Kematian akibat kemalangan menurun dalam Ops Aidilfitri 2014.

MELAKA 6 Ogos – Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di negeri ini yang dicatatkan sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menurun sebanyak 40 peratus atau enam kematian berbanding tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Lim Ban Hong berkata, dari tempoh 21 Julai hingga 5 Ogos lalu sembilan kematian dicatatkan dalam lapan kemalangan maut berbanding 15 kematian dalam 11 kemalangan maut pada operasi sama tahun lalu.

Menurutnya, jumlah mangsa yang mengalami cedera parah juga menurun sebanyak 10 peratus dari 10 orang pada tahun lalu kepada sembilan orang tahun ini.

”Bagaimanapun, jumlah kemalangan yang dicatatkan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri tahun ini meningkat sebanyak 9.1 peratus kepada 789 kes berbanding 723 kes tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Operasi Penguatkuasaan Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2014 di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Semabok, di sini malam tadi.

Yang hadir sama Pengarah JPJ negeri, Azaharuldin Abdullah, Setiausaha Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Melaka, Ong Tai Chu dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, M. Shantini.

Jelas Ban Hong, sempena musim perayaan tahun ini juga, terdapat pertambahan sebanyak 8,189 buah kenderaan memasuki Melaka dari 25 hingga 29 Julai di mana ia dikenal pasti antara punca peningkatan jumlah kemalangan sepanjang tempoh operasi.

Justeru katanya, jawatankuasa pengangkutan negeri bersama jabatan-jabatan terlibat akan meneruskan strategi menjalankan penguatkuasaan lebih ketat selain memperhebatkan penguatkuasaan melalui program kesedaran dan pendidikan.

”Diharapkan kedua-dua cara ini dapat dijalankan serentak untuk meningkatkan kesedaran mementingkan keselamatan di jalan raya di kalangan pemandu dan pengguna lalu lintas,” tegasnya.

Sementara itu tambah beliau, sepanjang tempoh operasi berkenaan juga, sebanyak 5,242 buah kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa oleh JPJ di mana 377 saman dikeluarkan manakala 364 kenderaan diambil tindakan.

Kesalahan paling banyak dicatatkan ialah TIDAK mempunyai lesen memandu yang sah iaitu sebanyak 157 kes, tidak mempunyai cukai jalan (75 kes), nombor pendaftaran tidak mengikuti spesifikasi dibenarkan (33 kes) serta lain-lain kesalahan termasuk ubah suai kenderaan, cermin gelap, tiada insurans dan memandu bawah umur,” jelasnya.

Operasi yang dijalankan bermula pada pukul 9 malam itu melibatkan 198 anggota penguat kuasa termasuk dari JPJ, MKJR, JKJR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Sumber: Utusan Malaysia, 7 Ogos 2014.

Warga emas cuai memandu dipenjara 48 bulan, denda RM10,000.

KUALA LUMPUR 11 Julai – Seorang lelaki warga emas dihukum penjara 48 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang, dekat sini atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga mengorbankan sepasang suami isteri dan dua sepupu mereka dalam satu kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Bukit Antarabangsa tahun lalu.

Majistret Noor Farah Hazwani Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap Masrufi Sain, 67, yang be­kerja sebagai buruh binaan selepas mengubah pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan itu hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tiga tahun bermula hari ini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ketika memandu kereta Proton Satria secara cuai dan tanpa pertimbangan yang munasabah menyebabkan kemalangan yang mengakibatkan pemandu kereta Perodua Viva dan tiga penumpangnya terbunuh di MRR2, Bukit Antarabangsa di sini kira-kira pukul 5.40 petang, 19 Mei 2013.

Mereka yang terkorban dalam kejadian itu ialah pemandu kenderaan tersebut, Hasbullah Abdul Ghani, 26, isterinya, Nurul Intan Syahida Nordin, 22, sepupu Hasbullah, Tengku Ahmad Faiz Tengku Mohmad, 28, dan Asma Ismail, 23.

