Jangan jadi pemandu rakus.

KOTA KINABALU: Walaupun lampu jalan adalah kemudahan penting bagi membantu meningkatkan penglihatan pemandu di waktu malam, segelintir pemandu di bandar raya ini dikesan memandu secara tidak berhemah apabila memecut laju dan gagal mengawal kenderaan hingga melanggar kemudahan awam itu. Kesannya bukan setakat tiang lampu tumbang atau condong, malah turut menjejaskan sistem litar elektrik yang menyebabkan keseluruhan lampu jalan kawasan terbabit tidak berfungsi, sekali gus menyusahkan ramai pengguna.

Fakta berkaitan kelajuan sebagai punca kemalangan jalan raya disokong Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) yang melaporkan bahawa 62.6 peratus kemalangan jalan raya berpunca daripada kenderaan yang dipandu laju.Tinjauan Berita Harian mendapati, kejadian seumpama itu banyak dikesan di laluan pinggir bandar raya, terutama di Jalan Tuaran Bypass, Jalan Tuaran, Jalan Sulaman dan Jalan Teluk Sepanggar.

Pemandu dari Telipok, Awang Laiman Amat, 45, berkata pemandu sedemikian harus dikenakan tindakan tegas seperti digantung lesen dan dikompaun supaya setimpal dengan kecuaian yang menyebabkan harta benda awam rosak.

Pendekatan itu, katanya, bertujuan menyedarkan mereka mengenai kepentingan lampu jalan sebagai kemudahan yang diperlukan pemandu apabila menggunakan jalan raya, selain memastikan setiap kawasan diterangi cahaya bagi membanteras aktiviti jenayah.

“Walaupun kejadian melanggar tiang lampu bukan disengajakan, individu terbabit perlu bertanggungjawab kerana ia kecuaian mereka. Kalau mereka berhati-hati memandu atau tidak memandu dalam keadaan mabuk, kemalangan sedemikian tidak akan berlaku.
Tindakan seperti menggantung lesen memandu dan denda boleh mengingatkan pemandu supaya sentiasa berhati-hati. Pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) wajar mengambil kira aspek ini,” katanya kepada Berita Harian di sini, kelmarin.

 

Sumber: Berita Harian, 30 November 2010.

Majlis Syura mahu wanita Arab Saudi dibenar memandu kereta di luar negara

RIYADH: Ahli Majlis Syura Arab Saudi, Dr Abdul Malik al-Khayal, mencadangkan kerajaan mengeluarkan kebenaran khas kepada wanita negara itu bagi membolehkan mereka mendapatkan lesen memandu antarabangsa.

Melalui cadangan itu, seseorang wanita Arab Saudi boleh memandu kenderaan di luar negara jika berjaya lulus dalam ujian tertentu.
“Ada beberapa cara wanita Arab Saudi boleh mendapatkan lesen memandu antarabangsa, termasuk memohon kepada kerajaan negara Arab jika mereka menetap di negara itu,” katanya.

 

Dengan cara itu, katanya, mereka boleh memiliki lesen memandu tempatan sebelum memohon mendapatkan lesen memandu antarabangsa.
Sementara itu, Majlis Syura turut membincangkan dua isu dalam Protokol Trafik ditandatangani di Vienna pada 1968.
Protokol itu membenarkan seseorang yang mempunyai lesen memandu antarabangsa diberikan hak memiliki lesen memandu di Arab Saudi. – Agensi

 

Sumber: Harian Metro, 23 November 2010.

 

Akibat gagal dapat lesen memandu, OKU merajuk tak pulang ke rumah.

KUANTAN: Gara-gara terlalu kecewa impiannya memiliki motosikal sendiri terbantut disebabkan gagal mendapat lesen memandu, seorang remaja orang kurang upaya (OKU) dikatakan lari dari rumahnya di Kampung Baru Chendering, di sini, sejak seminggu lalu.

Remaja bisu dan pekak berkenaan, Mohd Shahrul Affendi Hashim, 21, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas habis bekerja kira-kira jam 3.30 petang pada 21 Oktober lalu dan usaha mencari remaja berkenaan dilakukan ahli keluarganya juga gagal.
Ibunya, Siti Minah Ismail, 61, berkata anak bongsu daripada tujuh beradik itu sebelum ini berhasrat memiliki motosikal sendiri namun bapanya, Hashim Idris, 65, menasihatinya supaya mendapatkan lesen memandu terlebih dulu.

