Kematian akibat kemalangan menurun dalam Ops Aidilfitri 2014.

MELAKA 6 Ogos – Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di negeri ini yang dicatatkan sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menurun sebanyak 40 peratus atau enam kematian berbanding tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Lim Ban Hong berkata, dari tempoh 21 Julai hingga 5 Ogos lalu sembilan kematian dicatatkan dalam lapan kemalangan maut berbanding 15 kematian dalam 11 kemalangan maut pada operasi sama tahun lalu.

Menurutnya, jumlah mangsa yang mengalami cedera parah juga menurun sebanyak 10 peratus dari 10 orang pada tahun lalu kepada sembilan orang tahun ini.

”Bagaimanapun, jumlah kemalangan yang dicatatkan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri tahun ini meningkat sebanyak 9.1 peratus kepada 789 kes berbanding 723 kes tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Operasi Penguatkuasaan Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2014 di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Semabok, di sini malam tadi.

Yang hadir sama Pengarah JPJ negeri, Azaharuldin Abdullah, Setiausaha Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Melaka, Ong Tai Chu dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, M. Shantini.

Jelas Ban Hong, sempena musim perayaan tahun ini juga, terdapat pertambahan sebanyak 8,189 buah kenderaan memasuki Melaka dari 25 hingga 29 Julai di mana ia dikenal pasti antara punca peningkatan jumlah kemalangan sepanjang tempoh operasi.

Justeru katanya, jawatankuasa pengangkutan negeri bersama jabatan-jabatan terlibat akan meneruskan strategi menjalankan penguatkuasaan lebih ketat selain memperhebatkan penguatkuasaan melalui program kesedaran dan pendidikan.

”Diharapkan kedua-dua cara ini dapat dijalankan serentak untuk meningkatkan kesedaran mementingkan keselamatan di jalan raya di kalangan pemandu dan pengguna lalu lintas,” tegasnya.

Sementara itu tambah beliau, sepanjang tempoh operasi berkenaan juga, sebanyak 5,242 buah kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa oleh JPJ di mana 377 saman dikeluarkan manakala 364 kenderaan diambil tindakan.

Kesalahan paling banyak dicatatkan ialah TIDAK mempunyai lesen memandu yang sah iaitu sebanyak 157 kes, tidak mempunyai cukai jalan (75 kes), nombor pendaftaran tidak mengikuti spesifikasi dibenarkan (33 kes) serta lain-lain kesalahan termasuk ubah suai kenderaan, cermin gelap, tiada insurans dan memandu bawah umur,” jelasnya.

Operasi yang dijalankan bermula pada pukul 9 malam itu melibatkan 198 anggota penguat kuasa termasuk dari JPJ, MKJR, JKJR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Sumber: Utusan Malaysia, 7 Ogos 2014.

Bilakah lesen memandu teksi (PSV) boleh digantung?

KUALA LUMPUR 12 Jan. – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung lesen dua pemandu teksi di sini selama sebulan sejak 6 Januari lepas kerana tidak menggunakan meter dan mengenakan tambang berlebihan.

Menurut kenyataan SPAD hari ini, pemandu teksi terbabit juga dilarang memandu atau memberi perkhidmatan teksi sepanjang tempoh itu.

Kenyataan itu juga menyebut syarikat pengendali berkenaan turut diberi surat amaran kerana tidak memantau pemandu mereka yang melakukan kesalahan itu.

Tindakan itu diambil susulan siasatan terperinci selepas SPAD menerima dua aduan berbentuk video melalui akaun Twitternya, @aduanSPAD.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata SPAD berharap orang ramai terus membantu suruhanjaya itu menangani masalah pemandu teksi yang enggan menggunakan meter.

“Sikap negatif ini secara langsung akan menjejaskan imej dan reputasi industri teksi dan negara, lebih-lebih lagi ketika berlangsungnya Tahun Melawat Malaysia 2014,” katanya.

Beliau berkata SPAD memerlukan maklumat tertentu bagi memastikan pemprosesan aduan berjalan lancar.

Ini termasuk maklumat berkaitan pemandu, nombor pendaftaran kenderaan, tarikh dan lokasi kejadian atau bahan sokongan lain yang boleh mengukuhkan kes selain menjadi bahan bukti. – BERNAMA

Sumber: Utusan Malaysia, 12 Januari 2014.

Jadual Kursus dan Ujian teori Kelas Vokasional (PSV/ GDL) bagi November 2013

Kursus: 13 November 2013 ( Rabu).

Ujian: 20 November 2013 ( Rabu).

Tarikh tutup pendaftaran: 6 November 2013.

