Motor amat bahaya

KUALA LUMPUR: Penunggang dan pembonceng motosikal kekal menduduki angka korban tertinggi kemalangan maut jalan raya dengan 60 peratus daripada 6,218 kematian yang dicatat pada tahun lalu terdiri daripada golongan berkenaan.

Mereka menjadi golongan berisiko tinggi terbabit dalam kemalangan, kebanyakannya maut disebabkan kecederaan parah di kepala.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata pengguna perlu mengubah sikap mematuhi undang-undang dan mengamalkan sifat berhemah ketika di jalan raya bagi menurunkan statistik kemalangan dan kematian.
Katanya, hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), kematian atau kecederaan akibat kemalangan berpunca daripada tiga faktor iaitu manusia, keadaan jalan dan kenderaan.
“Manusia menjadi faktor utama kemalangan iaitu sebanyak 67 peratus, sehubungan itu, pengguna jalan raya perlu lebih bertanggungjawab dengan mengambil kira keselamatan pengguna lain. Justeru, menjelang musim perayaan Aidilfitri dan sambutan kemerdekaan, semua pengguna diminta mengamalkan budaya berhemah.
“Bagi penunggang dan pembonceng motosikal, mereka bukan saja perlu menentukan kenderaan dalam keadaan baik, malah memastikan topi keledar yang digunakan menepati piawaian ditetapkan Sirim Berhad (Sirim) dan diikat kemas,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan Balik Kampung Yamaha ke-12, di sini, semalam.
Menurutnya, semua agensi penguatkuasaan turut mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepanjang musim perayaan dalam Ops Sikap yang akan dilaksana bermula 3 September dan berakhir 17 September ini bagi memastikan pengguna mematuhi peraturan jalan raya.
Katanya, pelbagai usaha dijalankan kerajaan bagi mengurangkan kes kemalangan dan kematian biarpun statistik kemalangan jalan raya dari 2004 hingga 2009 mencatatkan penurunan kes sebanyak 46 peratus iaitu daripada 46,531 kepada 25,268 kes pada 2009.
Indeks kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar menurun daripada 4.51 kepada 3.55 peratus bagi tempoh sama.
Kempen yang bermula semalam memberi peluang kepada penunggang motosikal mendapatkan khidmat pemeriksaan motosikal percuma di lima lokasi utama seluruh negara.

Dipukul sebelum disaman?

ALOR SETAR 15 Ogos – Seorang remaja lelaki mendakwa patah pergelangan tangan kanan dan jari kelingking selepas dipukul empat anggota polis, sebelum disaman atas kesalahan lalu lintas, di sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Kedah dekat sini, lewat malam Rabu lepas.

Mohd. Asri Ismail, 18, mendakwa, dalam kejadian yang berlaku kira-kira 12.30 malam itu, dia sedang mengisi minyak sebelum dihampiri empat lelaki berkenaan yang tiba-tiba bertindak memukul kepalanya.

“Saya tidak sempat bertanya kesalahan yang saya lakukan kerana mereka terus memukul saya di kepala menggunakan topi keledar. Saya cuba mengelak dengan menahan tangan kanan di kepala supaya kepala tidak cedera.

“Saya langsung tidak menyedari dari mana mereka mengekori saya,” dakwanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Beliau mendakwa, selepas dipukul barulah tiga saman dikeluarkan kepadanya kerana melanggar lampu merah, tiada lesen memandu dan peralatan motosikal yang ditunggangnya tidak lengkap. – Bernama, 15 Ogos 2010.

Data JPJ dikemaskini. Dah boleh baharui cukai jalan & lesen memandu..

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Pemilik kenderaan yang masih menghadapi masalah untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu disebabkan saman ekor boleh berbuat demikian selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengemas kini data-data sistem jabatan itu, semalam.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd. Nadzri Osman mengakui wujud ‘gangguan’ untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan tetapi telah berjaya diselesaikan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan masalah tersebut.

“Kita baru selesai mengemas kini data-data pemilik kenderaan yang disenarai hitam dan ingin memperbaharui cukai jalan serta lesen.

“Bermula semalam, orang ramai boleh pergi ke pejabat JPJ untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan kerana semua sistem di pejabat JPJ telah dikemas kini.

“Bagaimanapun, orang ramai perlu membayar saman-saman terbabit di kaunter pejabat dan bukannya di kios,” katanya.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang ramai yang mempunyai masalah tersebut supaya merujuk kepada pihak JPJ.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusuf berkata, perkara itu adalah di bawah tanggungjawab JPJ sejak penarikan sementara saman yang disenaraihitamkan.

