleh daripada pelbagai pihak berkaitan, berkepakaran dan berkepentingan, termasuk Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Sementara itu, Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA) , Mat Aris Bakar, berkata penambahbaikan silibus berkenaan adalah yang pertama kali dalam tempoh 13 tahun kurikulum latihan memandu dilaksanakan setakat ini.

Pada Mesyuarat Agung PIMA di Kota Bharu pada 18 Mac lalu, beliau berkata, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, memaklumkan ahli persatuan bahawa kurikulum baru berkenaan lebih efektif serta membabitkan elemen kognitif dan psikomotor yang antara lain memberi penekanan terhadap aspek pengurusan risiko dan emosi.

“PIMA menyambut baik penambahbaikan silibus kurikulum latihan memandu ini dan akan memberikan kerjasama penuh menjayakannya. Pelaksanaan itu juga akan memerlukan kira-kira 12,000 tenaga pengajar di sebanyak 174 institut memandu seluruh negara menjalani kursus secara berperingkat,” katanya.

Mengenai laporan akhbar semalam yang memetik Solah sebagai berkata, ada institut memandu menggunakan khidmat tenaga pengajar tidak terlatih dan kenderaan tiada perlindungan insurans bagi melatih calon yang mahu mendapatkan lesen memandu, Mat Aris mengaku terkejut dan menegaskan perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana ia membabitkan keselamatan.

Sumber: Berita Harian, 30 Mac 2011.

SKSJ di Sabah: 247 warga emas dapat lesen motosikal

TAMBUNAN 28 Mac – Seramai 247 warga emas di daerah ini mendapat lesen motosikal dengan bayaran serendah RM150 menerusi Program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tambunan.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, program itu memberi manfaat terutama dalam memudahkan penduduk di pedalaman berurusan dengan JPJ tanpa perlu ke bandar.

“Program ini merupakan inisiatif JPJ selaku agensi kerajaan untuk memberi kemudahan kepada warga emas terutama yang berada di kawasan luar bandar untuk mendapatkan lesen motosikal,” katanya selepas merasmikan Program Satu Komuniti Satu JPJ di Pisompuruan Square Tambunan, di sini semalam.

Daerah Tambunan merupakan lokasi kedua yang dipilih oleh JPJ negeri bagi mengadakan program tersebut.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri berkata, selain memudahkan urusan penduduk pedalaman, program berkenaan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memiliki lesen memandu.

Katanya, ia memberi peluang kepada penduduk mengetahui kepentingan mematuhi undang-undang, peraturan dan keselamatan yang dilaksanakan kerajaan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Dalam program tersebut, pihak JPJ telah menyediakan pelbagai kemudahan perkhidmatan kepada rakyat secara terus termasuk membuka kaunter pembaharuan lesen kereta motor dan lesen memandu serta bayaran kompaun.

Pairin yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Sabah mengingatkan pengguna jalan raya, pemandu-pemandu, khususnya kepada peserta program itu agar mengamalkan sikap berdisiplin semasa berada di jalan raya.

Katanya, segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa perlu dipatuhi manakala lesen memandu dan lesen kenderaan motor sentiasa diperiksa dan dikemas kini agar tidak menimbulkan masalah ketika pemeriksaan.

Beliau memberitahu, perangkaan polis antara tahun 2000 hingga 2009 menunjukkan daripada 364,141 kemalangan di seluruh negara, sejumlah 56,513 melibatkan kemalangan maut.

Katanya, daripada jumlah kemalangan maut tersebut, 60 peratus adalah kemalangan yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 29 Mac 2011.

 

8 institut memandu digantung

Pengajar tak terlatih, kenderaan tiada insurans punca permit dibatalkan

KUALA LUMPUR: Ada institut memandu (IM) dikesan menggunakan khidmat tenaga pengajar tidak terlatih serta kenderaan tiada perlindungan insurans untuk melatih calon yang mahu mendapatkan lesen memandu, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan.

Beliau berkata, tindakan IM yang menggunakan tenaga pengajar serta kenderaan yang masing-masing tidak memiliki Sijil Pengajar dan Sijil Kenderaan adalah kesalahan serius, malah menjadi antara punca institut terbabit dikenakan penggantungan permit.“Tindakan yang diambil itu selaras Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992. Secara keseluruhan, sebanyak lapan IM dikenakan tindakan gantung permit antara 2001 hingga 2010.

“Daripada jumlah itu, tiga IM di Selangor dikenakan tindakan pada 2006 (satu) dan 2007 (dua), Perak (dua – 2006 dan 2010), Terengganu (satu
-2007), Kedah (satu – 2004), Johor (satu – 2001),” katanya.

Solah berkata, JPJ membuat pemantauan terhadap IM di seluruh negara dari semasa ke semasa bagi memastikan semua institut itu mematuhi peraturan serta undang-undang ditetapkan.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi menjamin kualiti latihan dijalankan IM, sekali gus melahirkan generasi pemandu dan penunggang berhemah di jalan raya.

“Selain itu, teguran juga dibuat terhadap mana-mana IM yang melanggar peraturan. Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, tindakan penggantungan atau pembatalan permit dibuat selaras Kaedah 27 Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992,” katanya.

Ketika ini, Solah berkata, sebanyak 212 IM diluluskan di seluruh negara yang meliputi 174 institut sedang beroperasi, manakala baki 38 sedang dalam pembinaan.

Daripada jumlah itu, katanya, 28 IM yang diluluskan adalah di Johor di mana 26 sudah beroperasi dan dua lagi dalam pembinaan, Negeri Sembilan (10 – lapan, dua), Kedah (15 – 14, satu), Pahang (13 – 11, dua).

Perak (25 – 22, tiga), Terengganu (11 – tujuh, empat), Pulau Pinang (sembilan – tujuh, dua), Selangor (21 – 18, tiga), Kelantan (16 – 12, empat), Sarawak (28 – 17, 11), Sabah (21 – 17, empat), manakala kesemua lapan IM yang diluluskan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah beroperasi, begitu juga Melaka (lima) dan Perlis (dua).

 

Sumber: Berita Harian, 28 Mac 2011.

Cadangan supaya ditubuh badan khas pantau pemandu baru

KUALA LUMPUR 28 Mac – Kerajaan disaran mewujudkan satu badan khas bagi memantau pemandu-pemandu yang baru mendapat lesen memandu dalam tempoh tertentu untuk mengenalpasti sama ada mereka benar berkemampuan dan selamat untuk memandu kenderaan.

Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, melalui badan itu, ia mungkin akan dapat mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya yang semakin tinggi di negara ini.

Biar dia (pemandu baru mendapat lesen) mengetahui apa sebenarnya tanggungjawab dia sebagai pemandu. Sebab ini (kemalangan) boleh melibatkan anak kita, saudara kita atau kita sendiri. Tapi tiada pemantauan. Dapat lesen dia pun jadi juara dan memandu sesuka hati.

“Pada saya ini harus diambil kira oleh kerajaan kalau kita mahu melihat bahawa statistik kematian rakyat Malaysia di jalan raya dapat kita kurangkan maka ini adalah cara yang terbaik,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2010) 2011 di Dewan Rakyat, di sini hari ini. – Bernama, 28 Mac 2011.