“Bagaimanapun, Mohd Shahrul mula tertekan selepas lima kali gagal dalam ujian undang-undang malah semakin kecewa selepas namanya tercicir untuk menduduki ujian berkenaan sekali lagi.
“Dia sepatutnya menduduki ujian terbabit pada 21 Oktober lalu, namun namanya tidak tersenarai kerana lambat membuat pendaftaran menyebabkannya semakin tertekan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Katanya, anaknya itu mengikutnya bekerja sebagai tukang sapu di Masjid Sultan Ahmad Satu di pusat bandar sejak beberapa bulan lalu dan mereka selalunya akan menaiki bas bersama setiap kali pergi atau pulang bekerja.

“Namun pada hari kejadian, dia pulang lebih awal dan ada yang mendakwa melihatnya menaiki bas dinaiki sebelum ini, namun dia tidak pulang ke rumah sebelum saya melihatnya di tempat kerja keesokannya.
“Bagaimanapun, dia menghilangkan diri selepas itu dan masih gagal dikesan sehingga hari ini (semalam) menyebabkan kami sekeluarga risau keselamatannya memandangkan dia tidak membawa wang yang banyak untuk dibelanjakan,” katanya.

Hashim berkata anaknya itu tidak pernah membuat masalah sebelum ini malah sering mendengar kata dan tidak pernah memberontak namun dia percaya dia terlalu tertekan selepas gagal mendapatkan lesen memandu.
“Dia pernah mengadu penat terpaksa berjalan kaki ke tempat menunggu bas, malah berhasrat mendapatkan pekerjaan lain selepas memiliki motosikal sendiri, namun cita-citanya tidak kesampaian apabila dia gagal mendapatkan lesen.
“Saya memang berhajat membelinya sebuah motosikal baru, namun hanya menunggu dia mempunyai lesen memandu kerana tidak mahu masalah lain berlaku kemudian hari. Saya tidak menyangka dia lari rumah,” katanya.

Sumber: Harian Metro, 23 November 2010.

Remaja tiada lesen ditahan kerana memandu treler

IPOH: “Lesen tak ada bang, IC (MyKad) boleh ke,” kata seorang remaja dengan selamba tanpa rasa bersalah ketika diminta menunjukkan lesen memandu selepas ditahan ketika memandu treler 22 tayar yang membawa muatan 60 tan batu kuari di Bandar Seri Botani, di sini, awal pagi semalam.

Sikap remaja lelaki terbabit mengejutkan kerana selain tidak memiliki lesen memandu kereta, dia juga masih tidak layak memohon lesen kelas kenderaan membawa barang (GDL) yang hanya untuk pemohon berusia 21 tahun ke atas kerana didapati baru berusia 18 tahun ketika ditahan kira-kira jam 12.10 tengah malam, semalam.
Sebagai pelengkap insiden ‘melucukan’ itu, kelindan treler berkenaan ialah remaja berusia 17 tahun yang dipercayai masih belajar di sebuah sekolah menengah di sini dan bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bermula 22 November ini.

Kedua-dua remaja terbabit ditahan dalam satu operasi khas dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela).
Menurut sumber SPRM, serbuan terhadap treler itu dibuat selepas pihaknya mengesyaki terdapat penyelewengan berlaku dalam permohonan permit berat muatan dibawa.
“Kami agak terkejut ketika menahan treler itu selepas mendapati ia dipandu remaja berusia 18 tahun dan kelindannya 17 tahun. “Selepas diberitahu kesalahan dilakukannya, pemandu terbabit mendakwa dia hanya memandu treler berkenaan untuk diletakkan di kawasan berhampiran kerana menolong pemandu asalnya yang mempunyai hal peribadi perlu diuruskan.

“Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati treler berkenaan hanya mempunyai permit membawa muatan 30 tan tetapi ketika ditahan ia bermuatan 60 tan. Treler membawa muatan batu kuari yang diambil dari Simpang Pulai itu dipercayai untuk dihantar ke kawasan pembinaan dalam negeri ini,” katanya.

Kedua-dua remaja berkenaan dan treler itu kemudian diserahkan kepada JPJ untuk tindakan lanjut sebelum dilepaskan selepas butiran diri dan keterangan mereka diambil.

Operasi disertai 14 anggota SPRM bersama lapan anggota masing-masing daripada PTG dan JPJ serta dibantu lima anggota Rela itu dilakukan bagi membendung sebarang penyelewengan dan kegiatan menyalahi undang-undang membabitkan kerja mengeluarkan hasil sumber bumi.