Beliau menjelaskan, penambahbaikan sistem pengurusan saman berkomputer (saman trafik cops) yang sedang dijalankan PDRM sehingga 16 Ogos ini, tidak melibatkan urusan memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan masing-masing.

Beliau mengulas rungutan orang ramai yang masih gagal memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan masing-masing meskipun selepas kerajaan menarik balik tindakan menyenaraihitamkan kenderaan buat sementara waktu bermula kelmarin hingga 28 Februari tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, Kabinet mengambil keputusan itu setelah mengambil kira dan mempertimbangkan aduan, rayuan serta rungutan orang ramai mengenai tindakan itu.

Sumber: Utusan Malaysia, 14 Ogos 2010.

Pesalah trafik, anda selamat dari senarai hitam hingga 28 Feb. 2011

PUTRAJAYA: “Tindakan menyenaraihitamkan pesalah trafik daripada memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu ditarik balik sementara waktu dan ia berkuat kuasa hari ini (semalam) hingga 28 Februari tahun depan,” kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tidak akan menghapuskan terus senarai hitam berkenaan atau memberikan diskaun bagi saman belum dibayar.
Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memberi kelonggaran kepada orang ramai memandangkan beberapa perayaan termasuk Aidilfitri, Deepavali, Krismas serta Tahun Baru Cina yang akan disambut tidak lama lagi.
“Kita nasihatkan mereka yang mempunyai notis kesalahan supaya menjelaskannya secara ansuran atau sekali gus dalam tempoh kelonggaran ini kerana mereka tidak akan diberi mata demerit jika berbuat demikian.
“Sepatutnya, mereka diberi mata demerit, tetapi dikecualikan jika mereka membuat bayaran dalam tempoh kelonggaran ini. Jadi, kita minta mereka yang belum membayar notis kesalahan supaya menyelesaikannya dalam tempoh ini secara ansuran atau sekali gus.
“Sistem terperinci mengenai bagaimana membayar notis kesalahan yang tertunggak selain berapa lama boleh memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan akan ditentukan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet di kementeriannya, di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan. Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kerajaan akan meneliti dan membincangkan isu saman ekor dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira pandangan semua pihak, termasuk beban ditanggung rakyat.
Beliau dilaporkan berkata, banyak maklum balas diterima daripada pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan diambil atas dasar peruntukan undang-undang, tetapi menegaskan ia bukan tindakan yang dibuat bercanggah dengan undang-undang.
Ketika ditanya mengenai status senarai hitam pesalah trafik yang mencabar tindakan itu di mahkamah, Kong berkata sesiapa saja boleh mencabar notis kesalahan di mahkamah, tetapi tindakan menyenarai hitam tetap dikuatkuasa selepas tempoh kelonggaran berakhir pada 28 Februari tahun depan.
“Kita tidak kira sama ada pemberian notis itu dicabar di mahkamah atau sebaliknya kerana Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dengan jelas menggariskan bahawa sesiapa yang memiliki notis kesalahan trafik belum dilunaskan, cukai jalan tidak boleh diperbaharui sehingga bayaran dibuat,” katanya.

Sumber: Harian Metro, 12 Ogos 2010.

Dari Akhbar: JPJ senarai hitam atas permintaan polis, PBT

PUTRAJAYA: Sebahagian besar tindakan menyenarai hitam kenderaan dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas permintaan pihak polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menunaikan tanggungjawab selaku agensi yang bertanggungjawab terhadap isu berkaitan kenderaan serta kesalahan lalu lintas.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata orang ramai harus menerima tindakan menyenarai hitam sebagai usaha memupuk kesedaran mereka supaya lebih berhati-hati di jalan raya.

“Kebanyakan sekatan ini atas permintaan pihak berkuasa seperti polis atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan selagi sekatan (menyenarai hitam) ini tidak ditarik balik kerajaan, maka adalah tanggungjawab JPJ menguatkuasa syarat tidak membenarkan pembaharuan cukai jalan yang belum melunaskan saman.

“Saya sudah merujuk kepada peguam JPJ serta penasihat undang-undang Kementerian Pengangkutan dan mereka berpandangan tindakan ini boleh dilakukan,” katanya.

Sumber: Berita Harian, 9 Ogos 2010.

