JPJ: Ibu bapa perlu pantau anak bermotosikal.

KANGAR 7 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengingatkan ibu bapa di negeri ini supaya tidak sewenang-wenangnya membiarkan anak-anak mereka yang tidak memiliki lesen memandu menjadikan motosikal sebagai kenderaan ke sekolah.

Pengarahnya, Zulhasmi Mohamad berkata, kebanyakannya ibu bapa sanggup memberikan motosikal milik sendiri atau keluarga untuk digunakan anak ke sekolah kerana enggan menghantarnya sendiri atas alasan sibuk dan sebagainya.

Purata pelajar yang berusia antara 13 hingga 17 di negeri ini didapati menggunakan motosikal tanpa lesen untuk ke sekolah setiap hari di mana mereka terdedah kepada kemalangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa atau cacat anggota seumur hidup,” katanya ketika ditemui semasa operasi khas motosikal sempena Aidilfitri di sini malam semalam.

Zulhasmi berkata, kemalangan motosikal di kalangan pelajar sekolah kerap berlaku tetapi kalangan ibu bapa masih tidak endah terhadap keselamatan anak-anak.

Jangan berkira soal kewangan untuk membolehkan anak-anak mempunyai lesen memandu apabila cukup mengikut umur yang dibenarkan JPJ supaya kes penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan maut dapat dikurangkan,” katanya.

Katanya, sepatutnya ibu bapa jangan sesekali membenarkan anak-anak menunggang motosikal ke sekolah atau ke mana-mana sahaja selagi tidak memiliki lesen memandu.

Beliau berkata, ini penting kerana pengguna jalan raya yang mempunyai lesen memandu akan dilindungi oleh insurans jika berlaku sebarang kemalangan.

Zulhasmi berkata, jika anak sudah mempunyai lesen memandu pula harus pastikan motosikal yang ditunggang itu mempunyai lesen kenderaan.

Sementara itu Zulhasmi berkata, sempena dengan Ops Motosikal Aidilfitri 2014 pada 22 Julai, 3 Ogos dan 5 Ogos di lokasi Kilometer 1.5 Jalan Kangar- Alor Setar yang melibatkan 80 anggota di mana sebanyak 188 notis telah dikeluarkan.

Katanya, selain itu sebanyak 214 kes telah dikesan di mana 113 didapati tidak mempunyai lesen memandu dan 68 pula tiada lesen kenderaan.

Beliau berkata, sepanjang operasi itu juga hanya satu kes dikesan melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun tidak mempunyai lesen memandu dan motosikal yang ditunggangnya itu juga turut disita.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang menyertai operasi berkenaan juga terdapat juga kes penunggang motosikal didapati positif dadah.

Sumber: Utusan Malaysia, 8 Ogos 2014.

Alasan pengguna-pengguna jalanraya yang degil

KUALA LUMPUR: “Setiap kali operasi, masih banyak lagi kesalahan seperti tidak ada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh dilakukan. Mereka seolah-olah tidak tahu undang-undang jalan raya di negara ini,” kata Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan, Shamsudin Sulaiman.

Menurutnya, sikap degil pengguna jalan raya ini hanya akan menyusahkan mereka sendiri jika berlaku kejadian yang tidak diingini.

“Setiap kali ditanya, pengguna jalan raya akan memberi pelbagai alasan bagi mengelakkan diri daripada disaman antaranya tiada masa mengambil lesen pemandu atau tidak sempat memperbaharui cukai jalan tamat tempoh.

“Jangan beri alasan lagi kerana mereka berkemungkinan ‘mati katak’ jika terbabit dengan kemalangan. Ketika itu sudah terlambat untuk menyesal,” katanya ketika dihubungi.

Shamsudin berkata, dalam ‘Ops Pengarah’ yang dilakukan di Bukit Jalil, Rabu lalu sebanyak 80 saman dikeluarkan dengan majoritinya membabitkan dua kesalahan itu.

“Selain itu, kita turut menyita 23 motosikal kerana didapati melakukan kesalahan itu selain mengubahsuai kenderaan mereka.

“Kita bertegas bukan untuk menyusahkan pengguna jalan raya tetapi membantu menyelamatkan nyawa mereka.

