JPJ: Ibu bapa perlu pantau anak bermotosikal.

KANGAR 7 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengingatkan ibu bapa di negeri ini supaya tidak sewenang-wenangnya membiarkan anak-anak mereka yang tidak memiliki lesen memandu menjadikan motosikal sebagai kenderaan ke sekolah.

Pengarahnya, Zulhasmi Mohamad berkata, kebanyakannya ibu bapa sanggup memberikan motosikal milik sendiri atau keluarga untuk digunakan anak ke sekolah kerana enggan menghantarnya sendiri atas alasan sibuk dan sebagainya.

Purata pelajar yang berusia antara 13 hingga 17 di negeri ini didapati menggunakan motosikal tanpa lesen untuk ke sekolah setiap hari di mana mereka terdedah kepada kemalangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa atau cacat anggota seumur hidup,” katanya ketika ditemui semasa operasi khas motosikal sempena Aidilfitri di sini malam semalam.

Zulhasmi berkata, kemalangan motosikal di kalangan pelajar sekolah kerap berlaku tetapi kalangan ibu bapa masih tidak endah terhadap keselamatan anak-anak.

Jangan berkira soal kewangan untuk membolehkan anak-anak mempunyai lesen memandu apabila cukup mengikut umur yang dibenarkan JPJ supaya kes penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan maut dapat dikurangkan,” katanya.

Katanya, sepatutnya ibu bapa jangan sesekali membenarkan anak-anak menunggang motosikal ke sekolah atau ke mana-mana sahaja selagi tidak memiliki lesen memandu.

Beliau berkata, ini penting kerana pengguna jalan raya yang mempunyai lesen memandu akan dilindungi oleh insurans jika berlaku sebarang kemalangan.

Zulhasmi berkata, jika anak sudah mempunyai lesen memandu pula harus pastikan motosikal yang ditunggang itu mempunyai lesen kenderaan.

Sementara itu Zulhasmi berkata, sempena dengan Ops Motosikal Aidilfitri 2014 pada 22 Julai, 3 Ogos dan 5 Ogos di lokasi Kilometer 1.5 Jalan Kangar- Alor Setar yang melibatkan 80 anggota di mana sebanyak 188 notis telah dikeluarkan.

Katanya, selain itu sebanyak 214 kes telah dikesan di mana 113 didapati tidak mempunyai lesen memandu dan 68 pula tiada lesen kenderaan.

Beliau berkata, sepanjang operasi itu juga hanya satu kes dikesan melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun tidak mempunyai lesen memandu dan motosikal yang ditunggangnya itu juga turut disita.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang menyertai operasi berkenaan juga terdapat juga kes penunggang motosikal didapati positif dadah.

Sumber: Utusan Malaysia, 8 Ogos 2014.

Kematian akibat kemalangan menurun dalam Ops Aidilfitri 2014.

MELAKA 6 Ogos – Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di negeri ini yang dicatatkan sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menurun sebanyak 40 peratus atau enam kematian berbanding tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Lim Ban Hong berkata, dari tempoh 21 Julai hingga 5 Ogos lalu sembilan kematian dicatatkan dalam lapan kemalangan maut berbanding 15 kematian dalam 11 kemalangan maut pada operasi sama tahun lalu.

Menurutnya, jumlah mangsa yang mengalami cedera parah juga menurun sebanyak 10 peratus dari 10 orang pada tahun lalu kepada sembilan orang tahun ini.

”Bagaimanapun, jumlah kemalangan yang dicatatkan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri tahun ini meningkat sebanyak 9.1 peratus kepada 789 kes berbanding 723 kes tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Operasi Penguatkuasaan Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2014 di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Semabok, di sini malam tadi.

Yang hadir sama Pengarah JPJ negeri, Azaharuldin Abdullah, Setiausaha Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Melaka, Ong Tai Chu dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, M. Shantini.

Jelas Ban Hong, sempena musim perayaan tahun ini juga, terdapat pertambahan sebanyak 8,189 buah kenderaan memasuki Melaka dari 25 hingga 29 Julai di mana ia dikenal pasti antara punca peningkatan jumlah kemalangan sepanjang tempoh operasi.

Justeru katanya, jawatankuasa pengangkutan negeri bersama jabatan-jabatan terlibat akan meneruskan strategi menjalankan penguatkuasaan lebih ketat selain memperhebatkan penguatkuasaan melalui program kesedaran dan pendidikan.