Dari Akhbar: Majlis Peguam saran saman ekor dikaji semula

Polis, JPJ perlu guna sistem penyampaian lebih berkesan

KUALA LUMPUR: Pengamal undang-undang meminta supaya pengeluaran saman ekor oleh polis trafik dikaji semula kerana tindakan itu umpama menjatuhkan hukuman ke atas pemilik kenderaan walaupun kesalahan masih belum dibuktikan.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ragunath Kesavan, berkata dari segi prinsip, ada peruntukan undang-undang bagi membolehkan saman ekor itu dilaksanakan, tetapi masalah yang timbul berhubung cara penyampaian saman tidak efektif.

// <![CDATA[//

“Masalah timbul jika saman itu tidak sampai kepada kita, ini menunjukkan ada kelemahan dalam sistem penyampaian. Oleh itu, sistem ini perlu dikaji dan diperbaiki semula sama ada polis atau JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) menggunakan sistem yang efektif dan berkesan, ” katanya.

Peguam Salim Bashir berkata, orang ramai tidak boleh dipaksa membayar kompaun dan dikenakan waran tangkap melalui saman ekor kerana proses itu tidak mengikut sistem perundangan betul.

Katanya, hanya mahkamah yang boleh mengeluarkan perintah sedemikian dan bukannya polis atau JPJ kerana pihak berkenaan tidak diberi kuasa memutuskan sama seseorang individu bersalah atau sebaliknya.

Peguam Arif Azami Hussein berkata, melanggar hak kebebasan individu untuk didengar dan membela diri yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Katanya, pelaksanaan itu melangkaui prosedur perundangan kerana ia bersifat menghukum dengan serta merta.

“Mengikut prosedur betul, seseorang individu diberi notis terlebih dulu sebelum dihadapkan ke mahkamah, saman ekor bukan saja melangkaui prosedur itu, malah hukuman dikenakan tidak memberi banyak pilihan kepada kita, ” katanya.

Sumber: Berita Harian, 9 Ogos 2010.

10 juta saman ekor tak dibayar pesalah trafik

Lebih sejuta kenderaan turut disenaraihitamkan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 juta notis saman ekor diabaikan atau tidak dibayar oleh pesalah trafik di seluruh negara sejak 10 tahun lalu dengan lebih sejuta kenderaan disenaraihitamkan daripada memperbaharui cukai jalan.

Difahamkan, selain kenderaan persendirian dan komersial, turut disenarai hitam ialah golongan VIP, termasuk yang bergelar Datuk dengan nilai keseluruhan saman dianggarkan berbilion-bilion ringgit

Sumber memberitahu Berita Harian, jumlah saman tertinggi dikeluarkan membabitkan pemandu memandu melebihi had laju, diikuti melanggar lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan dan memotong di garisan berkembar.

“Sebahagian besar notis saman dikeluarkan kepada pemandu kenderaan persendirian, diikuti kenderaan komersial dan pengangkutan awam. Proses menyenaraihitamkan kenderaan yang dikenakan saman itu dilakukan secara berperingkat,” katanya semalam.

Sementara itu, Ketua Trafik Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof, berkata jumlah kenderaan disenaraihitamkan tinggi akibat keengganan pemandu menjawab notis POL 170A yang dihantar ke alamat kediaman berpandukan maklumat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas kenderaan mereka dikesan melakukan kesalahan.

Katanya, notis POL 170A perlu dijawab oleh pemilik kenderaan dalam tempoh seminggu sama ada mereka melakukan kesalahan berkenaan atau boleh merujuk kepada cawangan trafik untuk semakan.
“Apa yang menjadi masalah, ramai pemandu mengabaikan notis itu. Oleh kerana tiada jawapan diterima, pemilik kenderaan perlu bertanggungjawab menjelaskan kompaun selepas tiga bulan dari tarikh saman dikeluarkan, walaupun kesalahan mungkin dilakukan orang lain yang memandu kenderaan.

“Malah, jika kenderaan dipandu oleh individu lain pada masa dan tarikh dikesan melakukan kesalahan, pemilik boleh menyatakan nama individu terbabit di bahagian jawapan pada notis itu supaya orang berkenaan dikenakan saman. Mengikut undang-undang, polis boleh menyaman pemilik kenderaan yang tidak menjawab notis itu dalam tempoh seminggu, tetapi kita tidak berbuat demikian dan banyak bertolak ansur,” katanya.

Abdul Aziz berkata, selain saman serta merta yang memerlukan tandatangan pesalah, notis POL 170A atau saman ekor digunakan terhadap kesalahan memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat dan meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan.

