Dulu “JPJ bersama Rakyat”, kini “Satu komuniti Satu JPJ”.

Program Satu Komuniti Satu JPJ berjaya membantu 444 warga emas dan masyarakat Orang Asli di daerah Rompin memperoleh lesen memandu percubaan B2 (motosikal), manakala sebanyak 59 buah motosikal yang tertangguh pembayaran cukai jalan selepas 10 tahun turut berjaya dikesan. 

“Melalui program ini juga, kita berjaya mengesan seorang warga Orang Asli yang telah bertukar ganti sebanyak 18 motosikal, tetapi tidak pernah memiliki lesen memandu dan kita akan memberikannya peluang untuk menduduki ujian pelesenan supaya dia boleh berada di atas jalan raya dengan sah,” kata Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan. . 
Katanya program yang dahulunya dikenali sebagai JPJ bersama Rakyat ini bertujuan untuk merapatkan pengurusan JPJ dengan penduduk selain mengadakan perkhidmatan langsung dan memberi kemudahan kepada masyarakat setempat. 

Selain itu, beliau berkata program seumpama itu juga dilaksanakan bagi mencapai matlamat penurunan angka kemalangan dan kematian menjelang 2010.

-Bernama.

Sumber: Berita Harian, 27 April 2009.

JPJ sasar 2 kematian bagi 10,000 kenderaan

ROMPIN 26 April – Hanya dua kematian daripada 10,000 kenderaan.

Itu sasaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan membabitkan kenderaan di seluruh negara mulai tahun hadapan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, pihaknya sedang berusaha mengurangkan kadar kemalangan dengan memberi pendedahan kepada orang ramai khususnya masyarakat luar bandar dan Orang Asli.

“Melalui program Satu Komuniti Satu JPJ kita gunakan peluang mendekati masyarakat dengan memberi kesedaran mengenai keselamatan semasa berada di jalan raya.

“Ini kerana, kini terdapat kira-kira satu juta kenderaan yang dikeluarkan dan jumlah itu meningkat sebanyak sembilan peratus setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup program Satu Komuniti Satu JPJ di Felda Selendang 1 dan 2 di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tioman, Kapten (B) Mohd. Johari Hussin; Pengarah JPJ Pahang, Datuk Zakaria Man dan pegawai JPJ seluruh negara.

Melalui program tersebut, JPJ memberikan lesen memandu percubaan kelas B2 kepada 444 warga emas dan Orang Asli di daerah ini.

Menurut Solah, sehingga kini, terdapat 17 juta kenderaan yang berdaftar di negara ini dengan 10 juta pemandu berdaftar.

Melalui program yang diadakan itu, JPJ berjaya mengesan seorang penduduk Orang Asli yang memiliki 18 buah motosikal tetapi tidak mempunyai lesen memandu.

“Bayangkan, sejak sekian lama lelaki berkenaan tidak memiliki lesen memandu. Namun, hari ini setelah mengikuti kelas pemanduan yang diadakan, dia telah diberikan lesen,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 27 April 2009.

Lesen memandu Presiden FIFA pun kena gantung…

GENEVA – Lesen memandu Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter digantung sebulan gara-gara terlibat dalam kemalangan apabila cuba memotong kenderaan lain ketika memandu kereta sports, lapor agensi berita Switzerland ATS, kelmarin.

Dalam kemalangan itu, kereta pemimpin badan bola sepak dunia itu bertembung dengan sebuah kereta lain dari arah bertentangan, kata pihak berkuasa.

Blatter tidak cedera dalam kemalangan di Bernese Oberland itu.

Pihak berkuasa mengambil kira rekod bersih lesen memandu Blatter dan menjelaskan kesalahan adalah di peringkat pertengahan.

Blatter juga diarah membayar kos kerosakan akibat kemalangan tersebut yang berjumlah 200 Swiss francs. – AFP

 

Sumber: Utusan Malaysia, 22 April 2009.

