Dah jadi OKU pun merempit.

KUANTAN 1 Sept. – Seorang orang kurang upaya (OKU) yang kudung tangan kirinya antara 257 individu ditahan kerana merempit dalam operasi membanteras lumba haram di Jalan Kuantan-Gambang di Sungai Isap di sini tengah malam tadi.

Operasi bermula pukul 12 tengah malam itu melibatkan 60 pegawai dan anggota dari Cawangan Trafik dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan selain Pasukan Sukarelawan Polis (PVR).

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam/Ketua Trafik Kuantan, Asisten Supritendan Ahmad Nazri Zainal berkata, operasi itu dijalankan ekoran aduan awam berhubung kegiatan mat rempit di lokasi terbabit.

Kata beliau, sebanyak 109 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan trafik seperti ubah suai kenderaan, tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan gangguan lalu lintas.

“Sebanyak 203 kenderaan diperiksa dengan 31 daripadanya disita dan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan. Ketika ditahan, ada yang memberi alasan bersiar-siar di bandar, ingin berjumpa rakan selain ada yang meninggalkan motosikal masing-masing.

“Polis turut menahan dua individu berusia 16 dan 21 tahun kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine dan pil kuda selain seorang OKU berusia 23 tahun kerana terlibat lumba haram dan tiada lesen memandu,” katanya yang mengetuai operasi itu ketika ditemui di sini.

Sumber:  Utusan Malaysia, 2 Ogos 2013.

Tiada lesen memandu, boleh beli kereta?

Seorang ejen penjual kereta di Subang dikesan menyediakan lesen memandu palsu untuk pelanggan bagi melayakkan mereka membeli kereta di ruang pameran kereta syarikatnya dengan harga RM200.

Taktik kotornya berjaya dikesan selepas seorang pelanggannya berusia 20-an dicekup dalam Ops Bersepadu di Plaza Tol Awan Besar, di sini, kerana memiliki lesen palsu.

Difahamkan, lelaki berkenaan mahu membeli kereta dua tahun lalu, tetapi dia yang tidak memiliki lesen memandu ketika itu tidak layak berbuat demikian.

Namun, hasil pertolongan ejen penjual kereta di situ yang menyediakan lesen memandu palsu, dia dapat membeli kereta berkenaan dan terus menggunakan lesen sama.

Bagaimanapun, ketika melalui sekatan jalan raya dalam Ops Bersepadu, lesen palsunya dikesan dan dia dikenakan tindakan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Harian Metro, 1 Ogos 2013.

Lebih 3000 kesalahan dalam Ops Aidilfitri JPJ 2013.

KUALA LIPIS 22 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri merekodkan sejumlah 3,399 kesalahan dilakukan oleh pengguna jalan raya sepanjang tempoh Ops Aidilfitri JPJ yang bermula pada 1 Ogos dan berakhir Ahad lalu.

Pengarah JPJ negeri, Datuk Zakaria Man berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,455 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan, manakala 301 kenderaan dikenakan notis amaran dengan pemilik kenderaan dikehendaki hadir ke jabatan itu untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, kesalahan paling banyak direkodkan dalam operasi sepanjang 18 hari itu ialah TIADA LESEN MEMANDU dengan mencatatkan sebanyak 441 kes.

“Saya mengingatkan pemilik kenderaan supaya memiliki lesen memandu. Pemandu bas ekspres juga diingatkan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelak dikenakan tindakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Ops Aidilfitri JPJ negeri di Stesen Timbang JPJ Benta di sini baru-baru ini.

Menurut Zakaria, JPJ tidak akan berkompromi kepada golongan terbabit kerana perbuatan mereka itu boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.

“Saya tegaskan di sini bahawa JPJ tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pengguna bas ekspres,” tegasnya sambil memberitahu, sepanjang operasi itu, sebanyak 48 pegawai dan 267 anggota JPJ Pahang melakukan penyamaran dan pengintipan di laluan penting sekitar negeri ini.

Sumber:  Utusan Malaysia, 23 Ogos 2013.