Katanya, notis dihantar kepada pemilik kenderaan yang dikesan melakukan kesalahan lalu lintas berdasarkan rakaman kamera pengesan kelajuan yang boleh mengesan pesalah secara automatik tanpa perlu menempatkan anggota polis di sesuatu lokasi.

Alat berkenaan menggunakan prinsip kesan Doppler bagi mengukur kelajuan kenderaan dengan tepat, sama seperti sistem yang digunakan di negara maju seperti England dan Perancis.

“Kita tidak sewenang-wenangnya menghantar notis POL 170A kepada pemilik kenderaan. Malah, kita mempunyai bukti berdasarkan rakaman kesalahan. Cara ini digunakan bagi mendidik pemandu supaya lebih berhemah dan berjaga-jaga terutama di kawasan yang sering berlaku kemalangan. Kita tidak boleh tahan semua kenderaan, jadi kita menggunakan teknologi bagi mengurangkan penggunaan tenaga manusia,” katanya.

Sumber: Berita Harian,  9 Ogos 2010.

Naikkan had laju bas 110kmj?

‘Had laju bas 90 kilometer sejam pun banyak kemalangan’

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Cadangan supaya had kelajuan bas di lebuh raya dinaikkan kepada 110 kilometer sejam tidak munasabah dan boleh mengakibatkan kes kemalangan membabitkan kenderaan itu terus meningkat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, cadangan Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM) itu hanya akan mengundang banyak lagi masalah sedangkan kerajaan berusaha sedaya upaya mengurangkan kadar kemalangan melalui pelbagai pendekatan dan kempen.

”Sekarang ini pun pada kelajuan 90 kilometer sejam, sudah banyak kemalangan maut melibatkan bas di lebuh raya berlaku.

”Hakikatnya, kelajuan 90 kilometer sejam itu boleh mengelakkan kemalangan tetapi kita pula berhadapan dengan sesetengah pemandu bas yang tidak berdisiplin dan hanya memikirkan untuk cepat sampai sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Cho Ha mengulas permintaan PPBSM agar had kelajuan bas di lebuh raya dinaikkan daripada 90 kilometer sejam kepada 110 kilometer sejam.

Setiausaha PPBSM, Saadan Man dalam kenyataannya semalam meminta kerajaan menimbangkan cadangan itu atas alasan had kelajuan 90 kilometer sejam bagi bas kini tidak lagi sesuai apabila Malaysia sedang mengorak langkah menuju ke arah negara maju.

Cho Ha berkata, sekiranya cadangan itu dilaksanakan, ia akan mempertaruhkan nyawa penumpang, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan yang mana bilangan penumpang bas meningkat.

”PPBSM tidak perlu merungut mengenai kelewatan ketibaan mereka ke sesuatu destinasi, biar lambat asalkan selamat,” katanya.

Beliau berkata, untuk menuju ke arah negara maju, tidak semestinya semua had kelajuan kenderaan perlu diubah.

“Jika had kelajuan dipinda, kita bukan sahaja berdepan dengan kemalangan, malah jumlah kematian di jalan raya dan lebuh raya akan meningkat.

“Kita perlu ingat, daripada kajian yang dijalankan oleh pihak kementerian setakat ini, punca utama kemalangan adalah kerana pemandu melanggar had laju,” katanya.

Selain itu, katanya, semua pemandu perlu mematuhi semua had laju mengikut kelas yang ditetapkan.

Tambahnya, pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar arahan tersebut terutamanya pemandu pengangkutan awam.

“Apa yang lebih penting sekarang, mereka memahami sama ada perjalanan mereka selamat atau tidak.

”Ia bukan terletak kepada had kelajuan yang ditetapkan oleh kerajaan tetapi bergantung kepada tahap disiplin mereka sendiri apabila berada di lebuh raya,” tegasnya.

Sumber: Utusan Malaysia, 7 Ogos 2010.

JPJ kerah 4,600 anggota pantau jalan maut pada musim perayaan

HULU TERENGGANU: Sejumlah 4,600 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dikerah mengawasi 202 jalan maut atau berisiko tinggi berlaku kemalangan di seluruh negara pada musim perayaan tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan, berkata operasi tersebut akan bermula seminggu sebelum hari perayaan dan berakhir seminggu kemudian.

“Penguatkuasaan akan dijalankan selama 24 jam dengan meminimumkan operasi statik bagi mengelak kesesakan lalu lintas,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ di perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Berua di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Rozi Mamat, yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata, pada musim perayaan kali ini juga, bilik kawalan di semua pejabat JPJ negeri dan ibu pejabat akan beroperasi 24 jam sehari.

