JPJ: Ibu bapa perlu pantau anak bermotosikal.

KANGAR 7 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengingatkan ibu bapa di negeri ini supaya tidak sewenang-wenangnya membiarkan anak-anak mereka yang tidak memiliki lesen memandu menjadikan motosikal sebagai kenderaan ke sekolah.

Pengarahnya, Zulhasmi Mohamad berkata, kebanyakannya ibu bapa sanggup memberikan motosikal milik sendiri atau keluarga untuk digunakan anak ke sekolah kerana enggan menghantarnya sendiri atas alasan sibuk dan sebagainya.

Purata pelajar yang berusia antara 13 hingga 17 di negeri ini didapati menggunakan motosikal tanpa lesen untuk ke sekolah setiap hari di mana mereka terdedah kepada kemalangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa atau cacat anggota seumur hidup,” katanya ketika ditemui semasa operasi khas motosikal sempena Aidilfitri di sini malam semalam.

Zulhasmi berkata, kemalangan motosikal di kalangan pelajar sekolah kerap berlaku tetapi kalangan ibu bapa masih tidak endah terhadap keselamatan anak-anak.

Jangan berkira soal kewangan untuk membolehkan anak-anak mempunyai lesen memandu apabila cukup mengikut umur yang dibenarkan JPJ supaya kes penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan maut dapat dikurangkan,” katanya.

Katanya, sepatutnya ibu bapa jangan sesekali membenarkan anak-anak menunggang motosikal ke sekolah atau ke mana-mana sahaja selagi tidak memiliki lesen memandu.

Beliau berkata, ini penting kerana pengguna jalan raya yang mempunyai lesen memandu akan dilindungi oleh insurans jika berlaku sebarang kemalangan.

Zulhasmi berkata, jika anak sudah mempunyai lesen memandu pula harus pastikan motosikal yang ditunggang itu mempunyai lesen kenderaan.

Sementara itu Zulhasmi berkata, sempena dengan Ops Motosikal Aidilfitri 2014 pada 22 Julai, 3 Ogos dan 5 Ogos di lokasi Kilometer 1.5 Jalan Kangar- Alor Setar yang melibatkan 80 anggota di mana sebanyak 188 notis telah dikeluarkan.

Katanya, selain itu sebanyak 214 kes telah dikesan di mana 113 didapati tidak mempunyai lesen memandu dan 68 pula tiada lesen kenderaan.

Beliau berkata, sepanjang operasi itu juga hanya satu kes dikesan melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun tidak mempunyai lesen memandu dan motosikal yang ditunggangnya itu juga turut disita.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang menyertai operasi berkenaan juga terdapat juga kes penunggang motosikal didapati positif dadah.

Sumber: Utusan Malaysia, 8 Ogos 2014.

Pelajar sekolah menengah dapat topi keledar percuma

BATU PAHAT 5 Ogos – Sebanyak 500 pelajar sekolah menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan menerima topi keledar percuma yang disumbangkan Pusat Khidmat ADUN kawasan itu.

Sumbangan yang turut mendapat kerjasama Kelab Putera 1Malaysia itu diberikan kepada pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah supaya mereka menggunakan topi keledar yang selamat dan diluluskan.

ADUN Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, pemberian topi keledar itu hanya kepada pelajar yang layak iaitu mereka yang mempunyai lesen memandu kelas B atau B2 yang sah.

Tujuan utama pemberian topi keledar secara percuma ini adalah sebagai salah satu langkah untuk memastikan pelajar yang menunggang motosikal menggunakan topi keledar yang baik dan telah diakui keselamatannya.

“Sebelum ini saya lihat ada di antara pelajar yang memakai topi keledar yang tidak selamat, pelbagai jenis dan bentuk yang tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya selepas menyampaikan 150 topi keledar itu kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penghulu Saat, di sini baru-baru ini.

Selain SMK Penghulu Saat, pelajar SMK Dato’ Sulaiman dan SMK Sri Medan turut menerima topi tersebut hasil kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah terlibat.

Zulkurnain berharap, pemberian topi keledar tersebut dapat menunjukkan imej yang baik kepada para pelajar dan menjadi contoh kepada pelajar sekolah lain dan orang ramai di sekelilingnya.

“Mereka yang menerima topi keledar berkenaan perlulah menjaganya dengan baik dan dipakai apabila menunggang motosikal, selain berharap topi itu tidak disalah gunakan,” katanya.

Sumber:  Utusan Malaysia, 6 Ogos 2014.

PPJM syor mohon lesen tanpa ikuti sekolah memandu

SHAH ALAM: Persatuan Pengguna Jalan Raya Malaysia (PPJM), mencadangkan Kementerian Pelajaran mewujudkan satu subjek berkaitan peraturan dan keselamatan jalan raya kepada pelajar tingkatan satu hingga tingkatan empat di sekolah serta mengadakan peperiksaan khas bagi subjek itu.

Pengerusinya, Hamdan Taha, berkata melalui peperiksaan itu, pelajar tingkatan empat yang lulus boleh memohon lesen L daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tanpa perlu mengikuti kursus di sekolah memandu.

“Ini cara terbaik menangani masalah penunggang motosikal atau pemandu kenderaan berumur 16 hingga 25 tahun yang tiada lesen kerana tidak mampu mengikuti kursus di sekolah memandu yang membabitkan kos sehingga RM600 bagi lesen L,” katanya selepas Majlis PPJM bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Media.

 

Sumber: Harian Metro.

JPJ adakan program SKSJ untuk golongan muda.

ALOR SETAR — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merancang untuk mengadakan program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) bagi golongan muda yang tidak berkemampuan khususnya pelajar sekolah yang cukup umur untuk mendapatkan lesen motosikal kelas B2.

Pengarah Bahagian Korporat dan Penyelidikan JPJ, Zairi Mat Ali berkata, permintaan daripada golongan itu bagi mendapatkan lesen sudah ada dan pihaknya masih membuat kajian tentang perkara itu.

Kajian ini memakan masa yang lama sebab kita nak libatkan institut memandu dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah untuk melaksanakan program itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program SKSJ Parlimen Kuala Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika ini program SKSJ hanya bagi warga emas di mana JPJ akan menguruskannya 100 peratus, tetapi untuk program kepada golongan muda, JPJ perlu mendapatkan kerjasama institut memandu dan PIBG sekolah. — Bernama, 26 Mac 2011.