JPJ tidak terlibat anjur pemberian lesen memandu.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini menafikan penglibatannya bersama-sama sebuah badan bukan kerajaan dalam pemberian lesen memandu motosikal dan kereta kepada masyarakat bandar dan luar bandar seperti didakwa sesetengah pihak.

JPJ dalam satu kenyataan menegaskan proses bagi memperoleh lesen memandu yang sah di sisi undang-undang perlu dilakukan melalui prosedur seperti mana yang ditetapkan oleh pihak JPJ.

Sehubungan dengan itu, kenyataan tersebut memberitahu sekiranya terdapat mana-mana pihak yang ingin menaja dengan cara membantu pembayaran yuran bagi memperoleh lesen memandu, pihak JPJ tidak akan bertanggungjawab dalam penganjuran tersebut.

– Bernama, 10 April 2015.

Sumber: Kosmo Online.

Ujian tunggal untuk miliki lesen memandu mulai Mei 2015.

KUALA LUMPUR 2 April – Kerajaan akan melaksanakan ujian tunggal bagi individu yang ingin memiliki lesen memandu kereta dan menunggang motosikal bermula bulan depan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi.

Beliau berkata, ini berikutan aduan serta kritikan yang diterima daripada orang ramai mengenai kekangan masa dan kos bagi menduduki dua ujian berasingan bagi mendapatkan lesen berkenaan.

“Untuk makluman, kerajaan telah mengambil kira segala pandangan orang ramai dan kita jangka akan laksana ujian tunggal mulai bulan depan.

Kedua-dua ujian itu akan disatukan untuk kemudahan orang ramai selain mengurangkan kos bagi tujuan mendapatkan lesen berkenaan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Hasbullah ingin tahu mengenai langkah yang bakal diambil kerajaan bagi memudahkan rakyat memohon lesen memandu kereta dan motosikal di negara ini.

Bagaimanapun katanya, sukatan pelajaran kedua-dua ujian berkenaan adalah berbeza.

Katanya, hasil kaji selidik yang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan peratusan kemalangan melibatkan motosikal adalah tinggi iaitu 60 peratus manakala 20 peratus kemalangan melibatkan kereta.

Menjawab soalan asal Shaharuddin Ismail (BN-Kangar) mengenai peratusan individu yang menduduki ujian berkomputer bagi mendapatkan lesen memandu, Aziz berkata:

57% calon lulus ujian undang-undang berkomputer bagi kali pertama,

38 % bagi kali kedua,

31 % bagi kali ketiga manakala

18 % calon mengambil ujian melebihi tiga kali.

Ujian undang-undang berkomputer adalah bertujuan menilai dan menguji tahap kompetensi bakal pemandu dalam aspek pengetahuan berkaitan peraturan lalu lintas dan konsep pemanduan berhemah,” katanya.

Sebagai kerajaan bertanggungjawab, Aziz berkata rakyat yang kurang mahir dalam penggunaan komputer termasuk penduduk luar bandar dan warga emas akan sentiasa dibantu melalui sistem ujian bertulis atau lisan yang memberi tempoh lebih panjang kepada calon untuk sesi menjawab soalan. – BERNAMA, 2 April 2015.

Ibu bapa tidak peduli amaran polis.

KANGAR 5 April – Amaran polis untuk mengambil tindakan tegas termasuk menggunakan Akta Kanak-Kanak 2001 ke atas ibu bapa yang cuai membiarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen atau tidak mengikut undang-undang ternyata tidak dihiraukan sebilangan masyarakat di sini.

Perkara tersebut terbukti apabila tinjauan akhbar Utusan Malaysia di Jalan Abi Batas Paip di sini dan sekitar­nya kira-kira pukul 5 petang, mendapati ramai remaja dipercayai bawah umur menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

Dipercayai golongan itu yang berusia bawah 15 tahun turut tidak mempunyai lesen memandu.

Bukan sahaja menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar, sebilangan remaja terbabit juga membawa rakan-rakan membonceng sama selain ada yang menunggang secara berbahaya dengan mengangkat tayar hadapan.

Situasi tersebut sudah tentu membahayakan nyawa mereka sendiri selain pengguna jalan raya lain.