Sumber: Harian Metro, 13 November 2010.

JPJ kecuali bayaran salinan lesen mangsa-mangsa banjir

Langkah tanggungjawab sosial ringankan beban mangsa kehilangan dokumen

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengecualikan bayaran bagi mendapatkan salinan lesen belajar memandu, lesen percubaan dan lesen memandu kompeten (CDL), lesen vokasional, lesen kenderaan motor dan perakuan pendaftaran kenderaan kepada mangsa banjir di Kedah dan Perlis.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata daripada kira-kira 4,200 keluarga di Kedah dan 4,500 keluarga di Perlis yang terbabit dengan bencana alam itu, dianggarkan 50 peratus kehilangan dokumen penting itu.

Beliau berkata, jumlah pengecualian bayaran itu dianggarkan bernilai RM600,000 dan JPJ juga akan mengambil beberapa langkah bagi memudahkan mangsa mendapatkan salinan dokumen yang diperlukan, antaranya membuka kaunter sementara di pusat pemindahan untuk khidmat nasihat selain mengedar serta memproses borang berkaitan. Permohonan yang diterima melalui kaunter sementara akan diproses untuk mendapatkan salinan dokumen di pejabat JPJ berdekatan. Bagi mengesahkan kesahihan permohonan, semakan akan dibuat berdasarkan beberapa perkara seperti pemiliknya hadir sendiri atau ada surat wakil kuasa jika permohonan dibuat oleh syarikat.

Syarat lain mungkin perlu membawa dokumen asal yang rosak akibat banjir atau laporan polis untuk gantian perakuan pendaftaran sekiranya dokumen hilang dalam bencana itu, katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Bayaran bagi pengeluaran salinan lesen belajar memandu ialah RM10, lesen percubaan dan CDL (RM20); lesen vokasional (RM5); kad perakuan pendaftaran selain daripada motosikal (RM50); kad perakuan pendaftaran motosikal (RM20); lesen kereta motor selain daripada motosikal (RM50) dan lesen kereta motosikal (RM20).

Kong berkata, kementerian berpendapat JPJ juga bertanggungjawab membantu meringankan beban mangsa banjir khasnya dari segi kemanusiaan dan kehilangan dokumen berkaitan kenderaan serta lesen memandu.
Sumber: Berit Harian, 13 November 2010.

Wanita tak bawa lesen memandu menangis takut disaman

PETALING JAYA: Sikap ambil mudah mahu mengambil anak di sekolah tanpa memakai topi keledar menyebabkan seorang wanita bukan sahaja ditahan polis, malah terpaksa berjalan pulang ke rumahnya yang terletak berdekatan akibat tidak membawa lesen memandu dan kad pengenalan.

Selepas beberapa minit kemudian, wanita terbabit tiba semula sambil menangis kerana takut disaman polis. Itu antara gelagat pengguna yang dapat dirakam ketika Ops Motosikal yang dilakukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, semalam.
Dalam operasi itu, 26 saman dikeluarkan kepada penunggang dan pembonceng motosikal atas pelbagai kesalahan.

Operasi yang diadakan di Kota Damansara, di sini, tertumpu di kawasan perumahan dan sekolah selepas polis menerima banyak aduan berhubung sikap penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar dan membawa pembonceng secara berlebihan.
Pegawai Turus Trafik IPK Selangor, Asisten Superintendan Hambazi Abd Rahman, berkata operasi selama dua jam yang bermula kira-kira jam 12 tengah hari itu mendapati ramai penunggang motosikal tidak memakai topi keledar.

 

Sumber:  Harian Metro, 10 November 2010.

JKJR beri topi keledar percuma pada penunggang di Melaka

MELAKA: Kira-kira 30 penunggang motosikal menerima topi keledar baru dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) pada kempen keselamatan jalan raya, sempena sambutan Deepavali di Jalan Bendahara, dekat sini, baru-baru ini.

Selain itu, lebih 100 pemandu turut menerima cenderahati dan risalah keselamatan jalan raya yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna negeri, Datuk R Perumal.

Pengarah JKJR negeri, Norazle Sulaiman berkata, kempen itu antara lain bertujuan meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan raya mengenai aspek keselamatan terutama pada musim perayaan, selain mengurangkan kadar kemalangan membabitkan pengangkutan awam dan orang ramai. “Pada masa ini, kemalangan yang dilaporkan sering membabitkan kenderaan awam dengan jumlah kematian yang besar. Seiring dengan itu, kami tampil melaksanakan tanggungjawab sosial ini supaya langkah awal dapat dilakukan,” katanya.