Dari Akhbar: Saman guna topi keledar tiada piawaian dikaji

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melakukan kajian sebelum tindakan diambil terhadap penunggang dan pembonceng motosikal yang enggan menggunakan topi keledar yang tidak memenuhi piawaian Sirim. 

Pengarah Penguatkuasaan JPJ, Salim Parlan, berkata kajian itu akan dilakukan sebaik proses penilaian keberkesanan kempen advokasi yang dilancarkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sejak 18 bulan lalu selesai. 

“Perkara itu tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa. Kita mesti dapatkan maklum balas daripada pengguna juga. Setakat ini kita belum ada peruntukan undang-undang untuk menyaman penunggang dan pembonceng yang memakai topi keledar yang tidak diluluskan Sirim.

“Ini bergantung kepada pengguna itu sendiri. Seharusnya mereka lebih peka mengenai keselamatan mereka ketika berada di jalan raya. Kita hanya boleh menyaman penunggang dan pembonceng motosikal yang tidak memakai topi keledar, tapi jika mereka pakai kita tak boleh buat apa,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Sungai Besi di sini, semalam. 

Beliau berkata, penunggang dan pembonceng yang ditahan kerana tidak memakai topi keledar boleh dikenakan kompaun RM80 atau denda sehingga RM2,000 jika disabitkan di mahkamah. 

Sementara itu, Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh, berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menjalankan kajian mengenai penggunaan topi keledar yang tidak mempunyai kelulusan Sirim.

“Kita minta semua pihak boleh sama-sama menyumbang idea bagi memantapkan lagi kempen ini. Sejak kempen advokasi ini dilancarkan, 120,000 topi keledar percuma sudah diagihkan kepada pengguna di seluruh negara. 

“Kempen ini akan diteruskan dan kita komited untuk mencapai sasaran kita iaitu ke arah kemalangan maut sifar menjelang 2010. Jadi, kita mengalu-alukan sebarang cadangan dan maklum balas dari orang ramai. Mereka boleh menyalurkannya melalui laman web http://www.panducermat.org.my idea mereka atau untuk mendapat maklumat lanjut,” katanya.

 

Sumber: Berita Harian, 18 April 2009.

 

Lelaki lebih berisiko rabun warna

RABUN warna sebenarnya bukanlah istilah tepat bagi pesakit yang memiliki persepsi berbeza terhadap warna. Berbanding mereka yang berpenglihatan normal, dunia ‘penderita’ ini tidaklah berwarna hitam putih seakan siaran televisyen lama seperti tanggapan kebanyakan orang.

Sebaliknya, Ketua Jabatan Optometri, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Haliza Abdul Mutalib berkata, jenis dan tahap keseriusan defek warna adalah berbeza daripada seorang individu kepada individu yang lain.

Malah, tiada pengecaman saturasi (tone) warna yang sama antara dua orang penderita defek warna.

Oleh kerana defek warna lazimnya berpunca daripada faktor genetik, risiko lelaki mendapat masalah ini adalah lebih tinggi. Khasnya defek warna jenis merah-hijau. Gen penyebab defek merah-hijau ini diwarisi oleh kromosom X.

Disebabkan lelaki hanya mempunyai satu kromosom X, maka gen ini bersifat dominan apabila bertemu dengan kromosom lain (Y). Lelaki biasanya mewarisi ‘kekurangan’ ini daripada ibunya yang merupakan pembawa.

Meskipun defek warna pada amnya bukanlah satu isu besar, Haliza bagaimanapun menekankan pentingnya kanak-kanak prasekolah menjalani saringan mata atau ujian penglihatan warna awal.

Antara jenis ujian penglihatan warna yang biasa digunakan oleh pakar mata ialah kepingan warna Ishihara, D-15, FM 100 Hue dan Anamaloskop.

Ujian FM 100 Hue misalnya, mampu mengesan keseriusan defek warna seseorang. Pengesanan awal boleh mencegah mereka yang mengalami defek warna daripada membesar dengan kekeliruan warna.

