Bilakah lesen memandu teksi (PSV) boleh digantung?

KUALA LUMPUR 12 Jan. – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung lesen dua pemandu teksi di sini selama sebulan sejak 6 Januari lepas kerana tidak menggunakan meter dan mengenakan tambang berlebihan.

Menurut kenyataan SPAD hari ini, pemandu teksi terbabit juga dilarang memandu atau memberi perkhidmatan teksi sepanjang tempoh itu.

Kenyataan itu juga menyebut syarikat pengendali berkenaan turut diberi surat amaran kerana tidak memantau pemandu mereka yang melakukan kesalahan itu.

Tindakan itu diambil susulan siasatan terperinci selepas SPAD menerima dua aduan berbentuk video melalui akaun Twitternya, @aduanSPAD.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata SPAD berharap orang ramai terus membantu suruhanjaya itu menangani masalah pemandu teksi yang enggan menggunakan meter.

“Sikap negatif ini secara langsung akan menjejaskan imej dan reputasi industri teksi dan negara, lebih-lebih lagi ketika berlangsungnya Tahun Melawat Malaysia 2014,” katanya.

Beliau berkata SPAD memerlukan maklumat tertentu bagi memastikan pemprosesan aduan berjalan lancar.

Ini termasuk maklumat berkaitan pemandu, nombor pendaftaran kenderaan, tarikh dan lokasi kejadian atau bahan sokongan lain yang boleh mengukuhkan kes selain menjadi bahan bukti. – BERNAMA

Sumber: Utusan Malaysia, 12 Januari 2014.

BL1M munkin diperluas kepada kereta pula.

KUALA LUMPUR 8 Jan. – Usaha Pergerakan Pemuda UMNO memperkenalkan program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) hampir setahun lalu berjaya membantu seramai 70,455 orang mendapatkan lesen menunggang motosikal B2.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, program itu yang bakal berakhir pada 31 Januari ini mendapat sambutan memberangsangkan apabila sebanyak 210,000 permohonan diterima daripada orang ramai di seluruh negara.

Katanya, selepas tapisan dibuat, seramai 138,358 pemohon layak untuk menyertai program berkenaan.

“Pemuda UMNO memperkenalkan program ini bagi mengatasi masalah kos pengambilan lesen memandu khususnya belia di luar bandar.

“Kita gembira hasil perjuangan ini diterima kerajaan yang meneruskan pendekatan BL1M apabila bakal memperkenalkan program My Lesen tidak lama lagi. Program itu mungkin boleh diperluaskan kepada lesen kereta pula,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi BL1M, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin dan Pengarah Eksekutif MY E.G Services Berhad, Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha.

BL1M dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Januari tahun lalu yang antara lain bertujuan membantu lebih ramai golongan muda mendapatkan lesen motosikal B2 dengan mudah dan murah.

Menerusi program berkenaan, para belia berusia 17 hingga 40 tahun layak menikmati diskaun hampir 50 peratus dan hanya membayar RM199.

Menurut Khairul Azwan, daripada jumlah yang layak menyertai program BL1M, sebanyak 49,782 permohonan masih dalam proses dan terdapat seramai 29,187 peserta gagal ujian komputer tiga kali namun akan menduduki ujian lisan selepas ini.

Bagaimanapun, kata beliau, sebanyak 18,111 permohonan kebanyakannya melibatkan peserta dari Sabah dan Sarawak tidak dapat diproses disebabkan beberapa faktor seperti gagal dihubungi atau mereka sukar ke pusat latihan memandu kerana masalah masa dan jarak.

Berikutan itu katanya, pihaknya bersedia memulangkan wang bayaran sebanyak RM199 kepada peserta terlibat bermula 15 Januari ini.

“Kita telah berbincang dengan kepemimpinan UMNO negeri dan mereka bertanggungjawab untuk sama-sama menguruskan proses ini dengan bantuan ketua pemuda UMNO bahagian di seluruh negara.

“Peserta terlibat perlu mengemukakan bukti bahawa mereka telah membuat pembayaran dan menerusi senarai dalam rekod kita, tiada masalah untuk mengembalikan wang berkenaan,” katanya.

Sumber:Utusan Malaysia, 9 Januari 2014.

MySIKAP buat hal, kami pun kena tempiasnya.

Kuala Lumpur: Sudah lebih dua bulan pelaksanaannya dilakukan, namun sistem mySIKAP Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga kini masih belum stabil, malah didakwa membebankan pelbagai pihak terutama pengusaha sekolah dan institut memandu.

Seorang pengusaha sekolah memandu di Kajang yang hanya mahu dikenali sebagai Ivana mendakwa, masalah aplikasi itu menyebabkan pelanggan menyalahkan serta menuduh mereka tidak cekap dalam urusan berkenaan.

Lebih memburukkan keadaan, perniagaannya turut terjejas teruk kesan daripada masalah itu berikutan terpaksa membayar ganti rugi semula kepada pelanggan.

“Bukan saya seorang yang pening kepala berhadapan masalah ini, tetapi semua pengusaha sekolah dan institut memandu di seluruh negeri.

Dulu seminggu dua sudah boleh dapat lesen, tetapi kini kami kena tunggu sehingga dua bulan. Kadang-kadang, daripada 30 permohonan sehari yang dibawa ke JPJ, hanya satu yang siap,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Menurut Ivana, banyak permohonan baru lesen L pelanggannya ditolak tanpa sebab munasabah, selain mengambil masa lebih lama untuk diproses JPJ.

Antaranya, JPJ memberitahu maklumat pemohon tiada dalam sistem, sedangkan mereka sudah menjalani kursus pendidikan pemandu, ujian berkomputer (undang-undang) dan pusat amali (bengkel enam jam) sebelum itu.

“Kita tidak tolak pembaharuan, tapi biarlah aplikasi itu benar-benar mantap sebelum diguna pakai kerana kesannya menyusahkan pengguna.

“Kami di sekolah atau institusi memandu sudah menjalankan tanggungjawab diamanahkan pelanggan cuma apabila berlakunya perkara sebegini, pelanggan tidak faham dan bukan saja kami dimarahi malah pernah diugut untuk dicederakan,” katanya.

Jurucakap Nation Drive Wilayah Sdn Bhd, Asmadi Abu Bakar berkata, sistem mySIKAP sukar diakses sehingga mengakibatkan kelewatan proses ujian dan penambahan kelas lesen.

Masalah yang berlaku sejak November lalu itu menyebabkan ratusan pelanggan tujuh institut memandu beroperasi di Kuala Lumpur menghadapi masalah setiap kali berurusan dengan JPJ.

“Selalunya kami sudah terpacak di depan JPJ sejak awal pagi bagi mengelakkan kesesakan sambil berharap sistem akan berjalan lancar pada hari itu.

“Ini kerana, mySIKAP menggunakan Internet sepenuhnya dan jika sistem mengalami gangguan, semua urusan tergendala,” katanya.

Sumber: Harian Metro, 4 Januari 2014.