Lebih 1,000 pemandu pengangkutan awam diburu

KOTA KINABALU 29 Sept. – Polis melancarkan Op Warta bagi memburu lebih 1,000 pemandu dan syarikat pengangkutan awam di negeri ini yang memiliki waran tangkap kerana berdegil tidak mahu menjelaskan saman.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Deputi Supritendan Mohd. Zaidi Abdullah berkata, operasi itu akan dijalankan selama dua minggu yang bermula semalam.

Menurutnya, jumlah waran tangkap tertinggi yang dikeluarkan adalah di Tawau diikuti Kota Kinabalu, Sandakan, Beluran dan Papar.

“Kesemua waran tersebut telah dikeluarkan kepada pemandu pengangkutan awam meliputi bas ekspres, teksi dan bas henti-henti yang mempunyai rekod kesalahan melebihi lima tahun.

“Antara kesalahan dilakukan adalah memandu melebihi had laju, beroperasi di luar kawasan dibenarkan dan memotong laluan berkembar serta menggunakan laluan kecemasan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Mohd. Zaidi berkata, berdasarkan statistik, jumlah waran tertinggi dikeluarkan adalah melibatkan pemandu bas henti-henti.

Katanya, terdapat dalam kalangan pemandu bas itu bekerja secara sambilan, tidak mempunyai lesen memandu dan beroperasi selepas pukul 7 malam.

“Sehubungan itu, Op Warta yang melibatkan seramai 76 anggota dan pegawai akan menjejak mereka di terminal bas seluruh di negeri,” jelasnya.

Mohd. Zaidi berkata, setiap pesalah yang telah mendapat waran tangkap akan dibicarakan di mahkamah dengan denda sebanyak RM300.

Sumber: Utusan Malaysia, 30 September 2013.

Belum bayar saman trafik? Awas! Lesen memandu anda munkin diBATALkan.

1.7 Juta Individu Gagal Bayar Saman Bakal Dibatal Lesen Memandu – KPN

KUALA LUMPUR- Seramai 1.7 juta individu yang disenaraihitamkan kerana degil membayar saman trafik bakal berdepan tindakan lesen memandu dibatalkan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata tindakan itu akan ditumpukan terhadap penunggang motosikal dan pemilik kenderaan komersil yang banyak menyumbang kepada jumlah kemalangan maut pada Op Selamat III sempena Aidilfitri baru-baru ini.

“Kami mensasarkan penunggang motosikal dan pemilik kenderaan komersil terlebih dahulu berikutan peningkatan jumlah kemalangan maut dalam Ops Selamat III (membabitkan mereka),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat penghargaan kepada pengguna jalan raya berhemah dan kontinjen/daerah terbaik Op Selamat III di sini, Rabu.

Beliau berkata polis akan mencadangkan undang-undang dipinda segera bagi membolehkan tindakan itu diambil dengan secepat mungkin.

Ops Selamat III yang bermula pada 1 Ogos hingga 18 Ogos lepas, secara keseluruhannya mencatatkan 17,831 kes kemalangan yang menunjukkan penurunan sebanyak 106 kemalangan berbanding Ops Selamat II.

Bagaimanapun kadar kemalangan maut telah meningkat sebanyak 32 kes atau 14.2 peratus iaitu daripada 226 kes kepada 258 kes, dengan jumlah kematian turut meningkat sebanyak 49 kes atau 20.2 peratus iaitu daripada 243 kes kepada 292.

Khalid berkata mereka yang telah disenarai hitam dan juga mempunyai saman tertunggak dinasihatkan membayar saman mereka bagi mengelakkan tindakan itu.

“Kami juga akan mengambil penguatkuasaan yang lebih agresif khususnya terhadap mereka memandu laju, melanggar lampu isyarat dan memotong dua garisan berkembar, jadi, esok jangan salahkan polis kerana mendapat saman,” katanya.

Sementara itu semasa berucap pada majlis tersebut, Khalid berkata para pemandu kenderaan, terutamanya penunggang motosikal, perlu mengubah sikap bagi mengelakkan daripada kemalangan maut yang semakin meningkat pada masa ini.

Mengenai kesedaran di kalangan masyarakat untuk bekerjasama dengan polis dalam membantu menjaga harta benda dan memerangi jenayah, beliau melahirkan rasa puas hati dengan peningkatan penyertaan masyarakat.

“Ini dapat dilihat berdasarkan peningkatan penyertaan masyarakat dalam kempen Op Selamat tahun ini iaitu sebanyak 8,592 atau 58.5 peratus, secara tidak langsung menunjukkan tahap penerimaan masyarakat terhadap PDRM semakin positif dalam usaha membanteras jenayah,” katanya.

– BERNAMA, 21 Ogos 2013.

JPJ akan perkenal lesen memandu bentuk baharu Ogos ini.