”Diharapkan kedua-dua cara ini dapat dijalankan serentak untuk meningkatkan kesedaran mementingkan keselamatan di jalan raya di kalangan pemandu dan pengguna lalu lintas,” tegasnya.

Sementara itu tambah beliau, sepanjang tempoh operasi berkenaan juga, sebanyak 5,242 buah kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa oleh JPJ di mana 377 saman dikeluarkan manakala 364 kenderaan diambil tindakan.

Kesalahan paling banyak dicatatkan ialah TIDAK mempunyai lesen memandu yang sah iaitu sebanyak 157 kes, tidak mempunyai cukai jalan (75 kes), nombor pendaftaran tidak mengikuti spesifikasi dibenarkan (33 kes) serta lain-lain kesalahan termasuk ubah suai kenderaan, cermin gelap, tiada insurans dan memandu bawah umur,” jelasnya.

Operasi yang dijalankan bermula pada pukul 9 malam itu melibatkan 198 anggota penguat kuasa termasuk dari JPJ, MKJR, JKJR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Sumber: Utusan Malaysia, 7 Ogos 2014.

Apa kata pengguna: Pemandu tak berhemah patut kursus sekali lagi.

SAYA adalah pekerja sebuah syarikat swasta di ibu kota yang sering memandu untuk ke tempat kerja. Pada kebiasaannya saya bertolak seawal jam 8 pagi dari rumah. Saya pasti bukan saya saja yang melalui Lebuh Raya Bertingkat Ampang (AKLEH). Malah, ratusan ribu pemandu.

Apa yang menjadi kekesalan adalah sikap pemandu yang menggunakan lebuh raya itu TIDAK tahu fungsi lampu isyarat.

Mereka sesuka hati menukar laluan tanpa mempedulikan pemandu lain yang mengekori di belakang. Tiga hari lalu saya hampir terlanggar sebuah kenderaan yang pada mulanya berada di laluan kiri.

Dengan tidak semena-mena pemandunya mengubah laluan, lalu membelok ke kanan tanpa memberi isyarat. Tidak memberi isyarat adalah satu hal, kemudian memandu perlahan di laluan kanan.

Pada pandangan saya ini adalah satu perbuatan tidak wajar. Pemandu terbabit bukan saja mementingkan diri sendiri, tetapi membahayakan keselamatan pemandu lain. Ada baiknya pemandu seperti ini jika dapat dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dipanggil untuk menjalani kursus memandu sekali lagi. 

Seharusnya JPJ menetapkan syarat ‘driving hours’ (waktu pemanduan) yang lebih lama kepada rakyat negara ini yang berhajat untuk mendapatkan lesen memandu. Sama ada lesen kereta, motosikal mahupun kenderaan lain. 

PEMANDU PRIHATIN, Ampang, Selangor.

 

Surat disiarkan dalam Berita Harian, 6 Mei 2011.

Adakah anda rabun warna?

Semua calon yang ingin mendapatkan lesen belajar memandu (Lesen L) dikehendaki lulus ujian buta warna 100% sebelum boleh meneruskan proses ujian teori berkomputer dimana calon dikehendaki menjawab 50 soalan. Markah lulus ujian teori ialah sekurang-kurangnya 42/50 atau 84%.

Di sini kita boleh lihat perbezaan pandangan seorang yang berpenglihatan normal dan yang rabun warna.

Lampu Isyarat Pandangan NormalLampu Isyarat Pandangan Rabun Warna

Jadi di sini lah logiknya keperluan bagi mereka yang ingin mendapatkan lesen memandu untuk lulus ujian ini demi keselamatan pengguna-pengguna jalanraya yang lain.

Anda boleh menguji tahap penglihatan anda di sini.

 

Kebanyakan orang yang rabun warna tidak boleh membezakan beberapa tona warna merah dengan hijau atau biru dengan kuning, sama ada dalam keadaan terang atau cahaya samar.

Dalam kebanyakan kes, rabun warna adalah masalah keturunan. Namun, penyakit mata dan kesan sampingan ubat tertentu juga boleh menyebabkan masalah rabun warna.

Masalah ini lebih kerap berlaku di kalangan lelaki pada nisbah lapan lelaki kepada seorang wanita. Kebolehan melihat warna dalam spektrum warna bermula dengan keupayaan mata membezakan secara tepat tiga warna utama iaitu merah, biru dan hijau.