Dalam laporan akhbar semalam, polis akan mengambil tindakan tegas ke atas ibu bapa atau penjaga yang didapati cuai membiarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, langkah itu dibuat ekoran jumlah insiden kemalangan maut melibatkan pelajar berusia 16 tahun ke bawah, dari awal tahun sehingga Mac lalu, adalah membimbangkan iaitu sebanyak 309 kes.

 “Sepanjang tahun lalu, jumlah kematian pelajar adalah 290 kes,” ujar beliau.
Sumber: Utusan Malaysia, 6 April 2015.

JANGAN pecut kereta kalau lesen dah tamat tempoh.

Kuala Lumpur: Seorang pemandu lelaki bertindak agresif memecut kereta melawan arus bagi mengelak diberkas polis hanya kerana lesen memandunya sudah tamat tempoh.

Suspek lelaki berusia 30-an itu dikejar kereta peronda polis sejauh lebih tujuh kilometer berhampiran Lebuhraya Duke arah Sentul di sini, sekitar jam 1 pagi semalam.

Sumber berkata, suspek dikatakan panik selepas terserempak kenderaan polis yang cuba menahannya bagi tujuan pemeriksaan.

Menurutnya, suspek kemudian cuba melepaskan diri daripada ditahan polis dengan memandu laju Perodua Alza miliknya.

“Anggota polis peronda terpaksa meminta bantuan sebuah lagi kereta peronda polis sebelum berjaya memintas dan menahan kenderaan suspek.

“Sejurus ditahan, suspek mengaku dia panik dan takut ditahan polis kerana lesen memandunya sudah tamat tempoh. Semasa ditahan lelaki terbabit turut membawa dua lagi rakannya,” katanya.

Menurutnya, polis yang melakukan pemeriksaan rapi tidak menemui sebarang objek berbahaya atau menyalahi undang-undang di dalam kenderaan itu.

“Bagaimanapun satu saman terhadap mangsa tetap dikeluarkan kerana suspek memandu dengan lesen sudah tamat tempoh.

“Dia turut diberikan amaran keras supaya tidak memandu secara berbahaya,” katanya.

Sementara itu jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul mengesahkan kejadian itu.

Sumber: Harian Metro, 8 November 2014.

Apabila pemegang rekod jenayah jadi pemandu teksi.

Pemandu teksi ada rekod jenayah samun penumpang

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Anda boleh bayangkan betapa ngerinya apabila seorang lelaki yang mempunyai rekod kes bunuh, dadah dan empat kali dibuang daerah menjadi pemandu teksi di ibu negara.

Kejadian ini benar-benar berlaku dan rekod peribadinya terbongkar setelah penjenayah yang baru berumur 27 tahun ini menyamun enam penumpang teksi, kebanyakannya pelancong asing.

Polis yang menubuhkan pasukan khas untuk memberkas suspek setelah menerima enam laporan kegiatan jenayah pemandu teksi itu berjaya mencekupnya semasa dia sedang mencari penumpang di Jalan Thamby Pillay di sini, Sabtu lalu kira-kira pukul 3.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Azlee Abdullah berkata, pihaknya segera menubuhkan pasukan khas selepas menerima tiga aduan kes samun yang sama di daerah ini selain tiga lagi di kawasan lain,

Suspek merosakkan nombor plat kenderaannya bagi mengelakkan dicatat oleh mangsa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Azlee, polis merampas dua komputer riba, telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai, jam tangan, kamera, pisau, gunting, dompet serta pelbagai resit jualan telefon dan surat pajak gadai dalam teksi suspek.

Katanya, suspek juga memiliki dua rekod jenayah membabitkan kes bunuh dan berkaitan dadah selain empat rekod buang daerah.

“Kita mendapati teksi yang dipandu suspek milik bapa saudaranya dan dia tidak mempunyai lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV),” katanya.

 

 

Sumber: Utusan Malaysia, 18 Oktober 2014.

JPJ sasar 3.4 juta peroleh lesen memandu SKSJ

TANAH MERAH 23 Okt. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan seramai 3.4 juta penunggang motosikal di seluruh negara bakal menerima lesen memandu menerusi Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) menjelang tahun 2020.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Yusoff Ayob berkata, sehingga kini seramai 70,362 penerima di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada program yang mula diperkenalkan pada 2009 itu.