Pendakwaan terhadap Masrufi dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua tahun hingga 10 tahun atau denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000.

Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Masrufi memohon agar dia dikenakan hukuman yang ringan atas alasan faktor usia dan sering sakit.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, tertuduh yang memandu kereta Proton Satria dalam perjalanan dari Bukit Antarabangsa ke MRR2 dan menuruni bukit sebelum kereta tersebut merempuh pembahagi jalan ketika memasuki laluan bertentangan lalu melanggar kereta Perodua Viva yang dinaiki keempat-empat mangsa, kemudian kenderaan itu turut dilanggar kereta Suzuki Swift.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Purnima manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sementara itu, ibu kepada Nurul Intan Syahida, Wan Lili Marsila Wan Jaafar, 45, berkata, sehingga kini dia sukar untuk menerima kenyataan bahawa anak keduanya itu sudah tiada.

“Walaupun saya reda menerima ketentuan Tuhan, namun susah hendak saya gambarkan apabila kehilangan anak sekelip mata. Namun, kami sekeluarga tetap lega kerana semuanya berakhir dengan baik apabila tertuduh menerima hukuman sepatutnya hari ini,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Akhbar sebelum ini melaporkan keempat-empat mangsa itu terbunuh dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan, dipercayai berpunca daripada kegagalan brek kereta Proton Satria berfungsi dalam kejadian itu.

Pemandu dan tiga penumpang kereta Perodua Viva itu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala manakala sekurang-kurangnya tiga lagi penumpang kenderaan lain cedera.

Hasbullah dan isterinya, Nurul Intan Syahida yang duduk di bahagian penumpang depan putus kepala akibat terkena kabel penghadang jalan.

Sumber: Utusan Malaysia, 12 Julai 2014.

Luar Negara: Remaja 13 tahun pandu 800km cari keluarga kandung

MILAN: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun, yang tinggal di Italy bersama ibu bapa angkatnya, telah mengambil kereta Mercedes milik bapa angkatnya itu dan memandu lebih 800 kilometer merentas Eropah dalam usaha mencari keluarga kandungnya di Poland.

Menurut polis Italy kelmarin, remaja itu meninggalkan rumahnya di bandar kecil Pederobba di utara Italy dengan hanya berbekal 200 euro ($326) dan pasport di dalam koceknya.

Dia memandu kereta jenis automatik berkuasa tinggi itu selama lebih 24 jam sebelum ditahan polis Jerman di lebuh raya dekat Leipzig.

Remaja itu berjaya melepasi pondok tol di lebuh raya dan menyeberangi dua sempadan antarabangsa dalam perjalanan selama dua hari merentasi Italy, Austria dan separuh bahagian negara Jerman.

“Dia kelihatan seperti remaja berusia 16 tahun, tapi dia berjaya mengisi minyak dan melepasi dua sempadan. Ia sangat sukar dipercayai,” kata Cik Eleonora Spadati, ketua polis Carabinieri di Montebeluuna, timur laut Italy, tempat remaja itu mula melarikan diri.

“Saudara perempuan dan ibu bapa kandung remaja itu berada di Poland dan nampaknya dia dalam perjalanan ke sana untuk bertemu saudara perempuannya itu,” kata seorang jurucakap polis Italy.

Laporan media menyatakan remaja itu bertengkar dengan ibu angkatnya pada petang Khamis lalu.

“Dia memberitahu ibu bapanya yang dia rasa kesal dan tahu yang dia bersalah,” kata jurucakap polis itu, sambil menambah bahawa dia dalam perjalanan pulang ke Italy.

Menurut laporan akhbar, remaja itu amat meminati kereta dan merupakan seorang pemandu kereta go-kart yang pakar. – Reuters, AFP. 14 Januari 2013.