Norazle berkata, pengguna motosikal mempunyai risiko paling tinggi untuk terbabit dalam kemalangan kerana mereka adalah pengguna kenderaan yang paling kecil ketika di atas jalan raya.

Beliau turut menasihatkan pengguna yang mempunyai bayi atau anak kecil supaya sentiasa memastikan mereka menggunakan tali pinggang keselamatan bersesuaian, selain memeriksa tayar kenderaan sebelum memulakan perjalanan.

Sumber:  Berita Harian, 10 November 2010.

Perubahan kurikulum pemanduan. Guna kereta auto untuk ujian memandu.

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Kerajaan akan membuat perubahan dalam kurikulum pemanduan bagi membolehkan kenderaan dengan transmisi automatik digunakan pada ujian memandu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, cadangan itu bagaimanapun perlu membabitkan pindaan terhadap modul Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Lesen Memandu) 1992.

Jika dilaksanakan katanya, ia akan membolehkan pemohon untuk mendapatkan lesen memandu dalam kelas transmisi automatik SAHAJA.

“Kerajaan memang bercadang memperkenalkan penggunaan kenderaan dengan transmisi automatik dalam Kurikulum Baru Pendidikan Pemandu bagi permohonan mendapatkan lesen memandu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) serta Matulidi Jusoh (BN-Dungun) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Manan bertanya tentang langkah kementerian itu dalam menghadapi permintaan pengguna yang semakin ramai ‘beralih arah’ daripada menggunakan transmisi manual kepada automatik.

Matulidi pula dalam soalannya berhujah bahawa perubahan tersebut akan memberi kemudahan kepada pihak kurang mahir menggunakan gear manual terutama golongan wanita dan warga tua untuk mendapatkan lesen memandu.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 2 November 2010.

Saman ekor pesalah trafik TIDAK akan dihentikan

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Kerajaan tidak bercadang menghentikan tindakan mengeluarkan saman ekor kepada pesalah trafik, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Ini kerana katanya, saman ekor tersebut sebenarnya adalah notis saman yang dikeluarkan oleh mahkamah kepada pesalah jalan raya yang ingkar terhadap Notis POL 170A yang dikeluarkan ke atas mereka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Oleh kerana ia adalah berlandaskan undang-undang, kerajaan tidak bercadang untuk menghentikan proses ini.

“Justeru persepsi masyarakat dalam mentakrifkan notis saman in sebagai saman ekor perlu diperbetulkan,” katanya menjawab soalan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Notis POL 17A ini katanya, ditakrifkan sebagai borang yang dikeluarkan kepada pemilik kenderaan berdaftar menurut Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan bagi mendapatkan maklumat dan identiti serta alamat pemandu yang dikesan melakukan kesalahan trafik berkaitan had laju yang dirakam menerusi kamera perakam elektronik. – Bernama, 3 November 2010.

Apa kata pengguna: Sikap buruk pemandu penyebab malapetaka

SEKALI bah sekali pantai berubah, itu adalah bidalan Melayu yang sudah lama digunakan dalam menggambarkan sesuatu perkara yang sering berubah-ubah sama ada melalui evolusi ataupun revolusi.

Malangnya, ini tidak berlaku dalam kes corak pemanduan serta penguatkuasaan undang-undang berkaitan jalan raya di negara ini.

Malah setiap kali musim perayaan dan cuti umum atau sekolah, maka jalan raya menjadi seperti medan perang yang meragut puluhan malah ratusan nyawa. Statistik yang ditunjukkan saban hari dalam media nampaknya tidak menggerunkan para pemandu kita.

Bayangkanlah kenderaan komersial yang berskala gergasi dengan puluhan roda dipandu seperti di litar lumba. Bukan sahaja secara biadap tetapi lebih dari itu seperti samseng jalan raya mengawal ketiga-tiga lorong di lebuh raya sehingga menimbulkan kesulitan yang bukan kecil kepada pemandu lain.

Walhal, mereka ini sudah memiliki lesen PSV yang sudah tentu memahami asas pemanduan di lebuh raya yang tidak membenarkan mereka memandu di lorong paling laju walaupun jika ingin memotong.