KOTA KINABALU 13 Mei – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melakukan penambahbaikan terhadap semua lesen memandu dengan memperkenalkannya dalam bentuk baharu bermula Ogos ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad berkata, kesemua lesen baharu yang dikeluarkan termasuk Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Memandu Vokasional akan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan.

“Sebelum ini, kita mengenal pasti bukan sahaja lesen vokasional tetapi lesen CDL disalah guna dengan menukar gambar, jadi dengan lesen baharu ini kita sudah mengambil kira faktor keselamatan.

Antara ciri keselamatan ialah gambar tidak lagi dilekat pada kad tetapi dalam bentuk baharu seperti di dalam MyKad,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Hari Ketua Pengarah Bertemu Pelanggan di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah JPJ negeri, Mohd. Shuhaili Mohd. Taufek.

Tambah Ismail, antara ciri-ciri keselamatan yang ada pada lesen baharu itu termasuklah kertas tera air, teks mikro, serat keselamatan dan cetakan pendafluor limunan.

Katanya, ciri-ciri keselamatan yang ada pada lesen baharu itu dapat mengelakkan penipuan dan cubaan untuk membuat lesen tiruan.

Ismail memberitahu, orang ramai yang ingin menukar kepada lesen baharu boleh datang ke mana-mana kaunter JPJ tanpa dikenakan apa-apa bayaran tambahan.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memudahkan pengguna, pihaknya telah mengambil inisiatif menggabungkan tiga lesen vokasional di dalam satu lesen baharu.

Katanya, melalui inisiatif ini, pengguna yang mempunyai Lesen Memandu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), Lesen Memandu Kenderaan Barang-barang Malaysia (GDL) dan Lesen Konduktor Malaysia (Lesen Konduktor) bukan sahaja digabungkan dalam satu lesen tetapi hanya perlu membayar RM20 bagi menghidupkan ketiga-tiga lesen berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna, semua cawangan JPJ di seluruh negara termasuk pengarah setiap negeri akan mengadakan hari bertemu pelanggan pada setiap minggu.

“Kita telah tetapkan setiap hari Khamis bermula pukul 2 petang hingga 5 petang di semua cawangan akan mengadakan hari bertemu pelanggan yang mana pengarah sendiri akan bertemu dan mendengar masalah pengguna,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia, 14 Mei 2013.

6 doktor subahat tipu JPJ ditahan

Selepas sekian lama melakukan penipuan, enam doktor klinik swasta dari beberapa daerah di negeri ini ditahan apabila dikesan melakukan pemalsuan laporan pemeriksaan kesihatan borang permohonan Lesen Memandu Vokasional (VDL) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Enam doktor terbabit berusia 40 hingga 60 tahun ditahan dalam serbuan serentak di Ipoh, Manjung, Teluk Intan, Taiping, Gerik dan Tapah, petang semalam.
Jurucakap Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, semua doktor terbabit dipercayai membuat pengesahan kesihatan tanpa menjalankan pemeriksaan terhadap pemohon lesen berkenaan.

 

“Siasatan awal mendapati, klinik swasta berkenaan mengenakan bayaran serendah RM5 bagi setiap pemohon dan dijangka setiap mereka mampu memperoleh pendapatan ratusan ringgit sehari.
“Kegiatan pemalsuan pengesahan itu dipercayai berlaku sejak beberapa tahun lalu dan semakin aktif selepas menerima banyak permohonan,” katanya di sini, semalam.
Katanya, setiap pemohon lesen vokasional perlu mengemukakan borang JPJ (JPJ L8) kepada klinik berkenaan dan mengikut syarat, pemohon perlu menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapat pengesahan doktor.

 

“Bagaimanapun, hanya dikenakan sejumlah bayaran, pemohon terbabit tidak perlu mengikuti syarat itu bagi membolehkan mereka lulus permohonan mendapatkan lesen itu.
Borang JPJ L8 memerlukan pengesahan doktor klinik swasta atau doktor kerajaan bagi mendapatkan permohonan baru atau proses pembaharuan lesen berkenaan,” katanya.

 

“Semua doktor itu kini ditahan untuk siasatan di Ibu Pejabat SRPM Perak, di sini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

 

Sumber: Harian Metro, 9 Mac 2013.

Klinik keluar sijil kesihatan untuk pemohon GDL, PSV dipantau

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengangkutan akan memantau kegiatan beberapa klinik swasta yang didakwa membuat pengesahan kesihatan kepada pemandu bagi mendapatkan Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) dan Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) tanpa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dengan bayaran serendah RM4.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana adalah penting untuk mereka yang diberikan GDL dan PSV benar-benar sihat dan layak untuk memandu kenderaan awam.

