Kematian akibat kemalangan menurun dalam Ops Aidilfitri 2014.

MELAKA 6 Ogos – Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di negeri ini yang dicatatkan sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menurun sebanyak 40 peratus atau enam kematian berbanding tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Lim Ban Hong berkata, dari tempoh 21 Julai hingga 5 Ogos lalu sembilan kematian dicatatkan dalam lapan kemalangan maut berbanding 15 kematian dalam 11 kemalangan maut pada operasi sama tahun lalu.

Menurutnya, jumlah mangsa yang mengalami cedera parah juga menurun sebanyak 10 peratus dari 10 orang pada tahun lalu kepada sembilan orang tahun ini.

”Bagaimanapun, jumlah kemalangan yang dicatatkan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri tahun ini meningkat sebanyak 9.1 peratus kepada 789 kes berbanding 723 kes tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Operasi Penguatkuasaan Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2014 di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Semabok, di sini malam tadi.

Yang hadir sama Pengarah JPJ negeri, Azaharuldin Abdullah, Setiausaha Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Melaka, Ong Tai Chu dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, M. Shantini.

Jelas Ban Hong, sempena musim perayaan tahun ini juga, terdapat pertambahan sebanyak 8,189 buah kenderaan memasuki Melaka dari 25 hingga 29 Julai di mana ia dikenal pasti antara punca peningkatan jumlah kemalangan sepanjang tempoh operasi.

Justeru katanya, jawatankuasa pengangkutan negeri bersama jabatan-jabatan terlibat akan meneruskan strategi menjalankan penguatkuasaan lebih ketat selain memperhebatkan penguatkuasaan melalui program kesedaran dan pendidikan.

”Diharapkan kedua-dua cara ini dapat dijalankan serentak untuk meningkatkan kesedaran mementingkan keselamatan di jalan raya di kalangan pemandu dan pengguna lalu lintas,” tegasnya.

Sementara itu tambah beliau, sepanjang tempoh operasi berkenaan juga, sebanyak 5,242 buah kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa oleh JPJ di mana 377 saman dikeluarkan manakala 364 kenderaan diambil tindakan.

Kesalahan paling banyak dicatatkan ialah TIDAK mempunyai lesen memandu yang sah iaitu sebanyak 157 kes, tidak mempunyai cukai jalan (75 kes), nombor pendaftaran tidak mengikuti spesifikasi dibenarkan (33 kes) serta lain-lain kesalahan termasuk ubah suai kenderaan, cermin gelap, tiada insurans dan memandu bawah umur,” jelasnya.

Operasi yang dijalankan bermula pada pukul 9 malam itu melibatkan 198 anggota penguat kuasa termasuk dari JPJ, MKJR, JKJR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Sumber: Utusan Malaysia, 7 Ogos 2014.

Lesen anda hilang? Ia munkin ada dalam tali air.

ALOR SETAR: Penduduk Kampung Seberang Pumpong, di sini, menemui hampir 300 keping MyKad, MyKid, lesen memandu, kad bank, kad kredit dan pelbagai jenis kad yang bertaburan di dalam tali air dan tepi jalan masuk ke kampung berkenaan berhampiran Kompleks Sukan, Jalan Suka Menanti, di sini, semalam.

Beberapa penduduk yang melalui jalan itu membuat laporan polis pada jam 9.30 pagi selepas pelik melihat ratusan dokumen penting milik pelbagai individu itu dibuang begitu saja di sepanjang laluan sepanjang 200 meter itu.
Seorang penduduk berkata, dia menemuinya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di kampung berkenaan petang kelmarin sebelum memberitahu rakannya.

 

Dia yang enggan dikenali berkata, dia terkejut melihat banyak MyKad dan lesen memandu milik bertaburan di tepi jalan dan tebing tali air berkenaan.
“Petang semalam (kelmarin) air pasang dan tali air itu dalam. Namun apabila air surut pagi ini (semalam), lebih banyak dokumen penting itu dijumpai. Ia seolah-olah dibuang dalam keadaan tergesa-gesa.
“Saya tidak berani mengambilnya lalu pulang ke rumah sebelum memberitahu rakan. Hari ini (semalam) baru kami pergi membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

 

 

Tinjauan Metro Ahad semalam mendapati, selain dokumen penting itu, turut dijumpai ialah pelbagai jenis kad termasuk kad kesihatan, kad beli-belah, slip transaksi bank dan buku akaun bank.
Tinjauan juga mendapati pemilik MyKad dan lesen memandu terbabit kebanyakannya beralamat di sekitar bandar raya ini, Jitra dan Yan. Selain itu ada yang beralamat di Pulau Pinang, Perlis dan Langkawi.

 

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu berkata, 298 keping dokumen pelbagai jenis itu ditemui di sepanjang tali air dan jalan di kawasan itu.
Beliau berkata, jumlah itu membabitkan…

102 keping MyKad;

126 lesen memandu;

51 kad bank dan

19 keping pelbagai kad, termasuk MyKid.
“Kita percaya ia perbuatan individu atau kumpulan tertentu yang melakukan jenayah seperti ragut, pecah kereta dan pecah rumah sebelum membuang dokumen milik mangsa di kawasan itu,” katanya.
Katanya, selain di negeri ini, ada pemilik MyKad dan lesen memandu itu beralamat di Pulang Pinang dan Perlis.
Baharom berkata, pihaknya sudah mengumpul semua dokumen itu dan akan mengesan pemiliknya bagi mengetahui bagaimana mereka kehilangan MyKad atau lesen memandu itu.
“Dari situ kita boleh mengetahui mereka mungkin menjadi perbuatan jenayah atau sebaliknya,” katanya.

 

 

Sumber: Harian Metro, 19 September 2011.