Tidak cukup dengan sikap buruk dan perangai hodoh ketika memandu, kadang kala serpihan tayar yang terkeluar dari roda kenderaan yang menggunakan tayar celup berkualiti rendah turut menimbulkan ancaman kemalangan kepada pengguna lain.

Ada lagi yang lebih hebat apabila membawa muatan batu kerikil yang tidak ditutup rapat sehingga jatuh bertaburan menghentam cermin kenderaan yang di belakang. Bukannya mendapat simpati sebaliknya mereka diketawakan apabila cermin hadapan kenderaan pecah atau retak.

Kepada siapa sebenarnya pengguna jalan raya lain ingin mengadu? Kepada penguat kuasa, yang kelihatan seperti gembira menyaman kenderaan persendirian yang dipandu laju.

Sehingga sanggup menyorok di sebalik tiang jambatan, di atas bukit di tepi lebuh raya dan pelbagai tempat tersorok lagi.

Mereka ini seolah-olah lupa sebenarnya tugas mereka sebenarnya adalah mendisiplinkan pemandu bukannya mencukupkan kuota saman.

Tidakkah mereka ini didedahkan sistem penguatkuasaan undang-undang jalan raya di negara maju di mana pemandu yang melanggar undang-undang termasuk memandu melebihi had laju akan dikejar dan diberikan saman serta-merta dan bukannya di saman ekor yang kemudian selepas enam bulan baru dihantar secara pos.

Jika begini corak penguatkuasaan peraturan di jalan raya di negara kita, nampaknya ia tidak akan berjaya diperbaiki. Sudahlah ia dibuat seolah-olah secara bermusim, berpilih-pilih dan tidak mengikut satu standard operasi antarabangsa maka apakah yang akan diharapkan lagi?

Kepada pihak Kementerian Pengangkutan, sila semak semula modul sekolah memandu kita. Apakah ia sesuai dengan perkembangan dan pertambahan kenderaan serta corak jalan raya negara kini.

Malah tidak pelik sekiranya ramai yang tidak mengetahui cara untuk menggunakan jalan-jalan mengikut kelasnya. Tentu ada juga yang berfikir bahawa memandu di lebuh raya sama saja dengan jalan persekutuan.

Apakah pasukan penguat kuasa juga tidak didedahkan dengan modul pemanduan di lebuh raya? Sehingga melalui beberapa pengalaman peribadi apabila soalan berkenaan ditanyakan setengah mereka turut terpinga-pinga apabila dimaklumkan bahawa menghalang lorong laju untuk digunakan bagi tujuan memotong sebagai satu kesalahan atau kenderaan komersial menggunakan lorong paling kanan adalah salah — tidak diketahui mereka.

Kerana itu, insiden sedih berlaku lagi. Ramai yang menjadi korban di jalan raya. Sedangkan ia boleh dielakkan sekiranya semua pihak melakukan sesuatu tindakan secara bijaksana serta teratur.

Bukan hanya hangat-hangat tahi ayam atau sekadar melepas batuk di tangga sahaja.

Tidak ada gunanya wujud Jabatan Keselamatan Jalan Raya jika hanya membuat kempen mengagihkan topi keledar atau menunjukkan cara memakai tali keledar sewaktu musim perayaan.

Ia perlu sesuatu yang jauh lebih besar daripada itu. Ia perlu dilaksana secara bijaksana, terancang malah perlukan tanda aras tertentu.

Jangan terlalu melihat ke dalam dan asyik memikirkan bahawa kita sahaja hebat sedangkan hakikatnya ramai tenaga pakar di luar yang boleh dijemput membantu.

Kita perlu menggunakan sedikit belanja bagi mencari pakar untuk berkongsi dalam merangka pelan strategi sebagaimana yang dilaksanakan oleh Polis, Rela dan beberapa Jabatan lain yang sudah melaksanakan transformasi berskala besar.

Jangan lagi menunggu sehingga makin ramai menjadi mangsa ataupun mungkin saudara mara atau anak isteri mereka yang berstatus ketua pengarah atau pengarah sendiri terkorban baru ingin dilaksanakan pembaharuan.

Bukalah mata dan buka minda, jangan biarkan jalan raya kita menjadi sungai mayat.

Mulakanlah agenda itu sekarang tanpa menangguhkannya lagi sehingga rakyat menjadi jelak dengan pelbagai alasan dan saling menuding jari bagi melepaskan tanggung jawab masing-masing.

Oleh
DR. AHMAD ZAKI ISMAIL

Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia

 

Disiarkan dalam Utusan Malaysia, 15 Oktober 2010.