“Kalau kesihatan pemandu tidak diperiksa terlebih dahulu tetapi mereka mendapat sijil kesihatan dengan cop pengesahan dan tandatangan daripada doktor, itu adalah satu perbuatan yang tidak beretika dan doktor tersebut dianggap tidak profesional.

“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap doktor dan kelinik berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kajian Klinikal Malaysia (CRM) sempena Persidangan Kebangsaan Kajian Klinikal kelima 2011 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Berita Harian mengenai tindakan beberapa klinik swasta dikesan memberi pengesahan kesihatan kepada pemandu yang memohon lesen GDL dan PSV tanpa menjalani pemeriksan kesihatan.

Berikutan perbuatan itu, berkemungkinan pesakit kronik seperti mereka yang mempunyai masalah penglihatan, menghidap sawan atau menagih dadah kini memandu kenderaan awam.

Liow berkata, pihaknya akan menyiasat terlebih dahulu perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap mereka.

“Perkara seperti ini pernah terjadi sebelum ini tetapi didapati ia bukan disebabkan kesalahan doktor, sebaliknya pemandu berkenaan yang meniru atau memalsukan sijil kesihatan yang dikeluarkan klinik swasta,” katanya. – BERNAMA, 22 Jun 2011.

Statistik terkini: Satu keluarga, tiga kenderaan!

Kementerian Pengangkutan lapor bilangan meningkat 11.7 peratus

KUALA LUMPUR: Dianggarkan setiap keluarga memiliki sekurang-kurangnya tiga kenderaan berdasarkan statistik terbaru Kementerian Pengangkutan menunjukkan sebanyak 21.2 juta kenderaan didaftarkan di negara ini sehingga tahun lalu.Bilangan kenderaan berkenaan meningkat kira-kira 11.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala sebanyak 1.15 juta kenderaan baru didaftarkan pada 2010 meningkat 13.7 peratus berbanding 2009.

Anggaran pemilikan kenderaan berkenaan dibuat dengan mengambil kira bilangan penduduk negara seramai 27.5 juta manakala 6.3 juta adalah isi rumah dengan 7.3 juta tempat kediaman, dicatatkan tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, yang mengumumkan statistik terbaru kenderaan itu dalam satu kenyataan semalam, berkata dengan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya, pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati bagi mengelak kemalangan daripada berlaku.

“Mengikut rekod, jumlah terkumpul kenderaan yang didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan jumlah yang tertinggi dicatatkan di Wilayah Persekutuan dengan 4.9 juta kenderaan diikuti Johor (2.9 juta) dan Selangor sebanyak 2.3 juta,” katanya.

Wilayah Persekutuan turut menjadi negeri paling tinggi mencatatkan jumlah kenderaan baru didaftarkan tahun lalu iaitu 306,513 buah diikuti Johor (145,040 kenderaan) dan Pulau Pinang (110,882).
Jenis kenderaan yang paling banyak didaftarkan pula adalah kereta (584,304), motosikal (498,041) dan kenderaan barang (40,887).

Kong berkata, pendaftaran pengangkutan awam pada 2010 turut menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya dengan pendaftaran bas meningkat sebanyak 5.24 peratus, teksi (22.9 peratus) dan kereta sewa pandu (53.49 peratus).

 

Sumber: Berita Harian, 26 Februari 2011.

Syarat ketinggian minimum 154cm bagi pemohon lesen vokasional kekal

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kementerian Pengangkutan tidak bercadang membatalkan syarat yang mewajibkan pemohon lesen kenderaan komersial (lesen vokasional) sekurang-kurangnya mencapai ketinggian 154cm.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, syarat sedia ada adalah bagi memastikan pemandu kompeten dalam mengendalikan kenderaan di bawah kendalian mereka.

“Sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Kaedah 4(b)(i) dan 4©(iii), Kaedah-Kaedah Kenderaan Perkhidmatan Awam (Perlesenan dan kelakuan pemandu, konduktor dan penumpang) 1959 dan Kaedah 5(b) Kaedah-Kaedah Kenderaan Barangan (Perlesenan Pemandu 1965), pemandu-pemandu lesen vokasional dikehendaki mempunyai taraf kesihatan yang memuaskan dan fizikal yang sesuai dengan pengendalian kenderaan perdagangan.

“Ini bertujuan memastikan pemilik lesen vokasional tidak mengalami apa-apa penyakit yang boleh mengganggu tugas-tugas mereka sebagai pemandu atau yang mungkin membahayakan pengguna-pengguna jalan raya yang lain,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun kelonggaran tetap diberi kepada pemohon yang tidak mencapai ketinggian itu bagi pertimbangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) asalkan kenderaan itu sesuai dan disertakan dengan laporan doktor. – Bernama, 2 November 2010.