Saman maksimum RM300!

Penguatkuasaan pakai tali pinggang keledar belakang bermula Januari 2009

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa 1 Januari ini, saman maksimum RM300 akan dikeluarkan serta-merta kepada pemandu atau penumpang kereta yang gagal mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang.

Saman itu akan dikeluarkan terus kepada penumpang belakang yang berusia 17 tahun ke atas jika gagal mematuhi peraturan terbabit, manakala bagi kanak-kanak atau remaja di bawah usia berkenaan, ia akan diberikan kepada pemandu.

Sumber memberitahu, kadar saman maksimum RM300 dan kaedah pelaksanaan terbabit sudah diputuskan Kementerian Pengangkutan baru-baru ini, manakala arahan mengenainya akan dikeluarkan kepada pihak berkuasa terbabit untuk dilaksanakan.

“Kita dijangka memuktamadkan mengenai kaedah terbaik untuk menguatkuasakan peraturan itu dalam satu mesyuarat yang dijadual diadakan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selasa ini.

“Pengumuman rasmi mengenai kaedah pelaksanaan dan penguatkuasaan peraturan baru itu pula dijangka dibuat Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat pada hari yang sama,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sumber itu berkata, keputusan mengeluarkan saman terhadap penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar di tempat duduk belakang dan pemandu yang gagal memastikan penumpang di bawah umur dalam kereta mereka mematuhi peraturan itu diputuskan semalam.

Cadangan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang bahagian belakang kenderaan mula ditimbulkan pada Mac 2006 oleh Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Chan Kong Choy berikutan syor pelbagai pihak.

Bagaimanapun, ia hanya diluluskan oleh Kabinet pada Februari lalu selepas kajian mengenainya dilakukan kementerian dengan kerjasama JPJ, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan PDRM.

April lalu, rang undang-undang mengenai penguatkuasaan peraturan itu diluluskan di Dewan Rakyat dan Ong mengumumkan kerajaan akan mula menguatkuasakan peraturan berkenaan bermula pada 1 Jun lalu.

Bagaimanapun, kerajaan memutuskan untuk memberi tempoh percubaan selama enam bulan bagi membolehkan pengguna membiasakan diri dengan peraturan baru berkenaan sebelum ia diwajibkan sepenuhnya bermula 1 Januari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh ketika dihubungi semalam berkata, kerajaan sudah menetapkan supaya peraturan itu dikuatkuasakan sepenuhnya bermula tahun baru ini walaupun ada pihak mendesak ia dikaji semula atau ditangguhkan lagi.

Katanya, kajian semula dan penangguhan tidak perlu kerana penyelidikan terperinci mengenai peraturan itu sudah dibuat sejak tiga tahun lalu membabitkan pelbagai aspek termasuk kaedah pelaksanaan terbaiknya serta serta kesannya kepada rakyat.

“Kita sedih bila niat murni kerajaan yang bertujuan untuk menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya disalah anggap sebagai tindakan menyusahkan. JKJR dan Miros sudah membuat penelitian semula apabila menerima bantahan ramai dan mendapati ia tidak wajar ditangguhkan,” katanya.

Sebelum ini, Miros mengumumkan kajian yang dilaksanakannya menunjukkan bahawa 40 hingga 50 peratus daripada jumlah kes kematian, cedera parah dan kecederaan ringan membabitkan penumpang belakang boleh diselamatkan menerusi pemakaian tali pinggang di tempat duduk belakang.

Sumber: Berita Harian, 27 Disember 2008

 

********************

PUTRAJAYA: Penumpang tempat duduk belakang yang gagal memakai tali pinggang keledar bermula 1 Januari ini, tidak akan terlepas daripada menghadapi kemungkinan disaman maksimum RM300, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh.

Beliau berkata, tindakan saman sudah diuar-uarkan melalui media cetak dan elektronik sejak pengumuman penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar penumpang belakang kenderaan persendirian, Jun lalu untuk memberi peluang penumpang bersedia dengan undang-undang baru itu.

Tambahan pula, katanya, lebih 90 peratus kenderaan persendirian yang berdaftar di negara ini dilengkapi tali pinggang keledar belakang.

Bagaimanapun, katanya, penguatkuasaan yang dirancang sejak 2006 itu membolehkan penumpang keempat tidak disaman kerana setiap kenderaan persendirian hanya dilengkapi tiga tali pinggang keledar.

Suret berkata, sidang media akan diadakan khas untuk menerangkan semua perkara berhubung penguatkuasan terbabit Selasa ini bagi mengelak salah faham.

Katanya, beliau akan turut mengumumkan secara terperinci nilai saman yang akan dikenakan penumpang dan pihak yang akan disaman sekiranya penumpang gagal memakai tali pinggang keledar belakang.