“Program ini dilaksanakan sebagai pendekatan JPJ melalui kaedah turun padang dan berjumpa dengan masyarakat terutama warga emas yang masih belum memiliki lesen memandu.

“Ia dijalankan khusus untuk golongan yang berumur 45 tahun ke atas manakala bagi masyarakat Orang Asli pula untuk mereka berusia 21 tahun ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Program SKSJ yang turut dihadiri Pengarah JPJ negeri, Abd. Ghani Che Kasim di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Suria, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 339 warga emas menerima Lesen Memandu Percubaan (P) bagi kelas B2.

Dalam perkembangan lain, Yusoff berkata, tempoh penguatkuasaan cermin gelap yang baharu telah dilanjutkan sehingga 1 Mei 2015 bagi memberi peluang kepada pengguna untuk bertindak.

“Kita memberi tempoh lanjutan tersebut selepas mengambil kira pelbagai sudut termasuk kos yang terpaksa ditanggung untuk menukar cermin kenderaan yang baharu,” katanya.

“Selepas tempoh lanjutan berkenaan berakhir, kita akan mengeluarkan saman kepada mereka yang didapati tidak mematuhi peraturan kecuali mempunyai surat kebenaran berhubung soal kesihatan serta keselamatan,” katanya.

 

 

Sumber: Utusan Malaysia, 24 Oktober 2014.

Lesen Memandu bukan ‘lesen besar’ untuk lakukan kesalahan jalanraya.

JELEBU 13 Okt. – Pengguna jalan raya yang baru mendapat lesen memandu mahupun menunggang motosikal diingatkan supaya tidak menjadikan lesen yang diperoleh itu untuk melakukan apa sahaja kesalahan di atas jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah Jaba­tan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Arifin Che Mat menegaskan, lesen memandu yang diberikan kepada pengguna layak itu bertujuan memudahkan urusan ha­rian mereka dengan syarat sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

“Jangan jadikan pemberian lesen hari ini sebagai ‘lesen besar’ untuk melakukan apa sahaja tindakan salah di atas jalan raya.

“JPJ amat komited untuk memberikan perkhidmatan yang baik, memudahkan rakyat tetapi pada masa yang sama tidak pernah berkompromi dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di jalan raya,” katanya semasa penutupan program Satu Komuniti Satu JPJ Dewan Undang­an Negeri (DUN) Pertang di Kompleks UMNO Bahagian Jelebu, Simpang Pertang dekat sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat mewakili ADUN Pertang, Datuk Jalaluddin Alias; Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah; Pegawai Daerah Je­lebu, Mohamed Roduan Ujang dan Ketua Polis Daerah Je­lebu, Deputi Supritendan Setapa Yusoff.

Kata Arifin, lebih utama lagi kepada mereka yang baru menerima lesen penuh menunggang motosikal, pematuhan undang-undang jalan raya amat ditititberatkan.

“Lesen menunggang motosikal yang diberikan ini bertujuan untuk memastikan mereka berada di atas jalan raya dalam kea­daan lebih yakin. Kita berharap golong­an ini dapat membantu pihak berkuasa mengurangkan kadar kemalangan dengan memastikan peraturan yang ditetapkan dipatuhi,” tegasnya.

Sementara itu dalam program yang berlangsung semalam, seramai 281 golongan warga emas diberiken Lesen Memandu Percubaan Motosikal (kelas B2) bagi memudahkan aktiviti harian.

Mereka terdiri daripada 65 pene­rima berbangsa Melayu, tujuh (India) dan 209 (Orang Asli) yang kese­muanya berusia 45 tahun ke atas.

“Kita adakan program ini untuk membantu warga emas me­ngurangkan kos yang tinggi jika mengikuti prosedur penuh kelas menunggang motosikal di institut memandu.

“Selain itu, dengan mengambil kira penunggang motosikal serta pembonceng sangat berisiko tinggi di atas jalan raya, maka dengan pemberian lesen itu mereka akan bertambah yakin untuk menunggang cara berhemah dan selamat,” tegasnya.

Sumber: Utusan Malaysia, 14 Oktober 2014.