“Jika ibu bapa tahu anak ada defek ini, jadi sejak awal lagi bolehlah latih mereka mengingati dan tidak keliru dengan warna.

“Lagipun, masa di tadika pun mereka sudah didedahkan dengan alat-alat pembelajaran yang berwarna-warni. Misalnya pensel warna,” katanya dalam satu pertemuan bersama Kosmo! baru-baru ini.

Tanpa menjalani ujian penglihatan warna dan kepekaan ibu bapa, adalah sukar untuk masalah defek warna ini dikesan. Jelas Haliza lagi, defek warna juga tidak semestinya kongenital. Ia boleh berpunca hasil kesan daripada sesetengah jenis penyakit yang dihidapi oleh pesakit dewasa.

Tidak seharusnya melabelkan defek warna sebagai satu kecacatan, beliau berkata, kelemahan ini sebenarnya boleh diperbetulkan dengan sejenis kanta sentuh tinta khas. Namun, kanta khas ini hanya akan disyorkan kepada pesakit dewasa berdasarkan kes-kes tertentu.

“Hanya selepas menjalani ujian penglihatan warna, barulah kita tahu siapa yang sesuai untuk kanta itu. Itu pun bukan semua kes (pesakit) yang layak akan disarankan memakai kanta sentuh khas tersebut.

“Sebabnya mudah. Melainkan tujuan pesakit itu adalah untuk menikmati peluang melihat pelbagai jenis warna, misalnya dalam kerjaya seorang pelukis atau jurufoto, itu boleh. Tetapi, kalau untuk pemandu bas ataupun permintaan ibu bapa agar anaknya boleh jadi jurutera, itu memang tidak disyorkan,” terangnya lanjut.

Kategori kumpulan kerjaya yang layak tetapi tidak disyorkan kanta sentuh khas itu adalah kerana risiko keselamatan diri dan orang lain yang harus diutamakan.

Tambah Haliza, satu saringan yang dilakukan ke atas 4,000 pemandu berlesen baru di Malaysia pada tahun 2006 mendapati 2.2 peratus daripadanya memiliki defek warna.

“Bayangkan, 2.2 peratus pesakit defek warna ini masih berada di jalan raya. Ada pemandu defek warna yang bijak menghafal kedudukan warna lampu isyarat.

“Tetapi, bagaimana pula dengan mereka yang serius defek warnanya? Mereka ini tidak sama sekali boleh membezakan warna lampu isyarat,” ujarnya.

Sementara itu, Perunding Optalmologi Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn, Dr. Zainal Mohamad juga memberitahu, pakar perubatan tidak boleh mempertaruhkan walau satu peratus pun risiko kepada kategori pesakit defek warna yang menceburi bidang melibatkan penglihatan normal.

“Di hospital ini misalnya, kami selalu dapat pesakit yang datang dengan pelbagai sebab berbeza. Sebilangan besarnya ingin dapat pengesahan doktor untuk menduduki ujian memandu. Ada pula yang ingin meneruskan niat belajar dalam bidang kegemaran. Contohnya, kejuruteraan kimia, tentera ataupun juruterbang.

“Dalam kes seperti ini, kami hanya boleh menasihati agar mereka memilih haluan kerjaya lain jika sudah disahkan rabun warna,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! di ibu negara baru-baru ini.

Biarpun pernah beberapa kali diminta untuk ‘meluluskan’ pesakit rabun warna demi membolehkan mereka menceburi bidang kegemaran, Zainal bagaimanapun gagal memenuhi permintaan tersebut.

Turut menekankan defek warna bukan satu masalah serius, yang penting, pesakit memerlukan sokongan dan pemahaman dari ahli keluarganya.

“Sebenarnya pesakit defek warna ini berada dalam dunia mereka sendiri. Ada ketikanya mereka mungkin rasa terpencil. Kita tidak mahu ada pesakit ini menganggap diri cacat kerana mereka juga boleh berjaya seperti orang lain.