Katanya, JPJ akan menempatkan anggota penguat kuasa di 36 terminal bas di semua negeri bagi memeriksa tayar, brek, buku log kenderaan dan sebagainya manakala pihak polis, menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, akan mengadakan ujian air kencing terhadap pemandu bas ekspres.
Solah berkata, anggota JPJ di terminal bas juga akan bertindak terhadap ulat tiket yang mengambil kesempatan pada musim perayaan.

“Pengguna perlu sedar, kenapa perlu beli tiket daripada ulat-ulat sedangkan kaunter ada jual tiket,” katanya.

Beliau berkata, JPJ juga akan mengambil tindakan terhadap terhadap pemandu teksi yang mengenakan tambang lebih, enggan mengunakan meter serta enggan mengambil penumpang.

Katanya, pengguna boleh membuat aduan kepada anggota penguat kuasa yang bertugas di terminal dan Bilik Kawalan, Bahagian Penguatkuasa di semua pejabat JPJ negeri atau Ibupejabat, atau menerusi e-mel di alamat aduan@jpj.gov.my.

Seramai 36 daripada 295 Orang Asli Kampung Sungai Berua yang menjalani ujian memandu kelas B2, mendapat lesen memandu masing-masing hari ini. – BERNAM, 7 Ogos 2010.

Apa Kata Pengguna: Peritnya nasib akibat saman ekor

SAYA merupakan seorang agen insurans merasa terpanggil untuk memberikan maklum balas berhubung perlaksanaan saman ekor yang menyekat pemilik kenderaan daripada memperbaharui cukai jalan mereka.

Sebagai seorang yang sering berurusan dengan golongan ini, saya dapat merasakan kesulitan dan kepayahan pemilik kenderaan ini apabila gagal untuk memperbaharui cukai jalan ekoran disekat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Untuk makluman, majoriti pemilik kenderaan ini merupakan golongan berpendapatan rendah yang bergantung sepenuhnya kepada penggunaan kenderaan untuk urusan seharian. Ada yang bekerja sendiri, pesara kerajaan, peniaga kecil-kecilan, peruncit dan sebagainya.

Bayangkanlah kesulitan mereka apabila satu-satunya kenderaan yang ada disenaraihitamkan daripada memperbaharui cukai jalan. Pengalaman saya mendapati, ada saman ekor yang disekat bukan satu tetapi sehingga lima sekali gus. Ini bermakna pemilik terpaksa membayar RM1,500 untuk kelima-lima saman ekor sekiranya ingin memperbaharui cukai jalan.

Untuk makluman bersama, golongan ini turut mempunyai keperluan lain untuk disediakan, termasuk perbelanjaan harian untuk persekolahan anak-anak dan keluarga.

Tidak hairanlah, sekiranya kita mendapati ramai pemilik kenderaan masih terus memandu kenderaan masing-masing walaupun cukai jalan kenderaan mereka telah tamat tempoh. Lebih membahayakan, ada di antara kenderaan tersebut turut tidak dilindungi insurans.

Tindakan polis menyenaraihitamkan nombor kad pengenalan pemilik kenderaan turut menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka. Bagi yang mempunyai lebih dari sebuah kenderaan (contoh kereta A dan B) yang didaftarkan atas nama yang sama, sekiranya kereta A disaman, pemilik terbabit turut disekat daripada memperbaharui cukai jalan bagi kereta B. Kenapa ini berlaku?

Rakyat merasa teraniaya, marah dan ‘memendam rasa’ kerana telah ‘dihukum’ terlebih dahulu. Pendekatan ‘bayar dulu, cerita kemudian’ merupakan kaedah yang paling tidak berhemah dan mempunyai elemen paksaan tanpa diplomasi dan budi bicara. Rakyat tidak mempunyai pilihan sebaliknya terpaksa membayar saman. Jika tidak, cukai jalan tidak dapat dikeluarkan.

Mungkin inilah yang dikatakan ‘Rakyat Didahulukan’. Ya, rakyat didahulukan untuk ‘dipaksa’ membayar saman atas kesalahan yang masih belum dibuktikan di mahkamah.

Pada hemat saya, sekiranya perlaksanaan saman ekor atau ‘saman sekat’ ini tidak ditangani dengan segera dan berhemah, mungkin rakyat tidak mempunyai pilihan sekarang, tetapi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, kuasa pilihan di tangan mereka.

Saiful

Kampung Baru

Kuala Lumpur

– seperti disiarkan dalam Utusan Malaysia, 6 Ogos 2010.