Cahaya memasuki mata melalui kanta dan menerobos masuk ke bahan lut sinar seperti jeli (yang mengisi ruang di belakang kanta mata) dipanggil jasad untuk sampai ke sel yang sensitif terhadap warna (kon) di retina.

Bahan kimia dalam sel kon ini akan membezakan warna dan menyalurkan maklumat ini melalui saraf optik untuk dihantar ke otak. Jika mata anda normal, anda akan dapat membezakan beratus-ratus nada warna.

Jika sel kon ada kekurangan bahan kimia yang sensitif terhadap cahaya, anda hanya boleh melihat dua warna utama dan biasanya individu rabun warna ada masalah melihat warna merah dan hijau.

Sebaliknya, jika diberikan spektrum warna, individu ini akan melihat warna merah atau hijau sebagai kelabu. Bagaimanapun, tidak semestinya mereka tidak boleh melihat warna merah atau hijau.

Masalah rabun warna boleh dibahagikan kepada tiga; ringan, sederhana dan serius; bergantung kepada jumlah kehilangan bahan kimia yang sensitif kepada cahaya dalam sel kon.

Kekurangan sensitiviti pada warna merah biasanya memberi kesan sama kepada warna hijau. Jadi, lebih ramai individu yang mengalami masalah rabun warna lebih sukar melihat warna hijau.

Malangnya, ramai yang mengalami masalah ini tidak menyedari mereka rabun warna. Mereka tahu hijau untuk daun dan bunga mawar pula warna merah, tetapi mereka mungkin melihat warna yang tidak sama dengan orang lain.

Pada mereka, hijau adalah warna yang kita lihat kuning, tetapi disebabkan sudah diajar dari kecil daun warnanya hijau, mereka menerima ?kuning? sebagai hijau.

Punca

Ada beberapa punca yang menyebabkan rabun warna:

  • Faktor genetik. Dalam kebanyaan kes, gen rabun warna diturunkan daripada emak kepada anak lelaki. Wanita lebih beruntung kerana mempunyai bahan baka yang boleh mengatasi masalah ini. Faktor genetik juga menyebabkan kebanyakan orang sukar melihat warna merah dan hijau. Tahap masalah tidak berubah dengan peningkatan umur.
  • Penyakit mata. Apabila retina mata dijangkiti penyakit tertentu, anda mungkin mengalami masalah membezakan warna biru dan kuning.
  • Gangguan saraf optik juga boleh menyebabkan kerengsaan pada saraf.
  • Kekurangan zat seperti vitamin A juga didapati menyukarkan anda mengenalpasti warna.
  • Kerengsaan menyebabkan sebelah mata membuat penafsiran warna yang berbeza dengan mata sebelah lagi. Malah, pandangan kabur akibat masalah katarak akan menyukarkan anda melihat warna.
  • Kesan sampingan ubat seperti tamozifen; yang diambil untuk mengelakkan barah payu dara.
  • Umur. Kebolehan melihat warna akan bertambah baik dengan peningkatan umur, terutama pada umur 30-an. Keupayaan ini akan berkurangan apabila seseorang bertambah tua.

    Biasanya orang tidak sedar mengalami masalah rabun warna. Rasa syak hanya timbul apabila anak keliru atau selalu membuat kesilapan mengenal warna lampu isyarat atau bahan pendidikan berwarna.

    Jika ini berlaku, bawa segera anak berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan supaya punca masalah ini dapat diketahui. Jika rabun warna disebabkan penyakit, dia sebenarnya ada peluang melihat warna dengan lebih baik jika penyakitnya dapat diubati.

    Ujian untuk rabun warna boleh dilakukan mana-mana oftamologi dengan menggunakan kad bintik warna dan nombor. Jika mata anda tidak bermasalah, anda dengan mudah dapat membezakan nombor dan bentuk yang tersembunyi dalam bintik warna tadi.

    Sebaliknya, jika anda rabun warna, anda sukar melihat nombor atau bentuk dimaksudkan. Ada kemungkinan semua yang ditunjukkan kelihatan sama saja.

    Walaupun tiada rawatan dan cara mengelakkan masalah rabun warna, tetapi perubatan moden dapat membantu anda melihat warna dengan lebih baik dengan memakai kaca mata berpenapis atau kanta sentuh berwarna.

    Bagaimanapun, teknik ini ada kelemahannya kerana ia biasanya bertindak pada sebelah mata saja dan boleh mengganggu keupayaan anda menentukan jarak.