“Jadi, kalau dari awal lagi sudah tahu anda defek warna, maka, elakkan memilih jurusan yang salah apabila memasuki universiti atau kerjaya yang memerlukan penglihatan normal. Misalnya, bidang geosains, ketenteraan atau pemandu pengangkutan awam,” jelasnya lagi.

 

Sumber: Kosmo, 14 April 2009.

Dari Akhbar: Syarat baru dapatkan topi keledar percuma

TASEK GELUGOR: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) tidak lagi mengedarkan topi keledar percuma kepada penunggang dan pembonceng motosikal jika mereka enggan menyerahkan topi keledar lama. 

Ini bagi mengelak mereka terus menggunakan topi keledar lama walaupun tidak selamat digunakan, manakala topi keledar baru disimpan sebagai perhiasan di rumah. 

Pengarah JKJR Pulau Pinang, S Jegan, berkata sebelum ini pihaknya memberi topi keledar baru secara percuma kepada penunggang dan pembonceng motosikal dalam kempen yang dijalankan tanpa mengambil topi keledar lama.

Katanya, pendekatan lama tidak berkesan apabila JKJR mendapati penunggang masih terus menggunakan topi keledar lama. 

“Jika penunggang atau pembonceng masih enggan memakai topi keledar yang selamat, kami bimbang kes kemalangan maut di Pulau Pinang membabitkan golongan itu akan meningkat setiap tahun,” katanya.

 

Sumber: Berita Harian, 1 April 2009.

Apa dah jadi… Cuma 15 daripada 627 teksi Lembah Kelang tak buat kesalahan?

PUTRAJAYA 30 Mac — Hanya 15 daripada 627 teksi yang diperiksa di sekitar Lembah Kelang bersih dari sebarang kesalahan, menurut statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berdasarkan operasi penyamaran dari 16 hingga 29 Mac lepas.

Pengarah Penguatkuasa JPJ Salim Parlan berkata sebanyak 1,428 kesalahan direkodkan bagi 612 teksi tersebut, termasuk tidak menggunakan meter yang berjumlah 432 kes, enggan mengambil penumpang (103), mengenakan tambang lebih (144), melindungi/menutup/mengubahsuai meter (34), tidak mempamerkan kad pemandu (192) dan meninggalkan teksi (21).

“Kita juga dapat mengesan sebanyak 502 kes lain seperti tidak menggunakan tali pinggang keledar, memandu secara bahaya, tidak mempunyai lesen memandu teksi (PSV) dan tamat tempoh cukai jalan,” katanya dalam sidang akhbar bersama Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Datuk Markiman Kobiran di sini hari ini.

Salim berkata dalam operasi yang melibatkan lebih 60 pegawai penguatkuasa tersebut, pihaknya mengesan empat warga Pakistan yang memandu teksi secara haram, manakala sebanyak 24 kenderaan disita atas kesalahan berat seperti ketiadaan lesen memandu atau cukai jalan.

Katanya, notis temu siasat akan dikeluarkan kepada pemilik-pemilik teksi yang didapati melakukan kesalahan tersebut menurut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan, dan hasil laporan mengenainya, berserta hasil laporan anggota yang melakukan operasi penyamaran tersebut akan dikemukakan kepada LPKP untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Markiman berkata walaupun ia tidak mewakili kesemua 21,000 teksi yang aktif di Lembah Kelang, statistik tersebut agak membimbangkan. Justeru beliau berkata tindakan tegas akan diambil jika laporan mendapati mereka terbukti melakukan kesalahan tersebut, termasuk membatalkan lesen untuk kesalahan berat seperti enggan menggunakan meter, mengenakan caj lebih dan enggan mengambil penumpang. Menurut statistik tindakan bagi tahun lalu, sebanyak 4,083 kompaun dikeluarkan untuk teksi dan kereta sewa, 164 lagi digantung dan 79 dibatalkan permit, manakala untuk tahun ini sehingga Feb, sebanyak 243 teksi dan kereta sewa dikompaun, 57 digantung dan 6 dibatalkan permit, katanya. — Bernama, 30 mac 2009.