Majlis Syura mahu wanita Arab Saudi dibenar memandu kereta di luar negara

RIYADH: Ahli Majlis Syura Arab Saudi, Dr Abdul Malik al-Khayal, mencadangkan kerajaan mengeluarkan kebenaran khas kepada wanita negara itu bagi membolehkan mereka mendapatkan lesen memandu antarabangsa.

Melalui cadangan itu, seseorang wanita Arab Saudi boleh memandu kenderaan di luar negara jika berjaya lulus dalam ujian tertentu.
“Ada beberapa cara wanita Arab Saudi boleh mendapatkan lesen memandu antarabangsa, termasuk memohon kepada kerajaan negara Arab jika mereka menetap di negara itu,” katanya.

 

Dengan cara itu, katanya, mereka boleh memiliki lesen memandu tempatan sebelum memohon mendapatkan lesen memandu antarabangsa.
Sementara itu, Majlis Syura turut membincangkan dua isu dalam Protokol Trafik ditandatangani di Vienna pada 1968.
Protokol itu membenarkan seseorang yang mempunyai lesen memandu antarabangsa diberikan hak memiliki lesen memandu di Arab Saudi. – Agensi

 

Sumber: Harian Metro, 23 November 2010.

 

Program khas JPJ untuk warga emas Pangkor peroleh lesen

PANGKOR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan program khas bagi memudahkan warga emas di Pulau Pangkor untuk memiliki lesen memandu sebelum akhir tahun ini

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata ini berikutan terdapatnya kira-kira 400 warga emas di pulau itu tidak memiliki lesen memandu tetapi menunggang motosikal dan membawa kereta setiap hari.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis mesra rakyat di sini, hari ini.

Sumber: Berita Harian, 24 Jun 2010.

Ramai pemandu kereta degil

BUKIT MERTAJAM 23 April – Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) tidak pernah membatalkan peraturan yang mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar di tempat duduk belakang kenderaan.

Pengarah JKJR Pulau Pinang, S. Jegan menegaskan, pengguna kenderaan yang masih berdegil mematuhi peraturan tersebut akan tetap dikenakan saman maksimum RM300 setiap seorang.

Malah jika penumpang yang berusia di bawah 17 tahun gagal memakai tali pinggang keledar di belakang, saman boleh dikenakan kepada pemandu kenderaan terbabit.

“Melalui kempen bersepadu yang dijalankan oleh JKJR bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis, saman boleh terus dikenakan kepada mereka,” katanya kepada pemberita pada kempen kesedaran pemakaian tali pinggang keledar di Plaza Tol Juru di sini hari ini.

Tambahnya, ada juga penumpang yang hanya memakai tali pinggang keledar apabila ternampak anggota penguat kuasa sahaja dan kembali menanggalkannya selepas itu.

Beliau memberitahu, berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), kadar pematuhan pemakaian tali pinggang keledar juga semakin menurun.

Jelasnya pada Mac 2009, kadar pematuhan adalah 48 peratus namun telah menurun sehingga 20 peratus pada Mac tahun ini.

“Perkara ini amat membimbangkan JKJR kerana ia boleh menimbulkan pelbagai implikasi sekiranya pemandu dan penumpang gagal mematuhi peraturan tersebut.

“Oleh sebab itu, kami akan terus menjalankan kempen dan operasi seperti ini setiap minggu bagi memberi galakan kepada orang ramai,” ujarnya.

Jegan turut memaklumkan, pihak JPJ juga menjalankan operasi penyamaran bagi mengesan penumpang yang gagal memakai tali pinggang keledar.

Jelasnya, bagi pemilik kenderaan Proton dan Perodua yang masih tidak memiliki tali pinggang keledar belakang, mereka masih boleh memasangnya secara percuma sehingga Jun ini.

Selepas Jun, bayaran akan dikenakan kepada mereka dan tiada lagi alasan diterima atas kegagalan memakai tali pinggang keledar belakang,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia, 24 April 2010.