TAIPING 12 April – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih dalam peringkat kajian untuk menggabungkan ujian undang-undang berkomputer bagi lesen memandu kereta dan motosikal.
Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Perancangan dan Operasi), Datuk Yusoff Ayob berkata, keputusan berhubung perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Dari segi kokurikulum, tidak ada perubahan. Perubahan cuma daripada aspek kombinasi dan kita sedang mengkaji untuk membolehkan dua ujian ini disekalikan.
“Soal ujian akan menjadi lebih mudah atau sebaliknya bukan fokus utama kerana peraturan jalan raya masih lagi meliputi perkara yang sama. Perlaksanaan ini agar orang ramai tidak hanya tertumpu kepada sesebuah kenderaan sahaja,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Parlimen Taiping di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamunting, di sini hari ini.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi pada sidang Dewan Rakyat memberitahu, ujian undang-undang berkomputer lesen memandu kereta dan motosikal akan disekalikan menjelang bulan hadapan.
Menurutnya, inisiatif tersebut bertujuan memberi kemudahan sekali gus mengurangkan beban dan kos orang ramai.
Sementara itu, mengulas mengenai program tersebut, beliau berkata, sebanyak 78,230 orang telah memperoleh lesen memandu kelas B2 sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2009.
Katanya, di negeri ini sendiri, sebanyak 9,109 orang telah memperoleh manfaat daripada program sama.
“Pada hari ini, sebanyak 461 orang berjaya mendapatkan lesen memandu B2 dalam program yang diadakan di SMK Kamunting bermula 7 Februari hingga 5 April lalu.
“Melalui program ini, peserta dikenakan bayaran minimum untuk memperoleh lesen memandu percubaan motosikal iaitu lebih murah berbanding dengan harga yang ditawarkan institusi memandu lain,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia, 13 April 2015.
Filed under: Uncategorized |
Tinggalkan Jawapan