“Operasi seperti ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan hanya yang benar-benar layak dan selamat ada di atas jalan raya,” katanya.

Sumber: Harian Metro, 28 Jun 2009.

Dari Akhbar: 11 sekolah dididik elak lumba haram

Operasi pastikan motosikal diguna pelajar miliki cukai jalan, insurans dan lesen memandu

KLUANG: Sebelas sekolah menengah adalah antara 45 lokasi yang dikenal pasti polis daerah, bagi melakukan operasi mendidik pemilik motosikal mematuhi peraturan lalu lintas dan membanteras kegiatan lumba haram di kalangan pelajar di sekitar daerah ini.

Dalam operasi yang bermula awal Mei lalu dan berakhir 22 Jun lalu, sebanyak 2,330 motosikal diperiksa dan 909 saman dikeluarkan pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Radin Samsudin Radnan, berkata tindakan mengadakan operasi berkenaan bertujuan mendidik pelajar supaya mematuhi peraturan ditetapkan.

“Tujuan utama kita mengadakan operasi ini adalah untuk memastikan motosikal digunakan pelajar mempunyai cukai jalan serta dilindungi insurans, selain penunggangnya mempunyai lesen memandu sah.

“Malah, pendidikan serta pendedahan diberi kepada pelajar itu, juga bertujuan untuk memastikan mereka sebagai generasi bebas jenayah, yang tidak terbabit dalam kegiatan menyalahi undang-undang seperti lumba haram,” katanya.

Radin Samsudin berkata, lebih 10 motosikal disita dan beberapa saman dikeluarkan berikutan penunggang tidak mempunyai lesen memandu dan kenderaan digunakan pula tidak mempunyai cukai jalan serta insurans.

Selain menyita, beliau berkata, polis turut memanggil pemilik motosikal berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, untuk membayar saman dan diberi nasihat supaya mematuhi undang-undang.

Beliau berkata, antara kesalahan yang sering dilakukan pemilik motosikal ialah membenarkan anak menunggang kenderaan berkenaan, walaupun tahu mereka tidak memiliki lesen memandu.

Katanya, tidak memiliki lesen memandu adalah kesalahan paling banyak dilakukan dengan 445 kes, manakala, selebihnya pelbagai kesalahan lain seperti tiada cukai jalan dan perlindungan insurans.

“Pemeriksaan susulan di semua 11 buah sekolah berkenaan mendapati keadaan bertambah baik dan percaya usaha mendidik pelajar serta pemilik motosikal yang dilaksanakan polis itu, membuahkan hasil,” katanya.

Sumber: Berita Harian, 28 Jun 2009.

Dari Akhbar: Polis sita 76 motorsikal.

KUALA KRAI- Polis menyita 76 motosikal dan mengeluarkan lebih 100 saman terhadap remaja dan ibu bapa kerana menunggang motosikal tanpa lesen dalam operasi sekitar Guchil dan bandar ini sejak Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supritendan Abdul Rahman Jaafar berkata, dalam operasi berkenaan, polis turut menahan dua remaja yang sedang merempit.

Katanya, kebanyakan remaja dan pemuda yang ditahan dalam operasi berkenaan berusia 13 hingga 25 tahun dan kegiatan mereka mungkin tidak diketahui oleh ibu bapa masing-masing.

Beliau berkata, kesemuanya dibebaskan selepas polis mengeluarkan saman dan semua motosikal disita sebelum dituntut oleh pemilik masing-masing.

“Bukan sahaja penunggang yang tidak mempunyai lesen memandu, kita juga turut menyita motosikal yang tidak mempunyai cukai jalan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Abdul Rahman berkata, pihaknya akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa selain bertindak atas maklumat berhubung kegiatan merempit.

Katanya, operasi yang melibatkan pegawai dan anggota Trafik Daerah Kuala Krai, akan terus melancarkan operasi untuk membanteras kegiatan merempit yang dilaporkan semakin membimbangkan.

Beliau berkata, siasatan terhadap remaja terbabit mendapati kebanyakan mereka tidak mempunyai lesen memandu dan dipercayai menunggang motosikal milik ahli keluarga.

Sumber: Harian Metro, 22 Oktober 2008.