“Kami akan berbincang mengenai perkara itu terlebih dulu dengan beberapa pihak terbabit termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) sebelum mengumumkannya,” katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan keputusan sama ada kesalahan penumpang tidak memakai tali pinggang keledar di tempat duduk belakang akan dimuktamadkan semalam (Jumaat).

Bagaimanapun, perkara itu belum diputuskan kerana akan dibincang Selasa ini.

Penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar belakang bertujuan mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya memandangkan pemakaiannya boleh menyelamatkan 350 nyawa penumpang yang terbabit dalam kemalangan jalan raya setiap tahun.

Suret berkata, kajian Miros mendapati penumpang bahagian belakang kenderaan yang memakai tali pinggang keledar mempunyai risiko lebih rendah mendapat kecederaan serius.

Berikutan itu, kerajaan akan mengehadkan jumlah muatan kereta penumpang kepada maksimum lima orang termasuk pemandu dengan alasan hanya tiga tali pinggang keledar dipasang bagi penumpang belakang sesebuah kereta.

Sumber: Harian Metro, 27 Disember 2008

Dari Akhbar: Polis ada kuasa musnah topi keledar

KUALA LUMPUR: Polis mempunyai kuasa untuk merampas dan memusnahkan topi keledar yang tidak mematuhi standard Sirim di bawah undang-undang baru berkaitan topi keledar yang sedang dirangka oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dengan kerjasama pihak polis.

Ketua Pengarah JKJR Datuk Suret Singh berkata, undang-undang baru itu bertujuan membanteras penjualan dan penggunaan topi keledar palsu yang dibuat daripada bahan yang rapuh dan tidak mampu melindungi kepala pengguna motosikal.

Ketika ditemui selepas mengetuai Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Lebuhraya Damansara-Puchong Hentian Sebelah Puchong Selatan di sini semalam, beliau berkata topi keledar yang tidak diiktiraf Sirim dijual dan digunakan secara meluas di Malaysia dan keadaan itu perlu dibendung segera.

“Harga topi keledar yang mendapat standard Sirim tak jauh beza dengan harga topi keledar berfesyen, tapi tak berkualiti, jadi tiada sebab mengapa orang ramai tak boleh membeli yang berkualiti,” katanya.

 

Advokasi dan pendidikan juga perlu dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada pengguna motosikal supaya menggunakan lorong motosikal khas dan memandu tidak melebihi had laju 60 km sejam, katanya.

Beliau berkata, kempen kali ini, yang mempromosikan isu-isu keselamatan jalan raya terutama bagi golongan berisiko tinggi iaitu para penunggang dan pembonceng motosikal, mendapat sokongan dan kerjasama kelab motosikal.

“Kami mahu penunggang motosikal sendiri mendekati dan mempengaruhi penunggang lain dalam mengamalkan pemanduan yang selamat,” katanya.

Selain itu, Suret berkata ibu bapa dan guru mestilah bertanggungjawab dengan melarang remaja di bawah umur atau tidak mempunyai lesen menunggang motosikal.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan dan sentiasa mengikuti had laju yang ditentukan terutamanya pada musim cuti sekolah dan perayaan ini. — Bernama

Sumber: Harian Metro, 2 Disember 2008.

Dari akhbar: Topi keledar lebih 5 tahun kena lupus

Peraturan jamin keselamatan pengguna motosikal

KUCHING: Selepas mewajibkan pemakaian tali keledar belakang mulai 1 Januari depan, kerajaan akan menguatkuasakan pula larangan menggunakan topi keledar berusia lebih lima tahun.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, berkata perkara itu dipersetujui semua pengeluar dan penjual topi keledar bagi menjamin keselamatan penunggang dan pembonceng motosikal.

Sehubungan itu, mulai 1 Januari depan semua topi keledar akan mempunyai label tarikh pengeluaran dan luput untuk mengelak penunggang serta pembonceng motosikal terus menggunakannya walaupun sudah retak, putus tali dan tiada lapisan dalaman lagi.

“Perbuatan menggunakan topi keledar yang sudah lama boleh membahayakan penunggang dan pembonceng sendiri,” katanya katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran bergerak keselamatan jalan raya peringkat negeri di sini, semalam.

Mengenai penggunaan tali keledar belakang, beliau berkata, tarikh penguatkuasaannya tidak akan ditangguh lagi kerana pengguna kenderaan sudah diberi tempoh mencukupi untuk mengambil langkah perlu termasuk membiasakan diri dengan penggunaannya.

“…. (mulai 1 Januari) kalau tidak pakai kita tetap akan saman,” katanya.

Lajim juga berkata, kementerian memperuntukkan RM45 juta tahun depan bagi memperhebatkan kempen keselamatan jalan raya, termasuk memberi topi keledar kepada penunggang motosikal atau basikal di 150 daerah.

Sumber: Berita Harian, 30 November 2008.